Anda di halaman 1dari 21

1

1.0 : KONSEP ASAS FEDERALSME


Sistem federalisme adalah merupakan sistem yang telah digunapakai sejak zaman
kegemilangan Yunani pada kurun ke-13 yang bertujuan untuk meningkatkan keselamatan di
negara-negara sekitar Yunani dari serangan musuh. Sistem ini kemudiannya dipopularkan
oleh tokoh falsafah Perancis, iaitu Jean Bodin. Beliau menyatakan bahawa sistem federalisme
merupakan sistem terbaik bagi melicinkan perjalanan pentadbiran dalam sesebuah negara
baik dari aspek politik, ekonomi, ataupun sosial. Beliau berpendapat demikian kerana sistem
federalisme merupakan sistem yang menggalakkan penyatuan wilayah-wilayah kecil untuk
menjadi dan membentuk sebuah negara yang kuat. Menurut pandangan beliau juga, meskipun
wilayah atau negeri-negeri kecil terpaksa menyerahkan sebilangan kuasa pentadbiran yang
dimiliki kepada pemerintahan pusat, tetapi wilayah dan negeri-negeri kecil ini masih
diberikan kuasa untuk mentadbir bahagian-bahagian tertentu dalam negeri atau wilayah
masing-masing.
Setiap istilah semestinya mempunyai definisi dan pentakrifannya agar ianya menjadi
mudah dan senang untuk difahami oleh individu lain. Jadi apakah sebenarnya federalisme?
Menurut K.C. Wheare dalam bukunya iaitu Federal Government, pemerintahan federalisme
merupakan satu sistem kerajaan yang mengandungi kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang
masing-masing mempunyai bidang kuasa yang tersendiri. Bidang kuasa yang dimiliki adalah
bersifat sedarjat atau setaraf dan bebas seperti yang telah ditetapkan dalam perlembagaan
(K.C Wheare 1964). Ianya juga merupakan percantuman beberapa buah wilayah atau negeri
yang bebas dan seterusnya membentuk negara bersekutu di bawah satu struktur
perlembagaan yang dinamakan perlembagaan pusat. Sistem federalisme ini juga merupakan
sistem yang amat menitikberatkan soal pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan
kerajaan negeri sebagai asas paling utama dalam mentadbir negara. Manakala menurut

seorang lagi tokoh iaitu Herman Finer, federalisme merupakan konsep yang melibatkan
pengwujudan kerajaan persekutuan. Menurut beliau, kerajaan persekutuan ialah susunan
kuasa yang dibahagikan antara dua peringkat kerajaan, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan
negeri. Kedua-dua kerajaan ini tidak berhak dan berkuasa untuk mengambil kuasa yang telah
diberi dan ditentukan. Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa konsep federalisme adalah
berbeza dengan konsep unitari. Federalisme merupakan penggabungan beberapa buah negeri
untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan kuasa pentadbiran telah dibahagikan antara
kerajaan pusat dengan kerajaan negeri. Sebaliknya konsep unitari pula ialah konsep yang
menggabungkan beberapa buah negeri untuk membentuk kerajaan dengan semua kuasa
pentadbiran terletak pada kerajaan pusat.
Namun terdapat juga tokoh yang mengatakan bahawa federalisme merupakan istilah yang
sukar untuk dirumuskan kerana ianya merupakan bentuk pertengahan antara negara kesatuan
dan konfederasi. Tetapi menurut C.F Strong, salah satu negara federal ialah ianya mencuba
untuk menyesuaikan dua konsep yang sebenarnya bertentangan iaitu kedaulatan negara
federal dalam keseluruhannya dengan kedaulatan negara-negara bahagiannya (Prof. Miriam
Budiardjo: 2008). Dalam membentuk sebuah negara federal, C.F. Strong berpendapat bahawa
dua syarat perlu dipatuhi iaitu perlu wujudnya perasaan sebangsa di antara negeri-negeri atau
negara-negara kesatuan dan keinginan untuk mewujudkan federasi dan menghadapi
pembatasan kuasa dalam pentadbiran. Namun begitu, setiap perkara semestinya mempunyai
kelemahan yang tersendiri dan sistem politik federalisme juga tidak terlepas dari masalah
tersebut.

2.0 : SUSUN GALUR FEDERALISME DI MALAYSIA


Cubaan untuk menggunakan sistem federalisme dalam pentadbiran sememangnya telah
lama wujud di Malaysia iaitu sebelum Malaysia dibentuk lagi yakni pada zaman Kesultanan
Melayu Melaka. Dalam Kepulauan Tanah Melayu, terdapat sejumlah negeri-negeri kerajaan
feudal yang kecil seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah. Parameswara yang
merupakan seorang putera Palembang dan pengasas kepada Kesultanan Melayu Melaka dan
pengganti-penggantinya yang bercita-cita besar telah membawa kerajaan-kerajaan kecil ini
berada di bawah kuasa Melaka selepas beberapa peperangan. Namun demikian, perhubungan
merupakan salah satu masalah yang terpaksa dihadapi oleh Kerajaan Melayu Melaka pada
ketika itu disebabkan ketiadaan laluan darat. Hubungan Kerajaan Melaka dengan kerajaankerajaan di bawah naungannya hanya bergantung sepenuhnya kepada laluan laut. Jarak antara
setiap kerajaan yang jauh menyukarkan lagi perhubungan untuk dijalankan dan keadaan ini
telah mengakibatkan pengawasan terhadap kerajaan-kerajaan tersebut sukar untuk dijalankan.
Kekuatan angkatan laut yang lemah juga menyebabkan kesatuan politik yang dibentuk oleh
Kerajaan Melaka menemui kegagalan apabila pada tahun 1511 sepasukan kapal perang
Portugis datang menyerang dan berjaya menewaskan tentera Melaka. Maka dengan itu,
sistem politik federalisme pertama yang hendak diwujudkan di Tanah Melayu menemui
kegagalan. Kekalahan Melaka dalam peperangan ini merupakan titik tolak kepada penjajahan
kuasa asing di Tanah Melayu.
Sewaktu era penjajahan kuasa Barat, negeri-negeri di Tanah Melayu ditadbir oleh seorang
residen British. Residen setiap negeri pada ketika itu memegang sendiri tampuk pemerintahan
negeri-negeri dan mengeluarkan arahan-arahan yang terpaksa dituruti oleh para raja. Lamakelamaan negeri-negeri yang berada di bawah pengawasan para residen ini kian menyerlah
kepentingannya sehinggakan para residen terpaksa membuat pertimbangan sendiri dalam

membuat keputusan. Undang-undang, kadar kutipan cukai, pembahagian tanah, kekayaan dan
pembangunan setiap negeri mempunyai perbezaan yang amat ketara berdasarkan corak dan
gaya pentadbiran setiap residen. Perbezaan yang jelas wujud antara negeri-negeri Melayu itu
menyebabkan wujudnya rungutan dan aduan di kalangan rakyat. Pertikaian antara negeri juga
kadang kala wujud dan Gabenor Negeri-Negeri Selat terpaksa menjadi mahkamah rayuan
untuk membicarakan masalah-masalah yang timbul. Keadaan ini menimbulkan kesedaran
untuk mewujudkan penyelarasan dalam sistem pentadbiran yang sedia ada. Oleh itu, pada
bulan Mei 1893, Sir Charles Lucas dari Pejabat Jajahan telah menghasilkan satu
memorandum yang mencadangkan pembentukan sebuah Persekutuan Tanah Melayu.
Memorandum tersebut telah dihantar oleh beliau kepada Sir Charles Mitchell dengan harapan
agar beliau dapat mengkaji kadar kemungkinan kejayaan rancangannya tersebut. 2 tahun
kemudian, Sir Charles Mitchell bersetuju dengan cadangan tersebut dan rancangan tersebut
hanya akan dapat diteruskan sekiranya mendapat persetujuan dari raja-raja Negeri Melayu.
Akhirnya pada 1 Julai 1896, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dibentuk dengan
menggabungkan empat buah negeri yang dijajah oleh British iaitu Selangor, Perak, Pahang
dan Negeri Sembilan di bawah satu kerajaan pusat yang diketuai oleh seorang Residen
Jeneral. Frank Swettenham telah dilantik menjadi Residen Jeneral dan dalam masa yang sama
bertindak sebagai ejen dan wakil kerajaan British di bawah Gabenor Negeri-Negeri Selat. Di
setiap negeri pula akan ditempatkan seorang residen yang bertindak sebagai ketua dalam
negeri tersebut dan menjalankan tugas seperti mana yang telah ditetapkan.
Seterusnya pada tahun 1909, kerajaan British telah memperluaskan pengaruhnya ke atas
negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu melalui Perjanjian Bangkok,
manakala Johor pula menerima seorang Penasihat Am pada tahun 1914 yang mempunyai
taraf yang sama seperti Penasihat British. Kelima-lima negeri ini dikenali sebagai Negeri-

Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NMTB), terpisah dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
tetapi berada di bawah naungan Pesuruhjaya Tinggi British. Hal ini disebabkan kerana
keengganan kelima-lima negeri tersebut untuk menyertai persekutuan kerana mereka
bimbang akan kehilangan kuasa mereka kepada kerajaan British. Dalam tahun 1930-an,
pentadbiran British di Tanah Melayu mula mengalami pelbagai masalah. Antaranya ialah
kemiskinan. Kemiskinan yang berlaku terhadap rakyat tempatan menyebabkan masyarakat
yang tidak pernah terlibat dengan politik mula menceburkan diri dan mempertikaikan dasardasar Kerajaan British. Dalam masa yang sama, perasaan curiga antara kaum juga mula
menular dan ianya memberikan impak yang negatif terhadap perpaduan dan keamanan di
Tanah Melayu. Keadaan menjadi lebih tegang lagi apabila Sir Cecil Clementi yang pada
ketika itu merupakan Gabenor dan Pesuruhjaya Tinggi membangkitkan isu penubuhan
Malayan Union (B.Simandjuntak 1985: 20-37). Clementi mempunyai rancangan yang besar
dimana beliau ingin mewujudkan sebuah Malayan Union dari aspek politik, di mana tanah
jajahan, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu akan
digabungkan oleh pemusatan kuasa-kuasa penasihat di Kuala Lumpur. Keempat-empat
Negeri Bersekutu harus diletakkan di atas perlembagaan yang sama sebagaimana Negeri
Melayu Tidak Bersekutu dan memperluaskan lingkaran kuasa persekutuan. Namun rancangan
beliau ini tidak mendapat sambutan dan menimbulkan kecurigaan dan penentangan.
Antaranya ialah, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu khuatir yang mereka bakal
kehilangan kuasa dan kedaulatan sekiranya semua negeri digabungkan dan berlakunya
pemusatan kuasa. Negeri Kedah juga turut tampil menentang dengan menegaskan
perjanjiannya dengan British yang antara lain ialah mensyaratkan bahawa
Baginda (Ratu British) tidak akan menyatu atau menggabungkan negeri Kedah atau
wilayahnya dengan sebarang negeri lain atau Tanah Jajahan Negeri-Negeri Selat tanpa
kebenaran bertulis Yang Mulia Sultan di dalam majlis.

Orang-orang Melayu Kedah mahukan negeri mereka kekal sebagai sebuah negeri yang
diuruskan oleh pegawai-pegawai tempatan bagi menjamin agar identiti Melayu negeri itu
dapat dikekalkan. Selain itu, mereka juga enggan berlakunya kebanjiran pendatang asing di
negeri mereka terutamanya apabila konsep Malayan Union dilaksanakan. Pendapat-pendapat
yang dikemukakan oleh negeri Kedah ini dipersetujui oleh negeri-negeri yang lain seperti
Perlis, Kelantan dan Terengganu. Tidak ketinggalan juga kebimbangan turut dialami oleh
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di mana Kuala Lumpur akan digantikan dengan Singapura
sebagai pusat bidang kuasa. Sementara Singapura pula berpendapat bahawa rancangan
penubuhan Malayan Union merugikan kepentingan mereka.
Setelah tamatnya Perang Dunia Ke-2, pentadbiran dalam Tanah Melayu mengalami
rombakan. Kerajaan British berpandangan bahawa, pendudukan semula Tanah Melayu
merupakan peluang untuk mereka membuat perubahan yang meluas terhadap sistem
pentadbiran dan pada ketika inilah rancangan yang diusulkan oleh Sir Cecil Clementi untuk
menubuhkan Malayan Union digunapakai. Selain itu, Kerajaan British juga ingin
menjimatkan kos pentadbiran, mengawal kuasa politik orang Melayu, melahirkan
pentadbiran yang licin dan persediaan kepada orang Melayu untuk bekerajaan sendiri.
Jawatankuasa Persatuan British Malaya di London telah mengeluarkan sebuah memorandum
yang mendesak agar Tanah Melayu disatukan dalam satu unit politik dan ekonomi serta
melibatkan penyertaan yang lebih luas bagi mereka yang mendiami Tanah Melayu.
Memorandum ini juga turut menyarankan agar Seberang Perai disatukan dengan Kedah,
Melaka dengan Negeri Sembilan dan kemudian ditegakkan sebuah persekutuan melibatkan
sembilan buah negeri melayu yang terbentuk dengan bidang kuasa yang telah ditentukan di
bawah satu perjanjian baru. Perjanjian tersebut turut dikenali sebagai Perjanjian Malayan
Union dan antara isis-isi perjanjian ialah semua Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu
Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat disatukan dan seorang Pesuruhjaya Tinggi British

dilantik bagi setiap negeri sebagai ketua pentadbir. Seorang Gabenor British akan dilantik
oleh Ratu England untuk mengetuai Malayan Union dan Majlis Eksekutif serta Majlis
Undangan Malayan Union dibentuk. Singapura pula diasingkan kerana ianya akan berfungsi
sebagai pelabuhan bebas yang amat penting kepada Kerajaan British. Raja-Raja Melayu pula
hanya menjadi ahli Majlis Raja-Raja Melayu yang hanya berkuasa dalam membincangkan
soal agama Islam dan adat istiadat Melayu. Selain itu, syarat-syarat kewarganegaraan di
Tanah Melayu ditentukan berdasarkan Prinsip Jus Soli.
Kebanyakan penduduk Tanah Melayu pada ketika itu menentang akan penubuhan
Malayan Union. Antara faktor penentangan mereka ialah berpunca dari tindakan Sir Harold
Mac Michael yang mengugut Raja-Raja Melayu untuk menerima Malayan Union seperti
mana yang telah berlaku kepada Sultan Badlishah di Kedah. Para Sultan juga tidak diberi
masa untuk berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri tentang Malayan Union dan peristiwa
ini telah berlaku ke atas Sultan Perak pada ketika itu. Selain itu terdapat juga Sultan yang
menandatangani Perjanjian Malayan Union dengan pihak British atas dasar setia kawan dan
hal ini telah ditunjukkan oleh Sultan Selangor dan Sultan Johor. Penentangan orang Melayu
juga berlaku adalah ekoran daripada isi-isi perjanjian yang kelihatan lebih menguntungkan
pihak British. Ekoran dari penentangan-penentangan tersebut menyebabkan kerajaan British
memansuhkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu
pada 1 Februari 1948. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu juga merupakan salah satu
kejayaan yang diperoehi oleh satu jawatankuasa yang dianggotai oleh 12 orang wakil RajaRaja Melayu, UMNO, dan pegawai-pegawai British (Ibrahim Mahmood : 1981).
Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah menubuhkan sebuah Persekutuan dengan
kecenderungannya yang kuat mengarah ke pusat. Sebanyak sebelas buah negeri yang pernah
berada di bawah Malayan Union mendukungi Persekutuan dan negeri-negeri tersebut

diberikan kuasa berdasarkan prinsip Persekutuan meskipun kuasa-kuasa hanya diberikan


berdasarkan pertimbangan perlembagaan agar setiap negeri sentiasa memihak kepada
kerajaan Persekutuan. Dalam membuat sebarang keputusan dasar yang penting pada
peringkat Persekutuan, persetujuan 12 Majlis Legislatif adalah diperlukan iaitu sembilan di
negeri Melayu, satu di Pulau Pinang, satu di Melaka, dan satu di Kuala Lumpur. Keadaan ini
menyukarkan sesebuah keputusan diambil kerana ianya perlu mendapatkan persetujuan
daripada 12 orang ketua. Oleh itu, Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan yang bertujuan untuk
mengajukan cadangan bagi satu bentuk Perlembagaan Persekutuan untuk seluruh negara
sebagai satu unit tunggal, merdeka dan berkerajaan sendiri dalam lingkungan Komanwel
dengan memiliki dua Dewan Undangan. Sebanyak 131 memorandum bertulis telah diterima
oleh

Suruhanjaya

Reid

daripada

pertubuhan-pertubuhan

dan

orang

perseorangan

(Asnarulkhadi Abu Samah, Jayum A.Jawan 1997 :37-58) dan berdasarkan memorandum
tersebut mereka telah mengemukakan beberapa cadangan seperti Kerajaan Persekutuan Tanah
Melayu yang merdeka akan diketuai oleh seorang raja, sistem kerajaan bersekutu yang sedia
ada diteruskan iaitu dengan kewujudan kerajaan pusat dan kerajaan negeri, raja-raja melayu
kekal sebagai ketua negeri, dan negeri-negeri yang tidak mempunyai raja akan diketuai oleh
Yang Dipertua. Terdapat juga cadangan Surhanjaya Reid yang dipinda semula agar
bersesuaian dengan keadaan pada ketika itu. Cadangan-cadangan tersebut diterima oleh
Parlimen British dan mendapat perkenan Raja-raja Melayu pada Jun 1957 dan diluluskan
oleh Majlis Undangan Persekutuan pada 15 Ogos 1957 dan perlembagaan tersebut mula
dikuatkuasa pada 27 Ogos 1957. Perlembagaan tersebut kemudiannya telah dipinda dengan
beberapa perubahan kecil bagi menyesuaikannya menjadi Perlembagaan Malaysia apabila
Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak lalu membentuk Malaysia
pada 16 September 1964 meskipun Singapura akhirnya mengambil keutusan ntuk keluar dari
Persekutuan Malaysia setelah menandatangani persetujuan berpisah pada 7 Ogos 1965 dan

diluluskan Parlimen pada 9 Ogos 1965 ekoran dari krisis dalaman yang diwujudkan oleh Lee
Kuan Yew (Asnarulkhadi Abu Samah, Jayum A.Jawan 1997 :37-58).

3.0 : PENGAGIHAN KUASA


Di Malaysia, pembahagian kuasa adalah dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu bidang
kuasa perundangan dan bidang kuasa eksekutif. Dalam bidang kuasa perundangan, terdapat
tiga jenis senarai kuasa yang telah ditentukan iaitu Senarai Satu, Senarai Dua, dan Senarai
Tiga. Senarai Satu merujuk kepada Senarai Persekutuan yang menyenaraikan kuasa-kuasa
yang dimiliki oleh Kerajaan Pusat dan berada di bawah pentadbiran Parlimen seperti
perhubungan luar, pertahanan, kewarganegaraan, ubat-ubatan, syarikat kerjasama, serta
kebajikan orang-orang asli. Parlimen merupakan institusi yang mempunyai kuasa untuk
membuat undang-undang bagi seluruh Malaysia. Manakala Senarai Dua pula merujuk kepada
Senarai Negeri yang menggariskan kuasa-kuasa Kerajaan Negeri yang terletak pada Dewan
Undangan Negeri (DUN). Antara bidang kuasa DUN ialah pentadbiran kerajaan tempatan,
urusan tanah, penangkapan ikan, dan hari kelepasan negeri. Kerajaan Persekutuan dan
Kerajaan Negeri masing-masing tidak boleh mencampuri bidang kuasa kerajaan lain. Namun
begitu, DUN boleh menggubal undang-undang bagi perkara di bawah Senarai Persekutuan,
tetapi dengan syarat undang-undang tersebut diluluskan oleh Parlimen. Senarai Tiga atau
turut dikenali sebagai Senarai Bersama pula merupakan bidang-bidang kuasa yang dimiliki
oleh kedua-dua kerajaan iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Dalam Senarai
Negeri, Sarawak dan Sabah mempunyai sedikit keistimewaan berbanding negeri-negeri lain
dan perkara ini sememangnya telah termaktub dalam Perlembagaan. Sebagai contoh, Sabah
dan Sarawak berkuasa dalam menggubl undang-undang bagi perkara-perkara yang tidak
terdapat dalam Senarai Negeri negeri-negeri lain seperti menentukan hal ehwal imigresen.
Dalam Senarai Bersama atau Senarai Tiga pula, bidang kuasanya ialah seperti berkaitan
urusan biasiswa, kebajikan awam, Taman negara, dan hidupan liar. Dalam senarai bersama,
Parlimen dan DUN dibenarkan menggubal undang-undang untuk perkara yang sama asalkan
undang-undang tersebut tidak bercanggah antara satu sama lain. Sebagai contoh, sekiranya

undang-undang yang ingin digubal oleh DUN dalam Senarai Bersama bercanggah dengan
udang-undang yang digubal oleh Parlimen dalam senarai yang sama, maka undang-undang
Parlimen yang akan digunapakai. Di sini jelas menunjukkan bahawa Parlimen lebih berkuasa
daripada DUN sekiranya wujud permasalahan sedemikian. Selain itu Parlimen juga berkuasa
dan berhak menggubal undang-undang di bawah Senarai Negeri dengan tujuan untuk
menyelaraskan undang-undang kecuali yang berkaitan dengan undang-undang Islam, budaya
Melayu, dan undang-undang anak negeri atau adat Sabah dan Sarawak.

4.0 : KAJIAN PERMASALAHAN FEDERALISME DI MALAYSIA


Penduduk Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Keamanan dan perpaduan
sememangnya merupakan salah satu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh para pemimpin
dalam mentadbir negara yang mempunyai komposisi kaum yang pelbagai. Melayu, Cina dan
India merupakan tiga kaum utama di Malaysia dan konflik perkauman terbesar yang pernah
berlaku dalam sejarah Malaysia ialah Tragedi 13 Mei. Meskipun konflik perkauman sering
berlaku, namun terdapat juga isu-isu lain yang tidak kurang hebatnya berlaku di Malaysia.
Antaranya ialah isu keagamaan. Keagamaan merupakan isu yang amat sensitif terutamanya di
kalangan masyarakat Melayu. Hal ini disebabkan kerana, bangsa Melayu amat mementingkan
sifat ketuanan Melayu dalam diri mereka dan mereka merupakan kaum majority yang
beragama Islam di Malaysia. Selain itu, agama Islam juga merupakan agama rasmi negara
dan UMNO merupakan parti yang dominan dalam Barisan Nasional (BN). Oleh itu dalam
konteks politik, agama merupakan salah satu faktor yang menjadi asas sokongan dan modal
politik bagi parti-parti yang majoriti ahlinya adalah beragama Islam dan berbangsa Melayu
khususnya parti UMNO dan PAS.

Salah satu isu keagamaan yang pernah suatu ketika dahulu hangat diperkatakan dan
diperdebatkan antara parti UMNO dengan PAS ialah isu pelaksanaan Hukum Hudud. Hukum
hudud merupakan sebahagian daripada ajaran Islam yang tidak boleh dipertikaikan kerana
ianya mempersoalkan dan secara tidak langsung menolak hukum yang telah tersurat di dalam
Al-Quran. Hudud atau kalimah mufradnya hadd adalah batasan-batasan yang telah ditetapkan
oleh Allah S.W.T di mana kesalahan dan hukuman telah ditetapkan. Selain daripada
menjunjung titah perintah Allah, pelaksanaan Hukum Hudud juga bertujuan untuk
mewujudkan sebuah masyarakat yang harmonis, bermoral tinggi, dan hidup aman damai di
bawah keampunan Alah yang pengasih dan penyayang (Prof. Dato Dr. Haron Din 1993 : 3345). Menurut para ulama, hudud merupakan kesalahan dan hukuman yang telah ditetapkan
merangkumi jumlah bilangan hukuman dan gaya pelaksanaannya berdasarkan syarak (Dr.
Zulkifli Hasan 2013: 33-41). Antara jenis jenayah hudud ialah terdiri daripada kesalahan zina,
mencuri, menuduh zina (qazaf), meminum arak, menyamun, memberontak dan murtad (Prof.
Madya Datin Dr. Paizah Hj. Ismail 2008: 318-336).
Matlamat awal penubuhan PAS ialah menubuhkan negara Islam secara berpelembagaan
(Funston 1980: 145-150). Walaubagaimanapun, pada peringkat awal penubuhannya, PAS
lebih menekankan soal kebangsaan dan survival orang Melayu dalam persaingan dengan
kaum lain di Malaysia. Hal ini disebabkan kerana pada awal kemerdekaan, setiap kaum ingin
menjaga dan mengukuhkan kedudukan kaum masing-masing. PAS juga turut terlibat di mana
mereka memperjuangkan martabat Bahasa Melayu, pendidikan serta kedudukan ekonomi
orang Melayu. Orientasi perjuangan PAS yang lebih kepada keislaman mula kelihatan pada
tahun 1982 iaitu apabila berlakunya perubahan dalam pucuk pimpinan PAS ekoran daripada
pengambilalihan golongan muda bersama golongan ulama setelah mereka berjaya
menyingkirkan kepimpinan yang sedia ada yang berunsurkan nasionalisme. Manakala
UMNO pula sememangnya dari permulaan penubuhannya adalah untuk memperjuangkan

bangsa Melayu dan mempertahankan institusi beraja yang menjadi lambang kemegahan
bangsa Melayu.
Dalam pilihan raya 1990, PAS berjaya menawan semula Kelantan yang dikuasai oleh
UMNO sejak 1978 dan pada tahun 1999, PAS mencapai pencapaian yang paling besar dalam
sejarah penubuhannya iaitu berjaya mengekalkan Kelantan dan menawan Terengganu dengan
memenangi 27 kerusi Dewan Rakyat dan 98 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ekoran daripada kejayaan tersebut, PAS perlu menunjukkan kesungguhan dalam
melaksanakan dan menegakkan undang-undang Islam. Oleh itu, DUN kedua-dua buah negeri
telah meluluskan pelaksanaan Hukum Hudud iaitu pada tahun 1993 di Kelantan dan 2002 di
Terengganu. Pelaksanaan Hukum Hudud ini bukan sahaja untuk menepati janji yang telah
disemai sebelum pilihan raya berlangsung, sebaliknya turut bertujuan untuk menyerlahkan
dan membuktikan bahawa perjuangan PAS lebih berunsurkan Islamik berbanding parti-parti
lain khususnya UMNO. Keadaan ini menyebabkan UMNO berada dalam dilema sama ada
menerima ataupun menentang pelaksanaan Hukum Hudud yang dibawa oleh PAS. Sekiranya
UMNO menolak pelaksanaan Hukum Hudud yang dianggap oleh PAS dan sebahagian orang
Islam sebagai hukum Islam, maka UMNO akan dituduh sebagai parti yang anti-Islam dan
pendiriannya itu bertentangan dengan dasar Islamisasi yang mereka UMNO perjuangkan.
Sekiranya UMNO menerima pelaksanaan Hukum Hudud, sokongan daripada pengundi bukan
Melayu akan berkurangan dan kebarangkalian akan berlakunya penentangan dari komponen
lain dalam BN yang mewakili orang-orang bukan Melayu adalah tinggi (Ghazali Mayudin &
Mazni Buyong 1999).
Akhirnya, UMNO mengambil keputusan untuk menolak dan menentang pelaksanaan
Hukum Hudud dengan alasan bahawa undang-undang Islam tidak sesuai dilaksanakan di
Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum. UMNO juga turut menegaskan
bahawa mereka tidak menolak undang-undang Islam khususnya hudud, tetapi mereka

menolak pelaksanaan hukum yang digubal oleh PAS kerana undang-undang Islam yang cuba
dilaksanakan oleh PAS di Kelantan dan Terengganu bukanlah berdasarkan ajaran Islam yang
sebenarnya, sebaliknya hanya bermotifkan politik semata-mata (Dr. Zulkifli Hasan 2013 :8395). Selain itu, terdapat juga sarjana-sarjana lain yang sependapat dengan UMNO di mana
mereka telah membuat ulasan yang kritikal dan menegaskan bahawa terdapat beberapa aspek
dalam Hukum Hudud tersebut yang tidak sepenuhnya mengikut kehendak Islam (Mohd. Noor
Deris: 1999). Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mewakili UMNO dan dalam masa yang sama
merupakan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu telah menolak usaha PAS untuk
melaksanakan Hukum Hudud dengan menggunakan Perlembagaan Malaysia dalam Perkara
4.1 yang berbunyi,
Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa
undang-undang yang diluluskan selepas hari merdeka dan yang berlawanan dengan
Perlembagaan hendaklah terbatal setakat mana yang berlawanan itu
Berdasarakan Perkara 4(1) tersebut, Kerajaan Persekutuan dan Negeri hanya boleh membuat
undang-undang dan mentadbir dalam ruang bidang kuasa masing-masing. Sekiranya manamana kerajaan membuat undang-undang di luar bidang kuasanya, maka undang-undang
tersebut adalah bertentangan dengan Perlembagaan. Perkataan Undang-undang utama atau
supreme law mempunyai penekanan maksud bahawa perlembagaan Malaysia merupakan
The Law atau Undang-undnag teragung dan undang-undang lain termasuk undangundang Islam hendaklah tertakluk dibawahnya ( Ibnu Hasyim 1993: 59-85). Disamping itu
juga, Tun Dr. Mahathir turut menulis surat kepada pemimpin PAS yang bertarikh 15 Julai
1994 yang dengan jelasnya menyatakan penentangan terhadap pelaksanaan hukum hudud
dan memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil sekiranya Kerajaan PAS
tetap nekad untuk meneruskan pelaksanaan hukum tersebut (Sinar Harian, Dr. Muhammad
Fathi Yusof 2014). Setelah isu pelaksanaan Hudud di Kelantan menjadi reda sementara

waktu, timbul pula isu pelaksanaan Hudud di Terengganu pada 2002 apabila PAS menggubal
Enakmen Undang-Undang Syariah di negeri tersebut. Menteri Besar Terengganu yang juga
Timbalan Presiden PAS pada ketika itu, Dato Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa
mereka yang menentang undang-undang hudud tidak mempunyai alasan yang kuat
memandangkan mereka kurang arif tentang perkara itu. Beliau juga turut menegaskan
bahawa beliau sedia untuk bersemuka dengan mereka sekiranya perlu bagi menerangkan hal
tersebut. Sebaliknya, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mohamad menegaskan, Kerajaan
Negeri Terengganu sepatutnya menyerahkan draf rang undang-undang berkenaan kepada
Peguam Negara sebelum menguatkuasakannya.
Dalam sejarah Malaysia, hukum Hudud sememangnya pernah diaplikasikan sewaktu
zaman sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat. Perkara ini dapat dibuktikan dengan
penemuan Batu Bersurat Kuala Berang Terengganu yang bertarikh 17 Rejab 702H yang
menyentuh mengenai kesalahan zina dan hukuman yang perlu dikenakan ke atasnya (S.Q.
Fatimi 1963).
Orang berbuat balacara lelaki perempuan setitik Dewata Mulia Raja jika merdeka
bujang palu seratus rotan. Jika merdeka beristeri atau perempuan bersuami ditanam
hingga pinggang dikembalang dengan batu matikan
Selain itu, terdapat juga penemuan-penemuan yang menunjukkan perlaksanaan Hudud di
negeri-negeri Melayu seperti Undang-Undang Kedah, Undang-undang Pahang dan Undangundang Melaka. Namun pelaksanaannya mulai terhakis apabila kolonial British tiba di Tanah
Melayu dan memperkenalkan Common Law (Prof. Madya Datin Dr.Paizah Hj. Ismail 2008:
298-317). Langkah paling awal Inggeris dalam memperkenalkan undang-undang mereka di
Malaysia ialah pada tahun 1807 apabila Piagam Keadilan (Charter of Justice) pertama
diperkenalkan (M.B. Hooker 1984: 85-86). Kesemua penemuan ini jelas membuktikan

bahawa undang-undang Islam pernah dilaksanakan di Malaysia dan ini menjadi salah satu
faktor pendorong dan contoh yang diguna pakai oleh PAS untuk menghidupkan semula
pelaksanaan undang-undang tersebut pada zaman permodenan Malaysia.
Namun begitu, berdasarkan permasalahan dan pertikaian antara UMNO dengan PAS
berkenaan pelaksanaan Hukum Hudud, jelaslah bahawa masalah tersebut wujud disebabkan
oleh beberapa halangan sama ada bersifat politik atau bersifat perundangan ekoran daripada
sistem federalisme yang wujud dan diamalkan di negara kita Malaysia. Dari segi politik,
pelaksanaan Hukum Hudud sememangnya tidak mendapat kerjasama atau sokongan malah
turut mendapat tentangan dari Kerajaan Persekutuan. Manakala dari aspek perundangan pula,
ianya tidak dapat dikuatkuasakan kerana undang-undang jenayah termasuk dalam senarai
kuasa Persekutuan dan bukannya di bawah kuasa Negeri. Disamping itu juga, Akta Jenayah
Mahkamah Syariah 1965 telah mengehadkan skop kuasa Mahkamah Syariah milik Kerajaan
Negeri. Menurut Akta tersebut, enakmen-enakmen jenayah syariah yang sedia ada sudah
mengandungi kesalahan-kesalahan seperti berjudi, zina, sumbang mahram, persetubuhan luar
tabii dan seumpamanya. Akta ini kemudiannya dipinda pada 1984 yang memperuntukkan
bahawa Mahkamah Syariah hanya boleh membicarakan jenis-jenis kesalahan yang boleh
dihukum dengan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak melebihi
RM5000 atau rotan tidak melebihi enam kali atau kedua-duanya sekali (Prof. Madya Datin
Dr. Paizah Hj. Ismail 2008: 337-345). Meskipun enakmen kesalahan jenayah syariah (Hudud
dan Qisas) telah diluluskan oleh DUN Terengganu dan telah diperkenankan oleh Sultan
Terengganu pada 23 September 2002 dan diisytiharkan berkuat kuasa pada 27 Oktober 2003,
namun ianya tetap tidak dapat dilaksanakan kerana halangan-halangan yang dinyatakan
sebelum ini.

Sekiranya pelaksanaan Hukum Hudud ini mendapat kelulusan daripada Kerajaan Pusat
dan hanya akan dilaksanakan ke atas orang Islam sahaja, maka ianya akan bercanggah
dengan Perkara 8(2) dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang berbunyi:
Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak
boleh ada diskrimanasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras,
keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang (Asyraf
Wajdi Dusuki 2015: 91-101).
Oleh itu, sekiranya Hukum Hudud tetap diteruskan, maka hukum tersebut dianggap tidak sah
dan terbatal kerana ianya mempunyai unsur-unsur diskriminasi terhadap penganut agama
lain. Kewujudan unsur diskriminasi ini sekiranya wujud dikhuatiri akan meninggalkan impak
yang negatif kepada negara seperti perpaduan antara kaum terjejas dan keamanan tergugat.
Perlembagaan hakikatnya tidak menyekat DUN daripada menggubal undang-undang
hudud atas nama atau dasar kesalahan-kesalahan melanggar perintah Islam kerana undangundang syariah terletak pada bidang kuasa Kerajaan Negeri. Perkara ini boleh mencangkupi
semua perkara yang dikatakan sebagai jenayah menurut perspektif syarak termasuklah hukum
hudud itu sendiri. Namun begitu, bahagian perundangan di peringkat Kerajaan Negeri
mempunyai kesukaran apabila terdapatnya syarat yang telah ditetapkan oleh perlembagaan ke
atas kuasa dan bidang kuasa negeri. Berdasarkan Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual
Kesembilan telah menetapkan tiga syarat utama terhadap bidang kuasa negeri dalam perihal
yang melibatkan hukum-hukum Islam. Pertama, dalam kes-kes jenayah, mahkamah syariah
hanya mempunyai kuasa ke atas orang-orang Islam sahaja; kedua, mahkamah syariah hanya
mempunyai bidang kuasa ke atas perkara yang tiada termaktub dalam Senarai Persekutuan
dan; ketiga, perlembagaan membenarkan parlimen menggubal undang-undang berkaitan
bidang kuasa mahkamah syariah (Asyraf Wajdi Dusuki 2015 : 113-118). Berdasarkan ketiga-

tiga syarat tersebut, jelaslah bahawa mahkamah syariah hanya berkuasa dan berfungsi ke atas
orang Islam sahaja dan sekiranya Hudud diluluskan, maka undang-undang tersebut tidak
memberi apa-apa kesan terhadap orang yang bukan beragama Islam.
Disamping itu juga, persoalan mengenai keadilan juga akan turut dibangkitkan sekiranya
Hukum Hudud ini dilaksanakan. Apakah adil dalam konteks Malaysia yang terdiri dari
pelbagai kaum dan agama tetapi mempunyai dua set perundangan yang membezakan antara
orang Islam dan bukan Islam terutamanya dalam melibatkan jenayah awam seperti mencuri,
merompak, membunuh, merogol, dan seumpama dengannya? Adakah wujudnya unsur
diskriminasi terhadap sesebuah agama? Perbezaan pendapat antara ulama Fiqh juga secara
tidak langsung mewujudkan sedikit kerisauan dalam Kerajaan Persekutuan terhadap
Enakmen Jenayah Kelantan II 1993. Sebagai contoh, kes qarinah iaitu mengandung sebagai
bukti kepada kesalahan berzina bagi perempuan, sama ada dia mengandung hasil dari
perhubungan haram secara sukarela atau dipaksa. Sekiranya perempuan tersebut tidak
bersalah tetapi beliau tidak mampu membuktikan diri tidak bersalah dengan mengemukakan
empat orang saksi, maka hukuman berat yang bakal diterima olehnya merupakan satu
penganiayaan dan secara tidak langsung telah menzalimi individu yang tidak bersalah (Dr.
Zulkifli Hassan 2013: 83-95).
Sistem perundangan dwisistem yang diamalkan di negara ini juga telah jelas
membahagikan bidang kuasa masing-masing antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri.
Dalam Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan membahagikan pengubalan undang-undang
kepada tiga kategori berdasarkan pembuat undang-undang, iaitu Parlimen dan dewan-dewan
negeri. Terdapat tiga senarai yang disebut dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan
Persekutuan, iaitu Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Parlimen boleh
membuat undang-undang yang perinciannya termaktub dalam Senarai Persekutuan dan
Senarai Bersama. Manakala Dewan Undangan Negeri pula berkuasa membuat undang-

undang yang terletak dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Berdasarkan senaraisenarai tersebut, soal Jenayah disebut dengan jelas dalam Senarai Persekutuan, manakala
undang-undang yang berkaitan dengan agama Islam dan kesalahan-kesalahan yang orang
Islam yang melanggari ajaran agama berada dalam bidang kuasa Senarai Negeri. Sesetengah
dari kesalahan yang layak menerima hukum Hudud seperti mencuri dan merogol telahpun
sedia termaktub dalam kesalahan-kesalahan Jenayah dan Sivil dalam Kerajaan Persekutuan.
Oleh itu, sekiranya hukum hudud dilaksanakan, maka akan berlakunya pertindanan antara
Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

5.0 : KESIMPULAN
Sistem federalisme yang diamalkan di negara kita sememangnya diamalkan dengan cara
yang betul di mana wujudnya dua jens kerajaan iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri dan

kedua-dua kerajaan telah ditentukan bidang kuasa masing-masing berdasarkan Perlembagaan.


Menyentuh mengenai isu pelaksanaan hudud yang diperjuangkan oleh PAS di Kelantan dan
Terengganu adalah boleh dikatakan mustahil untuk dilaksanakan. Meskipun hal-hal yang
berkaitan dengan agama Islam berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri, namun bidang
kuasanya adalah terbatas di mana kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa perundangan untuk
menjatuhkan hukuman keras seperti yang dicadangkan dalam rang undang-undang hudud
tersebut. Perkara ini adalah bertepatan dengan pandangan Mohamad Hashim Kamali di dalam
buku beliau yang bertajuk Punishment in Islamic Law: An Enquiry into The Hudud Bill of
Kelantan. Sekiranya hukum hudud tetap ingin dilaksanakan dan membolehkan Mahkamah
Syariah membicarakan kes-kes hudud, maka Jadual Kesembilan Senarai 2 Perlembagaan
Persekutuan perlu dipinda dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah 1965) pula
perlu dimansuhkan. Hal ini disebabkan kerana hukum hudud merupakan hukuman yang
mencacatkan anggota badan bagi kes mencuri, rejm sehingga mati bagi kesalahan zina, dan
sebagainya. Sedangkan pelaksanaan terhadp hukum-hukum tersebut terletak di luar bidang
kuasa Mahkamah Syariah. Meskipun begitu, masalah tetap akan timbul terutamanya dalam
soal pelaksanaan kerana kebanyakkan warga Malaysia termasuklah umat Islam sendiri tidak
begitu memahami dan tidak yakin bahawa wujudnya keadilan dalam pelaksanaan hukum
tersebut. Selain itu, sistem politik federalisme yang negara kita amalkan juga menjadi batu
penghalang utama kepada pelaksanaan hukum hudud disebabkan wujudnya dwikerajaan.
Sekiranya negara kita mengamalkan sistem pentadbiran monarki mutlak, nescaya hukum
hudud dengan mudahnya dapat dilaksanakan. Ini dapat dibuktikan dengan kejayaan negara
Brunei Darulsalam yang mengamalkan sistem monarki mutlak telah berjaya melaksanakan
hukum hudud dan diaplikasikan dengan jayanya. Kesimpulannya, jelaslah bahawa sistem
politik federalisme mempunyai kelemahan yang sekiranya tidak diatasi dan diselesaikan
secara berhemah, nescaya ianya mampu mengkucar-kacirkan pentas politik dalam negara.

Toleransi antara kedua-dua belah kerajaan haruslah diutamakan bagi mendapatkan jalan
penyelesaian yang terbaik dan menamatkan isu yang tidak berpenghujung ini.

Anda mungkin juga menyukai