Anda di halaman 1dari 2

MASYARAKAT PUNCA ZIKA MENULAR

NEGARA kita Malaysia adalah rantau geografi yang memiliki iklim, taburan hujan,
kelembapan serta persekitaran yang sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes aegypti.
Suka atau tidak suka, kita semua berada dalam zon yang terdedah kepada
penyakit-penyakit yang dibawa oleh serangga tersebut.
Selain Denggi dan Chikungunya, Aedes juga adalah pembawa demam kuning iaitu
penyakit yang sering melanda rantau tropika Afrika. Terkini iaitu pada 1 September
2016, melalui kenyataan rasmi Menteri Kesihatan mengesahkan penemuan kes Zika
pertama negara yang juga penyakit berjangkit yang disebarkan melalui gigitan
nyamuk Aedes.
Zika mempunyai gejala dan tanda klinikal hampir sama seperti demam denggi namun
terdapat perbezaan dari segi keseriusan, komplikasi kepada kehamilan serta tempoh
yang lebih lama kewujudan virus penyebab dalam tubuh individu yang dijangkiti.
Bukti saintifik menunjukkan kuman penyebab Zika boleh berada dalam tubuh
individu yang dijangkiti sehingga lebih tiga bulan, dan turut dikesan di dalam kelenjar
air liur dan juga air kencing. Reaksi imuniti terhadap penyakit ini buat masa ini masih
dikatakan seperti denggi iaitu individu berkenaan terlindung oleh antibodi yang
dihasilkan sekali gus melindunginya untuk jangkitan akan datang.
Unik mengenai Zika, selain gigitan Aedes, ia juga mampu disebarkan melalui ibu
mengandung kepada kandungan janinnya, melalui pemindahan darah dan terdapat
dokumentasi saintifik ia turut berpotensi ditularkan melalui hubungan seks. Oleh itu
kita dapati, kawalan dan pencegahan untuk penyakit yang secara rasminya
didokumentasikan pertama kali di negara kita pada hari ini mencakupi aktiviti yang
agak luas serta komitmen sepenuhnya dari setiap individu masyarakat. Perbincangan
mengenainya akan diperincikan dalam artikel akan datang.
Seperti yang kita tahu, Malaysia mula dilanda wabak denggi pada awal tahun 70an
dahulu. Sejak wabak demi wabak dikenal pasti, kita terus menghadapi masalah
kesihatan yang diakibatkan oleh jangkitan nyamuk Aedes. Kita belajar dari
pengalaman bahawa disebabkan persekitaran cuaca kita yang sesuai untuk pembiakan
spesis nyamuk tersebut, cerapan di persekitaran mendapati andai terdapat sebarang
faktor tambahan menyebabkan bertambahnya pembiakan nyamuk Aedes, wabak
denggi jika berlaku bakal meleret serta sukar untuk dibendung.
Antara faktor-faktor berkenaan termasuklah sampah-sarap yang tidak dibuang, rumah,
kawasan terbiar, aktiviti pembinaan serta kebersihan alam sekitar yang tidak diambil
berat. Selain itu, kepadatan dan mobiliti (pergerakan keluar masuk) penduduk, lokasi
penempatan pekerja warga asing serta bilangan institusi pendidikan yang
menyediakan asrama penempatan pelajar.
Kajian mendapati sampah di persekitaran berperanan dalam penyebaran denggi.
Kajian universiti tempatan sebelum ini mendapati hampir 70 peratus pembiakan
nyamuk Aedes terdapat dalam sampah-sampah plastik yang bersepah di sekitar.
Selain itu, melalui cerapan persepsi dari mereka yang tinggal di sesuatu tempat
menganggap tanggungjawab membersihkan alam sekitar adalah tanggungjawab pihak
pengurusan.

MASYARAKAT PUNCA ZIKA MENULAR


2

Mereka yang tinggal secara sementara di sesuatu tempat juga biasanya tidak
menganggap kediaman sementara mereka itu milik mereka yang perlu dijaga dan
dipelihara kebersihannya.
Apatah lagi untuk peduli akan sampah yang bergelimpangan, bilik air atau tandas
terbiar tidak dibersihkan. Pernah dijalankan satu program gotong royong bersama
komuniti setempat yang majoriti penduduknya merupakan pelajar antarabangsa, ia
langsung tidak mendapat sambutan dari mereka yang tinggal di situ. Lokaliti itu
sebaliknya terus menjadi lokaliti hotspot wabak denggi hingga ke hari ini.

Isu utama yang terlibat dalam menangani wabak penyakit akibat nyamuk Aedes ini
ialah kebergantungan majoriti ahli dalam masyarakat kepada sistem mekanikal secara
automatik seperti semburan kabus (fogging) serta menyerahkannya kepada pihak
yang berkenaan untuk menanganinya.
Hakikat yang perlu kita sedari adalah komitmen dan penglibatan diri kita sendiri.
Perhatian perlu ditumpukan kepada kaedah pencegahan yang mampu kita lakukan dan
bagaimana tindakan tersebut boleh kita lakukan. Tindak balas tingkah laku ini
sebenarnya bergantung kepada sikap dan amalan seseorang, satu motivasi yang
menentukan apakah dirinya memandang isu kawalan denggi sebagai sesuatu yang
perlu diambil peduli atau sebaliknya.
Kementerian Kesihatan melalui hebahan media dari semasa ke semasa mengesyorkan
cara terbaik untuk mencegah penyakit bawaan Aedes adalah agar masyarakat untuk
lebih peka dengan kebersihan sekeliling. Satu usaha yang sebenarnya perlu disambut
oleh masyarakat secara positif serta persediaan sikap untuk menerimanya sebagai
amalan untuk segera dilakukan, secara berterusan.
Langkah pencegahan itu pula adalah langkah yang perlu dilakukan secara berterusan
dengan menumpukan fokus terhadap setiap individu untuk mengelakkan diri mereka
daripada jatuh sakit. Sudah pasti, untuk mengelakkan diri dari dijangkiti, anda perlu
mengelakkan diri dari digigit nyamuk. Sebelum digigit nyamuk, kita perlu pula
berusaha mengurangkan semua potensi pembiakan nyamuk di persekitaran.
Sebenarnya, masyarakat perlu mendahulukan aspek menjaga kebersihan sekitar,
memusnahkan tempat berpotensi untuk pembiakan Aedes, melindungi diri,
memelihara struktur rumah dengan alat perangkap nyamuk dewasa, binaan kalis dari
pembiakan dan kemasukan nyamuk dewasa, berbanding mengharapkan aktiviti
semburan kabus.Masyarakat adalah kunci penggerak menangani dan mencegah
penyakit bawaan nyamuk Aedes. Namun, masyarakat itu ialah kita. Di mana jua kita
berada, tanggungjawab itu adalah milik kita bersama, bukan dihalakan pula pada
orang lain dengan anggapan kita ini bukan sebahagian dari mereka.
PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN
ialah Pakar Kesihatan Masyarakat (Epidemiologi dan Biostatistik) Jabatan
Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Putra Malaysia (UPM).
UTUSAN ONLINE-3 September 2016 6.05 p.m.

Anda mungkin juga menyukai