Anda di halaman 1dari 4

Di Sebalik Dinara

Tajuk: Di Sebalik Dinara


Oleh: Dayang Noor
Terbitan: Utusan Publications
Tahun: 2012

Sinopsis:
Farisha dimohon oleh pihak Soft Lab untuk menggodam sistem pangkalan rangkaian
komputer mereka untuk menguatkan khidmat keselamatannya. Pada masa yang
sama, Shida rakan serumahnya diminta menyediakan dokumen untuk Soft Lab.
Perancangan seorang ketua, Dr. Maxi sebenarnya mempunyai rahsia tersendiri yang
dilindungi bersama-sama Karl tentang penglibatan Farisha dan Shida, membuka
kisah-kisah lama yang gelap dan menakutkan.
Rasa:
Dayang Noor merupakan penulis yang tiba-tiba muncul dalam persada penulisan
fiksyen spekulatif. Bermula dengan FiXi dua tahun lepas (?), penulis ini mula
mendapat "tempat" dan kelibat, mempunyai kecenderungan sikap "noir" atau asasi
gothik dalam pengolahan tulisan ngerinya (dapat diteliti beliau cukup seronok
dengan ngeri tekni/techno thriller), memberi kisah-kisah ceritanya suatu konflik

dan penyeleraian yang hitam dan sekali gus tidak mudah mencapai "hidup dalam
bahagia selama-lamanya", memberi ruang paranoia dan wasangka dalam perspektif
amatan persekitaran, seperti mana yang diminta dalam mana-mana garapan noir
mahupun ngeri.
Kisah dalam novel ini sendiri mempunya pendirian itu, dan menariknya, ada dua
tiga lapisan menarik yang menyoal beberapa "hal-hal tersirat" yang saya sedari
merupakan kritis Dayang terhadap masyarakat sekarang (sebenarnya, walaupun
kelihatan novel ini ditulis dalam kesedaran masa depan yang dekat atau near
future), yang jelas merupakan sifat kosmopolitan masyarakatnya yang "hilang"
identiti asal (persoalan, siapa kita sebenarnya banyak dicanangkan secara tersirat)
dalam perhubungan yang kononnya 1Malaysia. Hal ini juga bersangkutan dengan
psikologi Jung dan ilmu dramaturgi berkenaan "topeng" yang dipakai manusia
(siapa sebenarnya di sebalik topeng). Hal ini menjadikan sifat manusia itu sendiri
samar, seperti watak-watak dalam novel ini yang mana susah bagi kita
menjustifikasikannya sebagai hitam/putih atas dasar pilihan dan tindakan yang
mereka lakukan (khususnya Karl dan Medina/Marilyn).
Kegilaan dan kelam-kabut inilah yang menyebabkan kecelaruan identiti berlaku,
tampil dengan curiga akan pegangan agama (! Terdapat kritis secara lalu Dayang
terhadap sifat manusia sekarang yang pluralis tetapi berpura-pura, kita tidak kenal
lagi siapa kawan kita), mungkin politik, tetapi setentunya niat kewujudan kita
sendiri.
Hal-hal ini tampak hebat jika novel ini diolah dan digarap dengan teliti, yang
tampak Dayang semacam "secepat mungkin" hendak menghabiskan novel ini,
dengan suntikan beberapa unsur melodrama yang membosankan. Kuasa bahasa
Dayang (bukan bermakna nahunya tetapi gayanya) tampak pincang dengan suara
yang begitu mendatar, sederhana dalam menggerakkan pembaca. Novel fiksyen
sains ngeri yang baik selalunya ditulis dengan sifat menggerak yang memberi
keterujaan, unsur-unsur sebab-akibat dan kejutan dramatik yang membawa
pembaca "sesak nafas". Hal ini tidak berlaku kerana sikap Dayang yang "damai"
(pacifist) di tahap yang mengejutkan, dengan mainan klise biasa dalam novelnovel popular dan remaja.
Berlaku beberapa diksi, ayat dan frasa yang menjengkelkan, menolak kekuatan
"debar" dan paranoia yang sepatutnya ditampilkan. Ayat seperti "Memang sah dia

gila!" (hlm. 173) seperti tidak menjadi atau "stating the obvious". Gila bagaimana?
Hal itu satu lagi. Pancaran watak-watak terlalu pulpa, terlalu bersikap picisan,
kadbod-kadbod yang bercakap-cakap kerana penulis/pengarahnya menyuruh
bercakap, maka kadang-kadang plot dan cerita yang "bijak" kelihatan kekok kerana
dialog-dialog tersebut. Rujuk sahajalah bagaimana dengan "sepintas lalu" Farisha
bercakap tentang ibunya "datang bercakap-cakap" walaupun pada awal "mimpi"nya
dia tidak kenal pun wanita itu (wanita itu memperkenalkan dia ibu Farisha, dan
Farisha terus percaya?) (hlm. 177) Hal-hal remeh sebegini melemahkan novel ini,
dengan perkara "kecil" untuk difikirkan, sepertimana dialog bersambung berkenaan
"pembedahan plastik" dan cantik/kacak seorang lelaki, dan pelbagai lagi selain
pembicaraan hal yang lebih implisit dan diperlukan.
Terdapat percubaan Dayang untuk menguak dunia realiti maya William Gibson
dengan satu penambahbaikan berkenaan "pertukaran identiti" yang segar, tetapi
dunia penggodam (hackers) itu sendiri tapak superfisial dan dibuat-buat, tanpa
memberi genggaman budaya-gaya hidup yang benar-benar hidup untuk
menghidupkan watak Farisha. Kita tidak rasa dunia penggodam ini bahaya, malah
dalam dunia novel ini, mereka merupakan pekerja macam orang lain, malah
dicari-cari (sought after). Mengapa hal ini berlaku, Dayang langsung tidak
menyatakannya, walaupun terdapat satu konvensyen buat mereka di awal cerita.
Maka bahaya itu jugalah yang "hilang" dan sepatutnya wujud pada pergerakan
Dayang untuk membawa klimaks cerita dan penyeleraian. Ah, penyeleraian Dayang
ini, walaupun mungkin menarik, kerana seperti sebuah opera TV Latin, pelbagai
"peristiwa" berlaku dalam satu masa yang memeranjatkan, tetapi HANYA berlaku
dalam dunia drama opera (adakah ini sindiran Dayang terhadap opera angkasa
dalam dunia sai fai?) untuk kita yakini kisah ini sah dalam dunia fiksyen sains. Saya
tidaklah tidak membenarkannya (sebagai pemerhati FS kita) tetapi "plot twist" ini
agak mengada-ngada untuk "melebihi" penyeleraian "pernah dan selalu
dibuat" Empire Strikes Backyang mana saya sudahpun agak dari awal. Lantas
melodrama
mengikat
dirinya
dengan
gothik
dan
ngeri. Peyton
Place bertemuNeuromancer sesiapa?
Sebuah novel yang mencuba dan boleh pergi jauh jika penulisnya memberi lebih
banyak ruang untuk penambahbaikan dan suara yang benar-benar faham dalam
menggerak dunia teknologi genggaman manusia, dan kegelapan yang
menyelubunginya kerana gila "kuasa".

Pengulas : Adawiah Zainal Abidin


Penulis : Dayang Noor
Penerbit: Utusan Publication & Distributors
Sinopsis:
Farisha, seorang gadis istimewa apabila dia sangat diperlukan oleh Soft Lab, sebuah
syarikat teknologi maklumat bagi menyelamatkan sistem Dinara. Rahsia demi
rahsia terbongkar sejak Farisha berada di Soft Lab sehingga membawa Farisha
mengetahui siapa dirinya yang sebenar.
Ulasan:
Jalan cerita yang boleh difahami dan dijangka kesudahannya. Latar belakang cerita
berjaya menggambarkan kemajuan teknologi pada masa akan datang dan ini
hampir menepati ciri-ciri novel sains fiksyen. Semoga teknologi yang digambarkan
dalam novel ini menjadi inspirasi generasi akan datang bagi menghasilkan teknologi
tersebut.
Berkata mengenai teknologi masa depan, sedikit janggal di situ apabila iPad
masih wujud sedangkan iPad masa depan perlu digambarkan dengan lebih bersifat
futuristik berbanding iPad masa kini. Begitu juga dengan JUJU, peneman Shida
bermain skuasy, ia lebih baik dinyatakan dengan jelas samada JUJU ialah robot atau
klon manusia, misalnya.
Sungguh pun DSD merupakan novel sains fiksyen tetapi nilai-nilai moral
turut digambarkan supaya pembaca dapat mengambil iktibar bahawa sains
bukanlah suatu bidang yang meruntuhkan tamadun dan moral sesuatu masyarakat
atau negara.

- See more at: http://www.majalahsains.com/2013/10/sains-fiksyen-di-sebalikdinara/#sthash.uZqPrrX7.dpuf