Anda di halaman 1dari 3

ULASAN ARTIKEL 2

Globalisation and TVET in Africa: Challenges and Opportunities, Implications of


Globalisation for TVET Curriculum Design by Gabriel S. Konayuma. 2007.
Artikel yang ditulis oleh Gabriel S. Konayuma bertajuk Implications of
Globalisation for PTV Curriculum Design mengulas tentang cabaran globalisasi yang
memberi implikasi atau kesan terhadap reka bentuk dan penyampaian kurikulum Pendidikan
dan Latihan Teknikal dan Vokasional (PTV) khususnya di negara-negara Afrika. Dalam
artikel ini, fokus utama adalah implikasi globalisasi terhadap reka bentuk kurikulum dan
metodologi latihan PTV dengan mengambil contoh reka bentuk kurikulum PTV di Zambia
dan negara-negara di wilayahnya. Kurikulum ini dibentuk untuk membangunkan bidang
latihan sebagai sumber pendapatan dan meningkatkan kemahiran dalam program-program
seperti pembinaan, rekaan dan jahitan, teknologi maklumat dan komunikasi, pertukangan
kayu dan perabot, hospitaliti dan pelancongan.
Merujuk artikel ini, globalisasi bermaksud pertumbuhan pesat yang meningkatkan
pergerakan barang, perkhidmatan, kewangan, informasi serta penyebaran demokrasi dan
perjanjian terhadap persekitaran dan standard kehendak manusia. (Regan, 2002:224).
Globalisasi juga didefinisikan sebagai peningkatan perhubungan manusia dan tempat hasil
daripada kemajuan pengangkutan, komunikasi dan teknologi maklumat yang menyebabkan
penumpuan ke atas politik, ekonomi dan budaya. Dalam hal ini, globalisasi banyak memberi
implikasi secara langsung dan tidak langsung dalam reka bentuk kurikulum PTV. Globalisasi
seharusnya direka bentuk agar lebih fleksibel mengikut masa dan situasi dan disesuaikan
mengikut corak masyarakat sesebuah Negara dan selari dengan perkembangan bidang
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), isu-isu sampingan globalisasi seperti penyakit
berjangkit; HIV dan AIDS, isu jantina, ketidakupayaan atau kecacatan dan alam sekitar serta
isu ketidaksamaan gender.
Merujuk artikel ini, implikasi dan kesan globalisasi di Afrika difokuskan kepada
kepada reka bentuk kurikulum PTV di Zambia. Secara umum implikasi globalisasi yang
dinyatakan mempunyai persamaan dengan negara-negara lain di dunia. Dalam konteks PTV
di Malaysia, implikasi globalisasi telah mempengaruhi perkembangan dan perlaksanaan
kurikulum PTV. Impak globalisasi merupakan antara faktor utama yang menentukan
perubahan corak pendidikan di Malaysia. Kebaikan dan keburukan globalisasi ke atas corak
pendidikan bergantung kepada penerimaan individu, masyarakat dan negara. Dalam konteks
pendidikan khususnya PTV, impak globalisasi dapat dilihat dalam pelbagai aspek seperti
perkembangan bidang sains dan teknologi, sosial, kemajuan ekonomi, dasar pendidikan
terbuka dan sebagainya.

Pengstrukturan semula kurikulum PTV menerusi Pelan Transformasi Pendidikan


Vokasional yang dikuatkuasakan pada tahun 2013 dilihat tepat pada masanya bagi
mengangkat martabat pendidikan teknikal dan vokasional sebagai aliran pendidikan pilihan
selaras dengan perkembangan global. Kemajuan pesat dalam sektor industri negara yang
rancak sekarang pasti akan mengalami gangguan sekiranya tenaga mahir secukupnya tidak
dapat disediakan. Untuk itu, kualiti kurikulum perlu dipertingkatkan dan disesuaikan dengan
keperluan industri. Justeru dalam konteks ini, transformasi PTV akan membabitkan dua
aspek penting iaitu Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan Kolej Vokasional (KV) sebagai
laluan dalam usaha mencapai matlamat berkenaan. Kurikulum ini akan merujuk kepada
Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)
dan lain-lain bentuk persijilan yang diiktiraf pihak industri. Selain itu, penglibatan sektor
swasta (industri) turut dipelawa bagi menjayakan transformasi ini dengan memberi
pendedahan dan maklumat secara langsung berkaitan industri semasa kepada pelajar. Sektor
ini juga digalakkan untuk membangunkan institusi vokasional berdasarkan kurikulum yang
dipersetujui bagi menampung pelajar berpotensi tajaan kementerian.
PTV dalam era globalisasi dan k-ekonomi perlu berubah selari dengan keperluan era
yang dibantu kecanggihan teknologi kerana ia adalah gabungan pendidikan dan latihan. PTV
perlu memasuki arus perdana agar dapat melahirkan tenaga kerja mahir yang mempunyai
kemahiran sosial, pembelajaran, pengurusan dan keusahawanan seperti sistem pendidikan
lain.
Dalam hal ini, perkembangan reka bentuk kurikulum PTV kesan daripada implikasi
globalisasi yang berlaku di Zambia seperti yang dinyatakan penulis tidak banyak bezanya
dengan konteks PTV di Malaysia. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi
mewujudkan dunia tanpa batasan dan selari dengan kepesatan teknologi ini. Perkembangan
ekonomi dunia juga memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran tinggi dan dapat
bersaing dengan kehendak pasaran global. Kurikulum yang dibentuk harus memfokus kepada
keperluan dan sumber tempatan yang bersesuaian dengan kehendak pasaran. Perkembangan
sistem sosial dalam masyarakat memerlukan kurikulum yang berupaya melahirkan modal
insan yang berkemahiran tinggi, berketrampilan dan mempunyai sahsiah terpuji. Kemahiran
generik seperti kemahiran berkomunikasi, kepemimpinan, penyelesaian masalah, kerjasama
kumpulan serta nilai-nilai murni perlu diselitkan dalam setiap kurikulum yang dibentuk.
Kurikulum PTV memerlukan anjakan paradigma yang boleh mengubah landskap pendidikan
negara untuk mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan vokasional serta mengubah
komposisi modal insan daripada berorientasikan lepasan akademik kepada lepasan aliran
vokasional sejajar dengan amalan di negara maju.

Beberapa strategi dan cadangan bagi memperbaiki kesan globalisasi ini adalah seperti
menjalankan usaha sama antara pembuat dasar dan kerajaan. Dalam hal ini, kerajaan harus
memperkenalkan skim pembiayaan yang mampan bagi pembangunan ekonomi PTV dan
meningkatkan pembiayaan kepada sektor ini. Modal dan pembiayaan yang mencukupi dapat
membantu usaha para graduasi PTV untuk mengusahakan sendiri skim latihan mereka. Di
samping itu, penyelidikan dan pembangunan dalam sektor PTV perlu dilaksanakan bagi
menghadapi kesan globalisasi, di samping melaksanakan pemantauan untuk menilai sistem
PTV bagi menjamin, kualiti, dan kesesuaiannya dengan kehendak pasaran. Selain itu,
kemahiran generik dalam kurikulum perlu digabungjalinkan dalam melahirkan graduan atau
pelatih yang mampu menghadapi kesan globalisasi. Mereka perlu dilatih untuk mengumpul,
menganalisis dan menyusun maklumat; menyampaikan idea dan maklumat; merancang dan
menganjurkan aktiviti-aktiviti; bekerja dengan orang lain sebagai satu pasukan, menggunakan
idea dan teknik matematik bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan serta mampu
menggunakan teknologi yang sesuai dengan transformasi dan pembangunan teknologi
maklumat. (Bhuwanee, 20005:1) Rangkaian kerjasama yang erat antara majikan dan
industri amat perlu dalam aspek penyediaan skim latihan. Selain itu, skim latihan yang
diwujudkan perlu bersesuaian dengan isu-isu seperti keusahawanan, HIV & AIDS, jantina ke
dalam program latihan dan aktiviti agar ia dapat dijadikan penanda aras terhadap amalan
terbaik dalam TVET nasional, di Afrika dan luar Afrika.
Kesimpulannya, globalisasi memberi implikasi dalam pelaksanaan dasar pendidikan
dan kurikulum PTV di kebanyakan negara, termasuklah Malaysia dan Afrika. Tidak kira di
mana pun, pelaksanaan dasar dan kurikulum PTV seharusnya dibentuk untuk memberi akses,
ekuiti dan pendidikan yang berkualiti kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan,
kebolehan, minat dan bakat dalam bidang teknikal, vokasional dan kemahiran secara fleksibel
tanpa mengambil kira corak masyarakat agar mereka mampu menghadapi imlikasi
globalisasi.