Anda di halaman 1dari 9

BAB 3

TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID


1.0

PENGENALAN

Pendidikan merupakan suatu aspek yang amat penting dalam usaha


membangunkan negara serta minda rakyat kelas pertama. Pendidikan yang
berkualiti menjadi tunjang kepada negara bagi melahirkan generasi yang mampu
bersaing dalam era globalisasi kini. Tambahan lagi dalam Rancangan Malaysia
Kesepuluh (RMK10), pendidikan telah digariskan sebagai salah satu daripada
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menjadi landasan dan titik
permulaan dalam usaha menambah baik prestasi pelajar. Oleh hal demikian,
RMK10 menetapkan umur bagi memulakan persekolahan akan dikurangkan
daripada 6 tahun ke atas kepada 5 tahun ke atas. Hal ini bagi membolehkan
murid memperoleh pendidikan yang kukuh pada peringkat lebih awal
(Rancangan Malaysia Kesepuluh, 2010).

Namun bagitu, dunia pendidikan bukanlah suatu bidang yang mudah


untuk dikemudikan. Dunia pendidikan tidak lari daripada menghadapi pelbagai
isu dan cabaran sama ada secara nasional mahu pun global. Setiap isu yang
mendatangi dunia pendidikan pasti akan mencuri tumpuan segenap lapisan
masyarakat. Lantaran itu, individu yang paling terkesan dalam isu-isu yang
timbul pastinya insan yang bergelar guru. Saban hari, saban tahun, guru tidak
pernah lekang daripada menghadapi isu-isu yang timbul sama ada isu
pendidikan yang dipolitikkan, bebanan kerja guru serta bebanan tingkah laku
murid, semuanya ditangani satu per satu tanpa membelakangkan etika
keprofesionalan keguruannya.

Tekanan atau juga disebut sebagai stres merupakan satu bentuk


kecelaruan emosi yang kerap berlaku pada masa kini. Individu yang menderita
akibat tekanan biasanya menunjukkan pemikiran yang negatif, enggan
melibatkan diri dalam aktiviti dan kesukaran berinteraksi secara interpersonal
(Abbas & Lida, 2013). Dalam satu kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan
pada tahun 2006, iaitu Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia
mendapati masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja
adalah 20.3%, meningkat sebanyak 13% berbanding tahun 1996 (Utusan
Melayu, 2011). Ternyata dapatan kajian ini amat membimbangkan dan perlu
diberi perhatian dengan lebih serius. Malahan tiada kajian lanjutan yang
menunjukkan masalah ini mengalami penurunan.
Tekanan juga disifatkan dapat menyebabkan beberapa perubahan
tingkah laku dan tubuh badan seperti kesakitan fizikal, gangguan emosi dan
psikologi serta kemerosotan prestasi seseorang (Jerrold dlm. Mohamad Zaid et.al,
2009). Isu ini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak namun jika
dibiarkan tanpa jalan penyelesaian ia akan memberikan kesan jangka panjang

yang memudaratkan. Hal ini disokong oleh Sapora (2001) dalam penulisannya
menyatakan bahawa telah banyak kajian yang dilakukan mendapati tekanan
atau stres mempunyai hubungan yang kuat dalam mempengaruhi pencapaian
akdemik pelajar. Menguatkan lagi kenyataan ini, Campbell dan Svenson (dlm.
Mastura et.al, 2007) menegaskan apabila tekanan dilihat dari aspek negatif atau
terlalu tinggi ianya boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan dan
pencapaian akademik seseorang lantas menjadikan ia suatu fenomena yang
membimbangkan.
Emosi pula membawa definisi bangkitan perasaan dan rasa dalaman
hasil tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan
peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan
kasih sayang (Muhammad Uthman Najati dlm. Fariza, 2005). Dalam Kamus
Dewan Edisi Keempat (2007) pula menyebut emosi sebagai satu perasaan jiwa
yang kuat seperti sedih, marah, takut, ketawa dan menangis yang terangsang
dan melibatkan perubahan psikologi serta fisiologi pada seseorang. Oleh itu,
emosi atau gangguan emosi akan memberi kesan buruk kepada individu yang
mengalaminya jika tidak dapat dikawal dengan baik. Rentetan daripada Kajian
Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia yang dijalankan, didapati bahawa 11%
golongan muda berusia 16 tahun hingga 24 tahun yang menghadapi tekanan
emosi ini pernah terfikir untuk membunuh diri (Dewan Siswa, 2012). Maka,
dalam konteks penulisan ini tekanan emosi dalam kalangan murid boleh
dikatakan sebagai suatu situasi yang menyebabkan seseorang tertekan
emosinya akibat daripada peristiwa, pengalaman, atau bebanan di luar
kemampuan mereka. Akta Kanak-Kanak 2001 (2006) pula mencatatkan bahawa
kanak-kanak dikategorikan mengalami gangguan emosi jika wujud kerosakan
pada fungsi mental dan emosi sehingga menyebabkan gangguan mental dan
tingkah laku, kebimbangan, kemurungan, memencilkan diri dan menunjukkan
tingkah laki permusuhan. Justeru, setiap isu yang membawa kepada tekanan
emosi murid perlu ditangani segera agar matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani dapat dicapai.

2.0

ISU TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Tekanan emosi dalam kalangan murid boleh berlaku dalam pelbagai bentuk
antaranya kegelisahan, menunjukkan tingkah laku distruptif dan mengasingkan
diri daripada elemen-elemen di persekitarannya. Sebagai seorang guru pelatih,
saya telah pernah ditempatkan di beberapa buah sekolah bagi menjalani
Program Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum. Peluang mengenali empat
buah sekolah semasa PBS dan tiga buah sekolah semasa menjalani praktikum

banyak memberi pendedahan kepada saya isu-isu yang berlaku di sekolah sama
ada melibatkan pentadbir, guru mahu pun murid-murid. Isu tekanan emosi
dalam kalangan murid juga pernah dihadapi beberapa kali.
Menurut
Haliza dan Joy (2009), terdapat beberapa tingkah laku yang ditunjukkan oleh
murid bagi mendapatkan perhatian guru, antaranya ialah murid sering membuat
tingkah laku yang mengundang kemarahan guru sama seperti kes ini. Sebagai
seorang guru yang bertanggungjawab, guru tidak boleh menghukum murid
dengan sewenang-wenangnya. Hal ini akan mengakibatkan tekanan emosi yang
dihadapi di rumah akan bertambah teruk. Dari sudut negatifnya kepada murid,
murid akan melihat persekitaran sekolah sebagai satu ancaman baharu.
Selanjutnya, ia akan mengundang tingkah laku distruptif lain dan mungkin akan
menimbulkan gejala lain seperti ponteng dan pengambilan dadah untuk
menenangkan diri sendiri.
Menurut Noriati et.al (2010), murid yang mengalami gangguan emosi
akan menunjukkan sikap-sikap seperti liar, ganas, tidak sabar, kerap mengamuk
dan berkecenderungan menunjukkan tingkah laku yang kurang sesuai dengan
situasi-situasi normal. Sikap-sikap yang dinyatakan sebegini sering ditunjukkan
oleh seseorang murid apabila beliau diganggu oleh rakan-rakan walaupun beliau
seorang yang pendiam dan pasif di dalam kelas. Sikap luar biasa murid
sebegini sememangnya amat bertentangan dengan penampilan luarannya.
Menurut Lailawati (2006), masalah tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid
kebanyakannya adalah disebabkan oleh emosi. Tambahan lagi seseorang yang
mempunyai emosi yang tinggi dikatakan cenderung menunjukkan tingkah laku
sosial yang rendah (Eisenberg & Febes dlm. Lailawati, 2006).
Sapora (2001) menjelaskan bahawa tahap stres yang tinggi akan meninggalkan
kesan yang negatif ke atas proses pembelajaran seseorang berbanding kesan
positif. Menurut Chan dan Rodziah (2012) dalam kajian mereka turut mendapati
bahawa prestasi akademik murid yang dikaji yang mengalami gangguan emosi
daripada pelbagai faktor berada pada tahap yang rendah. Hal ini kerana
ketidakupayaan murid untuk menangani gangguan yang dihadapi menyebabkan
mereka terus mengabaikan pelajaran. See dan Lee (2005) pula telah
mencatatkan beberapa kajian oleh pengkaji-pengkaji barat dalam kajiannya
antaranya ialah Allchin (1975), Ghuman dan Sarles (1998) serta Weiner (1970)
dan Adelson (1980) yang menunjukkan gangguan emosi memberi kesan
terhadap pencapaian akademik pelajar. Selain itu, guru-guru perlu menangani
konflik yang dihadapi oleh murid agar ia tidak menular dalam kalangan rakanrakannya. Murid-murid sememangnya amat mudah terpengaruh dengan rakanrakan mereka terutamanya perkara-perkara yang negatif. Menurut Haliza dan Joy
(2009) pengaruh rakan sebaya yang tidak dikawal boleh mendatangkan masalah
disiplin lain dan seterusnya membentuk dinamika kumpulan yang mempunyai
nilai dan kecenderungan yang sama. Sikap guru yang hanya membiarkan
tindakan murid-murid tanpa mengenakan sebarang tindakan akan
mempengaruhi murid lain untuk melakukan tindakan yang sama. Hal ini kerana
murid lain akan beranggapan bahawa tidak menjadi suatu kesalahan untuk
melakukan tindakan seperti murid yang bermasalah tersebut. Hukuman atau
dendaan perlu dikenakan kepada murid yang bermasalah bukan untuk

menghukumnya secara terus tetapi untuk membantunya menstabilkan


emosinya. Di samping itu, tindakan tersebut akan memberi gambaran kepada
murid bahawa setiap murid yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas dari
sebarang hukuman walaupun ibu atau ayah mereka merupakan guru di sekolah
tersebut.

3.0

JENIS GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Menurut Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013), murid yang mengalami gangguan
emosi ringan biasanya tidak terlalu kelihatan ciri-ciri dari luarannya dan masih
mampu untuk mengawal diri masing-masing. Malahan Tin (2000) pula
menyifatkan murid-murid yang mengalami gangguan emosi akan mempamerkan
kehidupan emosi yang tidak stabil, tidak mampu bertindak balas dengan tepat
sukar mengawal dirinya sendiri. Tambahan lagi Tin turut menggariskan beberapa
tingkah laku yang menunjukkan gangguan emosi ringan seperti pemalu, sering
suka menyendiri, mudah tersinggung, sering marah, tidak mahu mengalah,
kurang disenangi oleh rakan-rakan, sering bergaduh, menyerang dan memukul
rakan atau guru. Berikutan daripada gangguan emosi yang dialami oleh muridmurid yang bermasalah, mereka telah menunjukkan tanda-tanda seperti selalu
mengamuk, cepat marah dan pencapaian akademik yang merosot. Menurut Sue
et.al (dlm. Azizi dan Tan, 2007), individu yang mengalami gangguan emosi boleh
mendatangkan ketidakselesaan yang subjektif atau mengganggu kebolehan
seseorang untuk berfungsi secara normal atau kedua-duanya sekali sehingga
boleh menyebabkan sindrom kemurungan dan mania. Tanda-tanda yang dialami
oleh Ahmad dan Tuah boleh membawa kepada gangguan emosi yang berat
sekiranya tidak diatasi dengan lebih cepat. Ahmad dan Tuah juga memerlukan
sokongan dan bantuan daripada persekitarannya untuk mengatasi gangguan
tersebut memandangkan tahap kognitif mereka yang masih rendah.
Azizi dan Tan (2007) melabelkan individu yang mempunyai tanda-tanda
seperti Ahmad dan Tuah sebagai individu yang menghidap sindrom mania. Hal
ini kerana menurut penulisannya, individu yang mengalami sindrom ini biasanya
berasa riang dan bertenaga tetapi mereka mudah melenting lebih-lebih lagi
apabila dikritik atau dihalang daripada melakukan sesuatu yang diingini.
Tambahnya lagi, individu tersebut mengalami masalah ketenangan perasaan
yang tidak normal, misalnya gagal untuk memberikan tindak balas yang
sepatutnya apabila menerima berita buruk. Menurut Mary (2001), sindrom mania
merupakan penyakit yang membawa kepada perubahan emosi, pemikiran, dan
tingkah laku. Penyakit ini dikatakan menyerang hampir dua juta penduduk
Amerika Syarikat pada setiap tahun.

4.0

FAKTOR GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Murid-murid yang bermasalah, didapati mengalami gangguan emosi disebabkan


faktor keluarga. Keluarga sememangnya sebuah institusi yang memainkan
peranan penting bagi setiap individu terutama anak-anak kecil. Syed Ismail dan
Ahmad Subki (2013) menyatakan ibu bapa merupakan pengaruh yang besar
dalam membentuk tingkah laku anak sejak dari kecil dan kecuaian ibu bapa
untuk memahami peranan mereka akan menjadikan anak-anak hilang panduan
dan keliru dalam menjalani hidupnya. Perhubungan negatif antara ibu bapa
dengan anak-anak boleh menimbulkan konflik yang tinggi dan memberi tekanan
terhadap ibu bapa dan anak-anak. Montemayor (dlm. Sapora, 2005) berpendapat
bahawa satu daripada konflik yang berlaku dalam keluarga akan menimbulkan
emosi yang kuat dan tidak sihat. Tambahan lagi menurut Kasmini Kassim,
seorang Pakar Psikiatri Kanak-kanak di Malaysia, gangguan emosi yang sering
berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kebanyakannya disebabkan
reaksi terhadap tekanan yang dialami oleh mereka (dlm. Fariza, 2005).
Kehidupan ibu bapa yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa untuk
bersama-sama dengan anak mereka merupakan punca utama kepada gangguan
emosi yang dihadapi oleh murid tersebut. Sebagai ibu bapa, mereka perlu faham
akan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Tanggungjawab ibu bapa
bukanlah sekadar zahiriahnya sahaja dengan menyediakan tempat tinggal mahu
pun kelengkapan peribadi. Perkara yang lebih penting ialah belaian kasih sayang
ibu bapa terhadap anaknya. Shaffer et.al. (2011) dalam dapatan kajiannya
menulis bahawa risiko kontekstual apabila berada dalam keluarga yang tidak
menyokong antara satu sama lain atau unsupportive parenting memberi kesan
terhadap emosi negatif kanak-kanak. Oleh itu, kegagalan ibu bapa dalam
memenuhi keperluan emosi anak mereka menyebabkan emosi anak itu akan
terganggu dan mencari ruang untuk melempiaskan emosinya ketika berada di
sekolah. Lantaran itu, pelbagai salah laku dilakukan oleh murid tersebut.
Menurut Azizi dan Badrulzaman (2010), murid yang mengalami
gangguan emosi ini gagal melihat keluarga sebagai suatu persekitaran yang
sihat dan boleh memberikan kebahagiaan serta rasa seronok kepada mereka.
Tinjauan terhadap kajian-kajian lain seperti Sigurdsson (1996) dan Sokol-Katz
(1997) (dlm. Azizi dan Badrulzaman, 2010) mencatatkan bahawa perkembangan
personaliti negatif dan tingkah laku merupakan hasil daripada kegagalan dalam
ikatan kekeluargaan. Fariza (2005) dalam penulisannya juga menyatakan faktor
keluarga turut menumbang kepada tekanan emosi murid-murid. Emosi remaja
dikatakan akan menjadi stabil jika keluarga bahagia, sebaliknya jika berada
dalam keluarga yang kucar-kacir maka emosi murid akan terganggu. Azizi
Yahaya, Nordin Yahaya dan Juriah Bachok (2010) dalam kajiannya terhadap
hubungan kekeluargaan dengan kecerdasan emosi menunjukkan bahawa faktor
keluarga memperlihatkan peningkatan kepada 17.9% selepas jantina. Hal ini
jelas menunjukkan keluarga merupakan institusi yang sangat penting dalam
mempengaruhi emosi murid-murid. Mengulas lebih lanjut faktor gangguan emosi
dalam kalangan murid ini, Kasmini Kassim (1998) dalam kajiannya bertajuk

Penderaan Emosi Kanak-kanak: Trauma Terselindung menyatakan gangguan


emosi yang dihadapi oleh kanak-kanak boleh berlaku disebabkan tertumpahnya
masalah dan konflik orang dewasa kepada kanak-kanak tersebut. Dalam kajian
tersebut, beliau mengambil pandangan Garbarino, Gatmann dan Sealey et.al.
(1986) yang menggariskan lima tingkah laku ibu bapa atau penjaga yang dikira
sebagai mendera emosi kanak-kanak, iaitu penolakan, pengasingan,
menakutkan, sikap tidak peduli, dan merasuah fikiran. Daripada kelima-lima
tingkah laku tersebut, tindakan menunjukkan sikap tidak peduli oleh penjaga
boleh dikaitkan dengan kes Ahmad. Tingkah laku sikap tidak peduli ini
didefinisikan sebagai menolak tindak balas emosi, yang mana tingkah laku ibu
bapa atau penjaga yang dengan sengaja tidak mempedulikan usaha anak untuk
mendapatkan kasih sayang daripada mereka.

Tambahan lagi, kenyataan tersebut menyebut ibu bapa golongan ini


melayan anak mereka secara mekanikal sahaja. Dalam kata lain mereka tidak
mempunyai perasaan terhadap anak-anak malahan tidak mencuba untuk
merapati dan membelai anak-anak tersebut sehingga menyebabkan berlakunya
konflik emosi dalam diri kanak-kanak tersebut.
Fitrah manusia juga
terutama bagi kanak-kanak, kanak-kanak perempuan akan lebih mudah
mendekati ayahnya manakala kanak-kanak lelaki akan lebih seronok
mendampingi ibunya. Hal ini turut disokong oleh Teori Perkembangan SosioEmosi Sigmund Freud, iaitu kanak-kanak lelaki akan mengalami keadaan oedipus
kompleks iaitu lebih tertarik kepada ibunya manakala kanak-kanak perempuan
akan mengalami elektra kompleks iaitu tertarik kepada ayahnya (Zakaria et.al.,
2012).
Berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan, Norly (2010)
menyifatkan keluarga atau ibu bapa dianggap sebagai sosialisasi yang
mempengaruhi tahun-tahun awal kanak-kanak seharusnya menjadi model
ekspresi emosi kepada kanak-kanak. Hal ini kerana berdasarkan kajian yang
dijalankan oleh Norly (2010), kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam
melahirkan perasaannya mempunyai risiko untuk menunjukkan tingkah laku
bermasalah yang tinggi. Justeru, kajian tersebut menyarankan agar kanak-kanak
dan ibu bapa mempertingkatkan kemahiran emosi sesama mereka.

5.0

PERANAN GURU MENANGANI TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Tekanan emosi yang dialami oleh murid-murid pada masa kini sering dilihat
berpunca dari rumah dan keluarga yang kucar-kacir. Namun begitu, guru
memainkan peranan penting bagi membantu murid-murid menangani masalah
tersebut. Hal ini kerana murid-murid menghabiskan masa hampir 8 jam berada
di sekolah setiap hari dan kadang-kala masa ini melebihi masa mereka bersamasama ibu bapa mereka. Chan dan Rodziah (2012) menulis disebabkan murid
menghabiskan banyak masa di sekolah, guru juga menjadi pemangkin kepada
kecerdasan emosi murid. Tambahnya lagi Pusat Perkembangan Kurikulum turut
menggariskan bahawa terdapat beberapa subjek seperti Pendidikan Islam dan
Pendidikan Moral yang boleh memenuhi perkembangan emosi murid walaupun

tiada satu subjek khas bagi pembelajaran emosi dan sosial dalam kurikulum.
Justeru, di sinilah guru perlu mencari ruang bagi membangunkan perkembangan
emosi murid secara tidak langsung dalam kurikulum yang dijalankan.
Mohd
Sahandri et.al. (2011) menggariskan beberapa elemen yang membolehkan guru
membantu murid menangani tekanan emosi yang dihadapi. Antaranya ialah guru
perlu mempamerkan sentuhan peribadi dan menunjukkan perasaan belas
kasihan. Dalam aspek mempamerkan sentuhan peribadi (personal touch), guruguru perlu berhubung dengan murid-muridnya secara profesional. Guru-guru
akan mendorong murid-murid untuk berkongsi pengalaman di dalam kelas,
mengambil berat dan memahami setiap muridnya secara personal serta cuba
memahami masalah yang dialami oleh murid-muridnya. Melalui cara ini guru
berpeluang untuk mengenali personaliti murid dengan lebih dekat di samping
mengetahui latar belakang keluarga dan persekitarannya. Pengetahuan yang
diperoleh oleh guru dapat digunakan bagi membantu murid menghadapi tekanan
emosi yang yang dilalui. Sebagai contoh dalam kes Ahmad, guru-guru pasti akan
memberi layanan yang berbeza sekiranya mereka mengetahui latar belakang
dan masalah keluarga yang dihadapi oleh Ahmad. Layanan yang seakan-akan
tidak memahami masalah yang dihadapi murid akan menyebabkan murid berasa
lebih tertekan dan mencari jalan alternatif bagi memuaskan dirinya.
Dari segi menunjukkan belas kasihan pula, guru akan sentiasa
mengambil berat masalah peribadi yang dihadapi oleh murid. Sikap prihatin
yang ditunjukkan oleh guru memberi peluang kepada murid untuk berkongsi
masalah. Murid sememangnya tidak mengharapkan bantuan yang besar
daripada guru seperti bantuan kewangan, tetapi perkara yang lebih penting ada
individu yang sentiasa cuba memahami mereka. Hal ini kerana perasaan terbiar
yang dialami di rumah membuatkan mereka mencari peluang mendapatkan
kasih sayang daripada para guru pula terutamanya guru-guru wanita. Tambahan
lagi guru sememangnya diibaratkan sebagai ibu dan bapa kepada semua murid
ketika berada di sekolah. Maka, tidak salah bagi seorang guru untuk
mempamerkan rasa belas kasihan dan memberi sedikit kasih sayang kepada
murid-murid. Abdul Ghani dan Abd. Rahman (2009) pula berpendapat bagi
menguruskan murid yang menghadapi gangguan emosi yang menunjukkan
masalah tingkah laku, guru perlu menguruskannya dari aspek kemanusiaan. Hal
ini kerana mereka mencatatkan bahawa memperkasa kecerdasan emosi bagi
membentuk tingkah laku murid dan mengurus tingkah laku murid melalui
pemikiran kritis merupakan elemen dalam aspek kemanusiaan. Nilai-nilai penting
dalam aspek kemanusiaan ini ialah keadilan, dorongan, kebebasan, keyakinan
dan kepercayaan. Aspek kemanusiaan ini akan membantu guru mengurus
tingkah laku murid menjadi insan yang lebih bertanggungjawab dan membentuk
sahsiah murid. Oleh itu, dalam hal ini guru merupakan model terbaik bagi murid
dan hubungan baik antara guru dan murid boleh membawa kepada kecerdasan
emosi murid yang lebih baik.
Roslee et.al. (2004) dalam kajiannya pula mencadangkan pendekatan
kaunseling kelompok boleh digunakan bagi menangani masalah emosi dalam
kalangan murid. Kajian yang dijalankan terhadap kelompok anak-anak yatim
terpilih mendapati kaunseling kelompok dapat membawa kepada perubahan

sikap yang positif, mewujudkan kemesraan dan sikap keterbukaan. Hal ini kerana
dalam kaunseling kelompok yang dijalankan, murid akan meluahkan perasaan
yang negatif dan akan mewujudkan kepercayaan dan kebebasan ahli kelompok.
May dan Housley (dlm. Roslee et.al, 2004) menyatakan pendekatan kaunseling
kelompok boleh ditawarkan kepada murid yang memerlukan bantuan emosi
secara lebih berkesan dan bertujuan dengan syarat ia dibuat perancangan
secara terperinci. Dalam kaunseling kelompok tersebut, guru akan menggunakan
pelbagai kemahiran seperti membina perhubungan, menstruktur, memberi
maklum balas, berempati, dan memberi dorongan minima yang dapat
membantu melancarkan proses kaunseling kelompok yang dijalankan.

6.0

KESIMPULAN

Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana


adalah dua hingga empat peratus dalam kalangan kanak-kanak manakala 10
peratus dalam kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus dalam kalangan
dewasa. Mengikut kajian yang dilakukan oleh pakar mendapati 10.5 peratus
daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.
Gangguan atau tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar
berlarutan dan perlu diberi perhatian segera. Setiap kanak-kanak mungkin
mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga
sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas. Kebiasaannya
kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atau
rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa
mereka lakukan. Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh
menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak
akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan
cara memberontak atau menangis.
Berdasarkan isu-isu yang dikemukakan, jelaslah dilihat bahawa isu tekanan
emosi dalam kalangan murid merupakan isu yang acap kali berlaku di sekolah.
Tekanan emosi yang ditunjukkan dalam pelbagai bentuk memerlukan kemahiran
dan pengetahuan guru untuk menanganinya dengan baik. Isu tekanan emosi
dalam kalangan murid turut mendorong Kementerian Kesihatan menjalankan
kajian melalui projek rintis Program Minda Sihat Menangani Stres dalam
Kalangan Murid (Hakimi, Utusan Malaysia 2011). Beberapa buah sekolah
menengah di seluruh Malaysia telah dipilih bagi menjalani projek rintis ini.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada waktu itu, projek rintis
tersebut akan diperluaskan di semua sekolah sebagai satu usaha meningkatkan
kesejahteraan dalam kalangan murid dan warga sekolah serta sebagai
persediaan mengelakkan perkara lebih serius berlaku. Keprihatinan pihak
kementerian dalam memandang serius isu tekanan yang dihadapi oleh murid
amat wajar. Hal ini kerana murid yang berada dalam keadaan tertekan pasti
akan mengundang pelbagai masalah lain di samping tidak dapat menumpukan

perhatian terhadap pelajaran. Oleh itu, seharusnya semua pihak termasuk ibu
bapa, guru-guru dan ahli masyarakat setempat saling membantu dalam
menangani isu ini.