Anda di halaman 1dari 6

Dari Prof Sidek Baba, UIA:- CABARAN KEPADA PEMAJUAN

KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN SAHSIAH PELAJAR MELAYU DI


INSITUSI PENGAJIAN TINGGI
PENDAHULUAN
Isu mengenai prestasi pelajar Melayu di Institusi Pengajian Tinggi telah lama menarik
perhatian banyak pihak. Kajian dan seminar diadakan bagi mencari sebab mengapa
pelajar Melayu tidak mencapai tahap kecemerlangan seperti yang diharapkan. Terlalu
banyak faktor yang dikemukakan dan dianalisis mengapa perkara ini berlaku. Ada yang
mengaitkannya dengan faktor genetik, persekitaran, budaya, sikap kebergantungan,
orientasi hidup, pola psikik, tekanan (stress) dan berbagai lagi. Dan, bagi saya sendiri
merasakan terdapat korelasi yang rapat di antara sikap, perwatakan dan sahsiah
mengenai kecemerlangan pelajar Melayu itu sendiri adalah masalah-akar yang perlu
ditangani.

FOKUS SUBJEK
Berbicara tentang sahsiah dan personalia, ianya tidak harus disempitkan dalam batas
yang bersifat zahiri atau fizikal semata. Sahsiah dan personalia bukan hanya
memperlihatkan bentuk luaran tetapi merangkumi aspek isi (dalaman) dan kelakuan.
Sahsiah dan personalia mencakup pembentukan watak yang menampilkan
kecemerlangan intelek dan ilmu, keteguhan rohaniah dan ketangkasan jasmaniah.
Faktor-faktor ini sangat penting kerana corak cabaran kini dan masa depan bukan
berligar sekitar persoalan ilmu dan sains sahaja tetapi menyangkut faktor-faktor
kemanusiaan, nilai, etika dan juga peradaban. Secara kuantitatif faktor akademik boleh
diukur tetapi faktor kualitatif yang bersifat kelakuan memerlukan pendekatan yang
tersendiri untuk mengukurnya.
Lazimnya pencapaian akademik menjadi ukur tara mutlak bagi subjek ini. Tumpuan
lebih banyak diberikan kepada gejala (simptom) daripada suatu proses. Tidak banyak
fokus diberi kepada akar-masalah kepada isu berbangkit. Biasanya pendekatan gejala
ini lebih menghasilkan kecenderungan menghukum dan menyalah. Pendekatan akarmasalah tidak selalu dijadikan asas sehingga menyebabkan kita hilang simpati dan
ianya memberi kesan psikik yang parah kepada umat Melayu.
Pendekatan akar-masalah sekiranya dilakukan dengan lebih komprehensif tidak sahaja
boleh memberi jawapan terhadap subjek yang berbangkit tetapi dalam masa yang sama
mengundang pendekatan holistik iaitu menyeluruh secara jangka pendek mahupun
jangka panjang.
Faktor genetik, persekitaran keluarga dan tempat tinggal, sistem penjadualan dan
ulangkaji, masalah sosio-ekonomi, kualiti makanan dan pemakanan, kualiti guru atau

pengajar, metodologi pengajaran-pembelajaran, proses pemantauan pelajar yang


bermasalah, faktor-faktor gangguan dalam diri dan luar diri pelajar, kekuatan dalaman
yang dimiliki, faktor daya-saing dan daya-tahan, sindrom kebergantungan, perangai
selesa dan sikap secukup hidup adalah faktor akar-masalah di kalangan pelajar Melayu
yang memerlukan kajian mendalam. Dapatan daripada kajian-kajian ini pasti ada
kaitannya dengan proses pembudayaan yang dilalui oleh oleh para pelajar. Kesan
pembudayaan ini banyak mempengaruhi gaya, sikap, keyakinan dan halatuju mereka di
dalam dunia pendidikan dan pembelajaran.
Faktor kedua yang seharusnya ditumpukan terhadap faktor berbanding di kalangan
pelajar Bukan Melayu khususnya pelajar Cina. Apakah yang telah menyebabkan pelajar
Cina selalu dikatakan cemerlang dan mempunyai daya saing, daya tahan dan komitmen
yang tinggi terhadap pelajaran. Apakah faktor-faktor yang menyumbang terhadap
kejayaan mereka dalam subjek Matematik dan Sains. Apakah ia berpunca dari tradisi,
pembudayaan, sajarah, sosio-politik-ekonomi, psikik bangsa kelas-kedua, budaya
kerja, genetik, makanan dan pemakanan atau sebab-sebab lain. Hal ini sangat penting
dikaji supaya faktor-faktor berbanding yang positif boleh kita jadikan asas membentuk
dasar dan pendekatan ke arah mencapai kecemerlangan di kalangan pelajar Melayu.
Pernah kedengaran isu pelajar Melayu di sekolah Cina menunjukkan percubaan di
kalangan ibu bapa dan pelajar Melayu meninggalkan aliran kebangsaan memasuki
budaya pengajaran-pembelajaran yang mereka percaya mampu menjadikan mereka
berjaya dalam subjek Sains dan Matematik. Katakan kajian dibuat dan didapati
sebahagian besar pelajar Melayu mendapat markah cemerlang, bukanlah faktor
Melayulah yang menjadi pelajar Melayu lemah tetapi faktor budaya kerjalah yang
sebenarnya mengubah keadaan. Sebaliknya jika kajian mendapati tahap pencapaian
pelajar Melayu masih juga di tahap lama walaupun menerima pendedahan di sekolah
Cina, bukanlah faktor budaya kerja yang menjadi isu, tetapi faktor pelajar Melayu itu
sendiri yang harus dilihat.
Fokus ketiga dalam subjek ini ialah melihat natijah pendidikan secara holistik.
Pendidikan bukan sekadar suatu proses pemindahan ilmu, ketrampilan dan
pengalaman semata. Lebih jauh dari itu, pendidikan adalah proses transformasi diri.
Proses ini adalah penting bagi matlamat pendidikan di negara kita yang ingin
menjadikan seseorang itu berilmu, berketrampilan dan bersahsiah tinggi. Menghasilkan
watak dan personalia begini memerlukan pendekatan yang amat integratif dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Ianya suatu kerja besar yang memerlukan perancangan
dan proses bina insan yang tersusun rapi. Matlamat melahirkan insan seimbang dan
harmonis melibatkan natijah pendidikan yang holistik yang mengambil kira
kecemerlangan akademik, bakat kepimpinan dan kepengikutan yang tinggi, potensi
berfikir dan berimaginasi kreatif yang baik, kekuatan nilai yang mantap dan bersikap
terbuka terhadap faktor-faktor perubahan.
Perkara pemajuan prestasi kecemerlangan di peringkat Pelajar di Institusi pengajian
Tinggi ini pula, sekiranya faktor di atas menjadi matlamat pendidikan kita, maka harus
disemak kembali pula setakat mana keberkesanan proses pendidikan yang berlaku di
tahap Taman Asuhan Kanak-Kanak, di Sekolah Rendah dan juga di Sekolah Menengah.

Pendidikan di peringkat awal dan Menengah ini amat penting bagi menanam dan
mengukuhkan asas dan proses pengajaran dan pembelajaran. Minat dan bakat mudah
dipupuk di peringkat awal pendidikan . Keciciran sering berlaku di peringkat ini lagi
hingga menyebabkan pelajar Melayu terus lemah atau gagal di peringkat tinggi. Di
Barat, tumpuan dan kajian banyak diberikan kepada aspek pedagogi dan perkembangan
kurikulum di peringkat paling Rendah hingga Menengah supaya ianya mengurangkan
faktor keciciran dan dalam masa yang sama ianya menghasilkan proses kesinambungan
yang baik di peringkat yang lebih tinggi nanti.
Oleh kerana aspek sahsiah dan personalia mempunyai hubungan rapat dengan faktor
falsafah dan nilai dalam pendidikan, matlamat pendidikan tidak hanya ingin
melahirkan kecemerlangan akademik di kertas sahaja tetapi didukung bersama dengan
kecintaan kepada ilmu dan kepentingan sahsiah yang tinggi bagi membina personalia
yang mampu menghadapi cabaran.

TITIPAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA DAN DIDIKAN AGAMA


Falsafah Pendidikan Negara menggariskan dengan jelas matlamat pendidikan berhasrat
melahirkan watak insan seimbang dan harmonis. Pendidikan agama yang diajarkan
kepada para pelajar sejak dari awal sistem pendidikan lagi mempunyai matlamat bagi
melahirkan pelajar yang teguh akhlaknya dan dalam masa yang sama cemerlang
ilmunya. Soalnya dalam realiti pengajaran-pembelajaran setakat mana kesan
pembangunan sahsiah berkait rapat dengan faktor falsafah dan didikan agama?
Faktor falsafah memberi arah tuju terhadap matlamat pendidikan dan pendidikan
agama adalah sebagai alat mengolah sahsiah dan personalia supaya ilmu dan
ketrampilan yang dipindahkan mampu membentuk watak yang teguh dan kukuh.
Watak yang teguh dan kukuh adalah perlu bagi menghadapi pelbagai bentuk cabaran
terutama di dunia yang semakin moden ini. Tanpa kekuatan ini ia akan terus
meletakkan umat Melayu terus berada dalam mediokriti dan akhirnya menjadi parasit
kepada perubahan dan kemajuan.
Meski faktor Falsafah Pendidikan Negara dimetrikan sebagai asas dalam Akta
Pendidikan Negara 1996, kesan menyuluruh daripada pelaksanaannya belum dilihat
secara secara jelas terutamanya dalam pembentukan watak biarkan 16 nilai-nilai murni
telah dijadikan paksi merentasi kurikulum dan ko-kurikulum. Peruntukan waktu belajar
subjek Agama Islam yang agak wajar dan keperluan lulus Fardhu Ain sebagai syarat
lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih belum mampu melahirkan
peribadi teguh yang tahan mendepani karenah zaman. Faktor falsafah dalam setiap
subjek yang diajar dan kurikulum yang disampaikan masih bersifat konsep dan tidak
dapat dihayati dan difahami sepenuhnya. Pendekatan down to earth yang lebih
realistik harus menumpu ke arah pendekatan yang lebih transformatif dan mampu
membentuk sahsiah tinggi.

Adakah perkara ini berlaku lantaran kelemahan dan metodologikal di peringkat proses
pengajaran dan pembelajaran dalam menyampaikan maksud falsafah, nilai dan agama?
Pendekatan yang bercorak konsep dan bukan pemahaman malah amat sedikit yang
berbentuk model contoh yang mampu menjadi sumber ikutan dan teladanan. Faktor
falsafah tidak diterjemah dengan baik dalam konteks sahsiah pendidik, kualiti
kurikulum, buku teks dan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Faktor agama dan nilai
lebih banyak diungkapkan secara terbatas dan kurang mampu membentuk sahsiah dan
personalia.
Adakah isu ini harus disemak kembali dengan Kementerian Pendidikan menyusun
semula kurikulum dan pendekatan Pendidikan Islam agar konteks membangun semula
skima pendidikan ini berlaku di semua peringkat dengan mengambil kira aspek-aspek
yang disebutkan di atas?
Pendidikan Islam sewajarnya menjadi teras dalam membangunkan sikap mental, cara
berfikir, keinsafan diri, ketahanan perjuangan dan faham tentang halatuju realiti zaman
yang pantas berubah. Faktor Pendidikan Islam harus mampu mencetuskan pemikiran
ke arah idea-idea tamadun di mana faktor akidah tidak hanya difahami sebagai asas
kepercayaan yang abstrak sifatnya tetapi dihubungkaitkan dengan faktor alamiah
dengan segala macam dimensi. Penerapan Pendidikan Islam tidak hanya dalam batas
bahasa Al Quran iaitu Bahasa Arab tetapi sebagai alat keteguhan berbahasa yang
mampu menukil ilmu (pentingnya kefahaman tafsiran Al Quran), yang mampu
merentasi disiplin ilmu yang lain, yang membolehkan konsep Sains Quran dan Sunnah
Hadith releven dengan perkembangan semasa, agar dapat dikembangkan bagi
menangani persoalan supaya pelajar Melayu mempunyai persiapan yang cukup
mendepani gejala kerosakan akidah. Pendidikan Islam juga haruslah mampu
menyediakan minda pelajar dengan input ilmu yang berkembang sehingga memiliki
keupayaan menjawab persoalan baru yang sedang berkembang dalam dunia Sains yang
semakin menceroboh alamiah ini.
Oleh itu titipan falsafah dan didikan agama mestilah merentasi sifatnya. Ianya harus
diolah secara bijak dan menyeluruh supaya kesannya mampu mengembangkan aspek
kurikulum sehingga pelajar Melayu merasakan ada kekuatan dalaman yang mempu
merubah cara berfikir, keinsafan diri dan persiapan menghadapi faktor-faktor
persaingan setempat dan antarabangsa.

KOMPOSISI KURIKULUM MEMBANGUN SAHSIAH


Komposisi kurikulum yang ideal bagi melahirkan pelajar Melayu bersahsiah tinggi
terbahagi kepada lima komponen :
1

Komponen agama dan sistem nilai yang sifatnya merentasi

Komponen bahasa yang tidak terbatas

Komponen sejarah dan budaya

Komponen Matematik dan falsafahnya

Komponen Sains, teknologi dan ilmu kemanusiaan berteraskan nilai

Komponen agama amat penting dalam apa peringkat pendidikan apa pun. Cabaran
kemanusiaan hari ini mesti bersandarkan kepada pendidikan agama yang menyeluruh
dan bersifat penghayatan dan pemahaman sebenar sifatnya. Darinya akan lahir nilainilai yang sifatnya merentasi dan mampu menghadapi cabaran globalisasi.
Komponen bahasa juga adalah penting sebagai alat ilmu. Kepentingan Bahasa Melayu
yang juga dikatakan juga sebagai Bahasa Islam amat penting sebagai asas
perkembangan ilmu setempat dan serantau. Bahasa adalah alat dan darinya
memungkinkan pelajar Melayu mengetahui dan mempelajari jalur pemikiran dan
kekuatan budaya orang lain.
Komponen sejarah dan budaya adalah asas memahami kesinambungan peradaban.
Pendidikan pemahaman sejarah dalam pengertian teladanan menginsafkan kita
mengapa kita jadi begini dan mengapa kita dulu menjadi umat Melayu yang
bertamadun. Pendidikan budaya juga memberi asas kepada faktor perubahan dan
kemajuan yang mana pendidikan budaya yang bijaksana menjadikan pelajar Melayu
mempunyai jatidiri yang cemerlang.
Komponen Matematik merupakan asas penting ke arah menjana perubahan dan
kemajuan supaya kemampuan berfikir pelajar Melayu berkembang atas asas rasionaliti
dan saintifik. Matematik dalam pengertian Ilmu Hisab bukan sekadar pengiraan biasa
sifatnya tetapi mengandungi falsafah tinggi yang memberikan asas ketepatan,
keseimbangan dan kesempurnaan. Ianya diperlukan dalam pembinaan world view
supaya faktor Matematik yang membawa kita memahami fakor manusiawi yang
terbatas, dapat membawa kita ke arah konsep kosmologi rahsia penciptaan Tuhan yang
maha luas.
Komponen sains dan teknologi juga adalah alat ilmu yang penting dalam kehidupan.
Seperti juga disiplin ekonomi dan pengurusan, komponen sains dan teknologi adalah
asas kepada faktor perubahan dan kemajuan. Ianya harus dikembangkan bersama-sama
dengan falsafah dan nilai supaya faktor etika dan nilai-nilai kemanusiaan sentiasa
menjadi pertimbangan para saintis dan teknologis.
Kelima-lima komponen ini memerlukan metodologi yang integratif supaya asas agama
dan nilai yang dikembangkan menjadi pemangkin perkembangan ilmu itu sendiri.
Tanpa pendekatan integratif, ilmu dan nilaipasti terpisah, maka alat dan matlamat
menjadi bercanggah.

PEMANTAUAN

Di Institusi Pengajian Tinggi, pembangunan sahsiah dan personalia tidak hanya


tertumpu kepada pencapaian dan perkembangan akademik semata. Kepentingan
akademik harus merangkum sama kepentingan sikap, nilai-nilai murni, etika dan
akauntabiliti terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah.
Oleh itu pendidikan di kuliah tidak hanya dalam batas exam-oriented. Pendidikan
dalam konteks yang mengambil kira pembangunan hati dan sahsiah agar kekuatan
akliah sentiasa dipandu. Pendekatan sebegini yang sepatutnya dituntut kerana cabaran
kepimpinan dan kepengikutan, cabaran profesionalisme, cabaran pengurusan dan
penyelidikan menuntut personalia yang mampu menghasilkan kecemerlangan. Oleh itu
universiti sewajarnya dapat melakukan integrasi antara keduanya.
Dalam konteks kuliah, harus ada pemantauan sejak awal lagi akan prestasi pelajar
Melayu. Apabila keputusan semester 1 pada tahun 1 dikeluarkan baik di peringkat
Matrikulasi atau Ijazah, perhatian harus diberikan kepada pelajar-pelajar yang lemah
dan menghadapi masalah. Mereka mesti dipantau, dibimbing, dikenalpasti akarmasalah dan kemudian sistem mentor-mentee atau penasihat akademik-pelajar
berfungsi dengan baik supaya pelajar yang bermasalah terus dibimbing ke arah yang
lebih baik. Begitu juga dengan kemudahan kaunseling dan motivasi juga perlu
dilaksanakan dengan kaedah yang lebih berkesan memahami permasalahan pelajar dan
meningkatkan semangat pelajar. Bagi pelajar yang cemerlang, mereka juga harus
dipantau supaya asas kecemerlangan itu membolehkan mereka mendapatkan ijazah
yang terbaik.

PENUTUP
Subjek pembinaan sahsiah ke arah membangun personalia berwibawa bagi
menghasilkan pelajar Melayu yang berpotensi tinggi dalam akademik hendaklah dikaji
secara lebih menyeluruh. Memang benar kecemerlangan akademik adalah ukuran
terhadap pencapaian, namun pencapaian itu akan lebih bermakna lagi sekiranya
kecemerlangan akademik seiring dengan upaya kepimpinan, sikap yang dinamik,
budaya tinggi yang menjadi prasyarat kepada kecemerlangan yang sebenarnya di
tengah-tengah gelanggang kehidupan.

Anda mungkin juga menyukai