Anda di halaman 1dari 8

1.

Pengenalan
Menurut Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Bin Miskon (2013), pemimpin

ialah seorang individu dalam sesuatu kumpulan yang diberi tanggungjawab mengarah dan
menyelaraskan aktiviti-aktiviti untuk mencapai matlamat kumpulan. Pada asasnya pemimpin
adalah gabungan sebagai pengarah, pendorong dan pemikir. Guru pada zaman ini harus
memainkan peranan sebagai pemimpin yang mampu mendorong pembinaan modal insan
dalam dunia yang mencabar dan sentiasa berubah. Menurut Usang, Abdul Jawi dan
Kamaruddin (2010) pula, antara faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik murid di
sekolah adalah kepimpinan di sekolah. Ini bermakna, kepimpinan merupakan asas paling
berkesan dalam meningkatkan pencapaian murid. Ash dan Persall (2000) berpendapat
bahawa bagi memastikan kejayaan pelajar, guru harus bersedia untuk belajar secara
berterusan, mengembangkan kebolehan guru dan bersedia menerima tanggungjawab
kepimpinan yang lebih besar. Oleh yang demikian, usaha penambahbaikan sesebuah
sekolah memerlukan keupayaan kepimpinan bukan sahaja dalam kalangan pengetua, tetapi
juga kepimpinan dalam kalangan guru sekolah itu sendiri.

1.1

Konsep Kepimpinan Guru


Danielson (2006) melihat kepimpinan guru sebagai kemahiran yang ada pada guru

untuk mengajar pelajar dan diperluaskan pengaruhnya terhadap orang lain di luar bilik
darjah, sama ada di dalam atau di luar sekolah. Hal ini menunjukkan bahawa guru
sebenarnya menjadi pemimpin di masyarakat dan bukannya pemimpin dalam bilik darjah
sahaja. Katzenmeyer dan Moller (2009) pula melihat kepimpinan guru sebagai pemimpin di
dalam dan di luar bilik darjah yang mengenalpasti dan menyumbang kepada komuniti guru
dan pemimpin, mempengaruhi orang lain untuk meningkatkan amalan pendidikan dan
menerima tanggungjawab sebagai pemimpin untuk mencapai kejayaan.
Boleh dikatakan bahawa kepimpinan guru merupakan sesuatu kemahiran pendidik
untuk mempengaruhi pelajar atau rakan sejawat yang mana keterlibatan mereka adalah
secara sukarela dan berusaha ke arah keberkesanan dan pencapaian matlamat pendidikan.
Matlamat tersebut berkemungkinan matlamat berjangka masa pendek, iaitu pencapaian
objektif pembelajaran atau matlamat berjangka masa panjang, iaitu pembangunan modal
insan yang menyeluruh.

1.2

Konsep Peranan Guru Sekolah Rendah.


Guru

merupakan

insan

yang

dipertanggungjawabkan

untuk

merealisasikan

transformasi pendidikan yang dicita-citakan oleh negara. Guru sekolah rendah berperanan
sebagai penggerak pembelajaran dengan membimbing murid-murid supaya mereka
berusaha belajar secara individu atau berkumpulan. Selain itu, guru sekolah rendah
merupakan pengamal ilmu dan kemahiran yang mempraktikkan budaya ilmu serta
menyebarkan seberapa banyak ilmu kepada murid-murid. Tambahan pula, guru sekolah
rendah memainkan peranan sebagai pengamal reflektif yang selalu membaiki kelemahan
diri agar dapat mempertingkatkan profesionalisme perkhidmatan mereka.
Menurut Sparks (2003), guru adalah agen perubahan yang penting dalam
mewujudkan sekolah berkesan. Justeru, keupayaan guru pemimpin sebagai agen
perubahan sekolah membolehkan pendidikan awam mempunyai peluang yang lebih baik
dalam memastikan setiap pelajar mempunyai guru yang berkualiti tinggi (Katzenmeyer &
Moller, 2009; Wehling, 2007). Guru sekolah rendah juga berperanan sebagai agen sosial,
pengganti ibu bapa, pembentuk tingkah laku dan pengurus pembelajaran. Maka, guru perlu
mengasuh murid supaya berkembang dari segi sosial dan emosi selain daripada segi
intelek.

2.0

Peranan Guru dalam Kepimpinan untuk Menambah Baik Aktiviti Pengajaran


dan Pembelajaran
Kepimpinan guru di bilik darjah akan mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan

pembelajaran pelajar. Guru yang berkepimpinan dapat melaksanakan aktiviti pengajaran


dan pembelajaran seperti yang dirancang dan memastikan objektif pembelajaran tercapai.
Sebaliknya, guru yang kurang berkepimpinan akan mengalami masalah seperti tidak
mencukupi masa untuk aktiviti, pelajar kurang memahami isi pelajaran, pelajar tidak
mendengar arahan dan lain-lain.
Menurut Rahmad Sukor Ab. Samad dan Shahrir Jamaluddin (2005), matlamat utama
kepimpinan pengajaran ialah untuk membaiki atau mengekalkan keadaan-keadaan yang
menggalakkan pembelajaran pelajar. Maka, guru diamanahkan untuk memastikan pelajar
selesa dan berminat untuk belajar. Guru hendaklah memastikan bilik darjah adalah tempat
yang kondusif. Iklim bilik darjah yang ceria dan demokrasi akan dapat menggalakkan inisiatif
pelajar untuk menyertai aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Hal ini memberi peluang
kepada pelajar untuk menyumbang dalam pembelajaran diri, bukan hanya disuap oleh

pendidik. Dengan ini, pengajaran guru menjadi lebih berkesan dan ilmu pengetahuan yang
dipelajari adalah bermakna kepada pelajar.
Menurut Clark (1997) dalam Abdullah Sani Yahaya, Abdul Rashid Mohamed dan
Abd. Ghani Abdullah (2007), seseorang guru boleh menjadi pemimpin yang baik kepada
para pelajar jika beliau memiliki ilmu pengetahuan yang luas, mendalam dan terkini. Hal ini
kerana guru merupakan orang yang dipercayai dan selalu dirujuk oleh pelajar di sekolah.
Maka, guru harus berusaha mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat untuk tujuan
mempertingkatkan serta menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran diri. Menurut Kane
(2001), ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh guru secara pembelajaran berterusan akan
meningkatkan keberkesanan pengajarannya di dalam kelas. Impaknya, situasi pengajaran
dan pembelajaran di dalam bilik darjah menjadi lebih realistik, sistematik dan terkawal. J. M
Coopes,1988 (dalam Abdul Ghani Abdullah dan Abd. Rahman Abd. Aziz, 2009) berpendapat
guru yang berkesan adalah guru yang memperoleh ilmu pengetahuan khususnya kemahiran
mengajar. Oleh yang demikian, guru berperanan untuk mempertingkatkan kemahirankemahiran diri khususnya kemahiran mengajar supaya dapat memimpin pelajar dalam
aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dirancang.
Syed Ismail Bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki Bin Miskon (2013) menyatakan
bahawa sistem pendidikan pada masa kini memerlukan guru menjadi pembimbing kepada
murid

supaya

mereka

mempunyai

kemahiran

berfikir,

menyelesaikan

masalah,

berkomunikasi dan berkolaborasi. Dalam memastikan kejayaan para pelajar, guru


sepatutnya menjadi pembimbing yang menunjuk cara belajar yang betul kepada para
pelajar. Hal ini tentunya akan memperbaiki mutu pembelajaran pelajar jika mereka tahu cara
belajar yang betul dan berkesan. Sebagai tambahan, guru harus membimbing pelajar yang
menghadapi masalah dalam pembelajaran supaya mereka tidak ketinggalan. Justeru,
menjadi tanggungjawab guru untuk membimbing pelajar dalam proses pembelajaran
mereka agar aktiviti PdP boleh dijalankan dengan lebih lancar.
Menurut Simsek dan Atinkurt (2010), komunikasi yang berkesan antara guru dengan
pelajar adalah asas kepada pendidikan yang berkesan. Fredriksen dan Rhodes (2004) pula
menyatakan bahawa hubungan antara guru dan pelajar boleh memberi kesan terhadap
pembelajaran pelajar dan pencapaian akademik mereka. Mereka berpendapat guru yang
memberi sokongan kepada pelajarnya akan menyemarakkan motivasi pelajar untuk
mengambil bahagian yang aktif dalam mata pelajaran yang sebelum ini kurang diminatinya.
Maka, guru harus menjalinkan hubungan yang mesra dengan pelajar agar sentiasa disukai
oleh pelajar. Motivasi, pujian dan galakan harus diberikan kepada pelajar supaya pelajar

berminat untuk belajar dan sudi mendengar arahan guru semasa aktiviti PdP berjalan.
Impaknya, aktiviti PdP menjadi lebih bermakna dan seronok.

3.0

Jenis Kepimpinan Guru, Sumbangan dan Implikasi untuk Meningkatkan


Pembelajaran dan Pencapaian Pelajar
Menurut Nasution (2004), gaya kepimpinan adalah suatu cara yang digunakan

pemimpin dalam berinteraksi dengan bawahannya. Jenis kepimpinan yang dipilih oleh
seseorang guru perlu diambil kira beberapa unsur seperti sikap murid dan sikap masyarakat
setempat. Jenis kepimpinan tersebut digunakan dalam interaksi dengan para pelajar.
Jenis kepimpinan yang pertama ialah jenis kepimpinan Autokratik. Dalam jenis ini,
proses PdP kebanyakan bergantung pada guru dan pelajar melaksanakan kehendak guru
tanpa bantahan, kerana kehendak itu dipandang sebagai sesuatu yang paling benar. Jenis
kepimpinan yang kedua ialah jenis kepimpinan Laissez Faire yang dijalankan dengan
memberikan kebebasan penuh pada murid dalam mengambil keputusan dan melakukan
kegiatan menurut kepentingan masing-masing, baik secara perseorangan mahupun berupa
sekumpulan kecil. Sebagai tambahan, jenis kepimpinan Demokratik menempatkan manusia
sebagai faktor utama dan terpenting dalam bilik darkah.
Jenis kepimpinan Demokratik adalah kepimpinan yang aktif, dinamik dan terarah.
Kegiatan-kegiatan pengendalian dilaksanakan secara tertib dan bertanggungjawab. Selain
itu, pembahagian tugas yang disertai arahan dan butiran tanggungjawab yang jelas
mendorong murid turut serta secara aktif. Dengan kata lain setiap murid mengetahui secara
pasti sumbangan yang dapat diberikan untuk mencapai tujuan organisasinya.
Sumbangan jenis kepimpinan Demokratik ialah membentuk iklim bilik darjah yang
sihat untuk pembangunan akademik dan sosial murid-murid. Hal ini demikian kerana
hubungan antara guru dengan murid dibina atas dasar saling memahami dan saling
mempercayai. Guru membantu murid untuk mengembangkan sikap dan kemampuan
memimpin. Dengan adanya iklim bilik darjah yang selesa dan selamat, murid belajar dengan
aktif, seronok dan berkesan. Lama-kelamaan, pencapaian murid juga akan ditingkatkan
kerana murid mempunyai keinginan dan minat untuk belajar.
Implikasi jenis kepimpinan Demokratik pula ialah murid menjadi orang yang
bertanggungjawab dan mematuhi peraturan secara sukarela. Menurut Hook dan Vass
(2000) ada empat kunci utama dalam agenda bilik darjah iaitu hak, tanggungjawab,
peraturan dan rutin. Dengan jenis kepimpinan demokrasi, pelajar mempunyai hak sendiri
untuk mengeluarkan pendapat dan mengemukakan soalan. Pelajar akan berasa kondusif
dan selamat untuk melibatkan diri dalam aktiviti PdP. Dalam pada itu, pelajar didorong
supaya bertanggungjawab ke atas perlakuan dan usaha diri demi mencapai kejayaan yang
diingini. Maka murid akan mengambil inisiatif untuk menentukan matlamat sendiri dan

berusaha untuk mencapainya tanpa rasa berputus asa. Dengan adanya sikap-sikap
tersebut, seseorang murid dapat belajar dengan tekun dan menuju ke arah kejayaan.
Di samping itu, guru yang berdemokrasi meletakkan diri murid sebagai sebahagian
daripada bilik darjah. Hal ini demikian kerana guru tidak bersifat autokratik dan memandang
setiap murid sebagai insan yang berhak asasi. Dengan melibatkan murid dalam aspirasi
yang ingin dicapai, pelajar menjadi seorang yang lebih berkeyakinan dan bertanggungjawab.
Peraturan yang dibentuk bersama akan dipatuhi oleh pelajar kerana pelajar tidak dipaksa
oleh guru, tetapi mengambil inisiatif untuk mendisiplinkan diri. Sekiranya semua pelajar
mematuhi peraturan dalam kelas, proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan
dengan lebih lancar. Sebagai kesan, murid mempunyai masa yang mencukupi untuk
menjalankan aktiviti PdP dan mendapat manfaat daripadanya, bukannya membazirkan
masa untuk bermain atau mengganggu kawan di dalam bilik darjah.

4.0

Penutup
Kesimpulannya, kepimpinan guru di bilik darjah amat penting kerana pengajaran dan

pembelajaran yang berkesan dan cemerlang biasanya diterajui oleh seorang guru yang
cemerlang. Menurut Blase dan Blase (1998) asas kejayaan sebuah sekolah bukannya
disebabkan oleh pemimpin pengajaran iaitu pengetua atau guru besar sahaja tetapi adalah
didorong oleh kordinasi dan kolaborasi para guru selaku pemimpin pengajaran manakala
pengetua adalah sebagai penyelaras atau pentadbir.
Kualiti guru adalah asas kecemerlangan pelajar dan sekolah. Hal ini membawa
maksud, pendidik yang berkaliber dan berkepimpinan bukan sahaja boleh menjamin
pencapaian objektif pembelajaran, malahan mengembangkan potensi atau bakat yang ada
dalam diri pelajar. Justeru, guru perlu sentiasa berusaha untuk memajukan diri dalam
profesion keguruan dan membuat refleksi supaya dapat menambahbaik aktiviti pengajaran
dan pembelajaran yang dijalankan. Sebagai tambahan, pendidik harus memotivasikan
pelajar dengan peneguhan positif, memupuk sifat berdikari dalam diri pelajar dan
menerapkan semangat kerjasama dalam pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya
guru yang memainkan peranan sebagai pengasuh, pendidik dan pemimpin, pelajar dapat
bergerak seiring dengan arus perubahan dalam era teknologi dan globalisasi ini.

Rujukan
Abdul Ghani Abdullah & Abd. Rahman Abd. Aziz. (2009). Mengurus tingkah laku pelajar,
Kuala Lumpur, Malaysia: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Abdullah Sani Yahaya, Abdul Rashid Mohamed & Abd. Ghani Abdullah. (2007). Guru
sebagai pemimpin. Kuala Lumpur, Malaysia: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Ash, R. C., & Persall, J. M. (2000). The principal as chief learning Officer: Developing
Teacher Leaders. NASSP Bulletin, vol. 84 (15). Diperoleh pada Julai 16, 2016 dari
bul.sagepub.com, Universiti Putra Malaysia. DOI: 10.1177/019263650008461604
Blase, J., & Blase, J. (1998). Handbook of instructional leadership. How really good
principals promote teaching and learning. Thousand Oaks, CA: Corwin.
Danielson, C. (2006). Teacher leadership that strengthens profesional practice. Alexandria,
VA: Association for Supervision and Curriculum Development.
Fredriksen, K., & Rhodes, J. (2004). The role of teacher relationships in the lives of
students.
Diperoleh
pada
Julai
16,
2016
dari
http://www.interscience.wiley.com/journal/109614153/abstract.
Hook, P., & Vass, A. (2000). Confident peranan kepimpinan guru. London: Fulton.
Kane, M. (2001). Leadership requirements and leadership development. Diperoleh pada
Julai 10, 2016 dari www.execuiteveevolution.com.
Katzenmeyer, M., & Moller, G. (2009). Awakening the sleeping giant: Helping teacher
develop as leaders (3rd ed.). CA: Corwin
Rahmad Sukor Ab. Samad & Shahrir Jamaluddin. (2005). Peranan kepimpinan guru dalam
mempengaruhi iklim bilik darjah. Diperoleh pada Julai 17, 2016 dari
http://www.scribd.com/doc/13720586/Kepimpinan-Guru-Dalam-Mempengaruhi-BilikDarjah
Simsek, Y., & Altinkurt, Y. (2010). Determining the communication skills of high school
teachers with respect to the classroom management. Journal of Theory and Practice
in Education Articles, 6 (1): 36-49.
Sparks, D. (2003). Change agent: An interview with Michael Fullan. Journal of Staff
Development, 24 (1): 5558.
Syed Ismail Bin Syed Mustapa & Ahmad Subki Bin Miskon. (2013). Asas kepimpinan &
perkembangan profesional. Selangor, Malaysia: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Usang Anak Ngrambang, Abdul Jawi Abnoh Sawi & Kamarudin Mansur. (2010). Hubungan
kepemimpinan pengetua dan kepuasan kerja guru dengan prestasi peperiksaan.

Diperoleh pada Julai 17, 2016 dari http://www.iab.edu.my/sn19/KertasFinal/Usang_


%20Hubungan%20Kepemimpinan%20%20Prestasi%20Peperiksaan.pdf
Wehling, B. (2007). Building a 21st century U.S. education system. Washington, DC: The
National Commission on Teaching and Americas Future (NCTAF).