Anda di halaman 1dari 7

Contoh Karangan Ceramah

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan Zaitun binti
Ibrahim, Pengetua SMK Jalan Reko, guru-guru dan hadirin yang dihormati
sekalian. Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah ceramah
yang bertajuk Kepentingan Amalan Nilai-nilai Murni. Sebagai permulaan
bicara, ingin saya jelaskan definisi perihal kepentingan. Merujuk Kamus
Dewan Edisi Keempat, kepentingan bermaksud, suatu perkara yang penting
demi kebaikan. nilai bermaksud sifat ketinggian. Manakala murni
bermaksud tidak mengandungi unsur-unsur asing yang mencemarkan. Frasa
Amalan pula membawa maksud, suatu yang dilakukan sebagai kebiasaan.
Pendek kata, Kepentingan Amalan Nilai-nilai Murni ialah suatu kebiasaan
yang dilakukan tidak mempunyai unsur-unsur asing yang mencemarkan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Kepentingan amalan nilai-nilai murni boleh menjadikan kita
sebagai insan yang dipandang tinggi dalam kalangan masyarakat.
Hal ini dikatakan demikian kerana nilai-nilai murni yang diamalkan
mewujudkan suasana baik. Sebagai contohnya, nilai bantu membantu
sesama insan yang memerlukan. Secara tidak langsung, kita akan dihormati
dan disegani dengan perlakuan yang baik. Bak kata peribahasa, buat baik
dibalas baik.
Selain itu, kita akan disayangi dalam keluarga. Hal ini dikatakan
demikian kerana sebagai anak, kita mestilah ringan tulang untuk membantu
ibu dan bapa dalam urusan seharian. Contohnya, pada waktu cuti hujung
minggu. Kita boleh membantu ibu di dapur dan membantu ayah membasuh
kenderaan. Dengan cara ini, kita akan disayangi dan dihargai dalam
keluarga.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Bukan itu sahaja, kita juga akan mudah untuk mendapat ramai
kawan. Hal ini dikatakan demikian kerana perlakuan kita disenangi oleh
semua orang yang berada di sekeliling kita. Sebagai contoh, kita sering
bertukar-tukar pendapat ketika belajar secara berkumpulan dan selalu
membantu rakan-rakan yang berada dalam kesusahan. Keadaan ini akan
menjadikan kita mudah untuk didekati sekali gus dihargai oleh rakan-rakan.
Kesimpulannya, nilai-nilai murni sememangnya elok untuk diamalkan
dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, marilah kita menyeru
semua lapisan masyarakat untuk mengamalkan nilai-nilai murni. Amalan
nilai-nilai murni mampu menaikkan martabat bangsa dan negara. Sekian,
terima kasih.

Andaikan bahawa anda pegawai kaunseling dari Jabatan Pelajaran.Anda telah


diundang untuk menyampaikan ceramah di sebuah sekolah.Ceramah tersebut
bertajuk Gejala Vandalisme di Sekolah.Tulis teks ceramah anda selengkapnya.
Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis,Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah
Menengah Kebangsaan Seri Murni,Puan Hajah Saleha Tumin,guru-guru,para pelajar
dan hadirin sekalian.Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana
diberi peluang menyampaikan ceramah yang bertajuk,Gejala Vandalisme di
Sekolah.
Hadirin yang dihormati,
Vandalisme dapat dikelaskan kepada tiga bahagian iaitu perlakuan,dendam
dan conteng.Biasanya,mereka yang terlibat dalam gejala ini ialah remaja yang
berusia sekitar 15 tahun hingga 21 tahun.Antara tempat yang sering menjadi
tumpuan termasuklah telefon awam,papan tanda,dinding tandas,peralatan sekolah
dan sebagainya.
Pelbagai faktor yang mempengaruhi gejala vandalisme ini.Antara punca
utama termasuklah pengaruh rakan sebaya.Golongan remaja amat mudah
terpengaruh oleh persekitarannya.Desakan rakan sebaya dan sikap tidak mahu
ketinggalan dalam kumpulan mendorong situasi ini berlaku.Keadaan ini secara tidak
langsung dapat mencorakkan sikap,nilai,serta tingkah laku mereka.
Ibu bapa dapat menjadi penyebab kepada masalah ini juga.Remaja yang
terjebak lazimnya lahir daripada keluarga yang bermasalah.Ibu bapa yang terlalu
sibuk bekerja hingga mengabaikan keperluan dan kasih sayang akan menyebabkan
anak-anak berasa tersisih.Sikap ambil mudah dan kurangnya pemantauan daripada
ibu bapa dapat menyebabkan anak-anak akan melakukan perkara di luar kawalan.
Selain itu,ibu bapa tidak harus memandang remeh aspek pembentukan
akhlak menerusi nilai-nilai agama juga.Didikan agama dan amalan ajaran
agama amat penting untuk membentuk jiwa anak-anak yang masih mudah dilentur
ini.Hanya nilai agama yang dapat membentengi jiwa mereka dalam menghadapi
pelbagai gejala negatif.
Hadirin yang budiman,
Saya benar-benar berharap agar gejala vandalisme ini dapat dibanteras
melalui penguatkuasaan undang-undang yang ketat.Semua pihak memainkan
peranan penting untuk memberikan bimbingan dan nasihat kepada para pelajar
mengenai kepentingan menjaga dan menghargai harta benda awam.
Sekian,terima kasih.

Sebagai seorang guru kaunselor , anda telah menyampaikan ceramah


kepada pelajar-pelajar sempena program motivasi di sekolah anda. Tajuk
ceramah anda ialah Ciri-ciri Pelajar Cemerlang.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.
Analisis soalan:
Tema/Isu
: pelajar cemerlang
Tugasan/Arahan : ciri-ciri pelajar cemerlang
Format
: ceramah
Rangka isi:
Pendahuluan:
Kata alu-aluan format ceramah
- konsep pelajar cemerlang, mengapa cemerlang, gambaran isi, peribahasa
Isi karangan:
1) cemerlang akademik - pencapaian pembelajaran, pencapaian
peperiksaan awam, lanjut pelajaran
2) cemerlang kokurikulum - penglibatan, perkhidmatan / sumbangan,
kepimpinan
3) cemerlang disiplin - patuh peraturan, tepat masa, tugas selesai
-

4) cemerlang sahsiah - asertif, sopan santun, boleh dipercayai


5) Pegangan agama

Penutup: kesimpulan am, saranan, harapan.

Sebagai seorang guru kaunselor , anda telah menyampaikan ceramah kepada


pelajar-pelajar sempena program motivasi di sekolah anda. Tajuk ceramah anda
ialah Ciri-ciri Pelajar Cemerlang.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.
Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, Yang
dihormati guru-guru serta pelajar-pelajar SMK Sri Aman yang dikasihi sekalian.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran
kepada Tuhan kerana pada pagi yang ceria ini, kita dapat bersama-sama dalam
program motivasi 'Permata Hati' yang sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar
tingkatan 3 dan 5 yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM tidak beberapa
lama lagi. Apa yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah tentang 'Ciri-ciri Pelajar
Cemerlang'.
Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,
Semua insan inginkan kecemerlangan dalam kehidupan mereka. Malah,
semua pelajar yang berada di dalam Dewan yang permai ini juga ingin menjadi
pelajar yang cemerlang. Pendek kata, semua pelajar ingin cemerlang dalam semua
bidang yang diceburi. Contohnya, sudah pasti pelajar ingin cemerlang dalam
bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan sebagainya. Pelajar cemerlang
umpama benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau. Persoalannya, apakah
sebenarnya ciri-ciri pelajar cemerlang? Bagaimanakah caranya untuk menjadi
cemerlang? Apakah pelajar di hadapan saya ini pelajar yang cemerlang?
Bersedialah wahai pelajar-pelajar, kerana sebentar lagi kita akan bersama-sama
mengupas tajuk ciri-ciri pelajar yang cemerlang.
Para pelajar yang disayangi,
Memang tidak dapat dinafikan, ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan
ialah dari segi pencapaian akademik. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk
memastikan pencapaian akademik mereka sentiasa memberangsangkan
dalam setiap ujian dan peperiksaan. Contohnya, pelajar cemerlang akan
mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik darjah, dan
pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik darjah. Pelajar
cemerlang sentiasa menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri
mereka bagi memperoleh hasil pembelajaran yang optimum. Mereka menetapkan
matlamat pembelajaran yang munasabah, dan berusaha untuk mencapainya.
Dengan itu, pelajar cemerlang akan mengenepikan sebarang bentuk gangguan bagi
memastikan pencapaian akademik mereka sentiasa cemerlang.

Selain itu, semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi


tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran terancang bersama guru. Sebagai
contoh, pelajar cemerlang akan menunjukkan motivasi pembelajaran yang
maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang tidak berbelah bahagi.
Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang datang daripada
dalam diri sendiri mahupun persekitarannya. Pelajar cemerlang tidak meletakkan
terlalu banyak syarat dalam pembelajaran supaya semuanya berkenan di hati.
Mereka tidak bersifat sentimental dengan terlalu banyak berharap tentang guru
yang sempurna atau persekitaran bilik darjah yang sempurna. Mereka mampu
bertahan dalam iklim pembelajaran yang seadanya.
Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun
menyertai kumpulan belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan
yang seimbang, iaitu tidak terlalu menonjol dan tidak hanya sebagai
penumpang.Mereka mungkin memiliki banyak idea, tetapi bersabar mendengar
idea rakan sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak menguasai
perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan adil.
Mereka datang dengan persediaan yang mencukupi, bukan dengan tangan kosong.
Maka, kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran
berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan sekadar melukut di tepi
gantang, datang tidak menambah, pergi tidak disuruh.
Pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian,
Disiplin asas kejayaan. Oleh itu, pelajar cemerlang juga sinonim dengan
amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak kisah jika digelar sebagai pelajar
skema yang akur dengan segala peraturan sekolah. Walaupun mungkin kelihatan
berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku, pelajar cemerlang tidak berasa
kekok untuk bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang sinikal, mahupun rakan
yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk muncul sebagai
peribadi rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya bersikap
positif dalam menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu
membutirkan tunjuk ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku
yang disenangi. Sebagai contoh, pelajar cemerlang mementingkan ketepatan masa,
dan sentiasa melaksanakan sesuatu tugasan sesempurna mungkin. Setiap kali
diberi tugasan, pelajar cemerlang tidak melaksanakannya dengan sambalewa
semata-mata seperti "melepaskan batuk di tangga". Jelaslah prinsip pelajar
cemerlang ialah mementingkan disiplin dalam memacu kecemerlangan hidup
mereka.
Seterusnya, pelajar cemerlang juga perlu menampilkan sahsiah dan budi
pekerti yang mulia dan murni. Percakapan mereka dihiasi dengan sopan santun
bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan akan berasa selamat dan

dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-baik, serta tidak
mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia biasa,
pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba
melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada
mana-mana pihak.
Akhirnya, satu lagi ciri yang sangat penting ialah, pelajar cemerlang
sentiasa berpegang teguh pada tali agama. Kepercayaan dan kepatuhan
kepada suruhanNya sepatutnyalah menjadi perkara utama dalam kehidupan ini.
Contohnya, pelajar yang cemerlang sentiasa berusaha melaksanakan suruhan
Tuhan dan menjauhi larangannya. Malah pegangan agama yang kukuh menjadi
penyuluh dan petunjuk jalan dalam kehidupan pelajar supaya sentiasa berada pada
jalan kebenaran. Hal ini demikian kerana, pelajar yang cemerlang sentiasa
meninginkan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Sebagai kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang
tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin, sahsiah dan pegangan agama.
Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai
hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan negara untuk meletakkan
daya saing negara di pentas antarabangsa. Oleh itu pelajar cemerlang haruslah
sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan setiap masa dan jangan sesekali
menganggap bahawa diri mereka serba sempurna.
Sebelum saya menamatkan ceramah pada hari ini, saya percaya tentu
pelajar-pelajar yang berada di hadapan saya ini sedang tertanya-tanya kepada diri
sendiri. Antara persoalan yang mundar-mandir di minda ialah adakah ciri-ciri yang
telah dinyatakan tadi dalam diriku? Mampukah saya menggarab ciri-ciri
kecemerlangan tersebut. Jawapannya ialah, jika hanya satu atau dua ciri sahaja
yang ada dalam diri pelajar-pelajar ketika ini, syabas dan tahniah saya ucapkan.
Satu permulaan yang baik dan teruskan untuk mencapai ciri-ciri kecemerlangan itu.
Saya percaya dan penuh keyakinan bahawa semua pelajar akan mampu menjadi
pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan. Tepuk dada tanya selera.
Sekian. Terima Kasih.