Anda di halaman 1dari 2

Soalan: Kebaikan amalan berjimat cermat

Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Berjimat-cermat


dapat dedifinisikan sebagai menggunakan apa yang kita miliki untuk perkara-perkara
yang perlu sahaja tanpa pembaziran. Berjimat cermat merupakan amalan mulia yang
dituntut oleh setiap agama. Amalan ini perlulah dipupuk sejak dari kecil lagi bak kata
pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sempena Hari Pengguna 2010,
Perdana Menteri kita telah menyeru rakyat agar berjimat cermat dalam segala aspek
kehidupan demi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Beliau juga
menasihati rakyat agar ingat sebelum kena, jimat sebelum habis agar tidak menyesal
kemudian hari bak kata peribahasa Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian
tiada guna. Rakyat juga digesa agar tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu ketika
membeli-belah kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. Bertitik tolak oleh hal ini, banyak
faedah yang dapat kita perolehi apabila menjadikan sikap berjimat cemat sebagi satu
amalan.

Pada hemat saya, berjimat cermat dapat menambah simpanan kita. Pada era
globalisasi ini, kita perlu sentiasa berhati-hati ketika berbelanja kerana bila-bila masa
sahaja ekonomi negara kita akan bermasalah. Oleh itu kita hendaklah sentiasa
berwaspada bak kata mutiara, beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Apabila
kita menjimatkan perbelanjaan, wang yang dihematkan dan ditabungkan di institusi
kewangan akan meningkat, bak kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.
Wang simpanan ini amat berguna ketika menghadapi waktu kecemasan seperti hendak
menjalani pembedahan. Menurut Dato Michael Chong, kita tidak perlu mengemis dan
menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan
menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. Selain itu, kita dapat menyimpan
untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi yang memerlukan kos
yang banyak untuk membayarnya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan berjimat
cermat dapat meningkatkan simpanan kita untuk digunakan pada masa kecemasan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa melalui amalan berjimat cermat,


perbelanjaan harian kita kan dikurangkan. Kita akan lebih berhati-hati apabila
berbelanja dan merancang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan wang. Amalan ini
akan mengelakkan kita daripada membazir daripada membeli barang-barang yang tidak
diperlukan dan hanya membeli yang perlu sahaja. Hal ini demikian kerana kita
membandingkan harga barang-barang yang hendak kita beli dan membeli barangan
buatan tempatan yang lebih murah harganya. Barang yang berkualiti dan mahal juga
eloklah dibeli kerana alah membeli, menang memakai. Kasut sekolah Bata, misalnya,
bukan sahaja tahan lama bahkan berbaloi. Pemakaian kasut ini memberikan
keselesaan dan kepuasan. Dengan cara ini, bukan sahaja perbelanjaan harian dapat

dijimatkan bahkan kebahagiaan terjamin rentetan itu, secara ringkasnya, perbelanjaan


harian dapat dioptimumkan melalui amaln berkimat cermat.

Selain itu, kebaikan amalan berjimat cermat yang lain ialah kita dapat
menginsafkan diri kita dengan mengingati negara luar yang dilanda krisis kewangan
dan juga peperangan yang terputus bekalan makanan. Kita hendaklah bersimpati
dengan nasib mereka dengan memahami keadaan mereka. Misalnya, kita tidak perlu
membeli pakaian yang berjenama mewah untuk bergaya sakan. Ingatlah mereka yang
diluar sana yang mungkin tidak mampu untuk membeli sehelai baju pun. Apabila
membayangkan penderitaan mereka, sudah pasti kita tidak akan membazir makanan
dan minuman yang kita nikmati setiap hari. Jika ada peluang kita juga boleh
menyumbangkan sesuatu untuk meringankan penderitaan mereka.

Faedah yang keempat ialah kita dapat mengelakkan diri daripada melakukan
pembaziran. Contohnya amalan menabung. Jika seseorang itu selalu menabung,
wangnya akan semakin bertambah seperti pepatah sedikit- sedikit, lama- lama jadi
bukit . Wang tabungan tersebut dapat digunakan untuk perkara- perkara berfaedah
seperti membeli barangan keperluan atau apabila melangkah ke menara gading kelak.
Seperti yang kita ketahui, membazir itu amalan yang rugi. Kita juga dapat melatih diri
supaya berdisiplin supaya tidak membazir membeli barang-barang yang tidak perlu.
Misalnya, kita akan sentiasa menutup kembali barangan elektrik seperti kipas,
pendingin hawa dan sebagainya selepas digunakan. Ini akan mengelakkan mereka
daripada membayar bil elektrik yang tinggi. Eksplisitnya, amaln berjimat cermat ini
dapat mengelakkan pembaziran kerana ini adalah amalan syaitan.

Sebelum mengakhiri wacana ini, jelaslah bahawa banyak faedah yang kita
perolehi apabila kita mengamalkan amalan berjimat cermat dalam kehidupan seharian
kita. Kita perlu sentiasa berusaha bagi memastikan amalan berjimat-cermat menjadi
budaya hidup kita. Amalan ini pasti akan menguntungkan kita serta mengelakkan kita
ditimpa pelbagai masalah. Oleh itu, marilah kita amalkan sikap berjimat cermat kerana
amalan ini menjadikan kita seorang yang bertanggungjawab.

Anda mungkin juga menyukai