Anda di halaman 1dari 5

Isu-isu Karangan Penting

Permainan Tradisional

Satu lagi warisan budaya di negara ini yang perlu dilestarikan termasuk
permainan tradisional. Generasi muda perlu didedahkan dengan permainan
tradisional supaya tidak pupus ditelan zaman ekoran wujudnya pelbagai
permainan alternatif kini terutama permainan komputer. Masih belum
terlambat untuk menyelamatkan permainan tradisional sekiranya semua pihak
berusaha untuk mengekal dan mempromosiya. Permainan tradisional seperti
gasing, galah panjang, congkak, batu seremban, kurik kundi, guli, layang-layang,
dan sepak raga bulatan boleh dihidupkan semula oleh pelbagai pihak.
Permainan gasing pada masa lalu misalnya menjadi salah satu cara bagi
merapatkan hubungan silaturahim, selain sebagai punca pendapatan melalui
pembuatan gasing. Tetapi kini, gasing tidak lagi menjadi satu permainan bagi
mengisi masa lapang dalam kalangan penduduk setempat yang mempunyai
banyak pilihan untuk beriadah.
Permainan tradisional atau permainan rakyat pada umumnya adalah
merupakan permainan yang dicipta oleh masyarakat tradisional, iaitu merujuk
kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu
untuk satu tempoh yang tertentu. Permainan tradisional ini menjadi
kebanggaan masyarakat silam yang diwarisi daripada satu generasi kepada
generasi berikutnya. Permainan tradisional juga sebagai pelengkap alam kanakkanak pada masa silam yang berkisar di serambi, laman rumah, dan tanah
lapang yang tidak memerlukan belanja untuk berkongsi keriangan dan
kegembiraan. Mereka cuma perlu berkawan, namun bukan lagi resam kepada
kanak-kanak masa kini yang begitu terdedah dengan peralatan telekomunikasi
yang amat mengasyikkan dan menenggelamkan beberapa jenis permainan
tradisional yang tersohor suatu ketika dahulu. Ekoran daripada itu, permainan
tradisional semakin dilupakan, namun masih terdapat prakarsa untuk terus
melestarikan, sekali gus mengembalikan nostalgia atau dikaitkan dengan simbol
warisan budaya.
** Perbincangan haruslah tertumpu pada:
(a) Punca-punca yang menyebabkan permainan tradisional semakin pupus.
(b) Langkah-langkah mempopularkan permainan tradisional
(c) Kelebihan-kelebihan permainan tradisional

Media Sosial

Pada zaman serba moden sekarang, tanpa telefon bimbit dan komputer
riba, hidup bagaikan tidak sempurna. Malah tiada hari yang berlalu, tanpa
menghantar atau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun tanpa
menjengok laman sosial. Laman web rangkaian sosial tersebut telah menjadi
satu trend dalam kehidupan masyarakat. Laman sesawang sosial seperti
Friendster, Myspace, Facebook, dan Twitter kini semakin tersohor dan meluas
penggunaannya lantaran rata-rata masyarakat pelbagai lapisan usia sudah celik
teknologi maklumat.
Terkini dikatakan terdapat 600,000 blogger dan 12 juta pengguna laman
sosial yang sangat popular iaitu Facebook di seluruh Malaysia. Semua lapisan
masyarakat baik golongan pemimpin, golongan profesional sehinggalah ke
peringkat kanak-kanak boleh dikatakan majoriti mempunyai laman web
rangkaian sosial sendiri. Oleh itu, kesan penggunaan laman sesawang sosial
tersebut kepada masyarakat yang mewarnai fokus perbincangan yang akan
dihuraikan dalam makalah ini. Tegasnya, hidup zaman sekarang diibaratkan
tidak sempurna, tidak lengkap dan tidak keruan, apabila semua peranti
komunikasi itu lenyap tanpa disentuh dalam kehidupan seharian.........................

* Perbincangan lanjut bolehlah tertumpu pada:

(a) Manfaat penggunaan media sosial


(b) Kesan negatif penggunaan media sosial

Semangat Kejiranan

Jiran merupakan komuniti paling hampir dengan kehidupan setiap individu dan
menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengetahui, serta memahami segala
perkara yang berlaku kepada jiran tetangga. Hubungan intim dengan jiran
membolehkan seseorang menjadikan jiran tempat mengadu dan meminta
bantuan atau pertolongan apabila sesuatu kesusahan menimpa. Kehidupan
berjiran ghalibnya dipenuhi unsur kerjasama, kesepakatan dan keprihatinan.
Selain tuntutan agama, kehidupan berjiran amat penting untuk negara kerana
keutuhan dan kekuatan sesebuah negara boleh diukur melalui semangat
kejiranan yang ada pada warganya. Lebih-lebih lagi Malaysia didiami pelbagai
kaum yang memerlukan rakyat bersatu mewujudkan negara maju.
Amalan hidup berjiran dulu dan kini amat berbeza sama sekali. Masyarakat
hari ini mengabaikan hubungan dengan orang yang tinggal berdekatan.
Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan hal demikian berlaku. Antara
puncanya termasuklah faktor kesibukan bekerja dan persekitaran tempat
tinggal mereka. Sememangnya tidak dapat dinafikan kehidupan di bandar
banyak cabarannya berbanding di desa. Masyarakat bandar hidup dalam
keadaan tertekan kerana perlu bergegas ke tempat kerja seawal jam 6 pagi bagi
mengelakkan kesesakan lalu lintas, dan mereka juga terpaksa pulang lewat
malam kerana menghabiskan tugas, serta mengelak kesesakan lalu lintas pada
waktu petangnya pula. Ada antara mereka juga bekerja keras untuk
menampung kehidupan kerana kos sara hidup di bandar tinggi. Tidak hairanlah
kebanyakan masyarakat di bandar membuat dua pekerjaan dalam satu masa
untuk terus menampung kehidupan mereka. Cara hidup seumpama ini
menyebabkan keadaan rumah sering sepi tanpa penghuni dan bagi mereka yang
mampu mengambil pembantu rumah, yang selalu kelihatan hanyalah bibik
menguruskan rumah dan menjaga anak kecil. ...........................................
Oleh itu, usaha ini tidak harus dipandang ringan dan sudah tiba masanya kita
mengorak langkah menghidupkan semula semangat kejiranan demi
keharmonian hidup dan kesepaduan masyarakat menjadi benteng kukuh
kepada pertahanan negara. Hal ini demikian kerana pemuafakatan yang kuat
antara jiran tetangga dapat membantu kerajaan menjayakan agenda
transformasi nasional seperti usaha mencegah jenayah. Seyogia diingatkan
bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kemantapan dan
keutuhan hubungan setiap lapisan masyarakatnya. Masyarakat yang berkualiti
juga dilahirkan melalui persefahaman dan hubungan erat yang bermula
daripada sebuah hubungan kejiranan yang bersatu padu dan saling memahami
antara satu sama lain.
Perbincangan lanjut bolehlah tertumpu pada:
1. Faktor-faktor yang menyebabkan semangat kejiranan
semakin luntur.
2. Langkah-langkah memperkukuh semangat kejiranan.
3. Kesan-kesan menyuburkan semangat kejiranan.

Budaya Membaca

Sebenarnya, indikator bagi sebuah negara maju adalah rakyatnya perlu


membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku setahun dan kebanyakan negara
maju seperti Jepun telah melepasi tahap berkenaan. Sebuah negara yang sedang
menuju tahap negara maju seperti Malaysia seharusnya memiliki generasi muda
yang minat membaca. Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju banyak
bergantung pada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya.
Tetapi, di negara ini amalan membaca dilihat masih rendah dan belum menjadi
budaya dan cara hidup. Kadar purata pembacaan rakyat Malaysia yang pernah
dilaporkan media sebelum ini, iaitu antara 8 hingga 12 buah buku setahun
menunjukkan negara masih berada di belakang, berbanding negara seperti
Jepun dan Amerika Syarikat. Namun, kadar itu dilihat petanda positif jika
dibandingkan pada 1996 kerana purata rakyat membaca adalah dua buku
setahun ketika itu. Bagaimanapun, fenomena ini tidak boleh terhenti pada kadar
itu sahaja, sebaliknya pembacaan lebih banyak perlu dilakukan bagi
memastikan setiap masyarakat berada pada landasan betul menuju ke arah
pembentukan sebuah negara maju.
Malaysia telah menempa dan mencipta sepuluh ceritera kejayaan yang boleh
dibanggakan sepanjang 10 Rancangan Malaysia, menurut Datuk Seri Najib Tun
Razak. Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 di
Dewan Rakyat pada Mei 2015 yang lalu. Antara kejayaan yang turut
disenaraikan termasuk kadar literasi kini meningkat kepada 98 peratus
daripada hanya 75 peratus rakyat Malaysia yang boleh menulis dan membaca
pada tahun 1970. Istilah literasi lebih dikenali sebagai celik hurut atau kenal
huruf. Biasanya terminologi ini bermaksud keupayaan membaca dan menulis
atau kemampuan seseorang untuk berturut, mendengar, membaca, menulis dan
memahami percakapan atau penulisan. Jika dahulu susah untuk kita melihat
orang ramai membaca buku di tempat awam tetapi hari ini boleh dilihat di
mana-mana. Dengan kata lain, hal ini memberikan gambaran positif bahawa
masyarakat makin membudayakan amalan membaca. Budaya membaca
semakin diamalkan oleh rakyat negara ini berikutan pelbagai program galakan
dan kempen yang telah dilaksanakan.

Perbincangan lanjut boleh tertumpu pada:


1. Langkah-langkah untuk menggalakkan budaya membaca.
2. Kepentingan mengamalkan budaya membaca.
3. Kekangan atau masalah menyuburkan budaya membaca.

Telefon Bimbit

Suatu masa dahulu telefon bimbit memang merupakan suatu keperluan dalam
kehidupan manusia untuk terus beinteraksi. Walaupun ketika itu kebanyakan
telefon bimbit masih tidak begitu canggih seperti hari ini, tetapi keperluannya
melebihi segala-galanya. Telefon bimbit kini dapat berfungsi sebagai pembantu
peribadi, mendapatkan hiburan, lambang status, dan yang paling utama ialah
menjadi pendorong manusia untuk memenuhi kehendak yang tidak terbatas.
Urusan rutin seperti membuat transaksi kewangan, memuat turun bahan
hiburan dan gambar, menghantar atau menerima e-mel dan pesanan teks,
semuanya boleh dibuat melalui telefon bimbit.
Walaupun pada mulanya kehadiran teknologi telefon bimbit atau lebih
dikenali sebagai telefon selular dianggap sebagai barang mahal yang dapat
dimiliki oleh mereka yang mampu sahaja. Tetapi, kini semua orang dapat
memiliki telefon bimbit kerana harganya yang berpatutan. Mengikut syarikat
penyelidik ABI Research's Mobile Devices Research Service, sejumlah 900 juta
telefon bimbit telah dipasarkan pada 2006. Pada September 2005 industri telefon
bimbit telah mencatat pelanggannya yang ke-2 bilion. Reka cipta telefon bimbit
kian menarik dan anggun, golongan yang mampu akan tetap terpikat dengan
kemudahan ini. Tegasnya, telefon bimbit kini lebih merupakan keperluan dan
bukan lagi untuk bergaya. Hal ini demikian kerana telefon bimbit mempunyai
peranan dan sumbangannya dalam kehidupan kita seharian. Melaluinya kita
dapat memperoleh maklumat, berita terkini, ilmu, gambar, data, menonton
televisyen, mendengar radio, mengirim, dan menggunakan khidmat pesanan
ringkas (SMS) dengan mudah dan pantas.

Perbincangan lanjut bolehlah tertumpu pada:


1. Kepentingan telefon bimbit dalam kehidupan harian.
2. Kesan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar.
3. Perlukah penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar?
4. Penggunaan telefon bimbit satu keperluan dan bukan gaya hidup.

Anda mungkin juga menyukai