Anda di halaman 1dari 2

Mari kawan, kita membaca,

Mari rakan, timba ilmu dengan membaca,


Itulah perjuangan, sahutlah seruan,
Jadikan membaca gaya wawasan.
Bait lagu di atas jelas menunjukkan betapa pentingnya budaya mambaca dalam kalangan
masyarakat. Walaupun begitu, ramai pihak terutamanya pencinta karya sastera meluahkan rasa kekesalan mereka
kerana bahan bacaan terutamanya karya sastera kini semakin dipinggirkan dan diabaikan berbanding bahan bacaan
picisan yang melambak di pasaran bak cendawan tumbuh selepas hujan. Fenomena ini sangat membimbangkan
lantaran hasil karya sastera yang berkualiti daripada penulis-penulis tersohor seperti A. Samad Said, Usman
Awang, Othman Puteh, dan Keris Mas bagaikan tiada nilainya pada pandangan masyarakat. Walau
bagaimanapun, kebangkitan penulis-penulis baharu yang menampilkan gaya kontemporari dalam hasil penulisan
mereka seperti Nisah Haji Haron, Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid, dan Hashim Latif telah berjaya mencuri hati
pembaca, terutamanya golongan remaja. Karya mereka yang menarik menyebabkan bahan sastera kembali menjadi
bahan bacaan yang digemari. Apakah keistimewaan dan ciri-ciri hasil karya mereka sehingga berjaya mengubah
fenomena tersebut?
Pada pandangan saya, hasil karya sastera yang menarik pasti dapat meninggalkan kesan yang mendalam
pada hati pembaca. Ciri-ciri sebuah karya sastera yang berkualiti dapat dilihat dari beberapa sudut. Kajian yang
dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mendapati bahawa golongan yang mendominasi bahan bacaan ialah
golongan remaja. Oleh itu, bagi menarik minat mereka untuk membaca sesebuah karya haruslah menampilkan tema
permasalahan remaja. Konflik dalam percintaan, persahabatan, dan kekeluargaan haruslah dibangkitkan berserta
dengan revolusinya agar pembaca dapat mengaplikasikan apa-apa yang dipelajari melalui bahan bacaan tersebut
dalam kehidupan seharian mereka. Remaja sangat menggemari bahan bacaan yang bertepatan dengan gaya hidup
mereka. Karya seperti Puteri Kampus oleh Aisya Sofea jelas mencerminkan gaya hidup remaja yang sering
memberontak apabila dikongkong oleh keluarga. Jadi tema sesebuah karya pasti dapat menarik minat pembaca
seandainya bertepatan dengan jiwa mereka kerana mereka akan dapat menyelami perwatakan watak semasa
membaca karya tersebut dan menjiwainya sehingga akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam.
Pada masa yang sama, sesebuah karya itu akan menarik apabila jalan cerita yang ditampilkan tidak terlalu
meleret-leret dan menimbulkan beberapa unsur kejutan atau peristiwa yang tidak diduga. Karya yang terlalu panjang
dan meleret akan menimbulkan kebosanan kepada pembaca sehingga akhirnya berkemungkinan mereka akan
melangkau sesetengah muka surat semata-mata untuk mengetahui pengakhiran cerita. Kesuntukan masa
menyebabkan mereka menolak untuk membaca kerana menganggap bahan bacaan tersebut mengambil masa yang
lama untuk dihabiskan. Penambahan unsur tragis atau saspens merupakan perencah dalam sesebuah karya. Hal ini
demikian kerana sifat remaja yang gemar akan cabaran menyebabkan mereka tertarik untuk menduga jalan cerita bagi
sesebuah karya. Perbezaan tersebut akan menyebabkan remaja semakin berminat untuk meneruskan pembacaan
mereka sehingga helaian terakhir. Dengan cara ini, barulah hasrat untuk membudayakan pembacaan karya sastera
dalam kalangan remaja akan terlaksana sekali gus sisipan pengajaran akan meresap ke jiwa mereka. Oleh
itu, sesebuah karya yang menarik haruslah mempunyai jalan cerita yang menarik dan tidak membosankan.
Seterusnya ciri-ciri sesebuah karya sastera yang menarik ialah mengandungi unsur-unsur imaginasi. Dalam
era sains dan teknologi ini, saya dapat mengesan bahawa unsur tahyul dan imaginasi masih menjadi pilihan
pembaca. Jika kita lihat, sinetron Bawang Putih Bawang Merah yang ditayangkan oleh stesen televisyen TV3 telah
mencapai tahap yang tertinggi dalam senarai rancangan televisyen yang paling diminati. Pada ghalibnya, masyarakat
Malaysia pada hari ini gemar sesuatu yang bertentangan dengan kehidupan normal. Gaya penceritaan seperti ini
banyak terdapat dalam hasil karya Nisah Haji Haron dan Ramlee Awang Murshid. Sebagai contoh, cerpen Annyss
Sophillea karya Nisah Haji Haron memuatkan kisah kehidupan manusia dari dua latar tempat yang berbeza, ditambah
dengan kehidupan haiwan mistik seperti unicorn. Karya Ramlee Awang Murshid pula lebih menampilkan unsur
surealisme seperti dalam karya Rahsia Perindu dan Tombiruo. Hasil karya seperti inilah yang sering menjadi
pilihan remaja pada hari ini kerana ada kelainannya. Oleh hal yang demikian, penghasilan karya yang mempunyai
jalan cerita yang unik atau lain daripada yang lain pasti akan lebih menarik minat masyarakat untuk menjadi santapan
minda mereka.
Selain itu, hasil karya yang menarik haruslah menampilkan gaya bahasa yang indah dan mudah
difahami. Karya sastera yang menggunakan laras bahasa klasik sangat tidak digemari oleh pembaca, khususnya
remaja kerana gaya bahasanya sukar dimengerti. Penggunaan ayat yang mudah lebih meninggalkan kesan dalam hati
pembaca berbanding ayat yang panjang walaupun gramatis. Nisah Haji Haron contohnya, sering menggunakan istilah
sains dan teknologi dalam hasil penulisannya. Walaupun begitu, istilah yang digunakan ialah istilah mudah yang sering
terdapat dalam mata pelajaran Sains di sekolah. Hal yang demikian menyebabkan remaja gemar membaca hasil karya

penulis ini kerana dapat mempelajari teknik pengaplikasian istilah sains dalam penulisan. Maka tidak hairanlah apabila
karya yang menggunakan gaya bahasa yang indah dan laras bahasa yang mudah lebih mendapat tempat dalam hati
pembaca.
Di samping itu, nilai dan pengajaran dalam sesebuah karya juga perlu diberi penekanan bagi menghasilkan
karya yang menarik dan bermutu tinggi. Karya sastera yang seronok dibaca tetapi tidak meninggalkan sebarang
pengajaran kepada pembaca tidak ubah seperti bahan picisan yang sekadar menjadi hiburan murahan. Sesebuah
karya haruslah menampilkan nilai-nilai murni yang dapat memberikan kesan kepada pembaca dan seterusnya secara
tidak langsung membentuk jati diri pelajar bermoral tinggi dalam usaha melahirkan modal insan yang berminda kelas
pertama. Karya seperti Pewaris oleh Rahimidin Zahari sarat dengan nilai-nilai Islamik yang tinggi. Nilai seperti
ketaatan, keinsafan, kejujuran, dan keikhlasan yang ditampilkan mampu menyedarkan pembaca betapa langit itu tinggi
atau rendah. Pembaca dapat menghayati kebesaran dan kekuasaaan Tuhan melalui Bagia Shaeif selaku watak utama
dalam novel ini. Justeru, para penulis haruslah menitikberatkan mesej yang ingin disampaikan kepada
pembaca , bukan sekadar untuk berhibur, menitiskan air mata, atau berkhayal di alam fantasi sahaja tanpa berpijak di
bumi nyata. Dengan itu,sesebuah karya perlulah mengandungi nilai-nilai yang baik supaya dapat dipraktikkan dalam
kehidupan seharian pembaca.
Sebagai intiha, dapatlah dikatakan bahawa tidak mudah untuk mendapatkan karya sastera yang menarik.
Penulis-penulis muda yang semakin prolifik mengasah mata pena mereka kini sewajarnya lebih peka akan kualiti
bahan penulisan yang bakal diterbitkan untuk dijual dalam pasaran. Seyogia, yang baik dijadikan teladan, yang buruk
dijadikan sempadan. Seandainya lebih banyak karya sastera yang menarik dan berkualiti dihasilkan, maka sudah pasti
budaya membaca dalam kalangan generasi muda akan terus bercambah dan hasrat kerajaan untuk mewujudkan
masyarakat yang berpengetahuan menjelang tahun 2020 tidak hanya tinggal impian atau menanti kucing bertanduk.
Perkara ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan tidak hanya
berpeluk tubuh mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku dengan sendirinya.

Anda mungkin juga menyukai