Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Memelihara Alam Sekitar

Alam sekitar ialah alam di sekeliling kita seperti sungai, tumbuh-tumbuhan dan
bukit-bukau. Kita perlu memelihara keseimbangan alam sekitar. Alam sekitar yang
bersih akan menjadikan kehidupan kita lebih baik.
Alam sekitar ialah anugerah Tuhan kepada kita. Alam sekitar yang terpelihara akan
dapat mendamaikan jiwa kita. Persekitaran yang bersih dan indah sesuai dijadikan
tempat tinggal. Selain itu, alam sekitar yang tidak tercemar akan dapat menarik
kedatangan ramai pelancong.
Tumbuh-tumbuhan perlu dipelihara kerana menjadi unsur penting dalam
keseimbangan alam. Tumbuh-tumbuhan berfungsi mengeluarkan gas oksigen. Gas
oksigen ini diperlukan oleh manusia untuk pernafasan. Haiwan juga memerlukan tunbuhtumbuhan untuk dijadikan sumber makanan.
Selain itu, bukit-bukau dan gunung-ganang juga perlu dipelihara. Hutan tebal yang
menghijau dijadikan sebagai kawasan tadahan hujan. Kawasan hutan menjadi habitat
pelbagai jenis haiwan seperti harimau, singa dan gajah. Aktiviti pembalakan dan
pertanian perlu dikawal agar tidak menjejaskan keseimbangan alam sekitar.
Sungai dan lautan juga adalah sebahagian daripada alam sekitar yang perlu
dipelihara. Sungai yang bersih merupakan sumber air kepada kita. Lautan yang
terbentang luas menjadi tempat nelayan menangkap pelbagai jenis ikan. Kita perlu
memelihara sungai dan lautan agar tidak tercemar supaya pelbagai jenis ikan dapat
terus membiak.
Sesungguhnya, kita perlu memelihara alam sekitar daripada pencemaran. Alam
sekitar yang bersih akan menjadikan kehidupan kita lebih baik. Alam sekitar yang
terpelihara merupakan hadiah yang tidak ternilai kepada generasi akan datang.
_________________________________________________________________________________________
Kepentingan Memelihara dan Memulihara Alam Sekitar
Kita boleh menyedut udara yang segar apabila alam sekitar terpelihara. Udara
yang bersih dan segar amat penting untuk kesihatan. Kawasan yang segar dan bersih
sentiasa dipenuhi dengan tumbuhan menghijau yang membebaskan oksigen ke udara.
Dengan ini, badan kita akan memperoleh bekalan oksigen yang secukupnya.
Persekitaran yang bersih dan segar, kita dapat melakukan aktiviti luar seperti beriadah
dengan selesa. Dengan ini, kesihatan kita juga akan terjamin.
Selain itu, pemeliharaan alam sekitar akan dapat menjamin keseimbangan
ekosistem. Ekosistem yang terpelihara akan menjamin kita memperoleh sumber air. Hal
yang demikian kerana hutan dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan sekiranya
hutan tidak dimusnahkan. Hutan-hutan akan menakung air huja secara semula jadi
dalam kuantiti yang besar. Dengan yang demikian, kita akan memperoleh bekalan air
yang cukup untuk memenuhi keperluan hidup.
Pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar juga dapat menghindari kepupusan
flora dan fauna. Hal yang demikian kerana alam sekitar merupakan habitat flora dan
fauna yang memainkan peranan untuk mengekalkan alam semula jadi dan saling
berkaitan antara satu sama yang lain. Flora dan fauna merupakan biodiversiti yang tidak
boleh dipisahkan. Flora merupakan tempat perlindungan pelbagai fauna.
Sebenarnya, pemeliharaan alam sekitar boleh memajukan industri pelancongan
negara juga. Keindahan alam sekitar dan persekitaran bersih dapat menarik kunjungan
pelancong dari luar negara ke negara kita. Dengan ini, industri pelancong dapat
dibangunkan serta meningkatkan pendapatan negara. Melalui aktiviti tersebut, peluang
pekerjaan juga akan bertambah dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar
pengangguran serta meningkatkan taraf hidup penduduk. Justeru, penjagaan terhadap
alam sekitar merupakan tanggungjawab kita.

Kesimpulannya, kita harus berganding bahu demi menjaga alam sekitar yang
masih ada. Usaha-usaha memupuk kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar perlu
dilaksanakan secara berterusan. Pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab
bersama demi pembangunan lestari tersu dikekalkan.