Anda di halaman 1dari 9

Xpresi: Play Therapy

Oleh: Nur Shakila binti Ibharim


(1) Pembentukan Minat Terhadap Play Therapy
Memupuk minat terhadap sesuatu perkara bukanlah usaha yang mudah untuk dilakukan
sekiranya diri kita tidak mengenali sesuatu perkara itu terlebih dahulu. Saya merasa sungguh
teruja untuk berkongsi bagaimana minat saya terhadap bidang Play Therapy ini bermula.
Seperti juga orang lain di luar sana, pada mulanya saya tidak pernah mengetahui akan
kewujudan pendekatan Play Therapy dalam profesion kaunseling. Setakat yang diketahui,
kebiasaannya pendekatan yang digunakan adalah lebih kepada penggunaan Art Therapy dan
percakapan yang biasa dalam sesi kaunseling. Sehinggalah pada satu hari, ketika itu saya
sedang mengikuti pengajian Sarjana Bimbingan dan Kaunseling di Fakulti Pendidikan UKM
untuk semester yang ke-2. Pada hari tersebut merupakan kelas teori kaunseling yang
dibimbing oleh Dr. Ku Suhaila Ku Johari. Seperti biasa, kelas teori yang dikendalikan oleh
Dr. Ku Suhaila memerlukan dua orang pelajar secara sukarela berada di hadapan kelas untuk
menjalankan aktiviti main peranan sebagai kaunselor dan klien.
Pada hari tersebut, saya mendapat keberanian dengan tiba-tiba mengangkat tangan
untuk berada di hadapan kelas memainkan peranan sebagai klien. Kebiasaannya, saya lebih
suka untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan aktiviti main peranan di dalam kelas
kerana merasa diri belum bersedia sama ada untuk menjadi kaunselor mahu pun klien.
Semasa memainkan peranan sebagai klien, agak sukar untuk diri berselindung daripada
membawa isu kehidupan sebenar yang telah dilalui. Secara automatik, diri saya secara
sukarela sanggup untuk berkongsi isu dan permasalahan yang dialami. Pada hari itu, entah
dari mana datangnya keberanian untuk saya berkongsi tentang peristiwa terdahulu yang telah
berlaku semasa zaman kanak-kanak. Peristiwa traumatik yang memberikan kesan yang
sangat mendalam terhadap emosi dan tingkahlaku saya dari kanak-kanak sehinggalah
dewasa. Peristiwa tersebut membelenggu diri saya dan banyak mempengaruhi pembentukan
personaliti dan diri saya. Rakan sekelas saya yang memainkan peranan sebagai kaunselor
pada ketika itu tidak dapat untuk meneruskan sesi atas kekangan beberapa perkara.
Memandangkan isu yang dilalui oleh saya agak berat untuk dibantu, Dr. Ku Suhaila telah
mengambil alih peranan sebagai kaunselor. Pada ketika itulah, sesi kaunseling yang
sebelumnya menggunakan Talk Therapy beralih kepada Sandtray Therapy.

Ya. Minat saya bermula dengan pengalaman menjadi klien dalam sesi kaunseling
yang menggunakan Sandtray Therapy. Sebelum sesi dimulakan, saya merasa agak terpingapinga kerana tidak tahu apa yang akan berlaku memandangkan saya langsung tidak pernah
mempunyai pengalaman menjalani sesi kaunseling menggunakan pendekatan seperti ini.
Selain merasa terpinga-pinga, saya juga berdebar-debar dan turut merasa takut untuk
meneruskan sesi bersama Dr. Ku Suhaila. Pada ketika itu, saya merasa tidak selesa kerana
diminta untuk memilih miniature dan alat permainan yang akan digunakan untuk disusun ke
dalam sandtray. Saya juga ada merasa diri seperti kanak-kanak yang sedang bermain dan
diperhatikan. Keadaan tersebut pada mulanya memberikan rasa tidak selesa kepada saya
sehingga saya tidak tahu untuk membuat pilihan miniature dan alat permainan untuk
digunakan. Setelah memilih miniature, saya menyusunnya ke dalam sandtray. Pada ketika
itu, saya perasan bahawa Dr. Ku Suhaila akan menyebut-nyebut kembali perbuatan yang
dilakukan oleh saya semasa menyusun miniature. Pada waktu itu, saya tidak tahu kemahiran
yang digunakan oleh beliau adalah tracking. Bermula dengan rasa tidak selesa, sesi Sandtray
Therapy tersebut bertukar menjadi sangat selesa dan saya merasa seperti berada di dalam
dunia nyata pada zaman kanak-kanak dahulu. It was very real! Walaupun hanya
menggunakan miniature yang dipilih tanpa saya sedar ia merupakan simbolik yang signifikan
dengan isu yang dialami. Walaupun miniature yang dipilih pada awalnya tidak disedari
memberikan simbolik kepada saya, ia sangat berkesan dalam membantu membawa minda di
bawah sedar saya kepada sedar.
Pada ketika itu, saya dapat merasakan satu kelainan dan perubahan dalam jiwa yang
sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Perasaan takut, trauma dan dilema dengan
peristiwa lampau bertukar 360o serta merta menjadi satu perasaan yang lebih positif dan saya
dapat melihat satu sudut pandangan yang berbeza terhadap perkara yang pernah berlaku.
Pada waktu itu juga saya merasakan seolah-olah seperti diri saya berjaya dirawati dan
perasaan sakit dalam jiwa yang dibawa selama ini hilang. Pada waktu itu, saya benar-benar
merasai kesan positif daripada penggunaan pendekatan Sandtray Therapy terhadap emosi dan
pemikiran saya. Saya dapati bahawa, pendekatan Sandtray Therapy sangat berkesan kerana
ianya melibatkan penggunaan kombinasi lebih dari satu deria dalam proses kaunseling yang
berlangsung seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan dan sebagainya dalam satu masa.
Keterlibatan pelbagai deria dalam satu masa inilah yang banyak mencetuskan ekspresi yang
tidak disedari ke dalam sesi.

Berdasarkan kepada pengalaman yang telah diceritakan inilah yang menjadi titik tolak
tercetusnya minat saya terhadap bidang Play Therapy walaupun pengalaman saya bermula
dengan Sandtray Therapy terlebih dahulu. Secara kesimpulannya, bagi saya pengalaman
merasai impak penggunaan pendekatan seperti ini sebagai klien dalam sesi kaunseling amat
membantu diri saya untuk memberikan perkhidmatan yang berkesan dan terbaik kepada
klien. Hal ini kerana apabila diri sendiri sebagai kaunselor telah merasai kesan dan
perubahannya, barulah kita benar-benar dapat memahami tujuan dan manfaat penggunaannya
terhadap klien.
(2) Pengalaman Mengendalikan Play Therapy
Setelah mempunyai minat, saya memulakan langkah mengumpul pengalaman
mengendalikan sesi kaunseling dengan menggunakan pendekatan Play Therapy sebagai
modaliti sedikit demi sedikit. Pengalaman pertama saya menggunakan Play Therapy adalah
semasa saya menjalani latihan Prapraktikum di UKM. Pada ketika itu, saya banyak
menjalankan sesi kaunseling kepada klien pelajar UKM dan turut menerima klien kanakkanak, remaja dan orang dewasa dari luar. Kebanyakan sesi kaunseling saya menggunakan
Play Therapy atau Sandtray Therapy bergantung kepada kesesuaian sesuatu kes. Saya akan
menggunakan pendekatan Play Therapy kepada klien kanak-kanak dan Sandtray Therapy
kepada klien dewasa.
Berdasarkan kepada pengalaman tersebut, saya dapati bahawa semua klien tidak
pernah ada pengalaman menjadi klien dalam sesi kaunseling yang menggunakan Play
Therapy mahu pun Sandtray Therapy. Penerimaan klien terhadap pendekatan ini amat baik
dan mendapat kerjasama yang sepenuhnya dari mereka. Bagi klien, ia merupakan satu
pengalaman baru yang menarik. Bagi saya, pengalaman mengendalikan sesi kaunseling
menggunakan Play Therapy kepada kanak-kanak adalah lebih mencabar kerana memerlukan
kesabaran dan kemahiran Play Therapy yang tinggi. Sedangkan pada waktu itu, saya baru
sahaja memulakan langkah untuk mendapatkan pengalaman mengendalikan sesi Play
Therapy. Antara perkara yang paling mencabar adalah untuk menyesuaikan 5 kemahiran asas
iaitu tracking, reflecting content, reflecting feeling, returning responsibility dan setting limit
dengan perbuatan klien kanak-kanak semasa di dalam sesi. Semasa sesi sedang berlangsung,
saya perlu menjadi kaunselor yang memberikan maklum balas dengan tepat dan tidak boleh
termangu-mangu memikirkan kemahiran yang perlu digunakan.

Cabaran yang ke-2 adalah penggunaan alat permainan yang terhad semasa
mengendalikan sesi kaunseling. Jumlah alat permainan yang ada tidak mencukupi dan
mengehadkan pengluahan klien kanak-kanak pada ketika itu. Menurut Landreth, pakar dalam
Play Therapy di US, bermain adalah bahasa semulajadi kanak-kanak, manakala alat
permainan merupakan perkataan bagi mereka. Semakin banyak alat permainan yang
disediakan mengikut kategorinya di dalam bilik Play Therapy, semakin banyak perkataan
yang boleh digunakan untuk membantu kanak-kanak meluahkan isu dan permasalahan yang
dialami.
Melalui pengalaman tersebut juga, antara perkara yang saya dapat pelajari adalah alat
permainan menjadi perkataan untuk kanak-kanak kerana memberi maksud tersirat berkaitan
apa yang ingin diluahkan atau dikongsikan dengan kaunselor. Oleh sebab itu, alat permainan
yang terhad akan melimitkan ekspresi klien kanak-kanak. Walaubagaimana pun, di dalam
terapi bermain, tidak semua alat permainan sesuai untuk digunakan. Alat permainan yang
mengandungi bateri, bunyi dan yang boleh mewujudkan persaingan perlu dielakkan kerana
untuk mengelakkan rangsangan luar yang akan mempengaruhi proses kaunseling dalam sesi.
Berdasarkan kepada Landreth (2012), terdapat tiga kategori alat permainan yang digunakan
iaitu real-life seperti rumah mainan, kereta mainan dan patung boneka, aggressive-release
seperti bop beg, pisau dan pistol dan creative expression seperti krayon, warna, pasir, air dan
kertas lukisan. Kottman (2011) pula telah menetapkan sebanyak lima kategori alat permainan
yang boleh digunakan dalam sesi terapi bermain iaitu pemupukan seperti set haiwan dan set
memasak, menakutkan seperti ular dan topeng hantu, agresif seperti senjata dan bop beg,
kreatif seperti lego dan blok, dan khayalan seperti patung superpower. Walaupun alat
permainan dibahagikan mengikut kategori tertentu, kanak-kanak berkemungkinan akan
menggunakan satu alat permainan yang boleh berada lebih daripada satu kategori bergantung
kepada simbolik, metafora dan interpretasi kanak-kanak itu sendiri.
Selain itu, semasa saya menjalani Internship di salah sebuah sekolah rendah di Bangi,
terdapat pelbagai lagi pengalaman yang tidak dijangka. Antaranya ialah cabaran yang saya
hadapi untuk memberikan kefahaman kepada guru-guru mengenai Play Therapy yang
dijalankan kepada murid di sekolah tersebut. Ada di kalangan guru-guru yang sukar untuk
menerima tentang manfaat yang diperoleh hasil daripada sesi yang dijalankan. Saya
beranggapan bahawa mereka masih tidak biasa dengan bidang ini dan untuk mengubah
persepsi, dan kebiasaan amalan memerlukan masa. Cabaran yang seterusnya adalah
ketidakmampuan saya untuk menampung keperluan sesi murid di sekolah tersebut. Hal ini
4

kerana, pada ketika itu, hanya saya seorang sahaja yang mempunyai kemahiran dalam Play
Therapy ditempatkan di sekolah tersebut dan permintaan murid untuk mendapatkan
perkhidmatan adalah tinggi. Kadangkala timbul perasaan ralat kerana tidak dapat memenuhi
permintaan tersebut kerana saya yakin, murid di sekolah tersebut memerlukan bantuan
melalui Play Therapy.
Selain itu, saya dapati bahawa adalah kurang bersesuaian untuk menjalankan Play
Therapy secara berkumpulan yang mempunyai lebih daripada 2 orang klien. Hal ini kerana,
sangat sukar untuk saya sebagai kaunselor membahagikan fokus dan perhatian kepada 3
orang klien sekaligus dalam satu sesi. Ianya menjadi sukar kerana saya perlu melihat dan
memerhati perkembangan setiap klien di dalam sesi. Malah, agak sukar untuk saya mengawal
keadaan di dalam sesi walaupun kemahiran setting limit telah digunakan apabila klien kanakkanak melanggar peraturan. Sebagai contoh, apabila saya cuba untuk mengendalikan 3 orang
klien kanak-kanak dalam satu sesi Play Therapy berkumpulan berdasarkan kepada isu yang
sama iaitu kurang perhatian daripada ibu bapa, ada di antara klien yang berkelakuan agresif
dan bertingkahlaku dominan dengan menabur pasir kepada klien yang lain dengan tiba-tiba.
Pada ketika itu, memang saya tidak sempat untuk menggunakan kemahiran setting limit
kerana berlaku dengan tiba-tiba. Tetapi, saya menggunakan kemahiran setting limit selepas
klien kanak-kanak tersebut berbuat demikian dengan tujuan untuk mengingatkan dan
mengelakkan klien daripada mengulanginya lagi.
Setting limit sebenarnya digunakan untuk menetapkan sempadan dalam bilik terapi
bermain yang dapat menyediakan keselamatan dan konsistensi kepada kanak-kanak. Had
boleh ditetapkan secara ringkas, jelas dan mudah difahami oleh kanak-kanak. Had perlu
ditetapkan

sekiranya

wujud

keperluan

seperti

kanak-kanak

bertingkahlaku

yang

membahayakan diri dan kaunselor atau apabila kanak-kanak ingin merosakkan peralatan
permainan yang terdapat dalam bilik terapi bermain. Berdasarkan kepada pengalaman latihan,
terdapat satu kaedah yang dipanggil sebagai A-C-T boleh digunakan dalam proses
menetapkan had. Kaedah A-C-T dapat membantu kanak-kanak merasa perasaan mereka tidak
diabaikan walaupun perbuatan yang mereka lakukan adalah kurang bersesuaian. Selain itu,
kaedah ini dapat membantu kanak-kanak jelas dengan had yang perlu dipatuhi dan seterusnya
mereka mendapat panduan apa yang perlu dilakukan sekiranya tingkahlaku mereka itu tidak
boleh dilakukan. A-acknowledge the childs feeling, C-communicate the limit dan T-target an
alternative behavior. Contoh yang saya dapat berikan adalah seperti berikut;

Situasi

Hadi mengambil pasir dan ingin melemparkan kepada kaunselor.

Respon

Hadi nak lempar pasir pada sayatapi, pasir tu bukan untuk


dilemparkan kepada sayaHadi boleh lempar pasir ke dalam bekas
dia

Oleh sebab itu, bagi saya amat penting untuk kaunselor tahu bila masa yang
bersesuaian untuk mengaplikasikan kemahiran-kemahiran yang ada dalam Play Therapy.
Semasa menjalani latihan praktikum, kebanyakan sesi yang dikendalikan oleh saya
menggunakan Play Therapy dan Sandtray Therapy. Amat jarang sekali saya menggunakan
pendekatan sesi kaunseling secara konvensional yang biasa. Apakah yang menyebabkan saya
suka mengamalkan pendekatan Play Therapy dan juga Sandtray Therapy? Antara salah satu
sebabnya adalah kerana penggunaan pendekatan Play Therapy dan Sandtray Therapy
membantu saya untuk lebih mudah dalam proses penerokaan dan pengenalpastian isu dan
permasalahan yang dialami oleh klien. Malah, penggunaan pendekatan ini dalam sesi
kaunseling yang dijalankan membantu klien untuk mendapat celik akal dengan lebih cepat
dan berfokus kerana klien dapat melihat isu dan permasalahan yang dialami secara visual.
Bagi saya kedua-dua pendekatan ini membantu klien mencapai celik akal dengan lebih cepat
kerana melibatkan penggunaan banyak deria dalam satu masa seperti pendengaran,
penglihatan, merasa, sentuhan dan sebagainya. Melalui penglibatan pelbagai deria ini, akan
membantu klien untuk melihat isu dan permasalahan dengan berfokus serta membantu
membawa minda di bawah sedar klien kepada sedar.
(3) Keberkesanan Play Therapy
Play Therapy merupakan satu pendekatan efektif dalam kaunseling yang memberikan
peluang kepada kanak-kanak untuk meluahkan perasaan dengan lebih selamat (Landreth,
2012). Bagi saya, kanak-kanak tidak seperti orang dewasa yang telah matang dari segi
kognitif dan mempunyai kemahiran verbal yang lebih baik. Mereka terbatas dari segi
percakapan dan kematangan kognitif. Oleh sebab itu, kebanyakan kanak-kanak akan
mengalami kesukaran untuk meluahkan perasaan dan tidak tahu bagaimana untuk
menceritakan secara verbal sejauh mana sesuatu isu atau perkara yang dialami mengganggu
mereka (Landreth, 2012).

Namun, kanak-kanak akan meluahkan apa yang dirasai oleh

mereka sekiranya berada dalam keadaan yang selamat, teraputik, diberi perhatian, dan
mendapat empati daripada orang dewasa. Sekiranya persekitaran tersebut disediakan, kanakkanak dengan mudah akan meluahkan dan mengekspresikan pengalaman dan perasaan
6

mereka ke dalam bentuk permainan kerana alat mainan merupakan perkataan dan bermain itu
sendiri merupakan bahasa kanak-kanak.
Semasa di dalam sesi Play Therapy, bermain memberi ruang kepada kanak-kanak
untuk menyusun atur pengalaman yang dilalui dan juga menyusun atur dunia mereka sendiri.
Melalui proses bermain, kanak-kanak akan merasa diri merekalah yang mengawal keadaan
yang berlaku tanpa campur tangan mana-mana pihak. Ketika ini kanak-kanak mempunyai
hak untuk menentukan apa yang dinginkan dan mereka bebas untuk meluahkan perasaan,
emosi dan pengalaman mereka. Kanak-kanak akan merasa lebih baik selepas bermain kerana
perasaan dan emosi mereka telah diluahkan melalui metafora dan simbolik alat permainan
dalam Play Therapy. Pengluahan perasaan dalam Play Therapy akan membawa kepada
pemahaman tentang perasaan yang mana kemudiannya akan mengurangkan ketegangan
perasaan dan emosi klien.
Apa yang saya dapat lihat adalah selain daripada orang dewasa, kanak-kanak juga
melalui pengalaman yang memberi tekanan dan trauma kepada mereka. Pengalaman yang
dialami oleh kanak-kanak tersebut sekiranya tidak ditangani berkemungkinan besar akan
memberi kesan kepada kehidupan mereka pada masa akan datang kerana ia kekal dalam
ingatan dan tidak dirawat. Perasaan yang dialami oleh kanak-kanak berkait dengan
pengalaman yang dialami juga boleh menjadi tersekat dan akhirnya akan menjadi penyebab
kepada masalah emosi dan tingkahlaku kanak-kanak yang berlarutan hingga dewasa.
Bagi membolehkan kanak-kanak untuk berasa lebih baik dan meningkatkan tingkah
laku, mereka memerlukan bantuan untuk memudahkan proses pengluahan emosi terpendam
yang ada dalam diri mereka. Kanak-kanak perlu dibantu bagaimana untuk melihat kembali
apa yang dilalui merupakan satu pengalaman dalam kehidupan berdasarkan kepada tahap
perkembangan kognitif mereka. Perubahan tingkahlaku kanak-kanak akan berlaku apabila
mereka dapat meluahkan fikiran dan perasaan dan kemudiannya membawa kepada satu
pemahaman baru tentang pengalaman. Proses ini dilihat sama dengan proses yang berlaku
apabila klien dewasa meluahkan perasaan, emosi dan fikiran mereka kepada kaunselor.
Bagi kanak-kanak setiap perkara adalah berbeza. Bercakap mengenai masalah
menggunakan kata-kata merupakan antara kesukaran yang sering dialami oleh kanak-kanak.
Walaubagaimana pun, kanak-kanak akan dapat meluahkan perasaan dengan lebih baik
melalui aktiviti bermain daripada bercakap. Dalam permainan, kanak-kanak akan
menggunakan imaginasi mereka dan meluahkan perasaan secara simbolik melalui permainan.
7

Ini bermakna bahawa pengalaman yang memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut akan
muncul sebagai tingkah laku bermain. Dalam Play Therapy, kanak-kanak boleh
mengekspresikan semua perkara yang sukar diluahkan melalui kata-kata dengan
menggunakan alat permainan.
Apabila kanak-kanak bermain dengan mainan dengan cara yang serupa dengan situasi
sukar atau peristiwa trauma yang mereka alami dalam kehidupan, secara tidak langsung
ekspresi secara simbolik ini sendiri mengandungi elemen terapeutik yang akan membantu
merawat emosi dan boleh membawa perubahan positif dalam diri kanak-kanak (Landreth,
2012). Apabila kanak-kanak disediakan dengan persekitaran yang terapeutik oleh ahli Play
Therapy dan diberi peluang untuk memproses pengalaman sukar melalui bermain, keupayaan
perkembangan semula jadi kanak-kanak diaktifkan. Kemudiannya, perasaan dan kenangan
terhadap peristiwa trauma yang tersekat dalam diri mereka akan menjadi tidak lagi tersekat.
Permainan yang terapeutik membantu penyembuhan diri (self-healing) semula jadi kanakkanak diaktifkan, menyokong pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dari segi emosi
dan psikologi. Dalam Play Therapy, kanak-kanak tidak perlu bercakap tentang masalah
mereka untuk berasa lebih baik.
(4) Kesimpulan
Boleh saya katakana bahawa Play Therapy adalah pendekatan yang efektif dalam
usaha kaunselor untuk membantu klien kanak-kanak. Play Therapy adalah berbeza daripada
permainan biasa, di mana aktiviti bermain biasa tidak memerlukan kehadiran ahli terapi atau
kaunselor yang terlatih. Ahli terapi atau kaunselor dilatih untuk mewujudkan persekitaran
yang selamat untuk kanak-kanak dan diajar tentang bagaimana untuk berinteraksi dengan
kanak-kanak dalam terapi bermain menggunakan kemahiran-kemahiran yang spesifik untuk
memastikan proses kaunseling masih berlaku walaupun menggunakan pendekatan bermain di
dalam sesi. Ianya bertujuan untuk memastikan kanak-kanak berada dalam persekitaran yang
unik dan terapeutik supaya mereka boleh mendapat kelegaan daripada masalah emosi dan
untuk membantu mereka membangunkan tingkah laku yang lebih sesuai. Banyak kajian di
luar negara telah membuktikan keberkesanan penggunaan terapi bermain sebagai intervensi
dalam sesi kaunseling dengan klien kanak-kanak. Kajian-kajian tersebut telah membuktikan
bahawa terapi bermain adalah satu rawatan berkesan untuk kanak-kanak yang mengalami
pelbagai masalah sosial, emosi, dan tingkah laku. Walaubagaimanpun, di Malaysia sendiri
terapi bermain masih lagi baru tetapi sudah mula menunjukkan perkembangan yang positif
8

penggunaannya dari semasa ke semasa. Ibu bapa juga perlu didedahkan tentang kepentingan
terapi dan aktiviti bermain dengan kanak-kanak kerana ibu bapa merupakan antara individu
yang hidup bersama dengan anak-anak dan mengetahui setiap perkembangan mereka.
Bermain bersama kanak-kanak atau anak-anak merupakan antara perkara yang paling efektif
untuk membantu perkembangan emosi, perasaan dan tingkahlaku kanak-kanak, tetapi masih
ramai yang belum menyedari kepentingannya.

Rujukan
Kottman, T. (2011). Play Therapy: Basic and Beyond. 2nd Edition. Alexandria: American
Counseling Association.
Landreth, G. L. (2012). Play therapy: The Art of The Relationship. 3rd Edition. New York:
Brunner-Routledge.

Anda mungkin juga menyukai