Anda di halaman 1dari 2

Pasar raya sudah menjadi tempat masyarakat moden membeli-belah.

Hal ini
menyebabkan masyarakat kita sudah mesra dengan nama pasar raya seperti Tesco,
Aeon Giant dan sebagainya. Kewujudan pasar raya ini sudah menjadi trend masyarakat
moden di samping penaikan taraf kehidupan penduduk kota agar berdiri sama tinggi,
duduk sama rendah dengan penduduk kota metropolitan di seantero jagatraya. Sudah
terang lagi bersuluh bahawa banyak kelebihan dapat kita nikmati apabila membeli-belah
di pasar raya.
Kelebihan yang utama ialah pilihan barangan yang banyak. Hal ini dikatakan
demikian kerana ruang di dalam pasar raya yang besar membolehkan pembekal
barangan yang sama tetapi jenama berbeza disusun atur agar pembeli dapat membuat
pilihan barangan yang disukai oleh mereka. Contohnya, serbuk pencuci Dynamo, Daia,
Breeze dan banyak lagi jenama lain tersusun rapi untuk dipilih oleh pelanggan. Oleh
sebab itu, pilihan barangan yang banyak membolehkan persaingan harga berlaku
sehingga memanfaatkan pengguna. Dengan kata lain, pengguna dapat memilih
barangan mengikut kemampuan dan keperluan mereka berbanding dengan pilihan
barangan yang terhad di pasar mini biasa.
Di samping itu, pelbagai kemudahan lain yang turut disediakan di pasar raya
menjadikan pusat jualan itu menjadi pilihan utama rakyat. Perkara ini ada benarnya
kerana kesibukan ahli masyarakat menyebabkan mereka suka sambil menyelam minum
air di tempat yang ditujui oleh mereka. Dalam senario ini, seorang wanita yang bekerja
dapat membeli-belah di pasar raya, kemudian membayar bil elektrik di kaunter pejabat
pos mini yang disediakan. Kemudahan ini menjadikan pasar raya sebagai pusat sehenti
untuk menyelesaikan urusan pembelian barangan dapur di samping mengusaikan
urusan pembayaran bil utiliti yang lain. Dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak
pasar raya, jumlah pelanggan ke pasar raya akan terus meningkat dari hari ke hari.
Pada masa yang sama, harga barang yang lebih murah juga dapat dinikmati oleh
pelanggan. Hal ini berlaku demikian kerana persaingan sihat antara produk
antarabangsa dengan barangan buatan tempatan akan berlaku. Dalam hal ini, pelanggan
mendapat keuntungan apabila pembekal menurunkan harga barangan demi menarik
perhatian pelanggan. Keadaan ini diperhebat oleh kuantiti sesuatu produk yang dibeli
oleh pihak pasar raya dalam skala yang besar menyebabkan harga barangan dapat
ditekan sehingga paras mampu milik dan berpatutan. Dengan keadaan sedemikian,
pengguna di kota mendapat faedah kerana dapat membeli-belah dengan harga yang
murah daripada persaingan sihat tersebut.
Kesimpulannya, kehidupan masyarakat kota yang sibuk dengan urusan rasmi,
perniagaan, dan rumah tangga kini menjadi lebih mudah dengan adanya pasar raya yang
giat membuka cawangan dan melebarkan sayap di seluruh pelosok negara. Dengan
kemudahan ini, kualiti kehidupan penduduk turut dapat dipertingkatkan kerana kita
dapat membeli barangan yang bersih, segar, dan berkualiti. Oleh hal yang demikian,
pembukaan pasar raya di seluruh negara merupakan petanda baik kepada iklim
ekonomi di Malaysia yang tidak menentu. Saya berharap agar ekonomi negara dapat
dirangsang dengan kemudahan pasar raya di seluruh negara. Jom, kita beli-belah!