Anda di halaman 1dari 3

Tajuk : Sukan Negara Kita

Contoh Karangan 1
Aktiviti sukan merupakan antara isu yang sering diwara-warakan dalam media cetak dan media
elektronik di negara kita akhir-akhir ini. Sehubungan dengan itu, semua pihak mestilah komited untuk
mendepani isu ini kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Persoalannya, apakah kepentingan
melibatkan diri dalam aktiviti sukan?
Pada pendapat saya, antara kepentingannya ialah menyihatkan badan. Hal ini dikatakan demikian
kerana, seseorang yang melakukan aktiviti sukan dapat mengeluarkan peluh supaya mereka lebih
sihat. Di samping itu, aktiviti sukan ini juga dapat menambahkan stamina seseorang.Sebagai contoh,
seseorang mestilah bermain bola sepak pada waktu petang supaya mereka sentiasa sihat. Mereka juga
boleh bermain badminton, sepak takraw, joging dan sebagainya. Saya ingin menegaskan bahawa
menyihatkan badan merupakan antara kepentingan melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
Selain itu, meningkatkan disiplin diri juga dikenal pasti sebagai salah satu kepentingan
melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Hal ini bermaksud, seseorang yang melibatkan diri dalam
aktiviti sukan mampu memastikan mereka mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Lagipun,
aktiviti sukan ini juga mampu membolehkan seseorang menepati masa. Contohnya, seorang mestilah
mematuhi arahan pengadil perlawanan. Mereka juga mestilah mematuhi arahan daripada jurulatih dan
ketua pasukan. Jelaslah, salah satu kepentingan melibatkan diri dalam aktiviti sukan ialah
meningkatkan disiplin diri.
Kepentingan melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang berikutnya ialah berfikiran positif. Dalam
konteks ini, seseorang yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan berupaya untuk mengawal diri
daripada mudah menyalahkan orang lain. Tambahan pula, aktiviti sukan ini juga berupaya untuk
melahirkan perasaan saling menghormati antara satu sama lain. Misalnya, seseorang itu janganlah
mudah menyalahkan pihak pengadil apabila mereka tewas. Mereka juga mestilah menerima
kekalahan itu dengan reda. Saya optimis bahawa berfikiran positif merupakan antara kepentingan
melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
Sebagai kesimpulannya, semua pihak mestilah berusaha untuk melibatkan diri dalam aktiviti
sukan agar negara dapat melahirkan warga yang sihat dan cemerlang. Dalam hal ini, orang bijak
pandai pernah berpesan, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya!

Contoh Karangan 2
Acap kali negara kita menganjurkan sukan berprestij di dunia seperti Formula One, LeTour De
Langkawi, Sukan Komenwell dan sebagainya. Pecapaian Malaysia sebagai penganjur tidak dapat
dinafikan kehebatannya. Walaupun begitu, pencapaian Malaysia sebagai peserta amatlah
mengecewakan. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha haruslah dilakukan untuk memajukan sukan
negara.
Punca utama para atlet tidak bergiat lama dalam bidang ini kerana tiada jaminan masa depan kepada mereka.
Oleh itu, suatu usaha harus dilakukan untuk menjamin masa depan mereka. Terutama peluang pekerjaan jika
berlaku kecederaan kepada mereka. Selain itu, elaun dan pencen harus diberikan kepada mereka yang bergiat aktif
dalam mewakili Malaysia, tidak kira sama ada atlet tersebut menang ataupun kalah. Di samping itu, suatu
organisasi harus ditubuhkan untuk menjaga kebajikan atlet Malaysia.

Bak kata pepatah, meluntur buluh biar dari rebungnya. Oleh itu, untuk membentuk atlet, pendedahan haruslah
dimulakan dari peringkat kanak-kanak. Sekolah sukan haruslah dibina di setiap daerah atau disetiap negeri.
Sekolah sukan berkaitan pula dibina dari peringkat sekolah rendah. Di sekolah tersebut, kelengkapan sukan
haruslah lengkap. Segala ilmu seperti teknik pernafasan yang betul diajar selain teknik menguasai permainan
sukan yang dipilih. Subjek sukan dimasukkan dalam silibus dan diuji, sama seperti ujian bagi mata pelajaran
lain.Oleh itu, pelajar tersebut akan memandang serius dalam subjek tersebut.
Di peringkat sekolah pula, Bulan kesukanan perlulah diadakan. Pelbagai aktiviti kesukanan haruslah diadakan
dan hadiah yang menarik pula perlulah ditawarkan sebagai ganjaran. Selain itu, perlawanan persahabatan dalam
sukan serta perlawanan peringkat sekolah haruslah ditingkatkan untuk mencungkil bakat terpendam para pelajar
yang seharusnya menjadi pelapis atlet yang sedia ada. Sementelahan, kemudahan untuk sukan dan peruntukan
untuk membeli peralatan sukan haruslah disediakan selain galakan daripada pihak guru dan ibu bapa.
Konklusinya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk memajukan lagi sukan di negara kita. Pihak Kerajaan
haruslah giat menjalankan kajian untuk memantapkan lagi sukan negara. Semua pihak termasuklah ibu bapa
seharusnya memberi bimbingan dan galakan kepada anak-anak yang berkecenderungan terhadap bidang sukan.
Majulah sukan untuk negara.

Contoh Karangan 3
Sukan di negara ini mengalami zaman kemelesetan yang begitu ketara kerana tiada lagi kejayaan
yang diraih seperti awa tahun 50-an, 60-an atau 80-an. Keadaan ini telah menimbulkan rungutan
pelbagai pihak terutama peminat sukan di negara ini. Media massa pula asyik mengeluarkan pelbagai
teori dan langkah untuk menangani masalah sukan di negara ini tanpa hasil jua. Jelaslah, ada pelbagai
tindakan drastik yang boleh dilakukan oleh semua pihak.
Sudah pasti perubahan minda masyarakat harus berlaku terutama persepsi mereka terhadap sukan.
Anggapan bahawa sukan tidak memberi apa-apa kesan atau tiada prospek ekonomi harus dikikis
dengan segera. Sukan sama juga seperti kerjaya lain jika dilakukan dengan betul, sistematik dan tabah
berupaya menyumbangkan sumber kewangan yang lumayan kepada penggamalnya. Oleh itu,
perubahan paradigma masyarakat hendaklah berubah selaras dengan perubahan zaman yang
mengutamakan sukan di peringkat global.
Selain itu, kerajaan harus memberikan ganjaran yang setimpal kepada ahli sukan yang berjaya di
dalam kejohanan peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Sumbangan dalam bentuk kewangan atau
pemberian latihan berupaya menyuntik semangat baru kepada ahli sukan untuk berusaha mencapai
kejayaan yang lebih baik lagi. Pemberian insentif ini juga memberi satu harapan kepada golongan
muda terutama kanak-kanak untuk mempunyai impian menjadi ahli sukan dan menerima ganjaran itu.
Jadi, ganjaran kepada ahli sukan perlulah wujud dan usahlah kita menganggap pemberian ganjaran ini
tidak penting dalam pembangunan sukan negara.
Jika kita mahu memiliki kelompok ahli sukan yang ramai dan baik, sudah pasti pembinaan
kemudahan sukan ditingkatkan. Pembinaan stadium, gelanggang dan padang menjadikan acara sukan
lebih mudah dan murah untuk disertai oleh masyarakat di negara ini. Keadaan ini menyebabkan
kemahiran asas dalam sesuatu asas sukan itu sudah dimiliki oleh masyarakat di negara ini dan hanya

perlu digilap sahaja oleh jurulatih negara apabila tiba masanya. Sesungguhnya, pembinaan
kemudahan sukan menjamin negara memiliki satu kelompok ahli sukan yang berwibawa.
Tambahan pula, negara boleh menganjurkan kejohanan sukan bertaraf dunia di negara ini.
Penganjuran sukan sebegini memberi peluang kepada ahli sukan negara untuk bersaing dengan ahliahli sukan dunia yang sememangnya lebih baik. Persaingan yang hebat ini menjadikan ahli sukan kita
lebih fokus dan menyedari kelemahan serta mampu meningkatkan kualiti diri mereka sejajar dengan
pengalaman yang diperoleh. Maka, lebih banyak penganjuran acara sukan dunia di negara ini,
semakin bertambahlah mutu ahli sukan kita.
Bagaimana dengan juruatih? Sudah pasti pengambilan jurulatih berpengalaman terutama dari
negara luar berupaya menyuntik teknik baru kepada latihan ahli sukan kita. Jurulatih asing yang
berpengalaman ini mampu melihat kelemahan dan mengatasi kelemahan ahli sukan kita dengan
pantas kerana mereka berpengalaman. Dalam masa yang sama jurulatih asing ini boleh membuat
program untuk melatih jurulatih tempatan atau berkongsi pengalaman dengan mereka untuk merangka
satu sistem latihan yang baik. Jadi, jurulatih asing boleh membawa perubahan drastik terhadap mutu
sukan kita.
Tuntasnya, mutu sukan di negara ini boleh berubah. Cuma kegagalan persatuan-persatuan sukan
untuk melihat secara positif dan masalah konflik dalaman persatuan yang menyebabkan mutu sukan
kita terus menjunam. Masyarakat sudah muak dengan alasan demi alasan yang diberikan setiap kali
ahli sukan kita mengalami kekalahan. Sikap 'menuding jari' membuktikan betapa kita banyak
menyalahkan orang lain tanpa mahu berubah.

Anda mungkin juga menyukai