Anda di halaman 1dari 2

Mencari Redha Allah SWT daripada Kesukaan Manusia

Kitab: Bahrul Mazi M.S220


Penceramah: Ustaz Abd Rahman Awang Soh
Tempat: Masjid Mardi
Tarikh: 13 Ogos 08 (Rabu)
Barangsiapa yang mencari keredhaan Allah SWT dengan kemarahan manusia, maka
dipelihara oleh Allah SWT daripada keberatan perbuatan manusia yakni tuhan pelihara
daripada diumpat dan cela dan barangsiapa menuntut kesukaan orang dengan kemarahan
Allah SWT, nasib kamu di tangan manusia.
Berdakwah adalah satu amalan yang dipuji tidak kira melalui medium apa sekali pun. Jika
pada satu ketika dahulu, surat menjadi antara medium untuk berdakwah. Pada masa kini,
dakwah dapat dijalankan melalui telefon, SMS, internet dan sebagainya. Di atas adalah satu
hadith yang diterima oleh Muawwiyah ketika beliau memegang jawatan sebagai khalifah.
Hadith tersebut telah dihantar oleh Ummul Mukminin; Saiditina Aisyah R.A kepada
Muawwiyah setelah Muawwiyah meminta nasihat daripada Saiditina Aisyah. Beliau meminta
nasihat yang pendek, mudah dihafal dan mudah diamalkan memandangkan tanggungjawab
sebagai khalifah yang amat membebankan. Daripada tindakan beliau ini boleh dijadikan
tauladan yang meskipun berjawatan tinggi namun masih meminta nasihat atau pendapat
orang yang lebih arif.
Dalam hadith ini keredhaan Allah bermaksud apa yang Allah SWT suka dan tidak marah
dengan melaksanakan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Keredhaan manusia di sini pula bermaksud mencari atau mengutamakan apa yang orang suka
tanpa menghiraukan kemurkaan Allah SWT.
Pada hari ini masalah lebih mengutamakan manusia seolah-olah perkara biasa terutama
perkara yang melibatkan protokol. Upacara-upacara kebesaran terutama yang dilakukan pada
waktu solat yang singkat terutama Maghrib menyebabkan ramai yang terpaksa meninggalkan
solat semata-mata perlu mengikut protokol. Perkara sama juga berlaku apabila mesyuarat
tidak dijalankan berlandaskan agama. Lebih mengutamakan mesyuarat sehingga solat pada
akhir waktu.
Jika dibincang dalam skop yang lebih luas, kebanyakkan apa yang dilakukan atau dirujuk
lebih mengutamakan apa yang barat buat berbanding apa yang telah tersemat dalam Al-Quran
dan Hadith. Apa yang lebih menyedihkan apabila golongan ini terlalu berbangga apabila
mengikut telunjuk orang-orang barat. Perkara ini juga membawa maksud yang sama
mengutamakan manusia daripada mencari keredhaan Allah SWT.
Terdapat beberapa golongan terhadap mereka yang berkawan dengan pemerintah yang zalim:
1. Paling jahat; mereka yang pergi kepada pemerintah tersebut
2. Jahat; Pemerintah tersebut datang kepadanya
3. Baik; menjauhkan diri daripada pemerintah tersebut

Adalah paling baik kepada rakyat untuk menolak pemerintah yang zalim bagi mengelakkan
diri daripada tergolong dalam kumpulan di atas.