Anda di halaman 1dari 2

2.2.

Teori Pembentukan Konsep Bruner

Bruner berpendapat bahawa pendidikan berlaku sekiranya seseorang itu dapat


memperkembangkan kemahiran yang sedia ada dan pembelajaran dilihat sebagai satu
proses sosial yang aktif. Beliau menggalakkan supaya kanak-kanak berfikir secara logik
dan juga membuat tekaan. Beliau juga mengutamakan pemikiran intuiti, kreatif dan
analitis. Dalam proses pembelajaran, Bruner memberikan penekanan kepada proses
induksi, iaitu kegiatan belajar yang bermula daripada pemerhatian yang umum membawa
kepada pemerhatian yang khusus. Beliau juga mengutamakan pembelajaran konsep atau
kategori dan hubungannya dengan konsep-konsep yang lain (Kamarudin & Siti, 2003).
Sama seperti Piaget, Bruner juga melihat perkembangan kognitif melalui peringkat
tertentu bagi semua individu. Menurutnya terdapat tiga peringkat yang dilalui oleh kanakkanak normal dalam perkembangan kognitif mereka iaitu peringkat enaktif, peringkat
ikonik dan peringkat simbolik. Enaktif merujuk kepada peringkat tindakan dengan cara
konkrit tanpa memerlukan imejan, inferens dan perkataan. Manakala ikonik merujuk
kepada peringkat penggunaan gambar untuk mewakili keadaan sebenar dan imejan
dalaman untuk sesuatu konsep. Simbolik pula merujuk kepada peringkat pemikiran
secara abstrak.
Pembelajaran boleh berlaku kepada seseorang dengan syarat seseorang itu
mempunyai kesediaan, pengetahuan yang berstruktur dan berlarutan serta peneguhan
(Wan Din, 1990).
i)

Kesediaan

Kesediaan bermaksud murid itu mempunyai keupayaan dari segi fizikal dan mentalnya.
Maka guru mengajarkan sifir darab kepada muridnya berdasarkan kesediaan fizikal
muridnya yang sihat dan kesediaan dari segi kognitif muridnya untuk menerima
pembelajaran dengan baik. Murid tersebut sepatutnya mempunyai persediaan mental
untuk menerima sesuatu konsep yang baru.
ii)

Pengetahuan berstruktur dan Berurutan

Murid itu mestilah mempunyai pengetahuan yang berturutan dengan sesuatu konsep yang
ingin dicapai. Memang tidak dapat dinafikan konsep-konsep dalam mata pelajaran
matematik distruktur secara terpilih iaitu dengan mendahulukan konsep-konsep mudah
atau konkrit kepada konsep separa abstrak ke seterusnya kepada konsep abstrak selari
dengan peningkatan peringkat pendidikan. Ini bermakna pengetahuan dibina berasaskan
pengetahuan sedia ada. Dengan ini, untuk menguasai sesuatu konsep Matematik yang
baru murid sepatutnya telah mempunyai konsep asas sebelumnya. Sebagai contohnya,
murid-murid pemulihan khas sebelum ini telah mempelajari asas nombor pada tahap satu
lagi. Maka murid-muird ini telah mempunyai konsep asas sebelum memperkenalkan
teknik ini untuk menguasai sifir darab. Oleh itu, pengetahuan berturutan amat penting
dalam pembelajaran pengkonsepan Matematik kerana pengetahuan tersebut bermula
dengan pengetahuan yang konkrit kepada pengetahuan yang kompleks.
iii)

Peneguhan

Peneguhan menurut Bruner ialah sesuatu yang mengawal gerak balas di dalam
pembelajaran, kerana sesuatu gerak balas yang ditimbulkan oleh murid akan kekal jika
mendapat ganjaran daripada perseorangan atau guru. Gerak balas akan terhenti jika tidak
mendapat ganjaran yang memenuhi dirinya seperti guru memberi peneguhan negatif.
Maka guru perlu menggunakan teknik mengajar yang kreatif sebagai perangsang dan
peneguh kepada murid dalam mempelajari sifir darab untuk membolehkan pembelajaran
yang kekal.
Sama seperti teori pembelajaran kognitif teori pembelajaran Bruner juga bermula
dengan proses pengamatan organ-organ deria manusia untuk melihat dan mendengar
yang akan memberi perhatian terhadap rangsangan luar, kemudian maklumat yang
diterima akan dihantar ke otak yang berusaha mentafsirkannya melalui cara mengkategori
maklumat berdasarkan ciri-ciri khusus. Proses pengkategorisasi akhirnya menghasilkan
pembentukan konsep.