Anda di halaman 1dari 8

Karangan Bentuk Ceramah

Anda dikehendaki menulis ceramah yang bertajuk " Budaya Lepak Bertentangan Budaya
Tempatan" . Ceramah itu disampaikan sempena sambutan Hari Belia di tempat anda. Sediakan
teks ceramah tersebut selengkapnya.
Contoh Karangan
Yang dihormati Tuan Pengerusi majlis, pemimpin-pemimpin belia daerah Tenom, tuan-tuan dan
puan-puan, serta para belia yang hadir pada hari ini. Sebelum saya meneruskan ceramah saya ini,
terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana
mengundang saya ke majlis ini untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Budaya Lepak
Bertentangan dengan Budaya Tempatan".
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Terlebih dahulu saya akan menjelaskan konsep budaya yang terdapat dalam masyarakat di
negara kita. Kita akan melihat bagaimana budaya lepak menimbulkan kesan negatif dalam
masyarakat kita. Budaya merupakan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakt. Budaya
merangkumi segala aspek kehidupan termasuklah perlakuan, tutur kata, cara berpakaian,
ekonomi, politik dan sebagainya. Budaya lepak pula ialah budaya yang diamalkan oleh generasi
muda, terutama di bandar-bandar besar. Lepak bermakna membuang masa tanpa melakukan
sesuatu yang bermanfaat. Budaya ini diterima dari luar serta meninggalkan kesan negatif kepada
masyarakat dan juga negara kita, terutama dalam kalangan generasi muda kita hari ini.
Budaya lepak memang budaya negatif dan bertentangan dengan budaya tempatan. Mengapa
saya mengatakan demikian? Hal ini demikian kerana budaya lepak mengajak remaja membuang
masa di pusat beli-belah atau di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai tanpa arah
dan tujuan. Dengan kata lain, budaya ini menganjurkan remaja kita membuang masa daripada
melakukan kerja-kerja yang berfaedah untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Budaya
masyarakat kita tidak pernah mengajar kita supaya membuang masa.; sebaliknya budaya kita
mengajar kita menghargai masa. dalam masyarakat Melayu ada pepatah yang berbunyi 'masa itu
emas". Peribahasa ini mengambarkan kepada kita bahawa budaya kita menghendaki kita
menghargai masa dan bukannya menghabiskan masa di tempat-tempat tidak berfaedah. Oleh itu
jelaslah bahawa budaya lepak ialah budaya negatif yang memesongkan kita daripada budaya yang
sebenarnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Budaya lepak yang diamalkan oleh remaja kita juga bertentangan dengan budaya masyarakat
negara kita. Dari segi pergaulan, budaya Timur atau budaya tempatan mengehadkan pergaulan
antara lelaki dan perempuan. Pendek kata tidak ada pergaulan bebas yang dibenarkan dalam
budaya tempatan untuk mengelakkan perkara-perkara sumbang daripada berlaku dalam
masyarakat. Dalam budaya lepak yang diamalkan hari ini pula, pergaulan bebas antara remaja
lelaki dan perempuan merupakan perkara yang menjadi amalan para belia dewasa ini. Konflik ini
menyebabkan remaja lebih gemarkan mengamalkan budaya lepak kerana mereka memperoleh
keseronokan sehingga melanggar batas sosial yang telah ditetapkan dalam budaya kita. Kesannya,
pasti negatif akibat pergaulan bebas yang diamalkan oleh generasi muda hari ini. Tidak hairanlah
sejak kebelakangan ini banyak kes pembuangan bayi berlaku akibat banyak remaja yang
melakukan hubungan seks bebas dengan pasangan masing-masing. Perkara ini berlaku kerana
kesan budaya lepak terhadap para belia hari ini.
Sidang majlis yang dimuliakan,
Banyak remaja kini tidak menghormati orang-orang tua kerana mereka terpengaruh oleh
budaya lepak. Mereka lebih gemar menggunakan kata-kata yang kasar dan tidak menghormati
orang tua. Kata-kata kesat sering digunakan terhadap orang yang lebih tua daripada mereka.
Akibatnya, banyak remaja kini sudah tidak mengenali nilai-nilai murni yang terdapat dalam

budaya tempatan. Tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum bahawa nilai kasar ini sebenarnya
tidak terdapat dalam budaya kita. Kesannya ialah remaja kita semakin kurang ajar, biadab dan
tidak mengamalkan nilai murni dan adab sopan dalam kehdiupan harian mereka. Perkara ini
berlaku akibat pengaruh budaya lepak yang bukan sahaja diamalkan dalam kehdiupan harian
mereka bahkan juga telah dijadikan sebagai pegangan hidup.
Sidang majlis yang saya hormati,
Budaya lepak juga menimbulkan kes jenayah dan kes maksiat. Banyak remaja dewasa ini
melepak tanpa arah dan tujuan. Sekiranya remaja ini melakukan kerja-kerja yang berfaedah,
sudah tentulah akan menguntungkan diri mereka sendiri, masyarakat dan juga negara. Akibat
melepak tanpa arah dan tujuan, banyak remaja kita hari ini terlibat dalam gejala-gejala negatif
seperti menghisap dadah, , mengedarkan dadah, , bohsia, memeras ugut, dan sebagainya. Rokok
sudah menjadi simbol kedewasaan golongan ini. Namun rokok juga membawa kepada ketagihan
dadah. Gadis remaja pula sanggup menggadaikan maruah diri. Mereka begitu mudah dibawa oleh
kenalan baru sungguhpun tidak mengenali latar belakang teman baru dengan mendalam. Oleh
itu, terjadilah kes-kes hamil tanpa nikah, pembuangan bayi dan sebagainya. Ketenteraman
masyarakat kita semakin terancam oleh kes-kes ini.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Lepak juga merupakan kegiatan negatif yang membebankan keluarga remaja berkenaan. Ibu
bapa bersusah payah membesarkan anak-anak mereka dengan harapan agar anak-anak mereka
menjadi manusia yang berguna pada suatu hari kelak. Dengan ini, anak-anak diharapkan dapat
meringankan bebang orang tua mereka. Diharapkan juga anak itu dapat menanggung kehidupan
orang tuanya kelak. Malangnya yang dapat kita saksikan ialah golongan ini menyebabkan ibu
bapa risau akan mereka. Ibu bapa hampa dan kecewa apabila mendapati naka-anak mereka
runtuh akhlaknya.
Budaya lepak ini juga turut membebankan kerajaan. Operasi membanteras bohsia dan lepak
menyebabkan pembaziran masa, tenaga dan wang pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Kebajikan
Masyarakat dan sebagainya. Kerajaan juga membelanjaakan jutaan ringgit untuk melancarkan
Program Rakan Muda untuk membendung kegiatan ini. Alangkah baiknya sekiranya peruntukan
ini disalurkan untuk tujuan lain daripada membazirkan wang untuk menangani gejala sosial ini.
Lihat sahaja di sekeliling kita, baik di tapak pembinaan mahupun di ladang-ladang,. pekerja di
situ kebanyakannnya terdiri daripada warga asing. Kemasukan pekerja asing ini menimbulkan
pelbgai gejala sosial dan ekonomi. Tanpa budaya lepak, diyakini kekurangan tenaga buruh sedikit
sebanyak dapat diatasi.
Sidang hadirin sekalian,
Berdasarkan penerangan yang telah saya berikan tadi, jelaslah bahawa budaya lepak bersifat
negatif, tidak menguntungkan serta bertentangan dengan budaya tempatan. Oleh itu, sebagai ibu
bapa, kita tidak mahu unsur negatif ini menular dalam diri anak-anak kita kerana gejala ini ibarat
racun yang membunuh mangsanya tanpa disedari. Bagi para remaja pula, budaya ini harus
dikikis terus. Oleh yang demikian, langkah-langkah tegas perlu diambil untuk menghapuskan
budaya negatif ini daripada melanda masyarakat kita.
Tuan-tuan dan puan-puan, setakat ini sahaja ceramah saya untuk hari ini. Saya memohon
ribuan maaf sekiranya ada terkasar bahasa semasa saya menyampaikan ceramah tadi. Akhir kata,
selamat maju jaya kepada para belia di daerah ini. Sekian terim kasih.

Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi teknologi
maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi maklumat telah
diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat, anda diminta
memberikan ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks ceramah itu.
Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi
Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pada
era dotcom ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multi
media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan.
Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai
Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur
City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek
ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada
implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan,
ekonomi, industri, sosial dan politik.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas
mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media. Seluruh
dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini.
Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan
ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan
menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya
alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di suratkhabar
baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, Jika anda sakit dan tidak dapat
menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda! Iklan tersebut memaparkan
gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa
perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi media dalam bidang pendidikan.
Hadirin yang budiman,
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien
dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga atau ecommerce, cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti
cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat
laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa
Melayu sebagai emel!). Kini www.sesuatu.com.my bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai
barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara
malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam
hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang mengkhabarkan
seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel! Justeru, jelas bahawa
perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek perniagaan.
Hadirin yang dimuliakan,
Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran
industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu meningkatkan
produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan
yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat dapat dihantar
dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat kita
tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman.
Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan
multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di
dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multi
medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat pembangunan seumpama ini (seperti di

Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan multi media membolehkan
Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara rakyat
Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar
negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan
sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana
pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat membuat
keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan
sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada
penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh
perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat
dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-bagai kaum. Bukankah multi media
satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?
Hadirin sekalian,
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi negatifnya.
Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di Malaysia sendiri, ada
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan
khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan
kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu,
kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus
berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi
muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam
internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga
bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan
perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam.
Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau
perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar
sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat
memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian
maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang
lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari
anak-anak.
Hadirin yang dikasihi,
Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh
melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang
disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan
kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir
yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai
kaum bagi menwujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi
pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh
negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multi media yang boleh mengheret rakyat ke
kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama
memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas
kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.
Sekian, terima kasih.

Contoh Soalan:
Sebagai seorang guru kaunselor , anda telah menyampaikan ceramah kepada
pelajar-pelajar sempena program motivasi di sekolah anda. Tajuk ceramah anda
ialah Ciri-ciri Pelajar Cemerlang.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.
Analisis soalan:
Tema/Isu
: pelajar cemerlang
Tugasan/Arahan : ciri-ciri pelajar cemerlang
Format
: ceramah
Rangka isi:
Pendahuluan:
Kata alu-aluan format ceramah
- konsep pelajar cemerlang, mengapa cemerlang, gambaran isi, peribahasa
Isi karangan:
1) cemerlang akademik - pencapaian pembelajaran, pencapaian peperiksaan
awam, lanjut pelajaran
2) cemerlang kokurikulum - penglibatan, perkhidmatan / sumbangan,
kepimpinan
3) cemerlang disiplin - patuh peraturan, tepat masa, tugas selesai
4) cemerlang sahsiah - asertif, sopan santun, boleh dipercayai
5) Pegangan agama
Penutup: kesimpulan am, saranan, harapan.
Karangan Contoh
Yang berusaha, ahli jawatankuasa program motivasi 'Permata Hati', yang
dihormati guru-guru serta pelajar-pelajar SMK Dato Syed Esa yang dikasihi
sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran kepada
Tuhan kerana pada pagi yang ceria ini, kita dapat bersama-sama dalam program
motivasi 'Permata Hati' yang sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar tingkatan
3 dan 5 yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM tidak beberapa lama
lagi. Apa yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah tentang 'Ciri-ciri Pelajar
Cemerlang'.
Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,
Semua insan inginkan kecemerlangan dalam kehidupan mereka. Malah,
semua pelajar yang berada di dalam Dewan Budiman yang permai ini juga ingin
menjadi pelajar yang cemerlang. Pendek kata, semua pelajar ingin cemerlang
dalam semua bidang yang diceburi. Contohnya, sudah pasti pelajar ingin
cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan sebagainya.
Pelajar cemerlang umpama benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau.
Persoalanya, apakah sebenarnya ciri-ciri pelajar cemerlang? Bagaimanakah
caranya untuk menjadi cemerlang? Apakah pelajar di hadapan saya ini pelajar

yang cemerlang? Bersedialah wahai pelajar-pelajar, kerana sebentar lagi kita


akan bersama-sama mengupas tajuk ciri-ciri pelajar yang cemerlang.
Para pelajar yang disayangi,
Memang tidak dapat dinafikan, ciri pelajar cemerlang yang sering
ditonjolkan ialah dari segi pencapaian akademik. Pelajar cemerlang akan
berusaha untuk memastikan pecapaian akademik mereka sentiasa
memberangsangkan dalam setiap ujian dan peperiksaan. Contohnya, pelajar
cemerlang akan mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik
darjah, dan pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik
darjah. Pelajar cemerlang sentiasa menggembleng segala potensi dan fakulti yang
ada dalam diri mereka bagi memperoleh hasil pembelajaran yang optimum.
Mereka menetapkan matlamat pembelajaran yang munasabah, dan berusaha
untuk mencapainya. Dengan itu, pelajar cemerlang akan mengenepikan sebarang
bentuk gangguan bagi memastikan pencapaian akademik mereka sentiasa
cemerlang.
Selain itu, semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi
tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran terancang bersama guru. Sebagai
contoh, pelajar cemerlang akan menunjukkan motivasi pembelajaran yang
maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang tidak berbelah bahagi.
Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang datang
daripada dalam diri sendiri mahupun persekitarannya. Pelajar cemerlang tidak
meletakkan terlalu banyak syarat dalam pembelajaran supaya semuanya
berkenan di hati. Mereka tidak bersifat sentimental dengan terlalu banyak
berharap tentang guru yang sempurna atau persekitaran bilik darjah yang
sempurna. Mereka mampu bertahan dalam iklim pembelajaran yang seadanya.
Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun
menyertai kumpulan belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan yang
seimbang, iaitu tidak terlalu menonjol dan tidak hanya sebagai penumpang.
Mereka mungkin memiliki banyak idea, tetapi bersabar mendengar idea rakan
sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak menguasai perbincangan,
tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan adil. Mereka datang
dengan persediaan yang mencukupi, bukan dengan tangan kosong. Maka,
kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran
berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan sekadar melukut di
tepi gantang, datang tidak menambah, pergi tidak disuruh.
Guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,
Selanjutnya ialah, pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi
dalam peperiksaan awam. Sasaran yang dibuat bukan sekadar cakap kosong,
tetapi dibuktikan menerusi strategi dan usaha yang optimum. Mereka tidak
bergantung kepada soalan ramalan, tetapi lebih fokus terhadap perancangan
jawapan yang menepati tugasan soalan. Pelajar cemerlang menggunakan segala
pengalaman pembelajaran di bilik darjah untuk mematuhi segala kehendak

sukatan pelajaran yang menjadi asas penggubalan item soalan peperiksaan


awam. Dengan meletakkan sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam,
pelajar cemerlang berpeluang mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam
bidang yang diklasifikasikan sebagai kritikal dan menjadi rebutan, di samping
melamar tempat di institut pengajian tinggi terkemuka dengan tajaan biasiswa
yang berprestij.
Apakah tindakan ke sana ke mari dengan buku sehingga digelar sebagai 'ulat
buku' merupakan ciri pelajar yang cemerlang? Sebenarnya, Pelajar cemerlang
tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga
menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya
bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah.
Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran
kurikulum. Pelajar cemerlang menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai
kesempatan bagi menggilap bakat kepimpinan, memupuk semangat suka rela
dalam perkhidmatan sosial dan mendekati aktiviti kebajikan. Pelajar cemerlang
akan menggunakan kapasiti diri sama ada sebagai pemimpin, peserta atau
petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian seragam, permainan dan
sukan. Mereka sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan sikap
ringan tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan sebarang aktiviti
kokurikulum.
Pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian,
Disiplin asas kejayaan. Oleh itu, pelajar cemerlang juga sinonim dengan
amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak kisah jika digelar sebagai pelajar skema
yang akur dengan segala peraturan sekolah. Walaupun mungkin kelihatan
berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku, pelajar cemerlang tidak berasa
kekok untuk bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang sinikal, mahupun
rakan yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk muncul
sebagai peribadi rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya
bersikap positif dalam menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka
tidak perlu membutirkan tunjuk ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan
tingkah laku yang disenangi. Sebagai contoh, pelajar cemerlang mementingkan
ketepatan masa, dan sentiasa melaksanakan sesuatu tugasan sesempurna
mungkin. Setiap kali diberi tugasan, pelajar cemerlang tidak melaksanakannya
dengan sambalewa semata-mata seperti "melepaskan batuk di tangga". Jelaslah
prinsip pelajar cemerlang ialah mementingkan disiplin dalam memacu
kecemerlangan hidup mereka.
Seterusnya, pelajar cemerlang juga perlu menampilkan sahsiah dan budi
pekerti yang mulia dan murni. Percakapan mereka dihiasi dengan sopan santun
bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan akan berasa selamat dan
dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-baik, serta tidak
mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia biasa,
pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba
melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada
mana-mana pihak.

Akhirnya, satu lagi ciri yang sangat penting ialah, pelajar cemerlang
sentiasa berpegang teguh pada tali agama. Kepercayaan dan kepatuhan kepada
suruhanNya sepatutnyalah menjadi perkara utama dalam kehidupan ini.
Contohnya, pelajar yang cemerlang sentiasa berusaha melaksanakan suruhan
Tuhan dan menjauhi larangannya. Malah pegangan agama yang kukuh menjadi
penyuluh dan petunjuk jalan dalam kehidupan pelajar supaya sentiasa berada
pada jalan kebenaran. Hal ini demikian kerana, pelajar yang cemerlang sentiasa
meninginkan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Sebagai kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri
yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin, sahsiah dan pegangan
agama. Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut
sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan negara untuk
meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Oleh itu pelajar cemerlang
haruslah sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan setiap masa dan jangan
sesekali menganggap bahawa diri mereka serba sempurna.
Sebelum saya menamatkan ceramah pada hari ini, saya percaya tentu
pelajar-pelajar yang berada di hadapan saya ini sedang tertanya-tanya kepada
diri sendiri. Antara persoalan yang mundar-mandir di minda ialah adakah ciriciri yang telah dinyatakan tadi dalam diriku? Mampukah saya menggarab ciriciri kecemerlangan tersebut. Jawapanya ialah, jika hanya satu atau dua ciri
sahaja yang ada dalam diri pelajar-pelajar ketika ini, syabas dan tahniah saya
ucapkan. Satu permulaan yang baik dan teruskan untuk mencapai ciri-ciri
kecemerlangan itu. Saya percaya dan penuh keyakinan bahawa semua pelajar
akan mampu menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Di mana
ada kemahuan, di situ ada jalan. Tepuk dada tanya selera.
Sekian. Terima Kasih.

Anda mungkin juga menyukai