Anda di halaman 1dari 4

NASKAH BUDI

CATATAN SEORANG PENDIDIK


oleh
BADRUL HISHAM ITHNIN

Saya menganggap diri saya seorang yang konservatif. Tapi tidaklah pula hingga
menjadi kolot. Sikap ini bukan lagi suatu kecenderungan bila meniti usia dewasa
tetapi suatu yang telah terbina sejak kecil lagi. Dan saya membesar dengannya
sehinggalah sekarang pada usia 40-an.
Pelajar-pelajar saya mungkin telah memahami sikap dan sifat saya ini melalui
pandangan, leteran dan kritikan saya semasa kuliah. Di hadapan mereka dalam
setiap kesempatan yang saya perolehi saya cuba menterjemahkan maksud frasa
ini tradisional tapi tidak kolot, moden pula tidak sampai kebaratan.
Frasa ini saya anggap sebagai sebuah kesimpulan yang tepat dalam mentakrifkan
maksud kesederhanaan dan pendirian seimbang. Ia berasal dari hikmah seseorang
apabila ditanya wartawan tentang pandangannya tentang sifat dan sikap
keperibadian Sasterawan Negara (SN) Usman Awang selepas tokoh besar negara
ini meninggal dunia.
Dalam kuliah ketika lisan saya berbicara ada yang suka, tersentuh. Tapi ada juga
yang mungkin marah, mencemik kerana tersinggung. Yalah mungkin ada yang saya
'luahkan' telah terkena batang hidung mereka menjadikan mereka tidak selesa. Ada
yang dalam diam memprotes dengan cara mereka sendiri tapi tidak secara terbuka.
Tak mengapalah! Itu sudah resam dalam melaksanakan pendidikan. Ia lumrah
kepada semua insan yang cuba mengikuti sunnah orang yang ingin berbuat baik
kepada orang lain.
Walau append reaksi pelajar, saya tetap akan melaksanakannya lagi dan lagi.
Mendidik bukanlah satu pilihan, tapi satu beban (tanggungjawab). Hanya cara dan
pendekatan mendidik saja adalah pilihan dan ia perlu diubah suai sesuai dengan
perkembangan zaman.
Memandangkan mengajar ilmu kemanusiaan yang abstrak sifatnya saya perlu lebih
kreatif apabila menitipkan mesej-mesej kehidupan. Antara cara yang selalu saya
gunakan ialah melalui pengungkapan pantun klasik Melayu. Ia adalah nukilan jiwa
Melayu yang sarat maksud budi.
Kerana keindahan bahasa dan penyampaiannya yang penuh hikmah saya cuba
mempertaruhkan khazanah bangsa saya ini ke dalam pemikiran pelajar-pelajar

saya. Jika berkesan, pasti gaya hidup mereka boleh berubah ke arah yang lebih baik
- sebagai Melayu-Islam di tengah-tengah cabaran kehidupan yang serba canggih
dan moden hari ini.
Mari kita raikan naskah budi ini. Ia tak lapuk dek hujan, tidak juga lekang dek panas.
Berikut adalah antara naskah budi yang biasa kita dengar.
Kalau keladi sudah ditanam
Jangan lagi meminta balas
Kalau budi sudah ditanam
Jangan lagi meminta balas
Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Biar jauh dinegeri satu
Hilang dimata dihati jangan
Kalau ada sumur di ladang
Bolehlah kita menumpang mandi
Kalau ada umurku panjang
Bolehlah kita bertemu lagi
Pohon pepaya di dalam semak
Pohon manggis sebasar lengan
Kawan tertawa memang banyak
Kawan menangis diharap jangan
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Jikalau malang membawa upih,
Janganlah datang dengan menyisih;
Paku dulang paku serpih,
Mengata orang dia yg lebih.

Walau sembuh luka dimata,


Takkan sembuh bara bertimpa;
Jika tak tumbuh takkan melata,
Jika tak sungguh orang tak kata.

Hendak ditepuk si daun salang,


Tengah meracik tertikam duri;
Terus ditepuk air di dulang,
Habis terpercik kemuka sendiri.

Jika lidah tergigit gigi,


Tentulah luka berdarah lagi;
Ibarat meludah kelangit tinggi,
Jatuh tertimpa muka sendiri.

Membawa bayam kehujung kampung,


Mencari nyonya menjual setanggi;
Ibarat ayam riuh sekampung,
Nyata rupanya bertelur sebiji.

Air dan api slalu berlawanan,


Langit dan bumi adalah berjauhan,
Kalau hati penuh kedengkian,
Siapalah orang yang akan mau berteman
Kalau bulan rindukan mentari,
Tentu malam akan rindu siang,
Kalau hati cinta Ilahi,
Tentu dirinya akan merasa tenang
Banyak bulan perkara bulan,
Tidak semulia bulan puasa,
Banyak tuhan perkara tuhan,
Tidak semulia Tuhan Yang Esa

Saya berharap sangat pengungkapan naskah budi ini masih dapat diterima pelajar
saya walaupun saya tahu sambutannya mungkin dingin. Saya telah lama menyedari
bagaimana pelajar-pelajar saya sangat terdedah kepada naskah jiwa moden yang
lebih memikat dan mempesona.
Mesej 'jiwang dan cintan' dalam naskah baru ini telah lama membelai jiwa mereka.
Tidak cukup setakat itu, naskah budi ini juga disaingi sengit oleh naskah-naskah

popular lain seperti rock, hip hop, dan banyak lagi. Naskah-naskah ini membawa
genre dan rentak baru yang kreatif dan lebih memikat.
Mengapa ini boleh dan terus terjadi?
Alasannya tidak susah untuk ditelah. Antara alasan itu adalah berlakunya fenomena
pensejagatan (globalisasi) dan kewujudan dunia tanpa sempadan (borderless world)
yang mengasak keperibadian bangsa.
Kedua-dua fenomena ini bukan saja mensasarkan sisi ekonomi dan kebendaan
dalam perniagaan. Ia juga, pada masa sama menjadi alat penyebaran fikrah barat
yang sekular-liberal. Ia adalah penjajahan minda dan budaya. Inilah yang sering
dimaksud dan dibimbangi budayawan kita tentang wujudnya strategi baru Barat
menjajah manusia khususnya orang Islam.
Setelah gagal dalam Perang Salib 200 tahun, Barat menukar strategi kepada
pendekatan psikologi. Sarjana arab muslim memanggilnya sebagai al-ghozwu al
fikr. Kerana ia halus dan bergerak atas nama kebudayaan, pendidikan,
tanggungjawab sosial, hak asasi, dan demokrasi lantas tidak ramai yang perasan
lalu terjebak.
Hasilnya ialah apa yang sedang berlaku dalam masyarakat dunia sekarang. Bila kita
jujur dan berani meninjau ke wilayah kita pula, pasti kita melihat simptom-simpton
kemusnahan jati diri bangsa, agama dan negara sedang parah berlaku. Ia begitu
meresap dan meluas kesannya.
Hari ini budaya liar, biadap dan miskin budi bukan lagi gejala orang kota. Orang
desa pun tidak kurang hebatnya. Kita tidak boleh menafikannya dan berkata 'alah itu
kes terpencil' lagi.
Apakah kita sekadar memerhati proses keruntuhan nilai tradisi turun temurun yang
sedang berlaku di depan mata kita?
Saya bimbang penolakan naskah budi Melayu ini dalam pengertian dan maksudnya
yang luas menjadi petanda kian jauhnya generasi muda hari ini dari akar budayanya.
Saya cuba bersikap optimis dengan memujuk hati saya bahawa masih ada dalam
diri jiwa pelajar saya yang berbaki jati diri Melayu. Saya perlu percaya bahawa
ALlah masih sayangkan umat Melayu-Islam di negara bertuah ini.
Dengan kepercayaan ini saya akan terus mempertaruhkan naskah budi warisan
bangsa biar pun sedar ia disaingi hebat oleh naskah popular masa kini.
'Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung'.

Anda mungkin juga menyukai