Anda di halaman 1dari 3

INGATAN UNTUK ADIK-ADIK.

Pergilah adik-adik semua, teruskan perjuangan kita, agar Islam dapat


bangun dan bangkit semula. Adik-adik, dalam menyelusuri jalan perjuangan,
jangan lupa memandang di belakang sejarah yang sering mengingatkan kita
jerih perit para pejuang terdahulu, untuk kita jadikan panduan dan pengajaran,
bahawa jalan menuju bahagia itu tidak mudah, jalan menuju syurga itu penuh
kepahitan yang tidak kita impi-impikan untuk melaluinya.
Jalan perjuangan yang kita akan selusuri itu banyak benar denai duri
yang tajamnya tidak terkata, sakitnya menusuk jiwa, air mata akan selalu
mengalir, peluh keringat dan pengorbanan akan sentiasa membaluti tubuh.
Sebab itu adik-adik, sudah aku nyatakan berkali-kali, hidup ini perlukan
dorongan seorang teman, teman di jiwa adalah iman, teman sepanjang
perjalanan adalah Tuhan, teman suka duka adalah kawan-kawan kita
iaitu manusia yang faham apa erti kehidupan. Adik-adik, perjuangan
yang kau tempuhi sebentar lagi akan memyebabkan engkau rasa putus asa,
kecewa, sebak dan sedih yang tidak terkata. Maka kuatkanlah semangatmu,
selalulah panjatkan doa kepada-Nya, kita jadikan malam-malam sebagai teman
munajat kepada Tuhan.
Dia tidak akan melupakan kita, Dia akan selalu mendengar rintihan kita
dikala manusia kelu untuk berkata-kata. Dari situ kita suburkan kasih sayang
dan cinta kepada Tuhan. Adik-adik, perjuangan dalam perjalanan dakwah
menuntut pengorbanan jiwa yang bukan sedikit. Ingatlah setiap antara kita
sememangnya berkewajipan untuk meneruskan tugas warisan anbiya
ini. Kerana cahaya Islam semakin suram di mata hati umat Islam sendiri.
Cuba engkau lihat ada negara Islam yang bersengkongkol dengan
negara kafir untuk menyerang negara Islam sendiri, atas nama tujuan
ekonomi. Mereka tidak meletakkan agama sebagai keutamaan. Cuba engkau
saksikan sendiri di negara Afghanistan dan Iraq pula, angkatan tentera yang
kononya Islam, bertakbir Allahu Akbar apabila berjaya membunuh saudaranya
sendiri, umat Islam juga tapi dibantu oleh orang kafir. Islam apa ini namanya?

Cuba pula engkau lihat kebejatan akhlak di negara kita sendiri, tidak mustahil
jika suatu hari nanti yang engkau nampak adalah adik, abang dan keluarga
kita sendiri yang melakukannya. Itukah yang kita mahukan adik-adik?
Nauuzubillah.... Sedangkankita telah dibekalkan dengan ilmu oleh para guru
yang tidak kenal erti penat lelah untuk memastikan para pelajarnya keluar
sebagai bukan sahaja seorang yang berjaya bahkan juga sebagai para daie di
alam ini.
Inginkah engkau lihat saudara-saudara kita terpekik, terlolong, di alam
neraka? Sanggupkah engkau melihat ibu ayah kita menangis sepanjang masa
di dalam kuburan melihat anak-anaknya tidak menjadi manusia yang
diinginkan Allah? Dan kemudian mereka-mereka itulah akan menarikmu pula
ke dalam neraka bersama sebab engkau tidak menjalankan tugasmu sebagai
saudara seIslam untuk menegur dan menasihati mereka.
Sebab itu adik-adik, sudah aku katakan tadi, cahaya Islam semakin
suram, api pelitanya yang menerangi alam tidak seperti di zaman-zaman
kebesarannya. Para ulama dibisukan dengan dunia oleh umara. Mereka
diselubungi oleh ketakutan sepanjang masa untuk menyuarakan yang haq.
Agama telah diletakkan di bibir-bibir mereka sahaja. Adik-adik, tugas dakwah
ini tugas kita, sebab kita kita telah belajar erti kesusahan Rasulullah SAW
dalam menyebarkan agama. Kita telah merasai kemuliaan para sahabat yang
mengalirkan air mata pengorbanan hingga dapat membangunkan Islam di
seluruh pelosok dunia. Mereka bangun dengan semangat jihad yang dibentuk
oeh al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Di hati-hati mereka tiada perasaan
gentar dan takut selain dari Allah SWT.Mereka faham benar apa yang
dimaksudkan di dalam ayat, Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa
kamu memperkatakan apa yang kamu tidak perbuat! Amat besar
kebencian di sisi Allah kamu memperkatakan apa yang kamu tidak
melakukannya (Surah AAL-Saff:2-3).
Sebab itu adik-adik, dengan nasihat yang lahir dari lubuk hati ini, dengan
ikhlas aku menyatakannya kerana ingin melihat cahaya Islam itu semakin
gemilang, agar Rasulullah saw mampu tersenyum andainya melihat sinarnya

Islam selepas tidak kunjung padam. Moga-moga dengan amal ikhlasmu ini
akan dipandang oleh Allah dan diredhaiNya di dunia dan di akhirat sana. Amin.
Insya-ALlah.
Firman Allah SWT : Hai orang orang yang beriman, jika kamu
menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan
meneguhkan kedudukanmu ( Muhammad:7 )
Salam Ikhlas Penuh Ukhuwah,
~ Saudara seIslam ~

Anda mungkin juga menyukai