Anda di halaman 1dari 2

PERNYATAAN PROFESIONAL

SEBELUM PRAKTIKUM

Internship merupakan satu wadah yang memberi peluang kepada guru pelatih
untuk menjalankan tugasan projek serta membina insan guru secara reflektif dalam
situasi sebenar di sekolah di bawah bimbingan seorang mentor yang merupakan
guru di sekolah. Internship ini memfokuskan kepada tugasan projek yang perlu
dilaksanakan di sekolah di samping dua hingga empat waktu mengajar mata
pelajaran major dalam seminggu. Tugasan projek adalah secara berkumpulan
mahupun secara individu yang mana setiap orang mestilah melaksanakan tiga buah
projek di sekolah yang terpilih. Tugasan projek yang dilaksanakan perlulah dilakukan
sedari awal bermula dari penyediaan kertas kerja, diikuti dengan pelaksanaan
seterusnya adalah menyediakan laporan tentang projek yang dijalankan.
Program Internship pada kali ini telah menempatkan saya di Sekolah
Kebangsaan Sungai Kechil, 14300 Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau
Pinang selama sebulan. Penempatan sekolah ini telah ditetapkan oleh Unit
Praktikum IPG Kampus Pulau Pinang. Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil
merupakan sekolah yang sama saya menjalankan praktikum ketiga pada semester
lepas. Sekolah ini terletak di Seberang Perai Selatan yang agak jauh dari IPG
Kampus Pulau Pinang yang mana memerlukan saya untuk menyewa rumah di
kawasan tersebut yang berhampiran dengan sekolah agar dapat memudahkan saya
untuk berulang-alik ke sekolah setiap hari disamping menjimatkan duit belanja.
Memandangkan praktikum kali ketiga ini memerlukan saya untuk menyewa rumah di
luar, sudah pasti banyak perkara baru tentang kehidupan yang perlu saya pelajari
sepanjang berada di tempat orang nanti. Semoga saya memperoleh keberkatan
seterusnya dapat memberi manfaat kepada orang lain terhadap apa yang saya
lakukan sepanjang menjalani internship pada kali ini.
Banyak perkara yang perlu dilakukan dan diselesaikan semasa menjalankan
internship di sekolah. Memandangkan internship ini dijalankan selama sebulan,
maka kami telah disusun dengan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan
sepanjang empat minggu berada di sini. Pada minggu pertama, kami diarahkan
untuk menyiapkan kertas kerja cadangan tugasan projek yang hendak dilaksanakan.

Seterusnya pada minggu kedua dan ketiga, kami perlu melaksanakan tugasan projek
seperti yang telah dirancang. Dan yang terakhir pada minggu keempat kami perlu
menyiapkan laporan berdasarkan projek yang telah dijalankan. Dalam masa yang
sama juga saya perlu menyiapkan beberapa tugasan lain seperti mengajar di kelas
sebanyak dua hingga empat waktu seminggu, sentiasa bersedia untuk melakukan
tugas yang diberikan oleh pihak sekolah, menyertai segala aktiviti yang dianjurkan
oleh pihak sekolah, menghadirkan diri pada setiap perjumpaan guru-guru. Selain itu,
saya juga perlu menyiapkan semua perkara yang telah disenaraikan dalam senarai
semak portfolio internship.
Sebagai bakal guru juga saya perlu menjalin hubungan yang baik bersama
semua warga sekolah termasuk jaga, tukang kebun dan juga pekerja kantin.
Memandangkan Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil ini merupakan sekolah yang
pernah saya jalani praktikum di sini, maka hubungan dengan pihak sekolah sudah
terbina dengan baik sebelum ini. Maka adalah diharapkan agar hubungan baik yang
telah dibina sebelum ini akan memudahkan kerja-kerja kami untuk melaksanakan
tugasan projek seperti yang diarahkan oleh IPG sebagai persediaan terakhir
sebelum keluar mengajar kelak. Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa
persediaan mental dan fizikal perlu dilakukan memandangkan internship dan
praktikum merupakan dua perkara yang berbeza. Oleh itu, diharapkan agar saya
dapat menempuhi internship pada kali ini dengan jayanya.
Untuk internship pada kali ini, saya berharap agar dapat melakukan yang
terbaik dalam setiap perkara yang saya lakukan. Saya juga sentiasa bersedia untuk
menerima tunjuk ajar, nasihat dan teguran dari pihak sekolah sekiranya terdapat
kesalahan di mana-mana kerana mereka sememangnya mempunyai banyak
pengalaman dan layak untuk menjadi pembimbing saya dalam menjalankan tugasan
projek yang diberikan. Semoga segala perkara yang saya lakukan tidak sia-sia
sebaliknya dapat mendatangkan manfaat jika tidak untuk orang lain, cukuplah untuk
diri sendiri sekurang-kurangnya.

Anda mungkin juga menyukai