Anda di halaman 1dari 8

Sinopsis

Filem diterbitkan tahun 1958 yang mengetengahkan lakonan Tan Sri P. Ramlee, Saadiah, Jins
Shamsuddin, Salleh Kamil, Daeng Idris dan Aini Jasmin ini pastinya menyumbang kepada
mengembalikan ingatan terhadap susah payah dan jerih perih pengorbanan pejuang-pejuang
negara dalam melaksanakan misi mempertahankan negara akibat serangan musuh dan
pengkhianat negara.

HASSAN (ketika berusia 10 tahun) telah ditinggalkan ayahnya yang meninggal dunia.
Dia menjadi yatim piatu dan kerana ayahnya adalah bekas pekerja Tok Penghulu, Hassan
dijadikannya sebagai anak angkat.

Tok Penghulu mempunyai seorang anak lelaki (Aziz) yang tidak menyukai Hassan
tinggal serumah dengannya tetapi bagaimanapun pembantu rumah (Minah) sayangkan Hassan.
Aziz sering mendera Hassan tetapi Hassan menghadapinya dengan tenang dan tabah. Suatu
ketika Aziz telah mengapi-apikan kawan sekolahnya (Buang) dengan menyatakan Hassan boleh
menewaskannya kalau beradu kekuatan yang mana ini menyebabkan Buang mencari pasal
dengan Hassan supaya perkelahian berlaku. Hassan enggan melayan karenah Buang
bagaimanapun perkelahian berlaku juga tetapi Hassan tidak melawan.
Hassan disenangi oleh Salmah dan dia sering membela Hassan jika berlaku perkelahian
Hassan dengan Buang. Perhubungan mereka terjalin dengan lebih mesra apabila dewasa.
Salmah tidak sukakan Aziz walaupun Aziz jatuh hati kepadanya.
Suatu hari Aziz terbaca dalam suratkhabar Askar Melayu perlukan orang baru. Aziz
meminta kebenaran ayahnya untuk memohon dan telah dipersetujui. Hassan juga ingin
menyertai menjadi askar dan meminta izin ayah angkatnya untuk pergi tetapi dia tidak
dibenarkan. Tok Penghulu lebih suka Hassan berada bersamanya supaya dapat menguruskan
sawah dan lading. Hassan kecewa.
Bagaimanapun setelah dihina dan disindir oleh Aziz (sebelum ke Port Dickson) serta
kawannya termasuk orang kampung juga, Hassan bertekad untuk meninggalkan kampung pergi
ke Port Dickson memohon menjadi askar tanpa pengetahuan ayah angkatnya. Minah tahu yang
Hassan akan pergi dan dia telah memberitahu Salmah yang mana Salmah pergi menemui Hassan
sebelum bertolak menaiki bas dan dia telah merestui pemergiannya itu dan akan menunggu
kepulangannya.
Di Port Dickson, Hassan telah diterima menjadi askar dan ketika menjalankan latihanlatihan Hassan telah melaksanakannya dengan penuh dedikasi sehingga dia dinaikkan pangkat

dari I/Kopral ke kopral kemudian ke sergeant yang mana ini meninggalkan terus Aziz yang kekal
dengan pangkat prebetnya. Sementara itu, Pearl Harbour di Lautan Pasifik (Lautan Teduh) kubu
kuat tentera Amerika Syarikat telah diserang tentera Jepun dan ekoran itu Jepun terus
memperluaskan wilayahnya termasuklah Malaya. Tentera Jepun mendarat melalui Kota Bharu.
Ini menyebabkan Askar Melayu yang berada di Port Dickson berpindah (berpecah dalam
beberapa kumpulan) ke dalam hutan bagi menyusun strategi menentang tentera Jepun. Begitu
pun juga, dalam penentangan dengan tentera Jepun itu, Sergeant Hassan dan orang-orangnya
terpaksa berundur dan meminta bantuan daripada kumpulan Askar Melayu yang lain yang mana
terdapatnya Aziz bersama.
Aziz telah menerangkan sebuah lori yang bermuatkan makanan dan senjata di dapati
tersadai selama empat hari dan mencadangkan supaya mereka pergi mengambilnya. Walaupun
Hassan menerangkan itu adalah perangkap daripada tentera Jepun tetapi disebabkan Aziz
berkeras juga dengan hati yang berat terpaksa juga Hassan pergi bersama. Memang benar apa
yang dikatakan Hassan, ia sememangnya perangkap dan dalam pertempuran dengan tentera
Jepun itu ramai yang tewas dan Hassan sendiri serta Aziz ditawan dan ditahan di kem tahanan
perang Jepun.
Semasa dalam kem tahanan itu, Hassan membuat rancangan untuk melepaskan diri. Dia
berjaya, tetapi telah terkena tembakan dan kemudian jatuh pengsan. Dan apabila sedarkan diri
Hassan mendapati dirinya berada dalam kumpulan gerila yang diketuai Kapten Holiday. Hassan
diselamatkan.
Dalam pada itu, Buang telah dilantik menjadi Kapitai Jepun dan selalu memujuk Salmah
untuk bersetuju berkahwin dengannya dan menyatakan juga yang Hassan sudah mati. Dengan
jawatannya itu, Buang mengambil kesempatan mengugut dan mendera orang-orang kampungnya

sendiri dan dia telah bertindak menangkap bapak Salmah kerana di tuduh memiliki radio.
Bagaimanapun, melalui Ah Ling (penjual sayur), Salmah mendapat tahu yang Hassan masih
hidup dan dia meminta pertolongan Hassan supaya membebaskan bapaknya yang akan dibawa
ke Melaka untuk di pancung.
Satu serang hendap dilakukan oleh Hassan beserta orang-orangnya dan berjaya
menyelamatkan bapak Salmah dan ini menyebabkan Ketua Jepun (Master) marah dan sebagai
tindakan Buang menangkap orang-orang kampung termasuk Tok Penghulu, Salmah dan Minah.
Dengan pengeboman bom atom di Hiroshima, menyebabkan peperangan tamat dan sebagai
tindakan terakhir Hassan meminta Kapten Holiday membantunya menyerang markas tentera
Jepun di mana Tok Penghulu dan Salmah ditahan.
Dalam serangan itu, banyak tentera Jepun yang mati termasuk Master. Bagaimanapun
Buang berjaya melarikan diri lari ke kampung. Berikutan kejayaan serangan tersebut, bendera
Jepun pun diturunkan dan dinaikkan pula bendera Union Jack di mana pada ketika itu British
masih lagi menjajah Malaya. Ramai orang tahanan Jepun turut dibebaskan termasuklah Tok
Penghulu (ayah angkat Hassan) dan Salmah.
Buang yang bercadang untuk melarikan diri dari kampung tempat tinggalnya
terperangkap dan dikelilingi orang-orang kampung yang mahu membunuhnya kerana
pengkhianatannya. Dia mengugut membunuh sesiapa saja yang menghalangnya untuk melarikan
diri.
Pada saat itu, Hassan sampai dan kemudian mencabar Buang supaya bertarung
dengannya. Dan Buang tidak ada pilihan lain selain bersetuju. Dalam perkelahian yang sengit
itu akhirnya Buang tewas dan terbunuh dengan tikaman pisau kepunyaannya sendiri. Aziz pula
yang telah dibebaskan kembali ke kampung dan dalam pertemuan dengan Hassan dia telah

meminta maaf dan Hassan sebagai seorang yang baik hati tentu sekali memaafkannya. Hassan
dan Salmah kini membuat persiapan untuk berumahtangga.

Ulasan
SIAPA tidak tahu filem Sarjan Hassan, kisah ikon yang menjadi lagenda fiksyen Rejimen Askar
Melayu yang berjuang semasa zaman Perang Dunia Kedua? Dia seorang anak yatim piatu yang
kehilangan ayah ketika berusia 10 tahun dan tidak lama selepas itu, kehilangan ibunya pula.
Hassan kemudian diambil oleh majikan arwah ayahnya jadi anak angkat.

Filem yang dibintangi oleh Tan Sri P. Ramlee itu menjadi bukti ketabahan seorang pemuda yang
bertatih dalam bidang ketenteraan sehingga akhirnya menjadi Sarjan dan berjuang demi
kedaulatan negara.

Dalam filem itu, ada watak Buang yang dilakonkan oleh penjahat filem Melayu, Salleh Kamil.
Watak itu mengkhianati bangsanya dengan bekerja sebagai polis rahsia Jepun. Kisah penduduk
tempatan yang menjadi tali barut musuh bukan cerita baru. Watak inilah sebenarnya yang
menghidupkan jalan cerita di dalam novel-novel atau filem sejak dahulu.

Penonton yang terkesan dengan watak Salleh Kamil termasuk dalam filem-filem lain
sanggup mengherdik dan membenci beliau seolah-olah itulah perangai sebenarnya di luar layar
perak. Orang jadi terlalu emosional sehingga tidak sedar bahawa semua itu hanya lakonan dalam
babak-babak wayang.

Katalah filem apa pun, daripada cerita tentang komunis, drama kehidupan, kisah cinta atau lakon
komedi, matinya watak pengkhianat akan disambut gembira oleh penonton dan dianggap salah
satu kejayaan babak pengakhiran sesebuah cerita.

Watak pengkhianat yang menggambarkan sifat bengis, bermuka-muka dan biasanya tinggal sama
di dalam masyarakat itu kini jadi bahan perbualan penduduk di Felda Sahabat. Duduklah di mana
sahaja, baik di kedai kopi, penempatan sementara, balai pengawal keselamatan malah di pusat
media, topik yang dibincangkan cenderung kepada isu pengkhianat ini: Siapa pengkhianat?
Kenapa mereka khianat?

Bagaimana tidak, menghantar dana kepada pengganas di Selatan Filipina membuktikan bahawa
kesetiaan mereka kepada negara tempat tinggal selama ini hanya pura-pura.

Penduduk di sini umumnya melabel pengkhianat itu sebagai tidak setia dan tidak sedar diuntung
menderhaka walaupun sudah diberi tempat tinggal dan peluang mencari rezeki di negara ini.

Hari ini keadaan tenang walaupun Pesuruhjaya Polis Sabah,Datuk Hamza Taib dalam sidang
medianya berkata tiga pengganas Sulu bertempur dengan anggota keselamatan di Sungai Bilis.
Bagi saya, itu cerita biasa sahaja.

Khabar angin, seperti biasa juga, terlalu banyak. Namun saya sentiasa berpegang kepada
kesahihan berita yang hanya disampaikan oleh pemimpin tertinggi keselamatan. Jadi apa sahaja
khabar angin saya anggap perencah yang menyedapkan bualan kosong di warung makan.

Walaupun kedai makan di sini mula menaikkan harga sehari dua ini dengan alasan payah
mendapat bahan mentah dan keengganan nelayan di Felda Sahabat untuk ke pesisir laut mencari
rezeki, namun pelanggannya setia dan tetap ramai.

"Walau harga naik sedikit tapi kita tetap setia. Kita faham peniaga ini ada masalah hendak
dapatkan bekalan; pagi-pagi terpaksa ke Lahad Datu kerana pembekal takut ke sini," kata
seorang penduduk.

Felda Sahabat terletak kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu macam Kuala Lumpur ke
Raub atau Temerloh atau Ayer Keroh. Perjalanan pergi balik jadi 260 kilometer.

Saya bertanya juga isu pengkhianat ini, mana tahu mungkin ada ancaman dalaman yang mungkin
dirahsiakan penduduk disini. Siapa tahu mungkin ada di kalangan mereka yang jadi anasir cuba
menyebar dakyah agar membenci kerajaan dan membantu pengganas.

"Tak ada, tak ada. Kami semua setia kepada negara, bukan perangai haiwan macam mereka
(pengkhianat)," tegasnya.

Ada keikhlasan daripada riak wajah orang yang menjawab. Saya tahu semangat Sarjan Hassan
sudah meresap dalam diri kebanyakan penduduk di sini.
Tidak perlu menuding jadi menuduh sesiapa sebagai pengkhianat. Cukup dengan sebaris nasihat:
Mahukah jadi seperti Buang dalam cerita Sarjan Hassan?

Buang dikejar oleh orang kampung. Apabila dia memberi amaran mahu menembak orang
kampung yang menghalangnya, mereka membalas dengan berani bahawa pelurunya akan habis
dan mereka akan menetaknya dengan parang.

Buang kemudian berkelahi dengan Hassan. Hassan menang, selepas itu dia mengucapkan dialog
ini: "Dengarlah wahai kawan kawanku sekalian. Aku berharap tiada lagi manusia seperti ini
dalam tanah air kita kerana manusia yang seperti inilah yang akan merosakkan keturunan kita.
Ya, memang bangsa kita masih muda dan masih lemah. Aku tak peduli itu semua. Harapanku
hanyalah kita sesama bangsa bersatu padulah hendaknya."

Penduduk di sini dan tentunya di Semporna, Tawau dan bandar-bandar lain di seluruh Sabah
ingat pesanan Sarjan Hassan.