Anda di halaman 1dari 3

Hakcipta Terpelihara 2003 Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 15 - 2003

Tikar Mengkuang :
Arus Modenisasi Menghanyutkan Peranannya
Oleh: ADNAN JAHAYA
Suatu ketika dahulu tikar mengkuang begitu berperanan dalam budaya masyarakat
Melayu malah ia pernah dianggap sebagai simbol kehalusan budi masyarakat yang
berpegang teguh kepada teras tradisi bangsa itu.
la digunakan secara meluas bukan sahaja di rumah malah di bangunan-bangunan awam
seperti masjid, surau dan dewan orang ramai atau balai kampung. Ketika itu, hampir setiap
rumah mempunyai tikar mengkuang meskipun pada masa yang sama tikar pandan, tikar ibus
dan tikar malai juga begitu berfungsi. Ini kerana tikar mengkuang dianggap sebagai ibu kepada
segala jenis tikar. Tikar mengkuang dibahagikan kepada dua jenis iaitu tikar kasar' dan 'tikar
putih. Kebiasaannya tikar putih akan menjadi hamparan yang akan diduduki oleh para tetamu
manakala tikar kasar hanya digunakan oleh tuan rumah. Para tetamu akan merasa lebih
dihormati jika diberi penghormatan duduk di atas tikar putih.
Sekitar tahun enam puluhan, kreativiti pencipta tikar mengkuang terus berkembang dengan
ciptaan tikar yang beraneka warna dan coraknya. Bentuk kelarai yang lebih dikenali sebagai
"ragi" menghiasi tikar-tikar mengkuang yang kebanyakan dicipta penuh kreativiti oleh
masyarakat desa. Meskipun begitu tikar putih masih lagi berperanan kerana secara simboliknya
warna putih melambangkan kemurnian dan kesucian. Tikar putih bukan sekadar menjadi
hamparan malah sering juga menjadi sedekah kepada orang-orang yang berjasa.
Sebagai contoh, imam atau pembaca talkin akan dihadiahkan sehelai tikar putih oleh waris
si mati. Biasanya tikar yang dihadiah itu adalah tikar yang sebelum itu digunakan sebagai
hamparan duduk di tanah perkuburan.
Bidan yang menyambut kelahiran bayi juga boleh dihadiahkan dengan sehelai tikar putih
begitu juga dengan bomoh-bomoh tertentu. Selain bersaiz biasa, tikar putih juga dicipta dengan
saiz yang lebih kecil iaitu untuk digunakan oleh bayi yang baru dilahirkan. Selepas dilahirkan,
mereka diletakkan di atas tikar putih yang halus anyamannya.
Kebiasaannya saiz tikar mengkuang adalah sekitar 3 meter panjang dan 2 meter lebar
manakala bagi saiz kecil adalah sekitar satu meter panjang dan 0.5 meter lebar. Proses
membuat tikar mengkuang bermula dengan proses menuai daun mengkuang yang telah
matang. Daun mengkuang yang berduri akan dipotong sehelai demi sehelai dengan berhati-hati
bagi mengelakkan luka. Ada pemotong daun mengkuang yang menggunakan sarung tangan
ketika melakukan kerja-kerja pemotongan itu. Mereka menggunakan pisau yang tajam. Mereka
juga membawa parang untuk menetak' batang mengkuang supaya ia akan terus menjalar di
tanah. Batang mengkuang yang dibiarkan berdiri tegak akan menyukarkan kerja-kerja
mengambil daun mengkuang. Oleh itu batang mengkuang perlu sepanjang masa berada
condong atau berkeadaan menjalar di permukaan bumi.
Mengikut kepercayaan, daun mengkuang tidak boleh diambil ketika "bulan besar" atau ketika
pertengahan bulan mengikut kalendar Islam. Jika ia dilakukan juga, pokok mengkuang
berkenaan akan mati. Walaupun ia sekadar kepercayaan tetapi terdapat bukti pokok-pokok
mengkuang layu dan mati selepas diambil ketika pertengahan bulan. Para pencipta tikar
mengkuang hanya mengambil daun mengkuang ketika penghulung bulan atau awal bulan yang
mana ketika itu bulan semakin kecil atau masih kecil.

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis


Hakcipta Terpelihara 2003 Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Hakcipta Terpelihara 2003 Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 15 - 2003

Mengikut kepercayaan, daun mengkuang tidak boleh diambil ketika "bulan besar"
atau ketika pertengahan bulan mengikut kalendar Islam. ]ika ia dilakukan juga, pokok
mengkuang berkenaan akan mati.
Tikar mengkuang kini bagaikan terpinggir. Sukar untuk menemui hamparan tikar
mengkuang bagi menyambut tetamu meskipun di kawasan luar bandar. Sebaliknya
para tetamu disajikan dengan kerusi empuk. Jika ada tikar mengkuang, mungkin ia
masih disimpan dengan alasan tidak layak lagi digunakan sebagai hamparan tamu.
Daun-daun mengkuang yang telah dipotong disusun secara teliti dengan setiap ikatan
mengandungi antara 100 hingga 200 helai daun bagi memudahkan ia dibawa pulang ke rumah
atau ke tempat membuat tikar. Daun-daun mengkuang itu kemudiannya dilayur di atas api yang
sederhana besar bertujuan melembutkannya. Selepas itu duri daun itu dibuang dan sejenis pisau
atau "penyagat" yang mempunyai dua hingga tiga mata digunakan bagi menurih daun itu untuk
mewujudkan pita-pita daun mengkuang. Pita-pita daun mengkuang itu kemudiannya disusun dan
diikat sebelum direndam dalam air sungai atau tempayan. Bagi penduduk yang tinggal
berhampiran sungai, mereka lebih selesa merendam pita daun mengkuang itu ke dalam sungai.
Mereka akan meletakkan benda berat termasuk batu bagi memastikan pita-pita daun mengkuang
itu tenggelam sepenuhnya. Ini kerana pita-pita daun mengkuang itu ringan dan akan terapung
jika tidak diletakkan pemberat.
Selepas beberapa hari direndam, pita-pita daun mengkuang itu diangkat dan dijemur. Cahaya
matahari yang panas akan menjadikan pita-pita daun mengkuang itu lebih putih. Bagi pencipta
tikar yang kreatif dan berhasrat menghasilkan tikar yang bercorak dan berwarna, mereka akan
merendam semula dalam bekas yang berisi air pencelup untuk selama dua hari. Selepas itu, pitapita daun mengkuang itu akan dijemur supaya kering dan mengekalkan warna sebagaimana yang
dikehendaki untuk membolehkan proses menganyam bermula.
Kebiasaan para penganyam tikar terdiri daripada kaum wanita dan gadis-gadis. Bagi
menghasilkan tikar kasar, anyaman juga agak pantas dan penganyamnya tidak mementingkan
kreativiti. Bagaimanapun bagi penganyam tikar putih, mereka lebih berhati-hati kerana ia
menjadi simbol kehalusan seni dan budi seseorang penganyamnya. Ketika menganyam,
pemusatan pemandangan hanya ditumpukan kepada bahagian yang dianyam. Lebih sulit lagi jika
menganyam tikar bercorak warna kerana kesilapan yang kecil akan merosakkan corak atau
raginya. Ada yang menganyam corak berbentuk tapak dam dan ada yang berbentuk "pucuk
rebung." Anyaman tikar mengkuang bercorak warna memerlukan kreativiti tersendiri dan
kebiasaannya tikar seumpama itu dihasilkan untuk jualan.
Gelombang modenisasi yang melanda budaya Melayu mencabar keperluan tikar
mengkuang. Kehadiran tikar-tikar plastik yang pelbagai corak menjadi saingan kepada keperluan
tikar-tikar mengkuang. Begitu juga permaidani yang diimport yang mula meresapi masyarakat
Melayu di desa-desa. Kebanyakan masyarakat desa kini sudah tidak tahu menganyam tikar
malah mereka yang pernah menganyamnya sudah tidak lagi berminat berbuat demikian.
Tikar-tikar mengkuang dengan coraknya yang pelbagai kini tidak lagi menjadi hamparan
sebaliknya menjadi hiasan dinding di hotel mewah atau kediaman tertentu. Bagaimanapun
keindahan seninya masih menghadapi saingan kelarai yang dicipta menggunakan buluh dan
pandan untuk hiasan dinding. Tikar mengkuang kini bagaikan terpinggir. Sukar untuk menemui
hamparan tikar mengkuang bagi menyambut tetamu meskipun di kawasan luar bandar.
Sebaliknya para tetamu disajikan dengan kerusi empuk. Jika ada tikar mengkuang, mungkin ia
masih disimpan dengan alasan tidak layak lagi digunakan sebagai hamparan tamu.
Kegemilangan tikar mengkuang kini hanyut bersama kebangkitan masyarakat moden.
Pokok-pokok mengkuang yang suatu ketika dahulu menyumbang kepada seni tradisi masyarakat
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis
Hakcipta Terpelihara 2003 Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Hakcipta Terpelihara 2003 Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 15 - 2003

kini hidup terbiar.


Daun-daunnya menjadi kasar dan kering selepas tempoh matangnya.
Proses penuaan daun-daun mengkuang mula mengembalikan pokok mengkuang kepada
kehidupan asalnya. la hidup tanpa dimanfaatkan oleh manusia. Usaha terkini yang sedang
berlaku ialah memeranginya dan membunuhnya tanpa menyedari kepentingannya.
Mengkuang oh mengkuang... Apakah namanya kelak hanya abadi pada Kampung
Mengkuang Layar?

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis


Hakcipta Terpelihara 2003 Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis