Anda di halaman 1dari 3

PA P3: Cabaran ASEAN

By Cikgu Nik Mie on Thursday, August 29, 2013 at 11:28am


Cabaran Komuniti ASEAN
Oleh Muhammad Nizam Ab. Ghani
Tema sambutan ulang tahun ASEAN yang ke-44 pada tahun ini sangat unik dan
mendalam pengertiannya, iaitu Unity in Diversity atau kesatuan dalam
kepelbagaian. Setiap 10 buah negara anggota ASEAN memiliki ciri-ciri dan
keunikannya yang tersendiri namun perbezaan yang wujud itu adalah suatu
perkara yang lumrah berbanding dengan manfaat yang bakal diperoleh melalui
penggabungan komitmen negara tersebut dalam entiti yang telah diasaskan
sejak tahun 1967 itu.
Idea yang merintis ke arah penubuhan entiti kerjasama rantau Asia Tenggara
telah wujud sejak awal dekad 1960-an apabila tertubuhnya Association of
Southeast Asia (ASA) yang dianggotai oleh Persekutuan Tanah Melayu (Malaya),
Thailand dan Filipina. Walau bagaimanapun, gagasan ASA tergencat apabila
timbul konflik tuntutan Filipina ke atas wilayah Sabah yang menyertai Malaysia
pada tahun 1963. Selain itu, kemelut konfrontasi yang menyelubungi hubungan
Indonesia-Malaysia antara tahun 1963-1966 merupakan faktor tambahan yang
menyebabkan sukarnya sebuah organisasi serantau diwujudkan di rantau Asia
Tenggara pada awal dekad 1960-an.
Sesungguhnya peristiwa penubuhan ASEAN berlaku pada awal bulan Ogos 1967
apabila Thailand bertindak sebagai tuan rumah untuk mengadakan sesi
sumbang saran bagi memikirkan hala tuju kerjasama di rantau Asia Tenggara.
Bagi memastikan sesi sumbang saran itu dijalankan secara santai dan penuh
keceriaan, maka bandar peranginan Bang Saen di luar kota Bangkok telah
dijadikan lokasi perbincangan berkenaan. Sesi sumbang saran yang akhirnya
mencetuskan penubuhan ASEAN itu telah dihadiri oleh lima orang Bapa
Pengasas ASEAN, iaitu Tun Abdul Razak (Malaysia), Tun Adam Malik (Indonesia),
S.Rajaratnam (Singapura), Narciso R.Ramos (Filipina) dan Thanat Khoman
(Thailand). Melalui pendekatan santai dan penuh kemesraan yang ditunjukkan
oleh lima orang tokoh berkenaan, maka pada 8 Ogos 1967 termeterailah
perjanjian yang dikenali sebagai Deklarasi ASEAN yang menjadi batu asas
keberlangsungan rantau Asia Tenggara hingga hari ini. Objektif utama
penubuhan ASEAN seperti yang digariskan dalam deklarasi tersebut ialah:
a) Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan
pembangunan kebudayaan serantau melalui usaha sama dalam semangat
keamanan dan persahabatan demi mengukuhkan keamanan dan kesejahteraan
seluruh komuniti di Asia Tenggara; dan
b) Mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau menghormati keadilan dan
undang-undang di dalam hubungan antara negara serta mematuhi prinsip carta
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sejak ASEAN ditubuhkan pelbagai perjanjian dan forum perbincangan telah


diwujudkan bagi merealisasikan aspirasi untuk meningkatkan kerjasama yang
meluas dalam kalangan negara ASEAN. Salah satu resolusi yang cukup signifikan
ialah perisytiharan ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) pada tahun
1971 yang meletakkan rantau ASEAN sebagai sebuah yang rantau yang bebas
dan berkecuali dari sebarang pengaruh kuasa besar yang tertentu sama ada blok
Barat mahupun Timur.
Sepanjang tempoh 1976 hingga 2011 sebanyak 19 sidang kemuncak ASEAN
telah diadakan bagi membincangkan pelbagai isu yang timbul dalam kalangan
negara anggota ASEAN yang mencakupi aspek politik, ekonomi, keselamatan
dan alam sekitar. Pada sidang kemuncaknya yang pertama pada tahun 1976 di
Bali, Indonesia para pemimpin negara ASEAN telah memeterai Treaty of Amity
and Cooperation yang memfokuskan inisiatif untuk menyelesaikan sebarang
pertelingkahan dalam kalangan negara anggota melalui pendekatan diplomasi,
seperti rundingan damai. Selain itu, sidang kemuncak di Bali ini juga telah
meluluskan penubuhan Sekretariat ASEAN yang berpengkalan di Jakarta,
Indonesia.
Sidang Kemuncak ASEAN yang keempat pada tahun 1992 di Singapura
merupakan permulaan kepada liberalisasi ekonomi di rantau ASEAN apabila
pemimpin negara ASEAN mempersetujui pelaksanaan Perjanjian Perdagangan
Bebas ASEAN (AFTA). Mekanisme utama bagi menggerakkan AFTA ialah skim The
Common Effective Preferential Tariff (CEPT). Konsep CEPT ialah pengurangan tarif
terhadap produk-produk perkilangan dan pertanian sebagai langkah
merancakkan perdagangan di kalangan negara ASEAN.
Krisis ekonomi yang melanda rantau Asia Tenggara pada tahun 1997 merupakan
sejarah pahit yang akan dikenang selama-lamanya. Kegawatan ekonomi yang
boleh diibaratkan sebagai wabak penyakit itu mula menyerang Thailand
kemudian merebak ke Indonesia dan Malaysia. Instrumen krisis ekonomi 1997
adalah menerusi serangan terhadap mata wang baht, rupiah dan ringgit serta
pasaran saham ketiga-tiga buah negara berkenaan. Kaedah yang digunakan oleh
pemimpin negara yang dilandai teruk krisis ekonomi 1997 adalah berbeza.
Indonesia dan Thailand terpaksa tunduk kepada pujuk rayu Tabung Wang
Antarabangsa (IMF) manakala Malaysia di bawah teraju Perdana Menteri ketika
itu, Tun Mahathir Mohamad mengambil langkah berani dengan menolak tawaran
bantuan IMF tetapi sebaliknya memperkenalkan beberapa mekanisme yang
akhirnya berjaya membendung serangan bertubi-tubi terhadap ringgit, iaitu
menambat mata wang ringgit serta mengawal aktiviti pasaran luar pesisir yang
terdedah kepada serangan spekulator mata wang. Pengalaman pahit yang terjadi
14 tahun lalu itu merupakan pengajaran yang berguna bukan sahaja kepada tiga
buah negara yang menerima kesan teruk kegawatan ekonomi tetapi kepada
negara-negara ASEAN lain, iaitu Singapura, Brunei dan Filipina.
Sesungguhnya ASEAN sedang mengorak langkah ke arah pembentukan
komunitinya yang mantap dan saling membantu antara satu sama lain. Tonggak
komuniti ASEAN ialah ekonomi, keselamatan dan sosiobudaya. Oleh itu, bagi

mencapai matlamat komuniti ASEAN yang berkesan, maka beberapa cabaran


penting, seperti isu keselamatan serantau dan kestabilan politik negara anggota
wajar diperhalusi dengan rasional. Pada masa ini Myanmar adalah satu-satunya
negara ASEAN yang masih diperintah oleh junta tentera yang tidak
mengamalkan demokrasi. Myanmar yang menganggotai ASEAN pada tahun 1997
menempa imej yang negatif di pentas antarabangsa kerana rekod buruknya
dalam aspek hak asasi manusia. Isu pelarian Ronhingya dan sekatan kebebasan
bersuara terhadap tokoh politik wanita Myanmar, Suu Kyi merupakan dua
perkara yang mendapat perhatian dunia. Kemuncak kerakusan rejim junta
Myanmar ialah serangan terhadap sekumpulan sami Buddha pada tahun 2007
yang mengadakan demonstrasi jalanan membantah tindakan junta
mengurangkan subsidi petrol hingga membebankan rakyat Myanmar.
Pendekatan junta Myanmar yang memandang remeh kebebasan hak asasi
manusia ini pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN pada
September 2007 hingga terdapat dalam kalangan pemimpin ASEAN yang
berpandangan bahawa Myanmar perlu digantung keanggotaannya. Di Thailand
pula, keganasan di wilayah bergolak Selatan Thai merupakan satu cabaran yang
berat kepada Kerajaan Thai yang kini diterajui oleh Yingluck Shinawatra.
Serangan terbaru di Sungai Golok yang berlaku pada hujung September 2011
lalu meletakkan wilayah Selatan Thai dalam kondisi darurat. Walaupun Yingluck
dan kabinetnya pada masa ini sedang berusaha keras mengatas krisis bencana
alam banjir yang melanda wilayah utara Thailand, namun masyarakat
antarabangsa juga sedang menantikan satu pakej penyelesaian yang
komprehensif terhadap krisis di Selatan Thai yang dihuni majoriti etnik Melayu
beragama Islam.
Pelancaran piagam ASEAN pada penghujung tahun 2008 merupakan satu inisiatif
untuk mewujudkan komuniti ASEAN yang progresif dan saksama dalam
mendepani cabaran globalisasi. Matlamat piagam ASEAN yang menitikberatkan
pengiktirafan hak kedaulatan dan kebebasan sesebuah negara dalam kalangan
anggota ASEAN jelas menzahirkan bahawa rantau Asia Tenggara bebas daripada
dasar campur tangan corak pemerintahan sesebuah negara. Walau
bagaimanapun hal ini tidak bermakna ASEAN akan berdiam diri sekiranya
berlaku pelanggaran hak asasi manusia di mana-mana negara ASEAN. Oleh yang
demikian, pada tahun 2009 Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak
Asasi Manusia telah ditubuhkan sebagai wadah untuk menyelesaikan sebarang
pertikaian hak asasi manusia seperti pemerdagangan manusia dan hak
kebebasan bersuara.
Peranan ASEAN sebagai payung kepada keharmonian rantau Asia Tenggara perlu
dipertahankan dan masih relevan walaupun belum mampu setanding dengan
Kesatuan Eropah yang ditubuhkan 24 tahun selepas pembentukan ASEAN.
Seluruh dunia perlu menerima hakikat bahawa gagasan liberalisasi rantau
ASEAN dalam segenap aspek perlu dilakukan dengan teliti agar tidak
memudaratkan nilai timur yang dijunjung oleh segenap negara anggotanya.