Anda di halaman 1dari 13

KOLEJ VOKASIONAL BESUT

PENDAHULUAN
Ditinjau dari sudut bahasa syariah bermakna jalan menuju
sumber air. Sedangkan makna istilahnya, syariah adalah
penerapan seluruh aspek kehidupan sesuai ajaran Islam, yang
mengandungi masalah ibadah dan sebagainya yang dinisbahkan
pada al-Quran dan sunnah rasulullah s.a.w. Mahmut Syaltut yang
mendefinisikan syariah sebagai jalan atau sistem kehidupan yang
dibuat oleh Allah bagi manusia dalam hubungan dengan Allah
s.w.t, sesama muslim, sesama manusia, kehidupan dan alam
semesta. Oleh itu pengertian syariah ialah meliputi seluruh hal
dan perkara yang berkaitan dengan ajaran Islam itu sendiri.
Syariah menurut metodologi ilmu Islam bererti apa sahaja yang
ditetapkan oleh Allah s.w.t untuk para hambanya baik tentang
akidah, ibadat, akhlak, muamalat dan apa sahaja tata hidup di
dunia ini. Namun begitu apabila disebut akidah dan syariah,
kebiasaannya syariah akan lebih dimengertikan sebagai hal-hal
yang melibatkan perundangan atau tata cara hidup manusia di
dunia. Tujuan-tujuan syariat Islam atau maqasid syarie ialah
rahsia-rahsia yang diletakkan oleh Allah di dalam setiap
ketentuan hukumnya. Pada pandangan al-Syatibi, Allah mencipta
syariat dengan tujuan untuk merealisasikan maqasidnya untuk
sekalian manusia iaitu untuk memberikan kebaikan (maslahah)
kepada mereka dan mengelakkan kerosakan atau keburukan
(mafsadah) daripada menimpa mereka (Syatibi. 1996). Dan
diantara nas-nas al-Quran yang mengatakan tujuan diturunkan
syariat ialah di dalam surah huud ayat 88:

DEFINISI

KANDUNGAN
2. Jenis-jenis kemaslahatan
Syariat Islam sebagaimana syariat-syariat yang lainnya adalah
bertujuan untuk menjaga dan memelihara lima benda ataupun dikenali
sebagai kulliyat al-khams atau al-dharuriyat al-khams. Lima perkara tersebut
ialah memelihara agama, jiwa, keturunan, akal dan harta. Ini kerana kelimalima perkara ini amat penting bagi menjamin umat Islam sentiasa
terpelihara, dapat melaksanakan syariat Allah dengan sempurna dan dapat
menahan daripada serangan musuh-musuh Islam. Manakala cara untuk
memelihara lima kepentingan ini dapat dibahagikan kepada tiga tingkatan,
yang mana setiap tingkatan mempunyai keutamaan masing-masing. Dan
tingkatan-tingkatan ini dikenali dikalangan ulama dengan istilah aldharuriyat, al-hajiyat dan al-tahsiniyat.
Al-dharuriyat bermaksud segala sesuatu yang tidak dapat
ditinggalkan dalam kehidupan keagamaan dan keduniaan manusia. Dalam
erti kata lain, jika ia tidak ada maka kehidupan manusia di dunia ini akan
menjadi rosak dan tidak teratur. Contohnya untuk memelihara keadilan dan
keamanan manusia, maka telah di syariatkan hukuman hudud. Al-hajiyat
pula bermaksud sesuatu yang diperlukan oleh manusia dalam menghindari
kesempitan dan menolak kesulitan. Yang mana jika ia tidak ada maka
manusia akan mengalami kesulitan dan kesempitan, akan tetapi ia tidak
sampai merosakkan kehidupan. Contohnya diberi rukhsah kepada orang
yang sakit dan bermusafir untuk berbuka puasa di bulan ramadhan. Altahsiniyat bermaksud hal-hal yang menjadi tuntutan dari martabat diri dan
akhlak yang mulia untuk mendapat kehidupan yang baik. boleh dikatakan
bahawa perkara tahsiniyat ini ialah perkara pelengkap untuk mempunyai
kehidupan yang lebih selesa. Contohnya telah disyariatkan prinsip
mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan kebaikan-kebaikan yang
disunatkan berupa sedekah dan amalan-amalan baik yang lainnya (Syeikh
Muhammad Tohir Bin Asyur. 1998).
Ketiga-tiga bahagian ini mempunyai martabatnya masingmasing. Di dalam satu-satu masalah, perkara al-dharuriyat akan menjadi
keutamaan daripada perkara al-hajiyat. Dan jika terdapat pertembungan
diantara perkara al-hajiyat dan al-tahsiniyat, maka perkara al-hajiyat lebih
utama dan al-tahsiniyat tidak sekali-kali akan mendahului al-hajiyat. Akan

tetapi, perbincangan di dalam kertas kerja ini akan tertumpu kepada alhajiyat dari segi makna, bahagian dan kepentingannya di dalam kehidupan
manusia.

3. Makna al-hajiyat
Makna al-hajiyat menurut Syeikh Muhammad Tohir ialah apa
yang diperlukan oleh manusia untuk mendapat kebaikannya dan mengatur
semua perkara kepada keadaan yang lebih baik (Syeikh Muhammad Tohir.
1998). Yang mana jika tidak dijaga perkara ini, ia akan menjejaskan aturan
kehidupan akan tetapi ianya cuma merangkumi perkara yang kurang penting
yang tidak sampai ke tahap al-dharuriyat. Telah berkata Syartibi al-hajiyat
ialah apa yang berkehendakkan dari segi kesenangan dan mengangkat
kesulitan. Jika ia tidak dijaga, maka ia akan menyebabkan kesulitan dan
kesempitan akan tetapi ia tidak sampai kepada kerosakan yang teruk kepada
maslahah umum (Syeikh Muhammad Tohir. 1998). Iaitu masalah yang tidak
sampai ke tahap terdesak, tanpanya tidak menjejaskan lima perkara yang
wajib dijaga tadi. Sementara Imam Syatibi menyatakan sekiranya tidak
dilaksanakan maslahah ini akan menyebabkan sedikit bebanan dan
kepayahan namun tidak membawa kepada kerosakan kepada lima perkara
tersebut.
Syarak amat menekankan penjagaan terhadap maslahah ini
terutamanya dalam ibadat, muamalat dan jenayah. Kehidupan manusia tidak
sempurna dan stabil sekiranya hilang maslahah ini yang akhirnya akan
menyebabkan mereka terpaksa hidup dalam keadaan kesempitan.
Umpamanya dalam masalah sewaan pada asalnya tidak harus kerana
mengambil manfaat pada benda yang tiada,akan tetapi kerana hajat
manusia maka dibolehkan dan sebagaimana kata Imam Sayuti al-Hajah jika
secara umumnya seperti dharurah. Begitu juga dalam masalah mudharabah
pada asalnya juga tidak diharuskan kerana keuntungan tersebut majhul akan
tetapi sebagai rukhsah untuk keperluan manusia juga dibenarkan. Hal ini
dinyatakan oleh Ibn Rusyd: Sesungguhnya rukhsah pada dharurah adalah
untuk memberi rezki (kurniaan) kepada manusia.

4. Pembahagian al-hajiyat
Di sini penulis akan membahagikan al-hajiyat kepada beberapa bahagian
mengikut beberapa aspek;
1) Dari segi muamalat Islam menuntut usaha pengembangan harta dan
memeliharanya agar tidak musnah kerana harta itu adalah salah satu
kekuatan bagi umat Islam. Di samping itu disyariatkan juga beberapa
transaksi yang mencakupi pengaturan yang tidak ada seperti transaksi
pesanan, sewa-menyewa, pengairan dan seumpamanya. Di dalam sewa
menyewa misalnya, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah al-Qashash
ayat 26 hingga 27:
Salah seorang dari kedua wanita itu berkata:
"Wahai bapaku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada
kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk
bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya"(26).
Berkatalah dia (Syu'aib): "Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu
dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahwa kamu bekerja
denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun, maka itu
adalah (suatu kebaikan) dari kamu, maka aku tidak hendak memberati kamu
dan kamu jika dikehendaki oleh Allah akan mendapatiku termasuk orangorang yang baik"(27).
Manakala transaksi-transaksi yang lain seperti jual beli seperti rukun dan
syarat jualan, maka semuanya telah diatur oleh Islam atas dasar keadilan
dan kerelaan (Muhamad Hj. Md. Daud, Ahmad Kamaruddin Hj. Hamzah.
2001).
2) Dari segi hal yang berkaitan dengan agama atau ibadat

Dalam hal yang berkaitan dengan agama dan ibadat pula telah disyariatkan
berbagai keringanan seperti dibenarkan mengucapkan kata yang
menunjukkan kekafiran ketika dalam keadaan terpaksa sekali. Selain itu,
dibolehkan berbuka bagi orang yang sakit dan dalam perjalanan di bulan
ramadhan. Allah s.w.t berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 184:
Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan
(bolehlah ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang
ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
Ayat di atas menunjukkan keharusan berbuka puasa di bulan ramadhan bagi
mereka yang tidak mampu. Ini bagi mengangkat kemudharatan dan
memberikan keringanan kepada umat Islam. Antara perkara lain ialah
mengurangkan jumlah rakaat ketika bermusafir. Gugurnya kewajipan
bersolat bagi wanita yang didatangi haid dan nifas. Mengusap dua sepatu
(mashu al-khuff) diwaktu terdesak ketika berada di dalam perjalanan.

3) Dari segi jiwa atau adat istiadat manusia


Dalam hal ini, telah dibolehkan berburu dan menikmati kelazatan makanan.
Contohnya di dalam masalah buruan, Allah s.w.t berfirman di dalam surah alMaidah ayat 2:
dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu
Ayat di atas membolehkan manusia memburu binatang untuk dimakan
(Wahbah al-Zuhaili. 2002). Ini kerana ia adalah kehendak manusia untuk
menikmati daging haiwan. Dan dibolehkan berburu menggunakan binatang
buruan bagi memudahkan lagi manusia. Rasulullah s.a.w telah bersabda
kepada Adiy Bin Hatim yang bermaksud:
Jika engkau menghantar atau melepaskan anjing kamu dan kamu dan kamu
mengucapkan nama Allah, lalu anjing itu menangkap dan membunuh
buruannya,engkau makanlah, tetapi jika ia sendiri memakan tangkapannya
maka janganlah engkau memakannya kerana ia menangkap untuknya
sendiri.
4) Dari segi pemeliharaan keturunan
Dari segi pemeliaraan keturunan, syariat telah menetapkan beberapa syarat
bagi akad perkawinan seperti adanya dua saksi yang adil dan pemberian
mahar bagi memelihara masyarakat daripada berbagai-bagai penyakit yang

timbul akibat daripada penzinaan. Selain itu, dibolehkan pula cerai di saat
dharurat supaya perkahwinan tetap merupakan jalan untuk memelihara diri,
kasih sayang, sikap tolong menolong dan sebagai pusat kedamaian dan
ketenteraman.

5. Kepentingan al-hajiyat
1) Al-hajiyat boleh dikatakan sebagai pelengkap kepada al-dharurat kerana
tanpanya manusia akan hidup di dalam kesusahan dan kesempitan. Ia juga
seakan-akan al-dharurat, Cuma yang berbeza ialah tahap kerosakan yang
dihadapi oleh al-hajiyat lebih ringan berbanding al-dharurat.
2) al-Hajiyat ini boleh juga dikatakan sebagai salah satu sifat umum pada
syariat Islam. Ini kerana syariat Islam pada asal serta kaedahnya merupakan
asas umum dari segi zaman dan tempat. Datangnya syariat Islam itu adalah
bersesuaian dengan setiap zaman. Ini kerana ianya bersifat syumul dan
selari dengan fitrah manusia. Syariat Islam tidak diturunkan mengikut zaman
atau masa-masa tertentu sahaja.
3) Islam sebagai agama fitrah, maka pensyariatannya juga adalah
bersesuaian dengan fitrah manusia. Segala apa yang diturunkan kepada
umat manusia bukanlah untuk menyusahkan, mengongkong apatah lagi
menzalimi, bahkan ia adalah untuk menjaga dan memelihara dengan kadar
yang sepatutnya demi kebahagiaan manusia (Munir Hamid al-Bayati. 1994).

4) al-Hajiyat sebagai jalan untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhaan


Allah. Dengan adanya al-hajiyat maka ia akan memudahkan manusia
beribadah kepada Allah. Oleh itu semakin banyaklah ibadah yang mampu
dilakukan oleh manusia dan semakin dekatlah manusia itu dengan
keredhaan Allah.

KESIMPULAN
Sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan sesuatu itu dengan penuh
hikmah. Dan tujuan diturunkan sesuatu itu bukanlah untuk menyusahkan
hamba-hambanya. Bahkan untuk menjamin keselamatan dan kebaikan
manusia itu sendiri. Untuk tujuan itu, Allah s.w.t telah menurunkan syariat
bersesuaian dengan fitrah dan kehendak manusia. al-Hajiyat merupakan
keperluan oleh manusia untuk mereka menjalani kehidupan di dunia ini
dengan lancar dan menolak kemudharatan. Oleh itu sewajarnya keperluan
ini digunakan dengan sebaik mungkin dan bukannya digunakan sehingga
menyalahi syarak.

RUJUKAN
al-Quran
Http//www.Free.ProHosting.com
Muhammad Hj. Md daud, Ahmad Kamaruddin Hj. Hamzah. Fiqh
Muamalat Dan Jenayah. 2001. Pusat Pengajian Jarak Jauh, UKM.
Munir Hamid al-Bayati. al-Nuzumu al-Islamiyyah. 1994. Dar alBasyir.
Syatibi. al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah. jil: 2. 1996. Dar alMa'rifah, Beirut.
Syeikh Muhammad Tohir Bin Asyur. Maqasid al-Syariah alIslamiyyah. 1998. al- Bashair.

Wahbah Zuhaili. Nazariyyah al-Dharurah al-Syariyyah. 1997.


Muassasah al-Risalah.
Wahbah Zuhaili. terj. Syed Ahmad Syed Hussain. Fiqh Dan
Perundangan Islam. Jil. 3. 2002. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Posted by Ahmad mahir danial at 11:50

LAMPIRAN