Anda di halaman 1dari 13

Proposal Kajian

http://ccsgkasai.blogspot.com/2010/01/proposal-kajian.html
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan mengkaji keberkesanan penggunaan peta minda berbantukan komputer ke atas
pencapaian murid dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kajian ini berbentuk kuasieksperimen yang melibatkan 70 orang murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar,
dalam Daerah Kota Setar, Kedah. Sampel kajian dipilih secara bertujuan terdiri daripada dua kumpulan
murid yang mempunyai tahap pencapaian yang hampir sama, dikelompokkan kepada kumpulan rawatan dan
kumpulan kawalan. Pengkaji terlibat secara langsung dalam kajian ini, dengan kumpulan rawatan diajar
dengan kaedah peta minda berbantukan komputer sementara kumpulan kawalan pula diajar secara
konvensional. Instrumen kajian yang digunakan ialah satu set ujian pencapaian yang mengandungi 30 soalan
objektif aneka pilihan. Kedua-dua kumpulan murid akan menduduki ujian pra dan ujian pasca..

BAB I
MASALAH KAJIAN
1.1 PENDAHULUAN
Mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan salah satu bidang ilmu yang penting
untuk membentuk sahsiah dan jati diri setiap orang murid. Melalui pengetahuan, kemahiran serta nilai-nilai
sivik yang diajar dalam mata pelajaran ini, adalah diharapkan murid-murid akan menjadi warganegara yang
sihat sahsiah dan tingkah lakunya. Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan juga diharapkan dapat
melahirkan insan yang seimbang seperti yang terangkum di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru
guru-guru yang terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah digalakkan
menggunakan kreativiti untuk memilih, menyusun dan mengolah aktiviti pengajaran dan pembelajaran
mengikut kesesuaian murid.
Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran, YB Puan Komala Devi semasa menjawab soalan YB
Chong Eng, Bukit Mertajam semasa persidangan Dewan Rakyat Kesebelas, pada 12 April 2005, muridmurid tahun 4, 5 dan 6 diwajibkan belajar mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah
untuk pembentukkan akhlak, kerana Kementerian Pelajaran berpendirian bahawa proses pembentukkan
akhlak harus dilakukan secara berterusan bermula di peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat
menengah melalui proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, aktiviti harian sekolah dan juga
kegiatan ko-kurikulum. Sehubungan itu, kemahiran penyelidikan dan pembangunan dalam mata pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan perlu diberi perhatian dan penekanan di semua peringkat. Usaha
kementerian pelajaran melalui Pusat Perkembangan Kurikulum untuk mempekenalkan semula mata
pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ini amatlah bertepatan masanya, memandangkan
berlakunya masalah keruntuhan akhlak dan moral generasi muda masa kini. Kadar jenayah yang sedang
melanda generasi muda hari ini amat membimbangkan. Oleh itu segala kelemahan yang dihadapi oleh
murid-murid semasa mempelajari Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan perlu dikaji bagi mengenalpasti
punca-punca serta mencari alternatif untuk mengatasinya.
1.2 LATAR BELAKANG MASALAH KAJIAN
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah suatu mata pelajaran teras yang telah diperkenalkan semula
pada tahun 2005, secara berperingkat-peringkat bagi tahap dua di sekolah rendah dan bermula dari tingkatan

satu hingga ke tingkatan lima bagi sekolah menengah. Kandungan sukatan pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan merangkumi aspek-aspek pengetahuan sivik, kemahiran sivik, dan nilai-nilai sivik. Tema
utama bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi sekolah rendah ialah sayangi diri,
sayangi keluarga, hidup bersama di sekolah dan masyarakat, kenali budaya Malaysia, Malaysia negaraku
dan sedia hadapi cabaran.
Berhubung dengan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara di bawah tema Malaysia negaraku, didapati
ramai murid tidak dapat menguasainya tajuk tersebut dengan baik. Di samping kebanyakan guru yang
mengajar secara kaku, iaitu hanya menggunakan kaedah tradisional yang kurang sesuai dengan tuntutan
zaman. Kaedah chalk and talk, penggunaan buku teks adalah contoh yang kerap digunapakai oleh guru-guru
di dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Sedangkan bagi murid-murid kaedah tradisional ini
tidak menarik dan membosankan. Apatah lagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
bukanlah mata pelajaran yang terlibat dengan peperiksaan. Keadaan inilah yang menyumbangkan kepada
murid-murid tidak menguasai pengetahuan, kemahiran serta nilai-nilai sivik yang akan mewatakkan mereka
sebagai generasi yang berhemah dan berakhlak mulia.
Faktor berikutnya, guru-guru dan pentadbir di sekolah-sekolah juga memandang mata pelajaran Pendidikan
Sivik dan Kewarganegaraan sebagai mata pelajaran ringan yang tidak perlu diberi penekanan. Biasanya
mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diagihkan kepada guru-guru sekadar mencukupkan
bilangan masa mengajar seminggu, supaya seimbang dengan rakan guru yang lain. Malah tidak menjadi
perkara pelik dan aneh apabila didapati semua kelas Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diajarkan oleh
guru besar atau penolong kanan. Hal demikian berlaku kerana mereka beranggapan mata pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah mata pelajaran yang mudah dan tidak merugikan muridmurid sekiranya guru besar atau penolong kanan tidak dapat masuk ke kelas disebabkan kesibukan masa
dengan tugas-tugas pentadbiran.
1.3 PERNYATAAN MASALAH
Melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, adalah diharapkan dapat membentuk
keperibadian murid yang seimbang serta dapat memberi sumbangan terhadap kesejahteraan keluarga,
masyarakat dan negara. Seterusnya, usaha ini akan dapat melahirkan generasi yang peka tentang hak dan
tanggungjawab mereka sebagai warganegara, menghargai perpaduan dan mengapresiasi kepelbagaian
budaya masyarakat Malaysia. Matlamat yang ideal ini adalah untuk melahirkan modal insan dalam
masyarakat seperti yang dicita-citakan oleh pihak kerajaan. Namun, sekiranya aspek pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah dikesampingkan oleh guru-guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan,
harapan dan matlamat tersebut tidak mungkin akan menjadi kenyataan.
Seterusnya, matlamat Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan secara umumnya ingin memberi kesedaran
kepada murid tentang peranan, hak dan tanggungjawab murid dalam masyarakat dan negara untuk
melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik serta boleh menyumbang ke
arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia. Matlamat seterusnya ialah untuk melahirkan murid yang
setia pada negara, cinta akan tanahair, prihatin dan berbangga sebagai rakyat Malaysia serta boleh
berinteraksi ke arah mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan sejahtera. Untuk memastikan matlamat
tersebut dapat dicapai, murid-murid sepatutnya terlebih dahulu perlu menguasai pengetahuan sivik,
kemahiran sivik dan nilai-nilai sivik. Bagaimanapun, melalui pemerhatian dan tinjauan yang dilakukan,
pengkaji mendapati murid-murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar, tidak dapat
menguasai pengetahuan sivik pada tahap yang sepatutnya. Hal demikian dapat dibuktikan melalui keputusan
peperiksaan pertengahan tahun yang menunjukkan hanya 64% sahaja murid lulus (6% mendapat gred A,
25% mendapat gred B dan 33% mendapat gred C) manakala 36% murid gagal dalam mata pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
Justeru, pengkaji mengambil langkah untuk melihat kembali perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran
mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di peringkat sekolah rendah khususnya di sekolah
pengkaji sendiri. Apakah terdapat kaedah yang sesuai untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran
bagi mata pelajaran tersebut secara lebih berkesan supaya murid-murid dapat belajar dengan berkesan ke

arah menguasai pengetahuan sivik. Penggunaan kaedah yang sesuai dan berkesan dalam proses pengajaran
dan pembelajaran adalah menjadi perkara yang amat penting. Oleh itu, pengkaji merasa perlu diberikan
penekanan tentang penggunaan kaedah peta minda dengan berbantukan komputer semasa mengajarkan tajuk
Berbangga Dengan Identiti Negara.
Beberapa kajian lepas mendapati bahawa penggunaan kaedah peta minda dalam pengajaran dan
pembelajaran dapat meningkatkan pencapaian murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran (Altablig bt Ali
2006, Asma binti Ishak 2005, Rusilah Jais et. al 2004, dan Sim Ah Hock et. al 1997). Pengkaji
mengharapkan penggunaan peta minda dengan berbantukan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran
bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara akan dapat meningkatkan pencapaian dalam Pendidikan
Sivik dan Kewarganegaraan. Seterusnya pengkaji juga mengharapkan kajian yang akan dijalankan ini akan
memberikan hasil yang positif, untuk memartabatkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan di kalangan murid-murid.
1.4 TUJUAN KAJIAN
Tujuan kajian ini ialah untuk mengkaji keberkesanan penggunaan peta minda yang dibantu oleh komputer
dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi
tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara yang terkandung dalam Sukatan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan tahun empat. Tajuk ini meliputi Rukunegara, Negaraku, Jalur Gemilang, Jata Negara,
Bahasa Kebangsaan dan Bunga Kebangsaan.
1.5 SOALAN KAJIAN
i. Adakah terdapat perbezaan min pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang signifikan antara
kumpulan yang menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer dan kumpulan yang belajar secara
konvensional?
ii. Adakah terdapat perbezaan min pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang signifikan
antara murid lelaki dan murid perempuan dalam kumpulan yang belajar menggunakan kaedah peta minda
berbantukan komputer?
1.6 HIPOTESIS KAJIAN
Ho1: Tidak terdapat perbezaan min pencapaian yang signifikan dalam ujian pasca di antara kumpulan yang
belajar menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer dengan min pencapaian kumpulan yang
belajar menggunakan kaedah konvensional.
Ho2: Tidak terdapat perbezaan min pencapaian yang signifikan dalam ujian pasca di antara murid lelaki dan
murid perempuan dalam kumpulan yang belajar menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer.
1.7 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian seperti ini penting kerana dapatan hasil kajian nanti dijangka dapat membantu guru membuat refleksi
tentang pengajarannya serta memperbaiki kaedah dan teknik pengajaran agar sesuai dengan tahap kesediaan
dan minat murid. Dalam proses pembelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan guru seharusnya
menggunakan kaedah pengajaran yang boleh meransang pembelajaran murid. Kaedah peta minda dengan
berbantukan komputer akan dapat mengekalkan tumpuan dan perhatian murid kepada pengajaran guru dan
seterusnya akan meningkatkan pencapaian.
Hasil kajian ini juga penting kepada murid-murid yang berpencapaian rendah dalam Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Kemungkinan faktor ini disebabkan oleh kaedah pengajaran guru secara tradisional dan
membosankan. Dengan penggunaan kaedah peta minda yang memaparkan imej, warna, frasa serta garisan
anak panah yang sesuai akan membantu murid-murid untuk menguasai kemahiran yang dipelajari dan

menghindarkan rasa bosan semasa pembelajaran. Murid-murid akan lebih mudah mengingati isi pelajaran
kerana tidak perlu membaca ayat yang panjang serta sukar difahami. Imej, warna, frasa, dan sebagainya itu
tidak terlalu abstrak berbanding dengan syarahan guru. Tony Buzan (2006) berpendapat, secara nyata peta
minda merupakan penggunaan grafik. Kata kunci dalam peta minda selalunya dihasilkan dalam bentuk
gambaran atau pola kerana otak manusia lebih mudah menerima ransangan yang berbentuk pola.
Selanjutnya kajian ini juga dapat meransang guru-guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan untuk lebih
bersedia, kreatif dan sentiasa peka dengan tugas mendidik di dalam bilik darjah. Penggunaan peta minda
dengan berbantukan komputer menuntut seseorang guru itu membuat persediaan yang rapi sebelum
memulakan pengajaran. Guru-guru juga akan lebih kreatif untuk menghasilkan peta minda yang menarik,
padat dan mudah untuk difahami oleh murid-murid.
Selain itu, hasil kajian ini juga mungkin mempunyai kepentingan kepada pihak pentadbiran sekolah, yakni
guru besar yang ingin tahu kaedah yang sesuai untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran,
terutamanya mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kaedah peta minda dengan
berbantukan komputer dapat dilaksanakan oleh guru-guru kerana kebanyakan guru-guru telah menguasai
kemahiran asas menggunakan komputer.
1.8 BATASAN KAJIAN
Kajian ini melibatkan 70 orang murid daripada dua buah kelas tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan
Datuk Kumbar, Kedah. Sampel dipilih secara bertujuan untuk maksud kajian. Oleh itu, dapatan kajian ini
tidak boleh digeneralisasikan mana-mana kumpulan lain.
Kajian ini hanya melibatkan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara yang terkandung dalam Sukatan
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun empat. Tajuk ini meliputi Rukunegara, Negaraku, Jalur
Gemilang, Jata Negara, Bahasa Kebangsaan dan Bunga Kebangsaan. Tajuk ini akan diajarkan dalam masa
empat minggu sahaja.
Semasa kajian dijalankan, pengkaji sendiri yang akan mengajar kedua-dua kumpulan rawatan dan kumpulan
kawalan. Langkah ini mungkin akan memberi kesan ke atas keputusan kajian.
1.9 DEFINISI ISTILAH
1.9.1 Ujian pra ialah ujian pencapaian yang diduduki oleh semua sampel bagi kumpulan rawatan dan
kumpulan kawalan sebelum kajian dijalankan
1.9.2 Ujian pasca ialah ujian pencapaian yang diduduki oleh semua sampel bagi kumpulan rawatan dan
kumpulan kawalan diakhir kajian dijalankan
1.9.3 Ujian rintis ialah satu ujian yang diberikan kepada kumpulan murid yang tidak terlibat dalam kajian
untuk menguji kesahan dan kebolehpercayaannya.
1.9.4 Kumpulan rawatan ialah kumpulan murid yang diajarkan dengan menggunakan kaedah peta minda
1.9.5 Kumpulan kawalan ialah kumpulan murid yang diajar dengan kaedah konvensional
1.9.6 Peta minda merupakan satu pembinaan yang dibuat di atas sehelai kertas, idea penting diletakkan di
tengah-tengah pusat utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan
menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah geometri, warna dan sebagainya. Dalam kajian ini, peta minda
yang digunakan dipaparkan melalui skrin, berbantukan komputer dan Liquid Crystal Display (LCD).
1.9.7 Berbantukan komputer ialah penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai alat
(tool) untuk membantu pelajar mempelajari sesuatu topik, idea atau kemahiran.

1.10 RUMUSAN
Bab ini menghuraikan tentang masalah kajian, tujuan dan persoalan kajian yang hendak dijawab,
kepentingan kajian, batasan kajian serta beberapa definisi istilah yang menjadi komponen penting dalam
setiap kajian. Pengkaji ingin membuat kajian mengenai keberkesanan penggunaan peta minda berbantukan
komputer dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun empat bagi
tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara.
BAB II
TINJAUAN LITERATUR
2.1 PENDAHULUAN
Tujuan kajian ini dijalankan antara lain adalah untuk menggunakan satu kaedah yang sesuai serta boleh
membantu murid meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
Pengkaji menggunakan kaedah peta minda dengan berbantukan komputer untuk mengajarkan tajuk
Berbangga Dengan Identiti Negara yang terdapat dalam sukatan pelajaran tahun empat. Dalam bab ini
juga pengkaji mengutarakan literatur-literatur berkaitan mengenai peta minda, teori-teori yang berkaitan
serta beberapa kajian berkaitan yang telah dijalankan mengenai peta minda dan pembelajaran berbantukan
komputer.
2.2 LITERATUR BERKAITAN PETA MINDA
Peta minda telah diperkenalkan oleh Tony Buzan pada tahun 1960an sebagai kaedah yang boleh membantu
pelajar, mencatat nota dengan ringkas dan berkesan. Menurut Subadrah (2001), penggunaan peta minda
semakin penting sebagai satu kemahiran mengorganisasi maklumat dan menghuraikan konsep atau objektif
secara teratur. Shahabudin Hashim, Mahani Razali dan Ramlah Jantan (2007) menyatakan, peta minda
membolehkan kita merangka, mencatat nota, merekodkan maklumat atau peristiwa, merancang aktiviti atau
membuat sesuatu persembahan. Peta minda yang dibentuk biasanya pelbagai dan bergantung kepada
kreativiti seseorang.
Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semua maklumat daripada ingatan untuk
ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat. Menurut Poh Swee Hiang (2006), peta minda dibentuk
berdasarkan bagaimana otak manusia merakam dan memproses maklumat secara linear dan dalam masa
yang sama membuat pengelolaan yang menyeluruh seperti menghubungkait, membanding, menganlisa dan
sebagainya. Peta minda adalah kebiasaannya dibina di atas sehelai kertas. Idea penting atau idea utama
diletakkan di tengah-tengah pusat utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama
dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah geometri, imej, underlining, anak panah, warna dan
sebagainya. Peta minda juga boleh menjimatkan masa dalam mempelajari sesuatu mata pelajaran. Dalam
proses pembelajaran, seseorang murid itu perlulah menyusun strategi agar segala isi pelajaran dapat diproses
oleh otak dengan lebih mudah. Menurut Dilip Mukerjea (1996), melalui peta minda seseorang itu dapat ....
learn more, remember more, use less paper, invest less effort ... yang membawa maksud penggunaan peta
minda dapat memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak, mempertingkatkan daya ingatan tanpa
merugikan terlalu banyak kertas serta tenaga.
Semasa membina peta minda, maklumat penting yang disusun dan dikelolakan dengan cara keseluruhan.
Susunan sedemikian dapat menghasilkan struktur pola yang kreatif selaras dengan cara otak seseorang
memproses maklumat. Penggunaan peta minda lebih mudah untuk dirakamkan dalam ingatan jangka
panjang. Poh Swee Hiang (2006) berpendapat, peta minda membantu anda mencatat nota dengan pantas dan

mengelakkan pengulangan perkataan. Nota tersebut wujud sebagai satu gambaram mental yang lengkap,
bermakna dan senang diingati.
Penggunaan peta minda dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan boleh membantu mencapai beberapa
matlamat. Menurut Ab Fatah Hassan (1994), antaranya mengorganisasi maklumat, membantu kepada
pengekalan ingatan, membuat perkaitan antara pengetahuan yang baru dengan pengetahuan sedia ada,
membantu kepada pengekalan konsep baru, memperjelas dan mengvisualisasikan struktur kognitif pelajar
dan menggalakkan kreativiti. Faktor tersebut juga boleh menarik minat murid terhadap proses pengajaran
dan pembelajaran guru.
Keberkesanan peta minda ini telah diakui oleh pelajar cemerlang SPM 2006, Nadia Rohani Malik PanterBrick, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq, Besut, Terengganu. Beliau mendapat
pangkat 1A dalam kesemua 14 mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan tersebut. Pejabat Pendidikan
Daerah Besut (23 Mac 2007) melaporkan, Nadia yang bercita-cita menjadi seorang doktor pakar
menggunakan kaedah peta minda Tony Buzan bagi memudahkannya mengulangkaji dan menghafal
pelajaran.
Sasterawan terkenal tanahair, A. Samad Said telah mengadakan pameran Daerah Samad 100 lakaran oleh
A. Samad Said di Galeri Petronas, Suria KLCC. Menurut Johanna A. Sobrey (25 Jun 2007), manuskripmanuskrip itu hasil tulisan tangan Pak Samad sendiri berperanan sebagai peta minda yang mengungkapkan
secara intim, telus dan langsung sejarah pembentukkan karya-karya sasteranya dari mula sampai tamat.
Selanjutnya dijelaskan, disebalik tompokan dan garisan-garisan halus mahupun cakaran liar, turut tersisip
kata-kata puitis dan mesej mendalam yang meneropong kehidupan, keadaan serta perkara yang berlaku di
persekitaran dan pelbagai perkara yang bermain di minda Pak Samad. Ini menunjukkan kelebihan
penggunaan peta minda dalam membuat catatan idea sebelum dikembangkan dalam bentuk penulisan
naratif.
2.3 PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER
Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah amatlah digalakkan, kerana
penggunaan komputer dapat menarik minat murid-murid untuk mengikuti pembelajaran dengan lebih
sistematik. Menurut Nor Hayati (2002), salah satu kaedah yang sesuai digunakan untuk menarik minat
murid-murid ialah pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer, iaitu satu pengajaran yang dibantu
oleh komputer dengan melibatkan perisian-perisian yang sesuai samada dicipta sendiri atau telah dicipta
oleh orang lain untuk tajuk-tajuk tertentu. Ahmad Nizar (1997) pula berpendapat, pengajaran dan
pembelajaran berbantukan komputer ialah satu situasi pembelajaran di mana murid-murid dapat berinteraksi
dan dibimbing oleh komputer melalui satu program pembelajaran terancang yang bertujuan untuk mencapai
matlamat pembelajaran.
Menurut Kanagambal (1977), pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ialah satu situasi di mana
komputer digunakan untuk mengajar dan mengasah sesuatu kemahiran. Selain itu beliau menyatakan
bahawa melalui pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer, adalah usaha untuk menyampaikan
maklumat, membimbing, melatih dan menilai prestasi murid-murid. Pengajaran dan pembelajaran
berbantukan komputer juga dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang menarik dan lebih efektif
kerana pelajaran dapat disampaikan dengan cara yang lebih menghiburkan. Menurut Kanagambal lagi,
antara matlamat yang dicapai oleh pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ialah
mempelajari sesuatu dengan lebih cepat, lebih mudah serta lebih banyak mengingati kembali bahan yang
dipelajari, merperoleh sikap positif terhadap alat komputer, dapat berinteraksi dengan komputer dengan
lebih aktif dan fleksibel dalam pembelajaran, iaitu pelajar menentukan cara menggunakan bahan pengajaran
dan pembelajaran berbantukan komputer.
Seterusnya, menurut Mohamad Hasan (1998), penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah mempunyai banyak kelebihan. Antaranya ialah (i) komputer mampu
mendorong pembelajaran dilaksanakan secara interaktif dan secara tidak langsung akan menimbulkan
suasana seronok belajar, (b) kecanggihan bahan grafik pada program komputer boleh menambahkan lagi

daya kreativiti pelajar dan memperbaiki kemahiran penulisan murid, (c) terdapat beberapa program
komputer yang mencabar, yang mendorong kepada kemahiran berfikir di kalangan murid, (d) guru-guru
dapat berperanan sebagai fasilitator dan mampu membantu murid sepenuhnya dari segi isi pelajaran, (e)
pelajar boleh mengikuti pelajaran pada bila-bila masa dan merasa kurang tertekan, dan (f) komputer dapat
membekalkan maklumat terkini, mengambil semua maklumat, menyalin maklumat, menyimpan maklumat
dan memaparkan maklumat untuk perbincangan atau persembahan.
Mengenai konsep pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer pula, Zoraini Wati Abas (1992)
berpendapat, langkah pertama penggunaan komputer di dalam kurikulum sekolah menjurus kepada
pembelajaran berbantukan komputer yang boleh dianggap sebagai alat (tool) untuk membantu pelajar
mempelajari sesuatu topik, idea atau kemahiran. Komputer yang digunakan di sekolah boleh diaplikasikan
melalui pelbagai cara untuk menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran guru. Perhatian yang diberikan
semasa proses pembelajaran sangat penting, kerana melalui perhatian tersebut akan menatijahkan sesuatu
yang diharapkan.
2.4 TEORI-TEORI BERKAITAN
Selain daripada bukti-bukti kejayaan penggunaan peta minda dan kelebihan-kelebihan pengajaran dan
pembelajaran berbantukan komputer, terdapat juga beberapa teori serta pandangan yang sesuai atau yang
menyokong penggunaan peta minda dapat memberi manfaat kepada proses pembelajaran. Antaranya Teori
Pembelajaran Gestalt /Kognitif, Teori Ausubel, dan Teori Pelbagai Kecerdasan (Gardner). Ahli-ahli
psikologi gestalt atau kognitif berpendapat, dalam proses pembelajaran, pelajar membentuk struktur kognitif
dalam ingatannya. Ragbir Kaur (2006) menyatakan, setiap kali seseorang individu itu belajar, dia akan
menyusun segala pengalaman yang dipelajari dan menyimpannya di dalam ingatan. Penggunaan peta minda
adalah selari dengan pendapat mazhab gestalt yang berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai
keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan menggunakan semula segala pengalaman
yang tersimpan untuk membolehkan dia menghubungkaitkan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan
masalah dihadapi.
David Ausubel seorang ahli psikologi kognitif yang menekankan penguasaan maklumat melalui penggunaan
bahasa yang bermakna. Menurut Ragbir Kaur (2006), maklumat yang dipelajari secara bermakna dapat
diingat dengan lebih lama berbanding dengan apa yang dipelajari secara hafazan. Dr Ismail Zain (13 Jun
2005) Utusan Malaysia, telah menyatakan pembelajaran secara hafalan tidak dapat membentuk insan yang
kritis dan kreatif, malah tidak sesuai dengan zaman yang serba maju ini. Selanjutnya beliau berpendapat
penggunaan peta minda dan pengurusan grafik adalah sesuai ke arah memudahkan otak membuat analisis
untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna.
Gardner yang terkenal dengan teori kecerdasan pelbagai menyatakan bahawa kecerdasan adalah kebolehan
seseorang untuk menyelesaikan masalah. Menurut Ramlan Hamzah dan Lily Mastura Harun (2006) dalam
penyelesaian masalah terdapat pelbagai cara bukan hanya tertumpu kepada satu cara tertentu sahaja dan
Gardner telah mengenalpasti sembilan jenis kecerdasan yang ada dalam diri individu. Dalam proses
pembelajaran menggunakan peta minda adalah amat sesuai terutamanya bagi murid-murid yang mempunyai
kecerdasan visual dan ruang, kecerdasan bahasa dan kecerdasan interpersonal. Dalam sesuatu kumpulan
pembelajaran yang dibentuk mungkin terdapat ahli kumpulan yang berbeza kecerdasan. Perbezaan tersebut
dapat membantu murid-murid untuk menghasilkan peta minda yang kreatif dan asli.
2.5 KAJIAN BERKAITAN
Kajian-kajian berkaitan dengan penggunaan peta minda telah banyak dijalankan oleh pengkaji-pengkaji di
kalangan pendidik sendiri. Antaranya ialah Altablig bt Ali (2006), Asma binti Ishak (2005), Rusilah Jais et.
al (2004), dan Sim Ah Hock et.al (1997). Begitu juga terdapat kajian yang berkaitan dengan pembelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan berbantukan komputer oleh Kam Foo Kong (2006).
Altablig bt Ali (2006) telah menjalankan kajian tentang penggunaan peta minda dalam mengingati konsep

atau fakta sejarah ke atas 35 orang pelajar tingkatan 4 di Sekolah Menengah Pekan Baru, Parit Buntar. Hasil
dapatan kajian tersebut menunjukkan pelajar yang berpencapaian sederhana telah meningkat sebanyak 60%
manakala pelajar yang lemah hanya 6% sahaja. Beliau merumuskan bahawa penggunaan peta minda dapat
membantu pelajar-pelajar sederhana mengingat fakta sejarah bagi mendapat markah terutamanya dalam
soalan struktur Kertas 2.
Asma binti Ishak (2005), telah menjalankan kajian ke atas 30 orang murid tahun 4 Arif di Sekolah
Kebangsaan Jelempok. Kajian beliau, penggunaan peta minda dapat meningkatkan kemahiran mencatat
nota. Dapatan kajian beliau menunjukkan berlaku peningkatan kumpulan pencapaian tinggi dalam ujian
pasca menjadi 40% berbanding ujian pra 7%. Bagi kumpulan pencapaian rendah pula menurun kepada 3%
dalam ujian pasca berbanding 40% dalam ujian pra. Sehubungan itu beliau berpandangan bahawa
penggunaan peta minda dalam mencatat nota adalah berjaya.
Seterusnya Rusilah Jais et. al (2004) juga telah menjalankan kajian tentang penggunaan peta minda bagi
mata pelajaran matematik di kalangan pelajar perakaunan. Kajian tersebut melibatkan seramai 158
responden di kalangan pelajar-pelajar matrikulasi. Hasil dapatan kajian tersebut menunjukkan berlakunya
peningkatan pelajar yang mendapat gred A sebanyak 26.6% dalam ujian pasca berbanding 7% dalam ujian
pra. Pelajar yang mendapat gred B juga meningkat daripada 7.6% dalam ujian pra kepada 12% dalam ujian
pasca. Bagi gred C menunjukkan penurunan peratus dalam ujian pasca iaitu 3.2% berbanding 10.1% dalam
ujian pra. Rusilah Jais et. al (2004) merumuskan bahawa penggunaan peta minda dalam mata pelajaran
matematik adalah berkesan.
Sim Ah Hock et.al (1997), telah menjalankan kajian tentang kesan strategi pemetaan konsep terhadap
pemprosesan maklumat Sains dengan berbantukan komputer ke atas 141 orang pelajar semester 3 di lima
buah maktab perguruan. Dapatan kajian tersebut dirumuskan bahawa, terdapat perbezaan min dalam ketigatiga pemboleh ubah bersandar antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan adalah signifikan,
dengan kumpulan eksperimen memperolehi skor yang lebih tinggi daripada kumpulan kawalan. Oleh itu
dapatan kajian menyokong pengintegrasian strategi pemetaan konsep untuk memproses maklumat dengan
pembelajaran berbantukan komputer.
Kam Foo Kong (2006), menjalankan kajian ke atas 42 orang pelajar tingkatan 1L di Sekolah Menengah
Kebangsaan Seri Keledang. Kajian beliau tentang meningkatkan minat pelajar kepada mata pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan melalui kaedah pembelajaran berbantukan komputer. Hasil dapatan
kajian beliau menunjukkan pelajar yang memperolehi skor 40% ke atas (lulus) dalam ujian pasca meningkat
kepada 86% berbanding 47.6% dalam ujian pra. Pelajar yang memperolehi skor 40% ke bawah (gagal) pula
menurun kepada 14% dalam ujian pasca berbanding 52.4% dalam ujian pra. Dengan demikian Kam Foo
Kong merumuskan bahawa kaedah pengajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan menggunakan
komputer telah menunjukkan peningkatan pencapaian yang ketara.
2.6 RUMUSAN
Berdasarkan literatur berkaitan dan kajian-kajian yang berkaitan telah menunjukkan bahawa kaedah
penggunaan peta minda serta peta minda dengan berbantukan komputer dalam sesuatu pengajaran dan
pembelajaran akan memberikan kesan yang positif terhadap pencapaian murid-murid. Peta minda yang
digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran juga seiring dan sesuai dengan pandangan dan teori-teori
pembelajaran seperti Teori Gestalt / Kognitif , Teori Ausubel dan Teori Kecerdasan Gardner.

BAB III
KAEDAH KAJIAN

3.1 PENDAHULUAN
Kajian ini adalah mengenai kaedah penggunaan peta minda dengan berbantukan komputer dalam mata
pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Dalam
bab ini, pengkaji menyatakan kaedah kajian yang akan digunakan dalam kajian ini. Kaedah kajian yang akan
digunakan dalam kajian ini pula akan menerangkan reka bentuk kajian, populasi dan sampel, alat kajian
yang digunakan, tatacara pengumpulan data dan seterusnya tatacara penganalisaan data.
3.2 REKA BENTUK KAJIAN
Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi eksperimen yang melibatkan dua kumpulan kelas tahun empat,
iaitu kumpulan pertama yang disebut sebagai kumpulan rawatan, dan kumpulan kedua disebut sebagai
kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan akan diberi ujian pra sebelum
kajian dijalankan, manakala ujian pasca pula akan diberikan diakhir kajian dijalankan. Jangka masa kajian
ini dicadangkan selama empat minggu dan pengkaji akan menjalankan pengajaran bagi kedua-dua
kumpulan, agar dapat mengurangkan ralat dalam kajian ini.
Untuk menjalankan kajian kuasi eksperimen ini, pengkaji memilih dua buah kelas yang telah sedia ada, di
mana kumpulan rawatan menerima pembelajaran dengan menggunakan kaedah peta minda untuk
mempelajari tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara sementara kumpulan kawalan akan menerima
pembelajaran tajuk yang sama dengan menggunakan kaedah konvensional. Menurut Azizi Yahaya et.al
(2007), kumpulan rawatan biasanya menerima atau mengalami satu layanan baru yang sedang dalam kajian,
sementara kumpulan kawalan menerima layanan yang berbeza ataupun dikekalkan dalam bentuk biasa.
Kedua-dua kumpulan tersebut akan diberi ujian pra dan ujian pasca sebelum dan selepas kajian dijalankan.
Walaupun pemilihan sampel tidak dilakukan secara rawak, pengkaji akan mengenalpasti bahawa sampel
bagi kedua-dua kumpulan tersebut mempunyai kebolehan pencapaian yang hampir sama berdasarkan
peperiksaan pertengahan tahun bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
Tujuan reka bentuk kuasi eksperimen ini dipilih ialah untuk mengenalpasti perbezaan pencapaian
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan untuk tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara bagi kedua-dua
kumpulan, iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Di dalam reka bentuk kuasi eksperimen ini
terdapat dua pemboleh ubah yang dikaji, iaitu pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah tak bersandar
(bebas). Di dalam kajian ini pemboleh ubah bersandar ialah pencapaian Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan untuk tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara yang diperolehi melalui ujian pra dan
ujian pasca, manakala pemboleh ubah tak bersandar ialah kaedah pengajaran dengan menggunakan peta
minda dengan berbantukan komputer dan kaedah konvensional. Menurut Azizi Yahaya et. al (2007), satu
bahagian daripada persekitaran yang dimanipulasikan adalah pemboleh ubah tak bersandar, manakala kesan
tingkah laku manipulasi adalah pemboleh ubah bersandar, iaitu apa yang diukur.
Selain pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah tidak bersandar, terdapat pemboleh ubah-pemboleh
ubah luaran atau pemboleh ubah ekstranus yang mungkin mengganggu keputusan kajian, seperti kaedah
pemilihan sampel, interaksi antara kumpulan, jangka masa kajian dan penyediaan soalan. Bagi mengawal
pemboleh ubah-pemboleh ubah ekstranus tersebut, beberapa langkah wajar diberi perhatian. Antaranya,
pemilihan sampel yang terdiri daripada dua kumpulan pelajar mestilah berada pada tahap pencapaian
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang hampir sama. Selain itu, min ujian pra untuk kedua-dua
kumpulan akan dianalisis melalui ujian-t untuk melihat bahawa tiada wujud perbezaan yang signifikan dari
segi kebolehan atau pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan sebelum kajian dijalankan. Ujian
keseragaman varians juga akan dijalankan bagi menentukan kehomogenan kumpulan.
3.3 POPULASI DAN SAMPEL KAJIAN
Populasi dalam kajian ini ialah semua murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar.
Semua murid telah mengikuti mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan berdasarkan Huraian

Sukatan Pelajaran yang telah disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran
Malaysia. Dua buah kelas telah dipilih daripada empat buah kelas tahun empat secara bertujuan bagi maksud
kajian ini sebagai sampel. Sampel terdiri daripada 70 orang pelajar yang hampir sama pencapaian. Mereka
ini dikelompokkan kepada dua kumpulan, 35 orang dikelompokkan ke dalam kumpulan rawatan, manakala
35 orang lagi dikelompokkan ke dalam kumpulan kawalan.
3.4 ALAT KAJIAN
Alat kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah satu set ujian pencapaian ( ujian pra dan ujian pasca).
Ujian pencapaian ini terdiri daripada 30 soalan objektif aneka pilihan dengan tiga pilihan jawapan (A, B dan
C), yang berkaitan dengan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Semua item ujian pencapaian ini
telah dibina sendiri oleh pengkaji berdasarkan Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
(2003), Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 4, (2004) dan Buku Teks
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, KBSR Tahun 4, (2004).
Bagi menentukan kesahan kandungan, pengkaji telah membina item-item dalam alat kajian ini berdasarkan
jadual penentu ujian (JPU) mengikut aras Taksanomi Bloom. Bagi meningkatkan lagi kesahan
kandungannya pengkaji juga telah merujuk kepada beberapa orang guru yang berpengalaman dalam
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi mendapatkan
pandangan dan komen mereka. Berdasarkan ulasan guru-guru pakar tersebut pengkaji telah membaiki dan
menggantikan beberapa item yang kurang sesuai.
Pengkaji telah menjalankan ujian rintis ke atas ujian pencapaian menggunakan kaedah uji-ulang-uji untuk
mendapatkan pekali kebolehpercayaan alat kajian. Dua ujian yang sama ditadbirkan ke atas 34 orang pelajar
yang tidak terlibat dalam kajian ini dalam jarak masa tiga minggu bagi melihat ketekalan alat kajian.
Menurut Mohd Majid Konting (2004), markat-markat yang didapati daripada pengukuran pertama dan
pengukuran kedua dikorelasikan. Pekali korelasi yang terhasil merupakan indeks kebolehpercayaan,
sekiranya pekali korelasi positif dan teguh maka indeks kebolehpercayaan bagi alat ukur tersebut adalah
tinggi.
Berdasarkan data skor ujian kali pertama dan skor ujian kali kedua, analisis korelasi Pearson telah dijalankan
ke atas skor-skor tersebut. Keputusan analisis korelasi Pearson menunjukkan nilai pekali korelasi, r = 0.861
(p < 0.05). Ini menunjukkan bahawa skor ujian pertama dan skor ujian kedua mempunyai korelasi yang
tinggi dan signifikan. Oleh itu, alat kajian yang dibina untuk mengukur pencapaian murid dalam ujian pra
dan ujian pasca mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi dan sesuai digunakan.
3.5 TATACARA PENGUMPULAN DATA KAJIAN
Kajian akan dijalankan di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar melibatkan 70 sampel yang
dibahagikan kepada kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan dikehendaki
menduduki ujian pra. Pengkaji menguruskan sendiri ujian pra tersebut dan pengkaji menyemak skor yang
diperolehi oleh sampel bagi kedua-dua kumpulan. Pengkaji melibatkan diri secara terus dengan mengajar
kedua-dua kumpulan tersebut. Kumpulan kawalan diajar menggunakan kaedah konvensional sementara
kumpulan rawatan menggunakan kaedah peta minda dengan berbantukan komputer. Kedua-dua kaedah
pengajaran ini akan dijalankan dalam masa empat minggu. Pada hari terakhir kajian, semua pelajar dalam
kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan akan menduduki ujian pasca, dengan menggunakan set soalan
yang sama dengan ujian pra. Seterusnya skor ujian pasca akan dikumpulkan untuk dianalisis oleh pengkaji.
3.6 TATACARA PENGANALISAAN DATA KAJIAN
Keputusan ujian pra dan ujian pasca yang telah dikumpulkan akan dianalisis dengan menggunakan sistem
perisian Statistical Packages for Social Science, SPSS Windows Release 14.0. Untuk menjawab persoalan
kajian, pengkaji menggunakan ujian-t dan ujian-F. Ujian-t digunakan untuk melihat perbezaan min

pencapaian, manakala ujian-F digunakan untuk melihat keseragaman varians kumpulan.


3.7 RUMUSAN
Kajian ini adalah kajian berbentuk kuasi eksperimen yang melibatkan dua kumpulan sampel, iaitu kumpulan
rawatan dan kumpulan kawalan. Sampel kajian terdiri daripada 70 orang pelajar tahun empat di Sekolah
Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar. Kedua-dua kumpulan tersebut akan menduduki ujian pra sebelum kajian
dijalankan dan ujian pasca diakhir kajian dijalankan. Data-data dari kedua-dua ujian tersebut dikumpulkan
dan dianalisiskan dengan menggunakan ujian-t dan ujian-F. Hasil daripada penganalisaan statistik ke atas
data yang diperolehi akan memberikan pengkaji keputusan samada proses pengajaran dan pembelajaran
menggunakan peta minda dengan berbantukan komputer bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara
dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun empat berkesan atau tidak bagi
meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan para pelajar.
RUJUKAN
Ab. Fatah Hassan. 1994. Penggunaan minda yang optimum dalam pembelajaran.
Kuala Lumpur : Universiti Teknologi Malaysia.
Ahmad Nizar. 1997. Sejauhmanakah keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran berbantukan
komputer bagi mata pelajaran dalam operasi asas matematik murid-murid
tahun 5 Sek. Keb. Jabi dari aspek minat dan pencapaian. Kertas Projek KSPK Institut
Perguruan Darulaman.
Aminuddin Mansor (10 Mac 2006). Daya ingatan penting Semasa Belajar.
[atas talian] http://www.islam.gov.my/e-rujukan [31 Mei 2007]
Altablig Ali. 2006. Penggunaan peta minda dalam meningkatkan konsep atau fakta sejarahBab 1 Tingkatan 4. Prosiding Seminar Penyelidikan Pendidikan. Jabatan Pendidikan
Perak. hlm, 87 99.
Asma Ishak. 2005. Meningkatkan kemahiran mencatat isi-isi penting di kalangan murid
tahun 4 dengan menggunakan peta minda. Jurnal Kajian Tindakan Guru. Institut
Perguruan Perlis : 133-145.
Azizi Yahaya et. al. 2007. Menguasai penyelidikan dalam pendidikan teori, analisis &
interpretasi data. Kuala Lumpur : PTS Professional.
Dilip Mukerjea. 1996. Superbrain Train Your Brain and Unleash The Genius Within.
Singapore : Oxford University Press.
Ismail Zain, Dr. (tiada tarikh). Kepentingan Penggunaan Peta Minda. [atas talian]
http://www.tutor.com.my [31 Mei 2007].
Ismail Zain, Dr. (13 Jun 2005). Belajar Berkesan dengan Peta Minda. Utusan Malaysia.
(Kuala Lumpur)
Johanna A. Sobrey. (25 Jun 2007). Peta Minda Pak Samad. Kosmo. (Kuala Lumpur):
18-19.
Kam Foo Kong. 2006. Meningkatkan minat pelajar-pelajar tingkatan 1L kepada pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan melalui kaedah pembelajaran berbantukan
komputer. Prosiding Seminar Penyelidikan Pendidikan. Jabatan Pendidikan Perak :
hlm,110 125.

Kanagambal. 1997. Keberkesanan PPBK dalam matematik. Kertas projek KSPK Institut
Perguruan Darulaman.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2005. Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan Tahun 4. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2004. Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 4
Sekolah Kebangsaan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2003. Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan Tahun 4. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.
Laporan Persidangan Dewan Rakyat. (12 April 2005). [atas talian]
http://www.parlimen.gov.my [07 Julai 2007]
Mohd Majid Konting. 2004. Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Nor Hayati Hj Mt Ali. 2002. Pengajaran dan pembelajaran matematik berbantukan
komputer: Keberkesanan perisian The Geometers Sketchpad untuk tajuk
penjelmaan. Tesis Sarjana Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pelajar Terbaik SPM 2007 (23 Mac 2007). [atas talian]
http://ppdbesut.net/nuke/modules.php?name=News&file=article&sid=4 [15 Julai
2007]
Poh Swee Hiang. 2006. Kemahiran Berfikir - Kurikulum Kursus Persediaan Program
Sarjana Muda Pendidikan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Ragbir Kaur a/p Joginder Singh. 2006. Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan untuk Kursus
Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI)-Sekolah Rendah dan Menengah. Kuala Lumpur :
Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Ramlan Hamzah & Lily Mastura Harun. 2006. Panduan Ulangkaji Psikologi Pendidikan.
Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Rusilah Jais et.al. 2004. Penggunaan peta minda bagi mata pelajaran matematik di kalangan
pelajar perakuanan. [atas talian]. http://www.kmph.edu.my/WebRnD/ [11 Julai 2007]
Shahbudin Hashim, Mahani Razali & Ramlah Jantan. 2007. Psikologi Pendidikan.
Kuala Lumpur : PTS Professional.
Sim Ah Hock, Dr. et. al. 1997. Kesan strategi pemetaan konsep terhadap pemprosesan
maklumat sains dalam tutorial pembelajaran berbantukan komputer. Jurnal Penyelidikan Pendidikan 1997.
Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim. hlm, 124 141.
Subadrah Madhawa Nair. 2001. Penggunaan peta minda sebagai satu strategi dalam
pengajaran kesusasteraan melayu. Prosiding Seminar Pendidikan Kebangsaan. Fakulti
Pendidikan UKM.
Tony Buzan. 2006. Mind Mapping - Kick-Start Your Creativity and Tranform Your Life.
England : BBC Active

Zoraini Wati Abas. 1992. Komputer dalam pendidikan. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.

Anda mungkin juga menyukai