Bincangkan kepentingan zakat dan pelaksanaannya pada
zaman khulafa al rasyidin Zakat dari segi bahasa bermaksud penyucian atau penyuburan. Penyucian dikaitkan dengan menghapuskan sifat kedekut atau bakhil yang ada dalam diri seseorang individu manakala penyuburan pula dikaitkan dengan penambahan pahala serta keberkatan harta yang dimiliki. Zakat terbahagi kepada 2, iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Kewajiban berzakat bermula pada tahun 2 Hijrah. Terdapat beberapa kepentingan zakat dan pelaksanaannya pada zaman khulafa al rasyidin. Kepentingan zakat yang pertama adalah daripada segi kepentingan kepada diri. Hal ini demikian kerana ia dapat dikaitkan dengan penyucian jiwa daripada sikap kedekut atau bakhil. Misalnya sikap terlalu mementingkan harta dunia dapat dielakkan dengan berzakat. Tambahan pula, melalui pengeluaran zakat juga, orang Islam dapat menambah pahala serta dapat memiliki harta yang berkat. Jelaslah zakat dapat dilihat daripada segi kepentingan kepada diri. Selain itu, kepentingan zakat juga dapat dilihat daripada segi kepentingan kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana zakat dapat membantu golongan asnaf seperti golongan fakir, miskin, hamba yang memerdekakan diri, orang yang berhutang, musafir yang keputusan bekalan malah amil iaitu individu yang dipertanggungjawabkan mengutip sumber zakat. Melalui pengeluaran zakat juga, hubungan sesame Islam dapat dipererat dan mengukuhkan agar dapat mewujudkan roh ukhwah Islamiah. Tambahan pula, dari segi jangka panjang, pengeluaran zakat daripada golongan yang mampu dianggap sebagai usaha untuk merapatkan jurang sosial antara golongan kaya dengan golongan yang tidak bernasib baik seperti golongan fakir, dan golongan
miskin. Jelaslah, zakat juga menjadi kepentingan kepada
masyarakat.
Di samping itu, kepentingan zakat dapat juga dilihat daripada
segi kepentingan kepada negara. Hal ini demikian kerana melalui zakat, pendapatan sesebuah negara akan meningkat. Hal ini dapat dilihat pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin alKhattab. Disebabkan kempen pendakwahan yang giat dijalankan, agama Islam telah dianut oleh pelbagai bangsa dan masyarakat sama ada dalam mahupun luar Semenanjung Tanah Arab. Hal ini telah menyebabkan peningkatan sumber zakat seterusnya menambah pendapatan negara. Dengan sumber zakat itu tadi, ia akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan dan akan dapat meningkatkan taraf hidup umat dan negara Islam. Jelaslah, zakat juga menjadi kepentingan kepada negara.
Pelaksanaan zakat pada zaman khulafa al rasyidin
diteruskan sebagaimana pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Sumber zakat diagihkan kepada lapan golongan asnaf. Pada zaman pemerintahan Zaman Abu Bakar. Zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, timbul kontroversi berhubung dengan pelaksanaan zakat disebabkan wujudnya golongan al-Riddah yang enggan membayar zakat. Golongan yang enggan membayar zakat ini ialah penduduk Yaman, Yamamah dan Oman. Mereka menganggap zakat sebagai cukai yang dipaksa. Sementara itu
ada yang enggan membayar zakat kerana tersalah tafsir terhadap
ayat-ayat al-Quran yang mewajibkan zakat. Mereka menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW sahaja yang berhak mengutip zakat, jadi apabila baginda wafat, maka dengan sendiri zakat tidak wajib dibayar. Antara yang termasuk dalam golongan ini ialah Malik bin Nuwairah iaitu ketua Bani Hanzlah yang memberi bantuan kepada Sajah. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq bersikap tegas ke atas orang yang cuba memisahkan antara kewajipan sembahyang dengan kewajipan zakat kerana sembahyang merupakan tiang agama, manakala zakat pula jambatannya. Walaupun Umar al-Khattab cuba menasihatinya supaya berbincang terlebih dahulu, tetapi Khalifah Abu Bakar tetap dengan pendiriannya yang tegas berdasarkan dalil al-Quran dan hadis. Khalifah Abu Bakar bertindak tegas menggempur golongan tersebut. Golongan ini telah ditangani melalui pembentukan 11 buah pasukan tentera. Misi ini telah bejaya termasuklah membunuh golongan yang mengaku menjadi nabi. Jadi jelaslah bahawa, Pelaksanaan zakat banyak mendorong dalam menghapuskan sifat-sifat kedekut dalam diri seseorang individu. Seterusnya, zakat diteruskan lagi pada Zaman Khalifah Umar al-Khattab. Pada zaman pemerintahan beliau pula, sumber zakat meningkat disebabkan kesan kejayaan kempen dakwah dan ketenteraan yang dijalankan. Contohnya selepas menyerang Parsi, syiar Islam berkembang di Parsi kerana mendapat layanan yang baik daripada pemerintahan Khalifah Umar. Rakyat Parsi dibenarkan menjalankan upacara keagamaan dan ibadat mengikut agama mereka dan membayar jizyah. Mereka diberi jaminan keselamatan harta benda. Kesannya mereka memeluk agama Islam dan dikenakan bayaran zakat. Hasil zakat telah dihantar ke seluruh tanah jajahan yang dikuasai Islam dan sumber zakat telah dapat diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang layak menerimanya. Jadi ternyatalah bahawa, perlaksanaan zakat pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab
sememangnya mendorong dalam pembiayaan bagi
mempertahankan umat Islam. Selanjutnya, zakat dilaksanakan dengan jayanya semasa zaman pemerintahan Khalifah Uthman. Khalifah Uthman memperkenalkan zakat ternakan kepada pemilik kuda. Pengenalan zakat kuda ini tidak pernah dilakukan sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Namun Khalifah Uthman menjelaskan perkembangan ekonomi yang dinikmati oleh masyarakat Islam sehingga berjaya memiliki kuda wajar dikenakan zakat sejajar dengan zakat yang dikenakan ke atas binatang unta. Segala sumber zakat dimasukkan ke dalam Baitulmal sebagaimana zaman Khalifah Umar. Jelaslah, zakat masih menjadi sumber dalam perbendeharaan negara. Seterusnya, pelaksanaan zakat masih dilaksanakan pada zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib. Namun begitu, beliau menghadapi pelbagai konflik dalaman yang menyebabkan pelaksanaan zakat menjadi tidak begitu meluas seperti pada zaman khalifah-khalifah yang seterusnya. Tetapi, syariat ini tetap berjalan seperti biasa. Jelaslah, zakat masih menjadi sumber dalam perbendeharaan negara. Kesimpulannya, terdapat pelbagai kepentingan zakat yang dapat diperoleh kepada diri dan juga masyarakat. Pelaksanaan zakat pada zaman pemerintahan Khulafa al Rasyidin telah menyebabkan perbendaharaan negara bertambah dan hasilnya, syiar Islam dapat berkembang dengan luas.