Anda di halaman 1dari 23

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 38

UNIT 4
PENGUMPULAN DAN ANALISIS DATA
HASIL PEMBELAJARAN
1.
2.

Meneliti dan memahami beberapa strategi dan teknik pengumpulan data


Memahami konsep asas analisis data kuantitatif serta alat statistik yang sesuai terutamanya
statistik huraian
Memahami proses dan prosedur analisis dan interpretasi data kualitatif

3.

PENGENALAN
Keputusan tentang bentuk dan jenis data yang dikumpul untuk kajian tindakan adalah bergantung kepada
masalah yang hendak dikaji. Pengkaji perlu menentukan apakah data yang dapat menyumbang kepada
pemahaman mereka serta penyelesaian yang sesuai terhadap masalah yang dikaji. Oleh itu, sering
dikatakan bahawa proses dan prosedur memulakan pengumpulan data serta bentuk dan jenis data yang
hendak dikumpul adalah merupakan satu pendekatan khusus yang ada kaitannya dengan keperluan
penyelidik untuk memahami masalah dan amalan mereka dengan lebih lanjut. Unit ini akan memberikan
penekanan kepada pengumpulan data (kualitatif dan kuantitatif) dalam pelbagai metod dan teknik yang
sesuai dengan keperluan dan permasalahan yang dikaji dalam kajian tindakan serta proses dan prosedur
analisis data dan interpretasi data (kuantitatif dan kualitatif) yang biasanya digunakan dalam konteks kajian
tindakan.

ISI KANDUNGAN
A.

Pengumpulan Data

Apabila fokus kajian dan soalan kajian telah dikenalpasti, perlu ditentukan metod pengumpulan data yang
sesuai. Pada asasnya dua set data akan dikumpulkan. Pertama, data yang dikumpul untuk membolehkan
anda mula menjawab soalan yang dikemukakan. Kedua, data yang dikumpulkan untuk menentukan kesan
amalan yang telah berubah. Set data pertama akan mengesahkan yang anda telah mengenalpasti soalan
yang sebenar, menyediakan idea dan pemahaman tentang bentuk dan hakikat isu yang mendasari soalan
anda, dan set data kedua adalah untuk mencadangkan perubahan-perubahan kepada amalan anda.
Sorotan literatur dan bahan-bahan berkaitan akan menyediakan maklumat lanjut yang akan memberikan
petunjuk tentang keputusan untuk mengubah amalan anda. Pertimbangkan soalan-soalan berikut:

Apakah skop inkuiri yang boleh anda uruskan?


Apakah yang anda jangka akan berlaku hasil daripada kajian tindakan anda? Bagaimana? Bila?
Dalam latar apakah anda akan mengumpul data?
Siapakah yang terlibat?
Apakah interaksi yang berlaku?
Apakah bukti fizikal yang ada?
Bagaimana anda merancang untuk mengurus pengumpulan data?

38

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 39

Bertanyakan soalan yang betul adalah merupakan kemahiran penting dalam pengumpulan data yang
efektif. Oleh itu, perlulah jelas mengapa sesuatu data itu dikumpul serta bagaimana data tersebut akan
digunakan. Ini memerlukan satu kerangka pengumpulan data dibentuk yang menjelaskan tentang alat
pengumpulan data serta alat analisis data yang sesuai. Perlu diputuskan berapa banyak data yang akan
dikumpulkan. Ini sudah tentu berkait dengan saiz sampel yang sesuai serta jangkamasa data dikumpul.
Data mestilah tepat, berguna, tidak memakan masa yang panjang untuk mengumpulnya serta mestilah
boleh dipercayai bagi membolehkan hipotesis dan strategi perlaksanaan kajian dibentuk dengan yakin.
Dengan ertikata lain, data yang dikumpul sepatutnya menjadikan kerja-kerja selanjutnya lebih mudah
dikendalikan.
Pada umumnya, sesuatu alat kajian itu, termasuk soal selidik, mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

memenuhi objektif dan persoalan kajian

mempunyai kesahan

mempunyai kebolehpercayaan, dan

praktikal
Teknik dan Alat Pengumpulan Data
Dalam merancang dan melaksanakan kajian tindakan, pelbagai teknik pengumpulan data boleh digunakan
bagi mendapatkan data yang sesuai dan pelbagai. Berikut adalah di antara teknik pengumpulan data yang
biasa digunakan dalam kajian tindakan:
1.

Soal selidik

Soal selidik merupakan alat yang banyak digunakan untuk meninjau setakatmana kah pentingnya sesuatu
masalah itu dikaji berdasarkan perspektif responden yang menjadi sampel kajian.
1.1

Jenis soal selidik

Pada asasnya terdapat dua jenis soal selidik bergantung kepada bentuk soalan yang dikemukakan.
Terdapat soal selidik yang mengemukakan soalan terbuka yang bertanya pendapat atau maklumat dalam
kata-kata partisipan sendiri. Soalan jenis ini khususnya sesuai untuk meneroka atau yang memerlukan
reaksi yang subjektif. Sesetengah soalan dapat membantu perbualan yang lebih terbuka, terutama soalan
yang bermula dengan apa, mengapa dan bagaimana yang dapat membantu dalam proses berfikir.
Terdapat juga soal selidik yang mengemukakan soalan tertutup yang memerlukan soalan pelbagai pilihan
atau jawapan pendek. Soalan yang bermula dengan adakah .., bilakah.. atau di manakah... akan
membawa kepada soalan yang mudah dan menghadkan perbincangan. Soalan jenis ini mencari maklumat
spesifik, kurang interpretasi yang boleh dibuat oleh responden.
Untuk lebih terperinci lagi, terdapat tiga jenis soalan yang berbeza mengikut tahap pemikiran yang
dikehendaki pratisipan atau responden berikan serta bentuk maklumat yang dikehendaki.

Soalan Pemikiran Tahap Tinggi vs: Soalan Pemikiran Tahap Rendah


Soalan tahap tinggi memerlukan individu berfikir daripada hanya mengingat, atau mengulang
semula atau meringkaskan sesuatu. Manakala soaan tahap rendah pula merupakan soalan yang
ditanyakan yang memerlukan hanya mengingat, mengulang, meringkas atau memfrasakan semula
apa yang telah dinyatakan atau yang telah dituliskan.

39

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 40

Soalan Bercapah vs: Soalan Tertumpu


Terdapat beberapa kemungkinan jawapan yang betul biasanya menunjukkan soalan tersebut
merupakan soalan bercapah. Soalan bertumpu pula menunjukkan hanya satu jawapan betul.

Soalan Berstruktur vs: Soalan Tidak Berstruktur


Soalan Berstruktur menyediakan maklumat latar, berfokus dan memandu responden kepada
soalan dan matlamatnya. Soalan tidak berstruktur adalah lebih terbuka dan tidak berfokus
Terdapat beberapa jenis soalan yang ditanya dalam soal selidik yang bergantung kepada jenis dan
bentuk data yang diperlukan. Di antara jenis-jenis soalan yang biasa digunakan dalam soal selidik
adalah:

dikotomus (dichotomous)

skala likert

terbuka (opened-ended)

pangkatan (rank order)

perbandingan (comparative)

demografi
Contoh-contoh soalan:
a).

Dikotomus
Tujuan soalan adalah untuk mendapatkan pilihan sampel daripada 2 penilaian yang
diberi.
Contoh:
i)
ii)

b).

Ya
Betul

Tidak
Salah

Adakah ibubapa anda bincang dengan guru matematik anda berkenaan


pembelajaran matematik anda?
Ya
Tidak
Adakah ibubapa anda bincang dengan anda tentang pencapaian matematik
anda?
Ya
Tidak

Skala Likert
Tujuan soalan adalah untuk mendapatkan penilaian/persepsi/persetujuan responden
tentang sesuatu persoalan. Skala jawapan adalah pilihan dalam bilangan angka ganjil
iaitu: 3/4/5/7/9
Pemilihan bilangan skala ini berdasarkan kepada tahap kognitif responden.
Contoh:
a)
Tingkat persetujuan
1 = Sangat tidak setuju
2 = Kurang setuju
3 = Tidak pasti
4 = Setuju
5 = Sangat setuju
b)
Tingkat keberkesanan

40

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 41


c)
d)
e)
c)

Tingkat faedah
Tingkat kekerapan
Tingkat kefahaman

Susunan Pangkatan (Rank Order)


Mendapatkan penilaian responden kepada semua item yang disenaraikan dengan
memberikan pemberatannya. Susunan beberapa item mengikut keutamaannya.
Contoh:
No. 1 menunjukkan peringkat tertinggi, no. 2 kedua tertinggi dan seterusnya hingga
nombor terakhir yang menunjukkan paling rendah tingkat keutamaannya.
Berikan penilaian anda ke atas teknik-teknik berikut mengikut keutamaannya.
Kuliah
Latihtubi
Syarahan
Lakonan
Lawatan

d)

..........
..........
..........
..........
..........

Terbuka (Open-ended)
Mendapatkan pendapat responden dengan menulis sendiri pendapatnya.
Contoh:
a)
Berikan cadangan anda bagaimana untuk ...............................
b)
Apakah masalah yang anda hadapi dalam ............................

e)

Perbandingan
Membandingkan sesuatu item dalam dua keadaan yang berbeza.
Contoh:
Apa yang berlaku
vs
Apa yang sepatutnya
Apa yang anda fikir tentang beberapa kemahiran pembelajaran yang diamalkan dan yang
sepatutnya diamalkan oleh pelajar.
Lemah
1
2
1
2

f)

Yang berlaku
Sgt baik
3 4 5
3 4 5

Kemahiran
Mendengar
Penulisan

Yang sepatutnya
Lemah
Sgt baik
1 2
3 4 5
1 2
3 4 5

Demografi
Mendapatkan maklumat umum dan khusus tentang responden (sampel) yang
kemudiannya digeneralisasikan kepada populasi kajian.
Contoh:
Jantina
Lelaki
Perempuan
Umur : ..................... tahun
Pengalaman mengajar: ..........................

41

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 42


Kelulusan akademik tertinggi : ...............................
1.2

Ciri-ciri soalan yang baik

Terdapat beberapa ciri soalan yang baik yang boleh dijadikan asas dalam membentuk soal selidik. Di
antaranya:
i)
ii)

iii)

iv)

2.

Relevan
Soalan mestilah ada kaitan dengan fokus dan isu yang hendak dikaji serta pengalaman
orang yang menjawab soalan tersebut.
Jelas
Orang yang menjawab soalan mestilah jelas tentang soalan yang ditanyakan. Tidak
mempunyai pelbagai makna dan interpretasi yang mungkin menyebabkan orang yang
ditanya keliru ataupun mempunyai interpretasi yang berbeza dengan kehendak soalan
Soalan pendek dan mudah
Soalan perlulah mudah difahami dan tidak terlalu panjang yang mungkin menyebabkan
orang yang ditanya mengambil masa untuk memahaminya. Soalan perlu pendek, mudah
difahami serta tidak mengelirukan.
Soalan eksplisit
Soalan tidak mempunyai makna yang tersirat, dan sukar untuk difahami oleh orang yang
menjawabnya. Perlulah menjurus terus kepada apa yang dikehendaki.

Temu bual

Kahn dan Cannell (1957) (dalam Marshall & Rossman) mendefinisikan temu bual sebagai perbualan
dengan bertujuan (conversation with a purpose). Tujuan utama temu bual adalah untuk mendapatkan
maklumat yang khusus. Mengikut Patton (1990) pula, temu bual diadakan apabila penyelidik hendak
mengetahui apa yang terdapat dalam minda seseorang. Temu bual boleh merupakan strategi keseluruhan
pengumpulan data kajian atau pun boleh merupakan salah satu daripada teknik yang digunakan dalam
kajian. Terdapat pandangan yang mengkategorikan temu bual kepada temu bual berstruktur, temubual
semi-berstruktur dan temubual tidak berstruktur. Bentuk temubual akan ditentukan oleh soalan kajian serta
perkembangan kajian. Temu bual lebih terbuka mungkin akan dijalankan di awal-awal kajian untuk
mendapatkan pandangan umum tentang fenomena yang dikaji. Kemudian temubual mungkin akan lebih
berfokus kepada fenomena-fenomena tertentu apabila penyelidik telah dapat membina kategori-kategori
tertentu.
2.1

Jenis Temu bual

Cara yang biasa digunakan untuk menentukan jenis temubual yang sesuai digunakan bergantung kepada
setakatmana struktur diperlukan dalam temubual. Biasanya terdapat tiga jenis temubual:
i.
ii.
iii.
2.1.1

Temubual Berstruktur
Temubual Semi-Berstruktur
Temubual Tidak Berstruktur
Temubual Berstruktur

Temubual berstruktur melibatkan penemubual menggunakan soalan-soalan yang telah ditentukan untuk
semua partisipan. Ini menjadikan sangat sedikit variasi dari segi tindakbalas partisipan. Penemubual

42

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 43


biasanya akan merekodkan tindakbalas mengikut skema pengkodan yang telah ditentukan. Satu prosedur
yang standard darisegi pentadbiran temubual dapat mengawal perjalanan temubual serta tindakbalas
daripada partisipan. Semua partisipan akan mendapat set soalan yang sama, ditanya dalam urutan yang
sama oleh penemubual yang telah dilatih untuk menguruskan temubual dalam keadaan yang sama.
Sangat sedikit fleksibiliti dari segi soalan ditanya dan jawapan diberi dalam temubual berstruktur.
Temubual jenis ini memerlukan penemubual memainkan peranan berkecuali, dan membina rapport yang
seimbang iaitu dari satu segi penemubual perlulah bersahaja dan mesra, dalam masa yang sama bersikap
mengarah atau mengawal dan tidak personal. Penemubual menunjukkan sikap pendengar yang prihatin
dan berminat tetapi tidak menilai tindakbalas yang diberikan.
2.1.2

Temubual Semi Berstruktur

Pada asasnya temubual semi berstruktur menggabungkan ciri-ciri fleksibiliti temubual terbuka atau tidak
berstruktur dengan ciri-ciri mengarah dan seragam temubual berstruktur. Soalan-soalan dalam temubual
semi berstruktur ditentukan terlebih dahulu tetapi jawapan kepada soalan-soalan tersebut adalah terbuka,
boleh dikembangkan mengikut budibicara penemubual dan partisipan. Bagi Schensul at al. (1999),
temubual semi berstruktur adalah yang terbaik untuk meneroka dan menjelaskan faktor-faktor dan
subfaktor-subfaktor. Bagi mereka, temubual semi berstruktur digunakan untuk mencapai objektif-objektif
berikut:
Menjelaskan lebih lanjut domain utama dan faktor-faktor dalam kajian
Mengoperasikan faktor-faktor kepada pembolehubah
Membina hipotesis awalan
Membina asas kualitatif untuk pembentukan kajian tinjauan ethnografi
(ms. 150)
Membina soalan bagi temubual semi berstruktur boleh dibuat dengan pelbagai cara. Antaranya ialah
berasaskan data daripada temubual dan pemerhatian berstruktur yang biasanya data tersebut tidak dapat
memberikan maklumat yang begitu mencukupi untuk menentukan dengan tepat tentang kepentingan
sesuatu faktor, apakah maksudnya yang sebenar dan berapa tersebarnya faktor-faktor tersebut dalam
populasi yang dikaji. Soalan temubual semi berstruktur boleh dibentuk untuk menjelaskan lagi faktor-faktor
tersebut. Terdapat panduan yang boleh dijadikan asas dalam membina soalan temubual semi berstruktur
seperti berikut:

Pastikan soalan-soalan menggunakan terma dan frasa yang boleh difahami oleh responden
Minimumkan panjang soalan dan banyakkan soalan mencungkil bagi mendapatkan penjelasan
tentang sesuatu faktor atau subfaktor
Gunakan istilah yang sesuai dengan kemampuan berbahasa, latarbelakang budaya, umur, jantina,
dan tahap pengetahuan responden.
Elakkan soalan yang membayangkan jawapan atau yang menunjukkan bias penemubual
Elakkan soalan yang menggunakan sama ada asosiasi negatif atau positif. Contohnya: Adakah
anda rasa pendapat anda tentang profesion perguruan ada persamaanya dengan pandangan yang
diutarakan oleh kesatuan sekerja?
Elakkan soalan yang sebenarnya bertanyakan dua soalan dalam satu soalan. Contoh: Berapa
kerapkah anda ponteng dan merokok?
Cuba elakkan soalan yang dibentuk secara negatif. Contoh: Guru tidak sepatutnya menggunakan
keputusan peperiksaan akhir semester untuk membentuk kelompok berasaskan kebolehan.
Elakkan soalan yang memerlukan responden melakukan beberapa tugasan dalam masa yang
sama

43

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 44

2.1.3

Jangan bertanya soalan yang memerlukan hanya jawapan Ya atau Tidak sedangkan yang
diutamakan adalah deskripsi yang terperinci
Perlu sensitif kepada konteks budaya atau makna-makna sosial yang terlibat dalam soalan
Temubual Tidak Berstruktur

Terdapat kajian yang memerlukan pengkajinya meneroka dengan mendalam dan terperinci sesuatu
fenomena yang hendak dikaji untuk meningkatkan pengetahuan penyelidik tentang topik tersebut. Ini
menuntut pengkaji bersikap terbuka kepada sebarang tindakbalas yang relevan, tidak ada jawapan yang
betul atau salah, dan responden tidak diperlukan untuk memilih daripada pilihan soalan atau jawapan.
Format yang terbuka ini memungkinkan fleksibiliti yang maksimum dalam meneroka sebarang topik secara
mendalam dan terperinci. Temubual tidak berstruktur biasanya menggunakan soalan terbuka yang
memberi peluang kepada responden memberi tindakbalas mengikut budibicaranya dan tidak terikat dengan
sebarang jawapan alternatif atau tidak dikekang oleh panjang atau pendek soalan. Schensul at al. (1999)
mengatakan bahawa temubual tidak berstruktur atau temubual penerokaan memerlukan minda yang peka,
pemikiran logik serta kemahiran komunikasi yang baik. Di setiap masa penemubual mestilah:
Menyedari bagaimana topik berkait dengan dan menjelaskan soalan yang lebih besar yang
ditanya oleh kajian
Menentukan sama ada orang yang ditemu bual tidak terpesong dari topik, sekiranya terpesong,
bagaimana hendak memperkenalkannya semula
Memahami perkaitan logik yang dibuat oleh responden dalam perbincangan tentang topik
Memutuskan sama ada hendak meneroka idea atau halatuju yang baru
Mencungkil untuk mendapatkan makna istilah-istilah tertentu dengan lebih mendalam
Mengetahui bilakah masaya responden menyatakan ideanya dengan jelas, bila ianya perlu
penjelasan lanjut, untuk memastikan yang ianya difahami oleh orang yang membaca nota atau
transkrip
Kejayaan sesuatu temu bual itu juga bergantung kepada kesediaan serta pengetahuan yang dimiliki oleh
responden atau informan. Perlu dikenalpasti informan utama yang dapat memberi kerjasama semasa dan
sepanjang tempoh temubual dijalankan. Informan utama biasanya mempunyai pengetahuan yang banyak
berkaitan dengan topik yang dikaji. Ini bersesuaian dengan tujuan temubual tidak berstruktur untuk
meningkatkan pengetahuan penyelidikan tentang bidang yang belum lagi banyak diketahui. Perlu
dipertimbangkan beberapa perkara dalam memilih informan utama, antaranya faktor ethnik, kelas atau
umur yang mempunyai pengaruh yang signifikan ke atas perspektif responden.
Walaupun tidak berstruktur, tidak semestinya temu bual ini tidak perlu dirancang. Dalam membuat
persediaan untuk temu bual, penyelidik perlulah:
Melihat semula soalan kajian dan model teoretikal kajian
Membina soalan-soalan umum untuk digunakan dalam temubual
Membuat temujanji untuk menjalankan temubual serta kenalpasti lokasi yang sesuai
Sediakan keperluan alat rakaman yang sesuai
2.2

Temubual Berkumpulan (Focus Group)

Fontana & Frey (2003) menjelaskan bahawa temubual berkumpulan pada asasnya adalah merupakan
teknik pengumpulan data kualitatif yang bergantung kepada penyoalan yang sistematik secara serentak
kepada beberapa individu dalam latar yang formal dan tidak formal. Penggunaan temubual berkumpulan
biasanya dikaitkan dengan kajian pasaran yang dilabelkan sebagai kumpulan fokus, tujuan utamanya
adalah untuk mengumpul pendapat pengguna tentang ciri-ciri sesuatu produk, tema-tema pengiklanan atau
perkhidmatan penghantaran. Format ini juga telah digunakan secara meluas oleh parti politik dan calon-

44

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 45


calon politik yang berminat untuk mengetahui reaksi pengundi-pengundi tentang sesuatu isu dan polisi.
Temubual berkumpulan juga digunakan dalam kajian sosiologi.
Dalam temubual berkumpulan, penembual atau moderator akan mengarahkan inkuiri dan interaksi antara
responden dalam bentuk yang sangat berstruktur atau mungkin dalam situasi yang sangat tidak berstruktur,
bergantung kepada tujuan penemubual. Dengan ertikata lain temubual berkumpulan boleh berlaku dalam
pelbagai bentuk bergantung kepada tujuannya. Ia boleh merupakan sesi percambahan fikiran atau
sumbangsaran yang mempunyai sedikit atau tidak mempunyai struktur dan arahan langsung daripada
penyelidik, atau ia mungkin sangat berstruktur seperti dalam teknik nominal, Delphi dan kumpulan fokus
pemasaran. Latar di mana kerja lapangan dijalankan, sama ada formal atau tidak formal juga boleh
menentukan bentuk temubual berkumpulan. Dalam konteks yang formal, seperti dalam makmal kajian,
yang keadaannya dikawal, penyelidik mungkin boleh bertanya soalan yang sangat terarah, atau dalam
konteks yang sebenar seperti dikaki lima jalan, atau dikawasan rekreasi awam, merupakan tempat yang
sangat sesuai untuk perbualan santai tetapi bertujuan.
Kalau dilihat dari segi faedah yang boleh diperolehi daripada temubual berkumpulan ini, yang jelasnya
adalah berkaitan dengan data yang dapat dikumpulkan adalah banyak, kaya dan elaboratif, dan mungkin
tidak begitu memerlukan belanja yang banyak untuk mengendalikannya. Bagi individu yang terlibat pula,
pertukaran pandangan dan pendapat dapat memberikan mereka pengetahuan dan pengalaman baru.
2.3

Panduan Temubual

Panduan temubual atau protokol temubual adalah merupakan senarai soalan-soalan yang ingin
dikemukakan semasa temubual. Bergantung kepada struktur temubual, soalan-soalan mungkin berupa
banyak soalan-soalan yang spesifik yang disusun mengikut susunan tertentu (berstruktur) ataupun
beberapa topik yang dicatat tanpa susunan tertentu (tidak berstruktur) ataupun mungkin di antara
berstruktur dan tidak berstruktur iaitu semi-struktur.
Protokol juga adalah berguna dalam menjalankan
temubual. Protokol ini mengandungi komponen-komponen berikut:

tajuk
arahan kepada penemubual (kenyataan pembuka kata)
soalan-soalan kajian utama yang akan ditanya
soalan-soalan kecil yang mengikuti soalan utama
ruang untuk merekod mesej yang disampaikan oleh informan
ruang untuk merekod komen penemubual
ruang untuk merekod nota reflektif

Biasanya penyelidik merekodkan maklumat temubual dengan menggunakan buku nota ataupun pita
rakaman. Jika menggunakan pita rakaman, penyelidik juga perlu mengambil nota terutama dalam keadaan
di mana pita rakaman mungkin tidak berfungsi dengan baik.
2.4

Merekod dan Menilai Data Temubual

Terdapat tiga cara asas merekod data temubual. Yang selalu digunakan ialah dengan merakam temubual
dengan menggunakan pita rakaman. Cara yang kedua ialah dengan mengambil nota semasa temubual.
Cara ini digunakan setelah rakaman temubual tidak dapat dijalankan. Cara ketiga pula ialah dengan
merekod seberapa banyak maklumat temubual yang dapat diingat selepas sahaja tamat temubual
dijalankan. Ketiga-tiga cara ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya. Kerosakan pita rakaman dan

45

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 46


ketidakselesaan partisipan semasa ditemubual sering berlaku semasa mengadakan temubual dengan
menggunakan pita rakaman. Adalah sukar untuk merekodkan semua yang diperkatakan oleh partisipan
semasa temubual. Ini agak menyukarkan untuk menentukan mana maklumat yang penting dan mana yang
tidak. Ini berlaku apabila mengambil nota semasa temubual. Di samping itu terdapat perkara-perkara yang
berkaitan dengan gerak badan, mimik muka serta tingkahlaku partisipan yang mungkin tidak dapat diteliti
kerana penemubual sibuk mengambil nota. Tidak semua perkara yang diperkatakan oleh partisipan dapat
diingat dengan baik oleh penemubual. Ini mungkin menyebabkan banyak maklumat yang penting akan
hilang.
Adalah penting bagi penyelidik menulis refleksinya dengan segera selepas temubual. Refleksi ini
mengandungi makna-makna yang dicadangkan dalam temubual, nota deskriptif tentang tindakbalas lisan
dan bukan lisan, pandangan dan pemikiran penyelidik sendiri tentang temubual. Nota pasca temubual
membolehkan penyelidik memantau proses pengumpulan data di samping mula menganalisis maklumat.
Adalah juga penting dinilai kualiti data yang diperolehi. Terdapat beberapa perkara yang mungkin
mempengaruhi kualiti data seperti kesihatan partisipan, mood semasa temubual, motif partisipan terlibat
dalam penyelidikan dan lain-lain. Apa yang diperolehi dalam temubual adalah persepsi partisipan.
Maklumat mungkin diada-adakan ataupun dibesar-besarkan. Cara yang biasa dilakukan untuk mengesan
dan mengesah data adalah dengan proses triangulasi melalui perbandingan data dengan data responden
lain, ataupun perbandingan dengan data dokumen atau data pemerhatian.
Kesimpulannya, temubual adalah merupakan sumber utama yang digunakan untuk memahami fenomena
yang dikaji dalam kajian tindakan. Temubual terdiri daripada beberapa jenis yang berbeza, bergantung
kepada struktur temubual yang dijalankan. Yang biasa digunakan adalah temubual berstruktur, temubual
semi-struktur dan temubual tidak berstruktur. Temubual yang berkesan perlu dirancang dengan baik
dengan mengambilkira penyediaan panduan temubual seperti protokol atau skedul temubual. Hubungan
antara penemubual dan partisipan dalam temubual adalah merupakan proses yang kompleks. Interaksi
semasa proses temubual perlu dibina sejak dari permulaan hingga lah ke akhir temubual dengan
mengekalkan hubungan yang berasaskan percaya mempercayai dan dalam situasi yang selesa. Merekod
data temubual boleh dijalankan dengan pelbagai cara dan perlu diberi perhatian terhadap kesesuaiannya
mengikut keadaan dan keselesaan partisipan. Data temubual yang kaya dan banyak perlu disusun atur
dengan mempastikan maklumat yang signifikan dan penting dapat dianalisis bagi membentuk kategori,
tema dan konsep yang sesuai. Bagi tujuan untuk mempastikan maklumat tembual adalah tepat dan
sebagaimana yang dimaksudkan oleh partisipan, langkah-langkah mengesahkan nya perlu dilakukan.
Salah satu langkahnya adalah melalui proses dan prosedur triangulasi.

Sila nyatakan:
i.
ii.

Apakah perbezaan asas di antara soal selidik dengan temu bual?


Apakah persamaan yang terdapat di antara soal selidik dengan temu bual?

3.

Pemerhatian

Pemerhatian adalah merupakan perkara yang dilakukan setiap hari sama ada secara sedar atau pun tidak
sedar. Ia merupakan satu rutin dalam manusia memahami apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Terdapat perbezaan di antara pemerhatian orang biasa dengan pemerhatian seorang penyelidik. Sebagai
46

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 47


penyelidik, mereka perlu dilatih dalam teknik pemerhatian yang berkesan supaya dapat melakukan
pemerhatian secara terancang dan sistematik. Menurut Kidder (1981) pemerhatian dianggap sebagai alat
kajian apabila (1) ia digunakan untuk mencapai tujuan kajian, (2) dirancang dengan rapi, (3) direkod secara
sistematik dan (4) diperiksa dan dikawal kesahan dan kebolehpercayaannya.
3.1

Tujuan Pemerhatian

Pemerhatian digunakan untuk mengkaji interaksi yang kompleks dalam latar sosial yang sebenar.
Pemerhatian memungkinkan penyelidik merekod perlakuan yang sedang berlaku. Melihat sesuatu perkara
atau peristiwa secara langsung dan menggunakan pengetahuan, pengalaman dan kepakarannya dalam
membuat interpretasi tentang apa yang diperhati. Pemerhatian melibatkan tindakan mengambil nota dan
merakam peristiwa, perkara, perlakuan, artifak secara sistematik di latar sosial yang dipilih untuk kajian.
Rekod pemerhatian biasanya dirujuk sebagai nota lapangan iaitu deskripsi yang terperinci, yang
nonjudgmental serta konkrit tentang apa yang telah diperhatikan. Melalui pemerhatian, penyelidik
mendokumen dan menjelaskan tindakan dan interaksi yang kompleks. Metod ini mengandaikan perlakuan
yang diperhatikan adalah bertujuan dan merupakan luahan nilai dan kepercayaan yang mendalam.
Pemerhatian merupakan teknik yang terbaik apabila aktiviti, peristiwa atau situasi boleh diperhati secara
langsung, atau apabila perspektif yang baru diperlukan atau apabila partisipan tidak dapat atau tidak rela
membincangkan topik yang dikaji.
3.2

Struktur Pemerhatian

Pemerhatian boleh terdiri daripada yang sangat berstruktur di mana pernyataan perlakuan yang terperinci
direkod berpandukan senarai semak, kepada deskripsi peristiwa dan perlakuan yang lebih holistik. Untuk
itu, sesuailah apa yang dinyatakan oleh Morris (dalam Denzin & Lincoln, ms. 378) bahawa pemerhatian
adalah perlakuan merekod fenomena yang biasanya menggunakan instrumen, dan merakamkannya untuk
tujuan saintifik dan lain-lain.
Pemerhatian sebenarnya bukan hanya melibatkan pengumpulan data visual, semasa pemerhatian
dijalankan, semua deria adalah terlibat seperti deria bau, dengar, sentuh dan rasa. Oleh itu pemerhatian
adalah merupakan proses mengumpul tanggapan ke atas dunia sekeliling melalui semua deria manusia
yang relevan. Ini akan menyebabkan perlunya kontak secara terus dengan subjek yang diperhatikan.
Penyelidik mestilah secara aktif memerhati fenomena yang dikaji semasa perkara tersebut berlaku. Namun
begitu, pemerhatian secara tradisinya adalah berbentuk tidak campurtangan atau noninterventionism.
Pemerhati tidak mempergunakan dan tidak merangsang subjek. Pemerhati hanya mengikut urutan
peristiwa yang diperhatikan. Perlakuan dan interaksi terus berjalan seperti tanpa kehadiran penyelidik; tidak
terganggu oleh kehadiran penyelidik.
3.3

Apa yang diperhatikan?

Pemerhatian perlu dijalankan secara sistematik kerana data yang dikutip secara teratur dalam situasi kajian
sebenar mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi. Pemerhatain secara langsung boleh dilakukan tanpa
atau dengan bantuan alatan teknikal. Pemerhatian secara langsung tanpa alat melibatkan pengkaji
mencatatkan nota tentang sebarang aktiviti yang diperhatikan. Pemerhatian menggunakan alat seperti alat
kamera/video/audio merupakan sumber yang berguna untuk menganalisis data selepas pemerhatian.
Aspek-aspek berikut harus diambilkira:

47

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 48

Tumpuan pemerhatian siapakah yang membuat pemerhatian?, siapa atau apa yang diperhatikan? Di
mana pemerhatian dibuat?
Masa pemerhatian Bilakah pemerhatian dijalankan? (eloklah dijalankan pemerhatian pada masamasa yang berlainan bagi mendapatkan kepelbagaian maklumat)
Cara pemerhatian Bagaimanakah pemerhatian dicatatkan atau dirakamkan?, Apakah prosedur yang
diikuti bagi mempastikan kebolehpercayaan dan keesahan?, Teknik apakah yang digunakan? (semua
data-data dikutip semasa pemerhatian dicatatkan dengan serta merta sekurang-kurangnya dalam
bentuk nota).

3.4

Perkara yang mempengaruhi pemerhatian

Apa yang diperhatikan biasanya dipengaruhi oleh beberapa perkara:


i.
ii.
iii.
iv.

3.5

tujuan mengadakan kajian kerangka konseptual, permasalahan kajian atau persoalan kajian
menentukan apa yang perlu diperhatikan
pertimbangan praktikal seperti masa, kewangan, jarak tempat pemerhatian
struktur pemerhatian yang akan dilakukan berstruktur, tidak berstruktur
elemen yang boleh difokuskan semasa pemerhatian:
Latar fizikal
Partisipan
Aktiviti dan interaksi
Perbualan
Faktor-faktor kurang jelas tetapi penting
Perlakuan pemerhati sendiri
Prosedur merekod data

Sebelum membuat pemerhatian, penyelidik perlu merancang pendekatan untuk merekod data. Apa yang
perlu direkod? Bagaimana ia akan direkod? Adalah merupakan dua soalan penting yang perlu diberi
perhatian.
Nota pemerhatian mempunyai pelbagai format. Di antara format yang selalu digunakan adalah berbentuk
protokol yang mengandungi lajur untuk nota deskriptif di sebelah kiri dan nota reflektif dilajur sebelah kanan.
Lajur nota reflektif adalah penting kerana ia termasuk pandangan analitik serta komen tentang tindakan
dan perlakuan yang diperhatikan. Komen pemerhati adalah merupakan sumber pandangan analitik yang
berguna serta menyediakan petunjuk kepada fokus pengumpulan data. Ia juga mungkin menyediakan
soalan penting untuk temubual selanjutnya.
Mengumpul data melalui pemerhatian memerlukan kita merekodkan apa yang diperhatikan. Secara
umumnya, cara-cara yang boleh digunakan adalah seperti berikut:
Catatkan dengan tepat perkara-perkara yang berlaku seperti apakah yang dikatakan oleh guru atau
pelajar? apakah yang dilakukan oleh guru atau pelajar? apakah tugasan yang diberikan kepada
pelajar?
Gunakan singkatan untuk perkataan yang digunakan seperti P untuk pelajar, G untuk guru
Semak nota-nota yang dibuat selepas pemerhatian untuk memperbetulkan kesilapan atau membuat
komen
Bezakan catatan yang mengambarkan apa yang sebenarnya berlaku dan tafsiran yang dibuat
mengenai sesuatu situasi. Dicadangkan muka surat catatan dibahagikan kepada dua untuk catatan
yang berlainan.

48

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 49

Semasa menjalankan kajian, penyelidik akan terlibat dalam pelbagai pemerhatian. Protokol atau borang
untuk merekod maklumat adalah perlu untuk mencatatkan pemerhatian. Protokol boleh direka bentuk
dengan menggunakan sekeping kertas yang dibahagi kepada dua lajur bagi memisahkan nota deskriptif
dan nota reflektif. Nota deskriptif mengandungi deskripsi tentang informan, dialog, deskripsi latar fizikal,
pernyataan tentang peristiwa-peristiwa tertentu dan aktiviti-aktiviti. Nota reflektif pula memberi peluang
kepada penyelidik untuk merekod fikiran peribadi seperti spekulasi, perasaan, masalah, idea, impresi atau
prasangka (Bogdan dan Biklen, 1992, ms. 121). Juga dalam borang tersebut mungkin boleh dimasukkan
maklumat demografi yang berkaitan dengan masa, tempat dan tarikh yang menjelaskan tentang
tempat/latar kajian.
4.

Bahan Dokumen

Untuk memahami sejarah serta konteks persekitaran tempat kajian, satu daripada caranya adalah dengan
mengkaji dan menganalisis dokumen dan rekod yang berkaitan. Biasanya dokumen dan rekod tersebut
bukan sahaja mengandungi pelbagai maklumat statistik tentang pelbagai aspek kehidupan populasi yang
dikaji tetapi juga mengandungi maklumat tentang kepercayaan, budaya serta nilai yang dimiliki dan dianuti
oleh masyarakat tempat yang dikaji. Maklumat yang diperolehi daripada dokumen-dokumen tersebut boleh
menambah dan menjelaskan data dan maklumat yang diperolehi dan yang dianalisis melalui pemerhatian
dan temubual. Berbanding dengan pemerhatian dan temubual, pendekatan ini tidak menonjol dan tidak
mengganggu latar kajian. Bahan-bahan arkib biasanya merupakan rekod yang boleh digunakan untuk
memahami budaya komuniti yang dikaji, di samping dokumen-dokumen peribadi, dokumen rasmi dan tidak
rasmi. Kualiti dokumen-dokumen ini adalah pelbagai dan berbeza-beza. Sesetengah dokumen mungkin
mengandungi fakta-fakta terperinci tentang tarikh-tarikh tertentu. Sesetengahnya pula mungkin
mengandungi deskripsi tentang pemikiran dan kepercayaan masyarakat yang dikaji.
4.1

Bentuk dokumen

Bogdan dan Biklen (1998) merujuk istilah dokumen sebagai bahan-bahan seperti fotograf, video, filem,
memo, surat, diari, rekod kes klinikal serta memo dalam pelbagai bentuk dan jenis yang boleh digunakan
sebagai maklumat sokongan kepada temubual dan pemerhatian. Oleh itu istilah dokumen merangkumi
bahan-bahan bertulis yang pelbagai, bahan visual dan bahan fisikal yang relevan dengan kajian. Lincoln
dan Guba (1985) pula membezakan di antara dokumen dan rekod berasaskan kepada sama ada teks yang
disediakan itu ada unsur-unsur formal atau tidak. Bagi mereka rekod termasuklah misalnya sijil
perkahwinan, lesen memandu, perjanjian binaan dan kenyataan perbankan dan lain-lain. Manakala
dokumen pula disediakan untuk kegunaan peribadi, bukan untuk tujuan resmi, dan ia termasuklah misalnya
diari, memo, surat, nota lapangan dan lain-lain.
4.2

Menggunakan dokumen dalam kajian tindakan

Mencari bahan yang relevan dengan persoalan dan tujuan kajian adalah merupakan langkah awal dalam
proses menggunakan dokumen. Ia merupakan prosedur yang sistematik yang berkembang daripada topik
kajian. Kajian tindakan tentang pengajaran bilik darjah misalnya memerlukan dokumen seperti rancangan
mengajar, hasil tugasan pelajar, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, laporan
gred peperiksaan, laporan sekolah, penilaian guru dan sebagainya. Di samping bahan-bahan dokumen
yang boleh diperolehi di latar kajian, tempat atau lokasi lain yang boleh dirujuk adalah seperti perpustakaan,
arkib, pusat-pusat dokumentasi dan lain-lain. Mencari dokumen yang relevan dan sesuai banyak

49

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 50


bergantung kepada kreativiti dan kapasiti penyelidik bertanyakan soalan-soalan yang berkait dengan
permasalahan kajian. Oleh itu penyelidik perlu lah membuka minda dalam menyelongkar dokumen yang
berguna. Terbuka kepada sebarang kemungkinan yang boleh membawa kepada jumpaan yang tidak
diduga.
Apabila dokumen telah dikesan, keautentikannya perlu dinilai. Menentukan keautentikan dan ketepatan
dokumen adalah merupakan sebahagian daripada proses penyelidikan. Adalah menjadi tanggungjawab
penyelidik menentukan seberapa banyak yang boleh maklumat tentang dokumen, seperti asalnya dan
sebab-sebab ianya ditulis, penulis dan konteks di mana ianya ditulis. Mengikut Riley (1963) dalam Merriam
(2001), adalah penting ditentukan keadaan di mana data dihasilkan, apakah metodologi spesifik yang
digunakan serta keputusan teknikal yang dibuat dan kesan ke atas sifat dan bentuk data yang akan
digunakan. LeCompte dan Preissle (1993) pula mencadangkan yang penyelidik bertanyakan soalan seperti
apakah latarbelakang sejarah penghasilan dan penggunaannya? Bagaimana penggunaannya
diperuntukkan? Adakah pemilihannya bias? Adakah kemungkinan berlaku pemalsuan?
Guba dan Lincoln (1981) merujuk Clark (1967), menyenaraikan soalan yang penyelidik boleh kemukakan
tentang keautentikan dokumen:

Apakah sejarah dokumen?


Bagaimana ianya diperolehi oleh penyelidik?
Adakah dokumen lengkap sebagaimana asalnya?
Adakah ianya telah diubah atau diedit?
Sekiranya dokumen asli, di bawah keadaan apa dan untuk tujuan apa ianya dihasilkan?
Siapakah penulisnya?
Apakah yang penulis cuba hendak dikemukakan atau buktikan? Kepada siapa dokumen tersebut
ditujukan?
Apakah sumber-sumber maklumat yang digunakan? Adakah dokumen berasaskan perakuan
saksi, perakuan orang kedua, pembinaan semula peristiwa atau perkara sebelum data ditulis dan
diinterpretasi?
Adakah penciptanya bias?
Setakatmanakah kemungkinan penulis cuba menyatakan kebenaran?
Adakah dokumen lain wujud yang mungkin boleh menambahjelaskan cerita, peristiwa, projek,
konteks program? Jika ada, adakah ianya boleh didapati atau boleh diakses? Siapa yang
memilikinya? (ms. 238-239)

Selepas keautentikan dan bentuk dokumen atau artifak dinilai, penyelidik perlu mengadakan satu sistem
pengkodan dan pengkatalogan. Dengan adanya sistem pengkodan, ini akan memudahkan lagi penyelidik
mendapat akses kepada maklumat di peringkat analisis dan interpretasi.
4.3

Menginterpretasi bahan dokumen

Menginterpretasi bahan dokumen termasuk teks bertulis dan artifak memerlukan pertimbangan terhadap
definisi konteks dan masa. Apabila sesuatu teks itu dibaca dalam konteks yang berbeza, ianya akan diberi
makna yang baru dan biasanya bertentangan kerana ia ditafsirkan mengikut latar sosial di mana teks itu
dibaca. Oleh itu teks boleh digunakan bersama lain-lain bentuk bukti, dengan itu bias dan nilai tertentu
boleh difahami dan dibandingkan. Begitu juga dengan jenis-jenis teks yang berbeza perlu difahami dalam
konteks keadaan ianya dihasilkan, digunakan dan dibaca. Misalnya, penganalisis akan memberi perhatian
sama ada teks ditulis berdasarkan pengalaman sendiri atau daripada sumber sekunder, sama ada ianya
diminta untuk ditulis atau tidak, sama ada ianya diedit atau tidak, nama penulis dinyatakan atau hanya

50

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 51


nama samaran dan sebagainya (Webb, Campbell, Schwartz & Sechrest, 1966, dalam Ian Hodder, 2003).
Dengan ertikata lain, teks kerja lapangan perlu lah ditulis mengikut konteks masa yang spesifik. Bahan
akan berterusan diinterpretasi semula dalam kontek-konteks yang baru.
Kesimpulannya, dokumen boleh membekalkan maklumat yang berkaitan dengan isu atau masalah yang
dikaji. Ia merupakan bahan yang penting untuk memahami tujuan, rasional dan sejarah sesuatu program
atau dasar. Dokumen-dokumen yang dipilih mestilah berkaitan dengan tajuk kajian. Dokumen-dokumen
boleh terdiri daripada sukatan dan rancangan pelajaran, kertas peperiksaan dan ujian, minit mseyuarat,
contoh-contoh kerja pelajar. Dokumen juga boleh berbentuk bergambar/foto yang mana boleh memberi
gambaran sesuatu situasi dengan jelas seperti keadaan bilik darjah, susunan meja kerusi, pergerakan
pelajar dalam bilik darjah, kedudukan guru semasa bercakap atau bekerja.
5.

Menulis Diari

Catatan diari adalah penting dalam penyelidikan tindakan. Ia mengandungi catatan mengenai pemerhatian,
perasaan, tindakan, hipotesis dan penyelesaian sesuatu situasi yang boleh dibuat. Diari kajian adalah
merupakan rekod tentang penglibatan penyelidik dalam projek. Ianya mengandungi maklumat tentang
penyelidik, apa yang penyelidik buat dan proses penyelidikan. Ianya menokok kepada data yang diperolehi
melalui metod lain seperti pemerhatian, temubual dan lain-lain. Di antara sebab utama seseorang penyelidik
menyimpan diari kajian adalah:
untuk menjana latar sejarah projek, pemikiran penyelidik dan proses penyelidikan
untuk menyediakan bahan untuk refleksi
menyediakan data tentang proses penyelidikan
untuk merekod perkembangan kemahiran penyelidikan penyelidik
Penyelidik menggunakan diari kajian sebagai alat untuk membuat refleksi ke atas amalan kajian mereka.
Oleh itu, adalah penting menyimpan diari kajian sebagai satu cara untuk meneroka amalan penyelidikan
serta berkongsi maklumat bersama partisipan.
Adalah penting menulis diari secara berterusan. Sesuatu yang berkaitan dengan projek perlu dicatat setiap
hari semasa projek dijalankan untuk dijadikan bahan refleksi yang boleh meningkatkan lagi pemahaman
dan kesedaran tentang fokus kajian. Sesetengah orang menggunakan buku catatan sebagai diari mereka.
Umumnya diari boleh dalam bentuk bercetak atau pun letronik, bergantung kepada kemudahdapatan
bahan-bahan tersebut. Yang pentingnya, diari tersebut perlulah merekodkan perkembangan pemikiran dan
tindakan serta proses sebenar tentang amalan penyelidikan dan amalan reflektif penyelidik. Terdapat
pelbagai cara untuk menulis diari. Sesetengahnya mempunyai format yang berstruktur dan formal, mungkin
dalam bentuk borang-borang tertentu. Yang pentingnya, diari perlulah sesuai dengan gaya dan cara
seseorang pengkaji. Diari kadang-kadang agak personal. Untuk memudahkan diari direkod, bahagikan
kepada bahagian-bahagian mengikut proses kajian seperti Refleksi, Perancangan, Tindakan dan Penilaian.
5.1

Kandungan diari

Catatan diari harus mengandungi


tarikh peristiwa dan tarikh catatan dibuat
masa, lokasi, responden, fokus kajian
tajuk besar, tajuk kecil dan gariskan bahagian-bahagian penting untuk rujukan
bahan-bahan penting seperti gambar, salinan dokumen, kerja pelajar dan lain-lain dilekatkan
dalam diari untuk rujukan
Mengikut Hughes (1996), di antara perkara yang dicatat dalam diari adalah:
Ringkasan apa yang berlaku setiap hari semasa projek berjalan
51

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 52

Penulisan berkait dengan perbualan, perbincangan, temubual, perancangan sesi dan lain-lain
dengan rakan sekerja, rakan penyelidik, guru-guru, penyelia dan partisipan
Soalan-soalan dan topik untuk penyelidikan lanjut
Tekaan, ramalan, pemikiran, impian, angan-angan
Lukisan, Gambar rajah, peta minda
Pemerhatian
Refleksi tentang apa yang diperhati
Refleksi tentang apa yang dibaca dalam diari
Perancangan untuk tindakan atau kajian masa akan datang

Ringkasnya, tidak ada peraturan yang tetap tentang gaya, bahasa dan ejaan dalam menulis diari. Adakan
diari dalam bentuk dan gaya yang dirasakan sesuai dan berguna yang dapat membantu dalam membuat
refleksi tentang apa yang dibuat dan yang telah dibuat. Sekiranya kajian berjalan secara berkumpulan,
gunakan gaya dan format yang dipersetujui oleh kumpulan.
Secara umumnya, jelaskan 4 kualiti yang perlu ada pada sesuatu instrumen
pengumpulan data?
1. ____________________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________________
2. ____________________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________________
3. ____________________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________________
4. ____________________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________________
B.

Mengurus dan Menganalisis Data

Pengenalan
Data yang telah dikumpul melalui pelbagai kaedah dan teknik perlulah diuruskan dengan baik bagi
membentuk satu kerangka analisis dan interpretasi yang sesuai. Proses analisis data adalah penting dalam
proses kajian tindakan kerana ia melibatkan satu prosedur yang sistematik dan berterusan bagi
menyediakan asas untuk memberi makna kepada data tersebut. Oleh itu proses analisis data merupakan
satu proses meringkas, merumus dan mempersembahkan data yang telah dikumpul dalam cara yang tepat
dan boleh dipercayai. Ini diikuti dengan proses menginterpretasi yang melibatkan cubaan mencari makna
dan implikasi daripada data yang telah dianalisis. Bab ini akan cuba menjelaskan prosedur dan proses
mengurus, menganalisis dan menginterpretasi data yang dikumpul melalui temubual, pemerhatian, tinjauan
dan analisis dokumen yang lebih merupakan data kualitatif.

52

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 53

Menganalisis data adalah merupakan satu proses untuk memahami data. Pada asasnya kita cuba untuk
menjawab soalan kajian melalui data yang dikumpul dan dianalisis. Sama ada data berbentuk numerik
atau pun perkataan, tugas menganalisisnya adalah sama. Kita cuba untuk melihat trend, pola dan tema.
Bagi Sagor (2000), terdapat dua soalan utama yang penyelidik kajian tindakan boleh gunakan sebagai
panduan. Soalan-soalan tersebut adalah:
Apakah cerita yang terkandung dan tersirat dalam data?
Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi cerita secara signifikan?
Faktor yang penting dalam analisis data kajian tindakan adalah refleksiviti penyelidik iaitu kebolehan
penyelidik berfikir dan mereflek secara kritikal tentang apa yang telah dikumpul dan apa yang masih
diperlukan.
Dalam kajian tindakan, penyelidik harus mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menganalisis data
sama ada dalam bentuk data kuantitatif atau data kualitatif. Pada umumnya, kajian tindakan akan
mengintegrasikan kedua-dua bentuk data berkenaan untuk mendapatkan keputusan yang boleh dipercayai
dan sah pada kajian berkenaan sahaja. Oleh yang demikian penyelidik kajian tindakan haruslah dapat
memahami konsep statistik dengan baik Statistik boleh dibahagikan kepada statistik huraian, iaitu statistik
yang menghuraikan ciri-ciri sampel, dan statistik inferen iaitu statistik yang membuat rujukan tentang
populasi berdasarkan sampel. Memandangkan kajian tindakan yang dijalankan oleh guru kebanyakannya
menggunakan statistik huraian dalam menganalisis dan menghuraikan dapatan kajian, maka modul ini akan
memberi tumpuan kepada statistik huraian sahaja.
3.2

Data Kuantitatif

3.2.1

Data Penyelidikan

Bhasah (2007) menjelaskan bahawa data merupakan fakta, maklumat atau angka yang membolehkan kita
membuat huraian atau ringkasan tentang sesuatu (perkara yang menjadi kajian). Ia boleh didapati dari guru
sekolah, pelajar, ibubapa dan mereka yang terlibat dengan kajian yang bakal dibuat. Oleh itu data perlu
disusun mengikut satu organisasi yang tertentu agar ia dapat memberikan satu gambaran khas tentang
perkara berkenaan. Data yang tidak tersusun tidak akan memberi apa-apa makna hanya setakat maklumat
yang terpisah-pisah dari satu dengan yang lain. Data mempengaruhi jenis statistik yang akan digunakan.
Data parametrik atau data bukan parametrik boleh digunakan untuk sesuatu ujian tertentu sahaja dan
begitu juga dengan data yang bukan parametrik. Sebagai contoh, data parametrik boleh diugnakan dengan
ujian ANOVA atau ujian-t dan data bukan parametrik boleh digunakan dengan ujian Khi kuasa dua.
3.2.2

Kategori Data

Data boleh dikategorikan kepada data primari dan data sekunder. Data primari didapati hasil dari soal-jawab
atau borang soalselidik yang diedarkan kepada partisipan untuk dijawab. Prosedur mendapatkan data
primari adalah mahal dan mengambil masa yang panjang. Proses untuk mendapatkan data primari
melibatkan: pertamanya ialah menentukan apakah masalah penyelidikan yang ingin dikaji diikuti pula
dengan pembentukan soalan kajian supaya senang kita mengetahui apa sebenarnya yang hendak dikaji.
Kemudian diikuti pula dengan pembentukan rekabentuk penyelidikan, pemungutan data, penyediaan data
dan analisis dan akhir sekali penyediaan laporan dan pembentangannya di seminar atau di konferen yang
berkaitan dengan hasil penyelidikan yang perlu dibentangkan. Data sekunder pula merupakan data yang
telah terkumpul untuk satu-satu tujuan. Data ini boleh didapati dengan cepat, mudah dan murah. Data ini
boleh didapati dari Jabatan Statistik Negara, Laporan Rancangan Malaysia atau dari Lembaga Peperiksaan

53

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 54


Malaysia yang setiap tahunnya menyediakan laporan pencapaian pelajar dalam setiap mata pelajaran
mengikut tahun, jenis peperiksaan, ras, jantina, kawasan dan sebagainya.
3.2.3

Jenis-jenis Data

Penjenisan data adalah bergantung kepada bagaimana data berkenaan didapati. Jika data didapati secara
pengukuran maka data itu dinamakan sebagai data pengukuran dan seterusnya data bilangan, data
pangkatan dan data klasifikasi. Data juga boleh diklasifikasikan sebagai data metrik atau bukan metrik. Data
metrik adalah data yang unitnya adalah selanjar atau berterusan, manakala data bukan metrik adalah data
yang berkategori. Contoh data metrik: markah bagi sesuatu ujian bulanan calon, berat bahan, skor sesuatu
pertandingan dan sebagainya. Data bukan metrik pula seperti bangsa atau dalam bentuk kekerapan.
Pelajar harus dapat membezakan data metrik dari data bukan metrik. Data yang digunakan akan
menentukan jenis statistik yang boleh digunakan. Sebagai contoh: data metrik hanya boleh digunakan untuk
pembolehubah bersandar dalam ujian-t, ANOVA dan Regresi. Manakala data bukan metrik kerap
digunakan dalam ujian Khi kuasa dua. Data boleh didapati daripada berbagai cara. Data boleh diperoleh
secara pemerhatian, temuduga dan secara soalselidik. Seperti yang dinyatakan tadi, data memainkan
peranan dalam menentukan jenis ujian statistik yang bakal digunakan untuk menjawab sesuatu soalan
penyelidikan.
3.2.4

Skala Pengukuran

Dalam pengukuran, kita mempunyai dua jenis pembolehubah yang asas iaitu: (a) Jenis kuantitatif dan (b)
Jenis kategori. Kedua-dua jenis pembolehubah yang dinyatakan ini boleh diukur menggunakan skala
nominal, ordinal, sela atau nisbah. Adalah penting bagi penyelidik mengetahui pengkelasan data yang
mereka gunakan. Tidak semua jenis data boleh digunakan dengan ujian-t, ANOVA, khi kuasa dua, regresi
dan sebagainya. Setiap data itu adalah sesuai digunakan dengan satu atau lebih jenis ujian statistik yang
tertentu sahaja.
Skala Nominal. Skala nominal adalah skala pengukuran yang paling mudah dan merupakan bentuk
pengukuran yang paling rendah boleh digunakan oleh ahli penyelidik. Skala nominal digunakan untuk
pengenalan atau membentuk nombor bagi menunjukkan kategori yang berlainan. Skala nominal boleh
digunakan untuk pembolehubah seperti: bangsa, agama, warna, jenis bangunan, jenis perkerjaan dan
sebagainya. Sebagai contoh: Guru ingin membahagikan ras pelajar dalam kelasnya kepada beberapa
kategori. Nombor 1 kategori Melayu, nombor 2 kategori Cina, nombor 3 kategori India dan nombor 4 lainlain ras. Pemberian nombor 1, 2, 3 atau 4 dan selanjutnya adalah untuk memudahkan pengklasan ras
dalam analisis komputer. Ini tidak bermakna 1 lebih baik atau superior dari 2 dan 2 pula lebih baik dari 3
dan seterusnya. Ia hanya melambangkan kumpulan bagi sesuatu pembolehubah, seperti contoh yang
diberikan ialah ras.
Skala Ordinal
Pengukuran menggunakan skala ordinal menyusun data daripada yang rendah kepada
yang tinggi atau daripada yang lemah kepada yang cemerlang atau satu susunan yang melambangkan satu
bentuk hiraki.
Contoh
Guru mungkin menyusun skor yang didapati dalam Ujian Bahasa Melayu dari markah yang tertinggi kepada
markah yang terendah sekali. Skala ordinal hanya menyusun mengikut hiraki. Susunan ini melambangkan
perbezaan atau kedudukan sesuatu individu relatif kepada sesuatu individu yang lain.
Skala Sela. Pengukuran yang menggunakan sekala sela mempunyai semua ciri ordinal dan ditambah pula,
di setiap titik dalam skala berkenaan mempunyai jarak yang sama. Skala sela memberikan sela sama
daripada titik origin yang arbitrari. Ini bermakna skala sela mempunyai ciri-ciri nominal dan ordinal,

54

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 55


terutamanya ciri-ciri pangkatan. Jarak numerik yang sama di atas skala sela menggambarkan jarak yang
sama pada ciri yang diukur.
Contoh
Sekarang cuba kita lihat perbezaan IQ 60 dengan IQ 70, perbezaannya hanya 10 poin. Begitu juga IQ 120
dengan IQ 130, perbezaannya sama iaitu 10 poin juga. Seandainya kita percaya skor berkenaan adalah
skala sela, kita mestilah mengandaikan juga perbezaan 10 poin mempunyai makna yang sama pada lokasi
yang berbeza di atas skala tadi.
Skala Nisbah Aras tertinggi dalam pengukuran ialah pengukuran menggunakan skala nisbah. Skala
nisbah mempunyai ciri-ciri nominal, ordinal dan sela serta mempunyai nilai mutlak sifar yang mempunyai
makna empirikal. Nombor pada skala menunjukkan amaun atau ciri sebenar yang diukur. Seandainya skala
nisbah untuk pencapaian wujud, maka bolehlah kita katakan pelajar yang mendapat markah 80 adalah dua
kali lebih pencapaiannya dengan pelajar yang mendapat markah 40. Dalam keadaan sebenarnya, kedaan
ini tidak wujud.
3.2.5

Taburan Kekerapan

Taburan kekerapan menggambarkan bilangan partisipan bagi sesuatu skor. Kaedah ini amat berkesan
sekiranya sebaran skor adalah kecil tidak melebihi 50 partisipan. Seandainya melebihi 50 partisipan, maka
taburan kekerapan data berkumpulan adalah lebih baik digunakan. Contoh taburan kekerapan:
Jadual 3:
Jantina

3.2.6

Kekerapan Jantina
Kekerapan

Peratusan (%)

Lelaki

98

40.2

Perempuan

146

59.8

Jumlah

244

100.0

Statistik Huraian

Dalam konteks kajian tindakan guru, biasanya banyak statistik huraian yang digunakan untuk menganalisis
dan menghurai data. Statistik huraian membolehkan penyelidik membuat satu organisasi data,
merumuskan data dan menghuraikan cerapan bagi sesuatu sampel atau populasi. Statistik yang selalu
digunakan adalah kekerapan, min dan sishan piawai bagi menghuraikan tentang data yang dikumpul. Data
dipersembahkan dalam bentuk jadual, graf atau pun carta. Ini adalah disebabkan kebanyakan kajian
tindakan guru adalah berbentuk deskriptif, jarang berbentuk inferensi dan pengujian hipotesis.
4.

Mengurus dan Menganalisis Data Kualitatif

Dalam konteks data kualitatif, proses analisis data pada asasnya adalah merupakan proses yang
berterusan dan non-linear. Ia merupakan prosedur analitik yang melibatkan pemeriksaan makna ke atas
kata-kata dan tindakan manusia. Memberi makna kepada data melibatkan cantuman pelbagai data,
pengkelasan data mengikut kategori atau tema yang sesuai dan tepat, dan interpretasi tentang apa yang
manusia kata dan apa yang penyelidik lihat dan baca. Analisis data merupakan proses yang kompleks
yang melibatkan pertimbangan antara data yang konkrit dengan konsep abstrak, antara penaakulan induktif

55

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 56


dan deduktif, antara deskripsi dan interpretasi (Merriam, 2001) Dengan ertikata lain, analisis data adalah
merupakan proses mengatur, menstruktur dan menginterpretasi data yang telah dikumpul. Mengikut
Strauss & Corbin (1997), ia adalah merupakan proses yang bercelaru, kabur, memakan masa, kreatif dan
menarik. Ia tidak berlaku dalam keadaan yang linear, tetapi sentiasa berlaku proses meneliti semula,
mendefinisi dan mengkategori semula bagi mendapatkan analisis dan interpretasi yang tepat dan
bermakna.
Analisis data biasanya meneroka perhubungan antara kategori-kategori yang signifikan
berkaitan dengan sesuatu perkara, manusia atau peristiwa serta sifat-sifat dan nilai-nilai yang mencirikan
mereka. Dapatan kajian boleh berbentuk pernyataan deskriptif yang tersusun, tema-tema atau kategorikategori yang merentas data atau dalam bentuk model dan teori yang menerangkan data.
4.1

Peringkat Analisis Data Kualitatif

Terdapat beberapa pendekatan atau tradisi teoretikal yang boleh dipilih dalam menganalisis data yang
sesuai dengan tujuan dan persoalan kajian. Walaupun pelbagai cara boleh digunakan dalam menganalisis
data kualitatif, namun terdapat proses yang umum yang boleh dijadikan panduan untuk menganalisis data
kualitatif. Biasanya, analisis data kualitatif melalui sebahagian besar ataupun kesemua peringkat-peringkat
berikut:
Mengenali dan memahami data melalui semakan, bacaan dan mendengar data-data yang telah
dikumpul
Transkripsi bahan-bahan yang telah dirakam
Menyusunatur dan membuat indeks ke atas data untuk memudahkan proses mencari dan
mengenalpasti data
Melindungi data-data yang sensitif
Pengkodan
Pengenalpastian tema-tema
Pengkodan semula
Pembentukan kategori-kategori provisional/awalan
Meneroka perhubungan di antara kategori
Pembaikan tema dan kategori
Pembentukan teori dan memasukkan pengetahuan yang ada
Menulis laporan
(Othman, 2006)

Pada umumnya, proses mengurus dan menganalisis data berbentuk kualitatif mengikut langkah-langkah
seperti berikut:
Proses mentranskripsi data temubual, rakaman video atau nota lapangan misalnya tidak memadai dengan
menuliskan ringkasan daripada rakaman temubual yang diadakan. Ia boleh menyebabkan penyelidik bias
terhadap perkara-perkara yang dikira relevan dan menarik sahaja. Perkara-perkara yang berbentuk
petunjuk-petunjuk bukan lisan yang mungkin memberi tanda-tanda seperti tekanan perasaan atau malu;
ketawa atau gerak badan mungkin dapat memberikan makna yang lebih kepada apa yang diperkatakan. Ini
semua perlu dimasukkan ke dalam transkrip. Sekiranya diupah seseorang untuk mentranskripsikan data
temubual, adalah penting diberitahu tentang perlunya dimasukkan petunjuk-petunjuk bukan lisan ini.
Tesch (1990) memberikan panduan umum tentang menganalisis data daripada transkrip temu bual seperti
berikut:

56

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 57


i.
Dapatkan gambaran keseluruhan. Baca semua transkrip dengan teliti. Tuliskan idea-idea yang
timbul dari semasa ke semasa
ii.
Pilih satu transkrip - mungkin yang paling menarik, yang terpendek atau yang teratas sekali. Baca
keseluruhannya dan cuba dapatkan makna di sebalik apa yang diperkatakan. Melihat apa yang tersirat.
Tuliskan nya di ruangan margin kiri atau kanan
iii.
Selepas selesai meneliti beberapa transkrip, sediakan senarai semua topik-topik. Kelompokkan
mengikut topik yang sama. Bentukkan lajur untuk meletakkan topik yang utama, atau yang unik dan yang
selebihnya.
iv.
Kemudian, kembali kepada data selanjutnya. Tukarkan topik kepada kod-kod tertentu dan tuliskan
kod kepada segmen yang sesuai dalam transkrip. Cuba cara yang sama kepada data temubual selanjutnya
untuk melihat kategori atau kod baru daripada data
v.
Lihat topik yang mempunyai deskripsi yang jelas dan terbaik dan jadikannya kategori-kategori.
Kurangkan jumlah kategori dengan mengelompokkan topik-topik yang berkaitan antara satu sama lain.
Mungkin boleh dilukiskan garisan antara kategori-kategori untuk memperlihatkan hubungannya.
vi.
Buat keputusan muktamad tentang abbreviasi untuk setiap kategori dan jadikan kod mengikut
huruf-huruf tertentu.
vii.
Kumpulkan data mengikut kategori-kategori dan jalankan analisis, jika perlu, buat pengkodan
semula keatas data yang sedia ada (ms. 142 - 145)
Langkah-langkah yang dicadangkan oleh Tesch di atas merupakan proses sistematik yang dijalankan oleh
penyelidik dalam menganalisis data temubual. Sudah tentu terdapat variasi dalam proses tersebut.
Misalnya, sesetengah penyelidik mungkin merasakan sangat berguna untuk mewarnakan kod-kod yang
berbeza di atas transkrip. Juga menandakan kenyataan-kenyataan (quotes) yang menarik dan berguna
yang boleh dimasukkan dalam naratif kemudiannya. Setengah penyelidik pula mungkin membentuk
senarai kategori-kategori yang menggambarkan tema-tema major dan tema-tema minor dalam data. Satu
senarai mungkin merupakan maklumat spesifik yang menunjukkan pertentangan dengan tema-tema yang
timbul. Proses menyusunatur maklumat mungkin dijalankan dengan menggunakan fail, kad fail atau
perisian komputer (Merriam, 1988).
Secara ringkasnya aliran proses analisis data ini adalah seperti berikut:

Pengkodan kategori serentak dengan


membandingkan merentas kategori-kategori

Pembaikan (refinement) kategori-kategori

Penerokaan perhubungan dan pola


merentas kategori-kategori

57

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 58

Penyepaduan data yang menghasilkan pemahaman


tentang manusia dan latar-latar yang dikaji

4.2

Interpretasi Data

Setelah data dianalisis dan dipersembahkan dalam bentuk-bentuk yang sesuai, data-data tersebut perlu
diinterpret bagi menjelaskan makna serta menunjukkan implikasi dan kesannya. Interpretasi data berlaku
apabila kita bergerak melangkaui deskripsi dan cuba membuat sesuatu kenyataan tentang makna pelbagai
tindak balas dan mencadangkan perhubungan antara data. Proses interpretasi ini melibatkan penyelidik
mengambil risiko dan membuat tekaan/ramalan yang mungkin kadang-kadang terbabas daripada makna
atau maksud asalnya. Namun begitu sebagai penyelidik kita perlu melakukannya bagi menunjukkan
kesignifikanan serta kesan kajian yang dilakukan. Terdapat beberapa teknik yang biasa digunakan untuk
menjalankan interpretasi data, terutama data berbentuk kualitatif. Mills (2003) telah menjelaskannya seperti
berikut:
i.

Melanjutkan analisis

Teknik yang cuba menimbulkan beberapa soalan tentang kajian. Soalan-soalan yang mungkin tidak
ditanya dalam persoalan kajian awal, yang mungkin boleh menjadi asas dalam kajian tindakan seterusnya.
ii.

Kaitkan dapatan dengan pengalaman peribadi

Pengalaman yang dilalui oleh penyelidik menjalankan kajian tindakan dalam kelasnya dapat membantunya
memberikan interpretasi ke atas data. Interpretasi yang berasaskan kepada pemahaman dan pengetahuan
penyelidik tentang sekolah, bilik darjah dan pengajaran dan pembelajaran.
iii.

Dapatkan pandangan rakan kritikal

Kadang-kadang kita mungkin mengalami kesukaran untuk memfokuskan interpretasi yang ingin dilakukan
atau kadang-kadang dalam membuat interpretasi kita terlepas pandang perkara-perkara tertentu yang
mungkin penting, maka pandangan alternatif bolehlah didapati daripada rakan sekerja yang boleh
memberikan pandangan dari sudut yang mungkin berbeza. Rakan sekerja atau rakan kritikal ini mungkin
terdiri daripada mereka-mereka yang bekerja bersama dalam kajian, atau rakan sekerja atau merekamereka yang tidak pernah kita temui secara bersemuka tapi merupakan rakan yang kita sering berbual
melalui internet. Juga mungkin kita boleh bertanyakan informan kajian seperti pelajar, ibubapa, guru-guru,
pentadbir untuk mendapatkan pandangan mereka.
iv.

Meletakkan dapatan dalam konteks literatur

Membincangkan dapatan kajian dengan mengaitkannya dengan bahan-bahan literatur yang relevan dengan
topik kajian. Ini merupakan satu cara yang berguna bagi melihat kaitan dapatan kajian dengan asas
pengetahuan yang telah berkembang dalam topik kajian. Membuat perkaitan dengan literatur yang ada
juga merupakan satu cara penyelidik berkongsi dengan rakan-rakan sekerja yang lain tentang fokus kajian

58

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 59


serta dalam masa yang sama menghargai sumbangan penyelidik guru dalam pemahaman ke atas topik
yang dikaji.
v.

Kaitkan dengan teori

Teori dalam definisinya yang mudah adalah an analytical and interpretive framework that helps the
researcher make sense of what is going on in the social setting being studied (Mills, 1993, p.103). Dengan
ertikata lain teori berfungsi dalam menyediakan cara untuk penyelidik mengaitkan kajiannya dengan isu-isu
yang lebih luas. Teori juga membolehkan pengkaji mencari tahap abstraksi yang lebih tinggi, yang bergerak
melampaui pernyataan deskriptif. Di samping itu, teori juga menyediakan rasional atau asas makna kepada
kajian yang dilakukan. Maka adalah lebih bermakna sekiranya data yang dianalisis itu dapat
diinterpretasikan dalam konteks teori yang berkaitan. Sebagai guru, kita sentiasa menggunakan dan
dipengaruhi oleh teori-teori pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan. Maka pengkaji bolehlah
menggunakan teori-teori tersebut dalam membuat interpretasi ke atas data yang dikumpul.
Kesimpulannya, interpretasi data berlaku apabila kita bergerak melangkaui deskripsi dan cuba membuat
sesuatu kenyataan tentang makna pelbagai tindak balas dan mencadangkan perhubungan antara data.
Akhirnya kita membina model data kajian dengan cuba mendapatkan gambaran yang lebih luas dengan
menggabungkan pelbagai indikator dan tema yang dapat melihat pertalian antara tema dengan lebih jelas.

RUMUSAN
Proses pengumpulan dan analisis data sama ada data kuantitatif atau data kualitatif adalah merupakan
proses yang kompleks dan memerlukan masa yang banyak. Soal mengumpul dan menguruskan proses
analisis data ini adalah penting diberi perhatian supaya penyelidik tidak lemas dalam lambakan data yang
banyak. Dalam konteks kajian tindakan, pelbagai teknik pengumpulan data boleh digunakan bergantung
kepada tujuan kajian dan jenis data yang diperlukan. Soal selidik, ujian, dokumen, diari, pemerhatian dan
temubual adalah di antara teknik yang biasa digunakan. Sama ada analisis data dijalankan serentak
dengan pengumpulan data atau analisis data dijalankan selepas semua data yang relevan telah
dikumpulkan, kedua-duanya memerlukan organisasi data yang kemas dan sistematik. Bagi data kuantitatif,
biasanya statistik huraian banyak digunakan dalam kajian tindakan untuk menghurai, menjelas dan
menerangkan tentang data yang dikumpul. Bagi data kualitatif pula, transkrip temubual, nota lapangan,
fotograf, video, dokumen serta lain-lain bahan sumber perlu diberi kod pengenalan yang memudahkannya
diperolehi atau diakses semula. Semua data perlu diberikan tarikh perolehan, petunjuk tentang konteks,
serta punca sumber (yang biasanya dirahsiakan) dengan menggunakan nama atau label samaran. Satu
senarai data yang lengkap kemudiannya boleh disediakan dan digunakan sebagai rujukan sepanjang
proses analisis. Proses pengkodan pula boleh dibuat dengan pelbagai cara mengikut tahap analisis yang
perlu dilakukan. Biasa nya terdapat dua cara yang dilakukan iaitu cara potong dan tampal dan cara
pengkodan warna. Dalam banyak hal, kedua-dua cara tersebut boleh digabungkan untuk memudahkan
analisis dijalankan.

KATA KUNCI
1.
2.
3.
4.
5.
6.

Pengumpulan data
Teknik dan kaedah
Analisis data
Interpretasi data
Data kuantitatif
Data kualitatif

59

Kajian Tindakan Dalam Pendidikan 60

PENILAIAN KENDIRI
1.
Instrumen yang digunakan dalam pengumpulan data mestilah mempunyai tahap kesahan dan
keboleh percayaan yang sesuai. Apakah yang anda faham tentang kesahan dan keboleh percayaan?
2.
Apakah perbezaan yang ketara di antara data kuantitatif dan data kualitatif? Apakah teknik-teknik
pengumpulan data yang biasanya digunakan untuk mengumpul data kuantitatif dan data kualitatif?
3.
Kajian tindakan tidak begitu mementingkan generalisasi. Oleh kerana itu, analisis yang digunakan
biasanya banyak menggunakan statistik huraian sahaja. Apakah pandangan anda mengenai perkara ini?

RUJUKAN
Ary. D., Jacobs. L.C dan Razavieh. A (2002). Introduction to research in education. (6th ed.).
Wadsworth/Thompson Learning.Belmont: California.
Bhasah Abu Bakar (2007). Kaedah analisis data penyelidikan ilmiah. Siri Pengajian dan Pendidikan Utusan.
Utusan Publications & Distributors Sd. Bhd. Kuala Lumpur.
Bogdan, R.C. & Biklen, S.K., (1998) Qualitative Research for Education, An Introduction to Theory and
Methods, 3rd Ed., Boston:Allyn & Bacon
Cohen, L., Manion, L., & Morrison, K. (2003). Research methods in education (5th ed.).
New York: RoutledgeFalmer.
Creswell, J.W. (2003) Research Design: Qualitative, Quantitative and Mixed Methods Approaches (2nd Ed.),
Thousand Oaks:Sage
Fontana, A., & Frey, J.H., The Interview: From Structured Questions to Negotiated Text, dalam Denzin &
Lincoln, (2003)(eds) Collecting and Interpreting Qualitative Materials, 2nd Ed., Thousand Oaks:Sage
Miles, M.B., & Huberman, A.M. (1994) Qualitative Data Analysis: An Expanded Sourcebook (2nd ed.)
Thousand Oaks, CA.:Sage
Othman Lebar, (2007). Penyelidikan Kualitatif: Pengenalan kepada teori dan metod, Tanjong Malim:
Penerbit UPSI
Schensul, S.L., Schensul, J.J. & LeCompte,M.D., (1999) Essential Ethnographic Methods, Ethnographers
Toolkit, New York:Altamira Press

60

Anda mungkin juga menyukai