Anda di halaman 1dari 4

‘Awan Hijau’

Keheningan petang membangkitkan rasa bosan tika bersendirian di bilik. Ajakan murid-

murid dan juga guru-guru untuk bersiar-siar di Kampung Piah tidak kulepaskan begitu

sahaja.

Berjalan bersama anak-anak kampung membangkitkan rasa teruja kepada diriku,

mengingatkan aku kembali pada zaman kanak-kanakku bersama-sama dengan sepupu-

sepupuku di kampung suatu ketika dulu. Namun, kini semuanya telah jauh ditinggalkan

apabila masing-masing sibuk melayari kehidupan sendiri. Peluang mengimbau dan merasai

kembali memori lalu membuak-buak dalam diriku.

Berjalan-jalan dan disambut dengan senyuman mesra penduduk kampung membuatkan hati

berbunga riang. Tika singgah di rumah penghulu yang kebetulan baru pulang dari kebunnya,

aku dan rakan-rakan disambut mesra oleh isterinya, dan dijamu dengan sejenis buah

kampung, buah tampoi atau pun mengikut apa yang digelar mereka buah larah. Orang

berbudi, kita berbahasa, orang memberi, kita merasa. Manis sekali.

Sekitar kampung dipenuhi dengan tanaman ubi kayu, satu daripada sumber makanan utama

penduduk asli. Aku dan rakan-rakanku dengan ditemani guru-guru SK Pos Piah meneruskan

lagi perjalanan ke rumah seorang lagi penduduk yang mahir dalam akar kayu. Apabila tiba di

rumahnya, dia menunjukkan akar-akar kayu yang diperoleh dari hutan berhampiran. Ada

yang panjang, ada yang berlingkar dan macam-macam lagi. Antara akar kayu yang

diperoleh adalah tongkat ali, kacip fatimah, rempah gunung dan kayu resdung. Pertama kali

bagiku melihatnya secara nyata. Selama ini aku hanya melihatnya di buku-buku, majalah

dan juga melalui tontonan di kaca televisyen. Harga yang diletakkan agak murah jika

dibandingkan dengan harga di pasaran biasa.

Betapa beruntungnya, dapat akar kayu yang segar dengan harga yang murah. Terfikir juga

macam mana lah kehidupan mereka hendak maju kalau dengan rezeki yang tidak seberapa.
Hasil yang dicari dengan berkorban tenaga dan berpenat lelah hanya dibayar dengan harga

yang tidak seberapa. Beginilah mereka selalunya diambil kesempatan oleh peraih-peraih

yang datang memungut hasil hutan dari mereka, dibawa keluar dan dijual dengan harga

yang berlipat kali ganda. Inilah cerita yang diberitahu oleh guru-guru yang mengiringiku dan

rakan-rakan. Atas dasar simpati, rakanku membayarnya dengan harga yang dirasakan

setimpal dengan harga akar kayu tersebut.

Dalam perjalanan pulang, aku dan rakan-rakan dibawa pula ke sungai berhampiran

kampung tersebut. Walaupun airnya cetek, aku masih dapat menikmati kedinginan airnya,

pasirnya bersih. Aku dan rakan-rakan tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar

sebanyak mungkin dengan kamera yang sentiasa di tangan setiap dari kami. Hijau dedaun

dan dingin air menimbulkan satu keterujaan. Satu gabungan bak lukisan alam yang indah,

yang sebelum ini hanya dapat kunikmati melalui gambar-gambar di majalah. Satu keindahan

yang membuatku memanjatkan syukur kepada Allah s.w.t., dikurniakan peluang yang entah

bila akan berulang kembali. Anak-anak murid yang juga penduduk kampung tersebut tidak

segan silu untuk terjun ke dalam sungai, melompat dari batu ke batu, menikmati kesegaran

air.

Seusai menikmati kesegaran air dan keindahan sungai Kampung Piah, aku dan rakan-

rakanku yang lain terpaksa pulang memandangkan waktu telah menghampiri senja. Anak-

anak yang sedang bermandi-manda tadi terus mengekori jejakku dan rakan-rakan seolah-

olah tidak mahu melepaskan kami pergi. Mereka berlari-lari mengekori kami dari belakang

sehinggalah sampai di depan pintu pagar sekolah. Aku serta rakan-rakanku yang lain

melambai ke arah mereka, tanda kami harus pulang menunaikan kewajipan.

“Esok datang sekolah ye,”

Sempat kami berpesan kepada mereka, dengan harapan mereka teruja untuk datang ke

sekolah, bukan sahaja untuk bertemu kami, bahkan menimba ilmu sebanyak mungkin.
Mereka berlari-lari, berkejaran ke sana ke sini tanpa kasut, dengan baju yang telah bertukar

coklat, berlumuran lumpur dan tanah.

Apakah ibu bapa mereka tidak kisah atau tidak mahu mengambil berat soal kebersihan

anak-anak mereka? Apakah mereka terlalu sibuk dengan urusan masing-masing? Atau

mereka telah pun lali dengan suasana sedemikian? Persoalan yang harus dijawab bukan

dengan akal semata-mata, tetapi dengan hati nurani.

Masih ada harapan untuk mereka, andai di hati guru-guru tersimpan hasrat untuk mengubah

hidup mereka, melihat mereka setanding dengan murid-murid di bawah sana, tanpa kudis

yang menyelaputi tubuh. Perasaan jijik melihat keadaan mereka harus dibuang. Mereka juga

manusia, anak kecil yang dahagakan belaian kasih dan sayang seperti kanak-kanak lain

seusia mereka, yang lahir seperti kain putih yang perlu dicorakkan sebaik mungkin, dimanja

dan diambil tahu keperluannya. Andai semua itu mampu dilakukan tanpa ada diskriminasi,

percayalah, akan wujud untaian kasih sayang yang utuh antara kita dan mereka tanpa

mampu dileraikan lagi, seterusnya mewujudkan tautan ukhwah yang mampu mencetuskan

perubahan tanpa paksaan.


BIODATA

NAMA : NUR HANI BINTI ABU BAKAR

NAMA PENA : EZORA

TEMPAT LAHIR : SUNGAI PETANI, KEDAH

TARIKH LAHIR : 02 JANUARI 1982

NO. KAD PENGENALAN : 820102-02-5326

ALAMAT : NO.45, LORONG 2, TAMAN SRI BEDONG, 08100

BEDONG, KEDAH

PENDIDIKAN : IJAZAH SARJANA MUDA BAHASA DAN LINGUISTIK(BAHASA

INGGERIS),UNIVERSITI MALAYA

PENGALAMAN KERJAYA: 2009 : GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH

2008: -PEGAWAI ‘TELE-MARKETING’

-EDITOR

SEKOLAH PEDALAMAN: SEKOLAH KEBANGSAAN POS PIAH, SUNGAI SIPUT, PERAK

Anda mungkin juga menyukai