Anda di halaman 1dari 2

PERNYATAAN PROFESIONAL

SEMASA
Praktikum merupakan satu wadah yang memberi peluang kepada guru
pelatih untuk mengamalkan segala pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari
semasa di Institut Pendidikan Guru (IPG) serta membina insan guru secara reflektif
dalam situasi sebenar bilik darjah dan sekolah di bawah bimbingan pensyarah
pembimbing dan guru pembimbing. Praktikum fasa pertama ini memfokuskan
kepada mata pelajaran major guru pelatih dengan waktu mengajar minimum 8 waktu
dan maksimum 12 waktu.
Sebagai seorang guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato
Razali Ismail, diwajibkan ke atas saya untuk menjalani satu sesi latihan mengajar
atau dikenali sebagai praktikum yang memakan masa selama sebulan bermula dari
12 April hingga 7 Mei 2015. Praktikum Fasa 1 ini menggandingkan saya bersama
seorang lagi rakan sekelas iaitu Muhamad Shakirin bin Khamis dan kami berdua
ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Paka II, Dungun, Terengganu.
Antara tujuan sampingan program Praktikum ini adalah untuk membolehkan
pelajar membiasakan diri di sekolah dan di bilik darjah serta mendapat pendedahan
awal pembelajaran murid. Di sekolah juga saya perlu mengajar subjek major saya
iaitu Pendidikan Sejarah bagi tahun 4 dan tahun 5 iaitu tahun 4 Mujahid, 4
Mustaqim, 4 Mukhlis dan 5 Mustaqim. Masing-masing diperuntukkan sekali
seminggu setiap kelas dan menjadikan ia 8 masa waktu pengajaran dan
pembelajaran. Hasilnya saya perlu menyediakan 4 Rancangan Pengajaran Harian
(RPH) dalam seminggu.
Sebagai seorang guru pelatih, saya telah disediakan seorang guru
pembimbing di sekolah ini sebagai mentor iaitu Cikgu Sirajul Fikri bin Tengah.
Kolaborasi telah banyak dilakukan termasuklah penyeliaan beliau dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah. Hasilnya banyak input
diperolehi dalam memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran saya meningkat
dari masa ke semasa melalui tunjuk ajar dan bimbingan beliau yang berterusan.
Selain itu, saya mendapati kurikulum dan sukatan pelajaran juga menjadi salah satu

item penting dalam senarai semak tugasan. Perkara ini sedikit sebanyak
menyumbang kepada pengetahuan baru saya tentang pembelajaran murid-murid.
Selain itu, saya juga dapat memahami pengurusan strategi pengajaran dan
pembelajaran melalui buku rekod pengajaran. Antara lain, tugasan yang diberikan
juga membolehkan saya membina kemahiran berinteraksi dengan murid, guru dan
kakitangan sekolah. Kepentingan utama aktiviti ini adalah untuk membina keyakinan
diri seseorang guru pelatih selain daripada mempersiapkan mereka sebagai salah
seorang komuniti sekolah pada masa akan datang. Di samping itu juga, saya dapat
memahami tingkah laku murid-murid, pengurusan bilik darjah, proses penyepaduan
teori dan amalan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran melalui pemerhatian,
interaksi dan refleksi.
Dalam pada sibuk menjalani kehidupan di sekolah sebagai seorang guru
pelatih, aktiviti kokurikulum juga tidak ketinggalan. Badan unit beruniform yang
dianggotai, BBSM memperlihatkan saya mengaplikasikan segala ilmu yang dipelajari
dengan mengajar cara menyelamat kepada murid-murid di samping menyertai
aktiviti sukan bola tampar dan bola sepak secara tidak langsung. Hasilnya, seawal
minggu pertama dan minggu kedua lagi saya sudah ditugaskan untuk menjadi
pengiring kepada pasukan bola sepak dan bola tampar sekolah di peringkat Zon dan
Daerah Dungun. Saya juga bersama-sama rakan praktikum diamanahkan oleh guru
untuk mengelola sesi rekreasi bersama pelajar Kem Kecemerlangan UPSR yang
bertempat di Awangs Beach Resort di Rantau Abang. Semasa mengelola aktiviti
tersebut, saya mengaplikasikan segala ilmu yang berkaitan dengan pendidikan
jasmani yang dipelajari semasa berada di IPG contohnya senamrobik dan juga cara
memanaskan badan menggunakan kaedah yang lebih kreatif dan berlainan.
Oleh yang demikian, pendedahan awal saya di Sekolah Kebangsaan Paka II,
Dungun ini

sememangnya memberikan impak yang positif kepada saya dalam

membentuk keperibadian, sahsiah dan kualiti sebagai seorang guru di masa akan
datang. Semoga guru-guru pelatih gembira dalam menjalankan tugas ini.