Anda di halaman 1dari 4

BERCERAI KASIH BENCI TIADA!

Siapa kita lima tahun akan datang ditentukan oleh buku apa yang kita baca dan
dengan siapa kita bergaul. Begitu kata pakar-pakar psikologi. Kita dibentuk oleh apa
yang kita baca dalam konteks iqra imam Ghazali mentafsir membaca dengan akal,
hati dan emosi. Maksudnya apa sahaja input yang selalu kita lazimi pada akal, jiwa
dan emosi akan membentuk peribadi.
Buku dalam ertikata yang luas ialah apa yang kita dengar, lihat, tonton, berinteraksi
dan berkomunikasi. Kamu ialah apa yang kamu baca, seperti juga kamu apa
yang kamu makan, kerana membaca itu hakikatnya memberi makanan
pada akal, hati dan emosi.
Baiklah, bukan itu yang ingin saya fokuskan kali ini. Tetapi saya ingin berkongsi
bahagian kedua daripada kata-kata pakar psikologi itu yakni dengan siapa kamu
bergaul. Sudah lama saya ingin menyentuh persoalan ini, dan telah ramai juga
pengunjung blog yang meminta saya menulis tentangnya. Alhamdulillah selepas
Subuh ini, ada dorongan yang sangat kuat untuk menulis tentangnya. Mudahmudahan ada kebaikan buat kita bersama.
Saya ingin menulis sesuatu yang saya dengar, dapati, rasai daripada pengalaman
sendiri. Tentunya daripada pengalaman peribadi dan pengalaman orang yang saya
temui. Kebetulan karektor saya sebagai perfect malancholy yang umumnya selalu
serius, berhati-hati, agak skeptik (kadangkadala prajudis), suka kesempurnaan
selalunya akan menghadapi cabaran yang lebih besar dalam perhubungan.
Tidak seperti peaceful phalagmatic yang secara tabienya lebih ceria, suka
bergurau, agak fleksibel yang mahir dalam perhubungan. Begitu mengikut kajian
pakar-pakar psikologi yang membahagikan manusia kepada 4 karektor (insya-Allah,
ada masa nanti kita akan bincangkan mengenai pembahagian karektor manusia).
Maaf, saya tidak ingin menyusahkan anda dengan istilah-istilah ini. Sekadar
menunjukkan bahawa mengenali karektor kita (dalam ertikata mengetahui di mana
kelebihan dan kekurangannya) sangat penting dalam sesuatu perhubungan samada
persahabatan, persaudaraan, perkahwinan, sepekerjaan dan sebagainya. Bahkan
tidak keterlaluan kalau saya katakan, mengenali diri sendiri jauh lebih penting
daripada mengenal orang lain dalam usaha mengujudkan suatu hubungan yang
harmoni.
Saya akui bahawa saya sendiri terkial-kial dalam mengenali dan mengatasi
kelemahan diri khususnya dalam perhubungan. Mungkin setelah usia mencapai 45
tahun (lebih kurang 2 tahun yang lalu) barulah saya mendapat sedikit pencerahan
dan panduan dalam diri sendiri. Itu yang katakan selalu, ilmu yang didapati daripada
mujahadah lebih mendalam daripada apa yang kita dapat daripada mentelaah.
Membaca buku hanya mengutip fakta, dalil dan bukti tetapi membaca kehidupan
barulah tersingkap segala rasa, makna dan getaran untuk bermuhasabah,
mengkoreksi dan membuat pembetulan.

Pertama ingin saya tegaskan: Tidak mengapa kalau kita tidak mempunyai ramai
sahabat, tetapi sedikit itu biarlah yang setia, sayang, tulus dan benar-benar
jujur dengan kita. Namun jika ramai sahabat yang setia tentulah lebih baik. Ingin
saya tegaskan mencari sahabat yang baik, sama seperti ingin mendapat isteri yang
solehah. Keinginan dan cita-cita sesiapa pun ada, tetapi untuk mendapatnya sukar
sesukar mencari gagak puitih.
Namun cuba ingat kembali petua yang pernah saya nukilkan dalam buku Tentang
Cinta. Jadilah solehah bukan carilah soleh. Jadilah soleh insya-Allah akan datang
solehah untuk kita. Maka begitulah juga dalam petua bersahabat, jadilah sahabat
yang baik, bukan carilah sahabat yang baik.
Jika kita ingin mengubah diri kita (kearah yang lebih baik samada dari segi
agama, keperibadian atau kerjaya), jangan lupa untuk menyemak semula
siapa yang berada di sekeliling kita. Bukankah Nabi Muhammad saw pernah
berpesan, agama seseorang ditentukan juga oleh siapa sahabatnya? Jadi jika kita
ingin menukar iltizam kita dalam beragama, acapkali kita perlu menukar sahabat
kita.
Jika bersamanya, agama kita tidak bertambah baik (bahkan kekadang
merosak) ayuh berani meninggalkannya! (sebahagian hal ini saya pernah
sentuh dalam entri yang lalu: Kill your darling!)
Jagalah hati, walaupun kita menghindari daripadanya, bukan kerana takut
kejahatan dia berjangkit kepada diri kita tetapi lebih diniatkan agar
jangan kejahatan kita yang berjangkit kepadanya.
Saya pernah menekankan bahawa persahabatan umpama sebuah perkahwinan. Jika
sudah tidak serasi, bercerailah. Tetapi pastikan kita bercerai dengan baik-baik.
Namun sekali-kali jangan membenci. Mungkin sidia akan mendapat orang yang lebih
baik daripada kita sebagai sahabat barunya dan kita akan mendapat orang baik yang
lain sebagai sahabat baru.
Ingat sikap nabi Muhammad saw bila berdepan dengan makanan yang tidak
disukainya? Baginda akan meninggalkannya tetapi sedikitpun tidak mengecam
makanan itu.
Mungkin analogi itu tidak sama dalam konteks persahabatan. Tetapi saya kira
begitulah panduannya tinggalkan apa yang kita tidak sukai tetapi jangan sekali-kali
membenci. Ingat benci itu virus dalam hati dan emosi kita. Orang yang
dihinggapi rasa benci akan buta melihat dunia ini dengan lebih indah dan
ceria. Pada hal keceriaan dan keindahan itu ada di mana-mana tetapi
pembenci tidak akan dapat melihat dan menghidunya.
Kenapa saya tergamak menyarankan agar kita ceraikan orang-orang tertentu
sebagai sahabat? Hubaya-hubaya kerana di dalam hidup wujud orang begitu untuk
menguji kita. Ditakdirkan ada manusia yang begitu pandai bermuka-muka. Anda
merasakan dia sebagai sahabat, lalu anda longgokkan segala kepercayaan, amanah

dan kesetiaan kepadanya (begitukan kalau kita bersahabat?). Oh, kalau begitu jadinya
anda seolah-olah memberi senjata yaang paling merbahaya untuk dia menikam
anda nanti.
Jangan sekali-kali lupa, kesalahan yang paling besar dalam perhubungan
ialah bila anda menganggap pandangan, persepsi, rasa hati dan fikiran
orang lain sama dengan anda. Ini satu kesilapan besar. Jangan tersilap
memberi amanah. Oleh kerana senyumnya manis, pujiannya melangit dan simpati
serta empatinya melimpah, anda kalah. Tidak upaya lagi berkata tidak walaupun dia
telah jauh menerobos benteng hak anda yang sangat peribadi.
Dengan bermuka-muka anda akan sentiasa dieksploitasi dan dimanupulasi. Hati-hati.
Kesabaran tidak menafikan kebijaksanaan. Jika anda terus menyimpannya, anda
seperti menyimpan musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan. Jika kita kuat
bersabarlah dan teruslah bersabar. Orang kata bersabar dalam bersabar (sabrun jamil
sabar yang indah). Tetapi jika hati, jiwa dan perasaan anda rosak akibatnya,
menjaraklah. Jangan sabar membunuh kebijaksanaan dan kewarasan.
Apa yang dimaksudkan dengan bercerai dalam bersahabat? Jangan silap faham
maksud saya. Bercerai bukan bererti memutuskan silaturrahiim. Itu berat sekali
dosanya. Bercerai bermaksud anda letakkan satu jarak yang lebih jauh sedikit
daripada sebelumnya antara diri anda dengan sidia. Jadi dalam kategori bersahabat,
letakkan kategori-kategori tertentu. Untuk sahabat yang ini yang jaraknya begini, kita
kongsikan perkara-perkara tertentu. Untuk sahabat yang itu yang jaraknya begitu,
kita kongsikan pula perkara-perkara yang lain.
Jangan kita lupa, dalam hubungan sesama manusia, perkara jangan
lakukan lebih utama dijaga dan dititikberatkan berbanding perkara
hendaklah dilakukan. Jangan mengumpat orang, lebih utama dijaga
daripada menolong orang. Jangan hasad dengki lebih patut didahulukan
daripada rasa simpati dan empati. Jangan membenci mesti dipentingkan
berbanding menasihatinya. Pokoknya, dalam persahabatan: Jangan
meruntuh itu lebih baik daripada membina!
Pernah anda terjumpa seorang yang begitu suka membantu orang susah, tetapi
apabila orang susah itu sudah senang, yang membantu tadi mula membuntu
dengan hasad dengki, mengumpat dan mencela (orang yang pernah ditolongnya) di
belakang? Benarlah kata hukama, merasa susah dengan kesusahan orang lain agak
mudah berbanding untuk merasa senang dengan kesenangan orang lain. Nikmat itu
selalunya dihasad.
Dalam persabatan anda mesti mengenali antara kelemahan dan kejahatan.
Kelemahan itu memang biasa anda punya kelemahan, sahabat kita punya
kelemahan. Jangan menginginkan satu kesempurnaan. Kita bukan bersahabat
dengan malaikat tetapi dengan manusia yang punya seribu satu
kelemahan. Kekadang kita terpaksa berhadapan dengan marah, rajuk,
pelupa, pemboros dan berbagai-bagai lagi karenah. Itu semua sepatutnya

kita hadapi. Kasih tidak menjadikan kita buta dengan kelemahan tetapi
menerimanya dengan wajar.
Apa nak buat sudah jodoh kita dengan orang yang begitu Sabar sahajalah.
Sepertimana kita bersabar dengannya, dia juga bersabar dengan kita. Dia
bermujahadah, kita pun bermujahadah. Kita sama-sama tahu piawaian manusia
yang syumul, tetapi kita sama-sama sedang merangkak mencapai piawaian itu!
Untuk berdepan dengan masalah ini, pegang analogi ini. Hubungan kita
dengannya umpama hubungan tangan kiri dan kanan. Kekadang tangan kiri
kotor, tangan kanan pun kotor bagaimana kita bersihkan kedua-dua belah
tangan itu? Ya, kita temukan dan bergeser antara satu sama lain. Itu yang
kita buat semasa mencuci tangan.
Akhirnya dengan geseran dan laluan air, kedua-dua tangan yang kotor itu
jadi bersih kerana geseran itu rupanya saling membersihkan. Itulah
hikmah geseran dalam persabatan. Kelemahan kalaupun tidak dapat
diatasi tetapi dapat diterima dengan rela dan reda.
Tetapi berhati-hati dengan kejahatan. Yakni sekiranya ada orang yang merancang
menggunakan anda, melaga-lagakan anda, menyekat laluan, mensabotaj rangkaian
perhubungan anda dan paling malang jika dia sudah berani melampaui batas dengan
strategi memijak anda untuk melonjak diri sendiri.
Itu bukan kelemahan lagi tetapi sudah satu kesalahan. Berdoalah kita agar dijauhkan
daripada manusia yang sebegini. Kita tidak sekali-kali boleh membenci tetapi
jangan pula disengat olehnya berkali-kali. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Dan
hidup juga terlalu singkat untuk disekat oleh orang yang begini!
Jagalah Allah dalam perhubungan dengan selalu menjaga syariatnya dalam
persabatan. Biarlah hukum halal, haram, sunat, makruh dan harus sentiasa menjadi
rujukan bersama. Ke situlah kita merujuk bila berdepan dengan masalah. Dalam
hubungan sesama makhluk, Khalik mestilah menjadi pengikatnya. Iman itu mengikat
hati-hati manusia umpama simen yang melekatkan batu-bata.
Tanpa simen batu bata tidak akan tersusun dan berpadu. Jangan melupakan Allah
dalam memburu kasih-sayang manusia kerana dengan melupakan kasih
Allah, kita akan gagal merebut kasih manusia. Bila melihat kebaikan
sahabat rasailah itu hakikatnya kebaikan Allah. Tetapi apabila melihat
kejahatan atau kelemahan manusia percayalah itulah cara Allah menguji
kita.
Cukuplah setakat ini saudara-saudara ku sebagai muhasabah hati di permulaan bulan
yang baru. Ramadan telah sebulan meninggalkan kita. Ingatkah? Apa yang akan saya
letakkan sebagai tajuk tulisan ini ya tuliskan sahaja: BERCERAI KASIH BENCI TIADA

Anda mungkin juga menyukai