Anda di halaman 1dari 5

Teori keperibadian mulia

Pengenalan
Teori keperibadian mulia dianggap sebagai teori yang tertua hasil daripada
perkembangan falsafah tradisi Greek. Teori ini bermaksud kualiti terbaik atau istimewa dan
mengutamakan sifat peribadi terhadap suatu kehidupan yang bermoral. Salah seorang
pelopornya, Aristotle menyatakan bahawa keperibadian mulia merupakan satu keperluan
yang membolehkan seseorang melakukan aktiviti aktiviti yang rasional secara berkesan.
Oleh yang demikian, beliau menyarankan dotrin ( jalan tengah ) iaitu mengambil tingkah
laku sederhana yang membawa maksud tidak terlalu berlebihan atau tidak terlalu kurang.
Tindakan yang berlebihan atau terlalu kurang itu adalah tindakan yang salah, jahat, buruk
dan boleh dicela. Keperibadian mulia boleh diklasifikasikan kepada dua bahagian, yang
pertama keperibadian mulia intelektual iaitu keistimewaan akal untuk memahami dan
membuat penaakulan yang baik. Bahagian yang kedua pula, keperibadian mulia moral yang
menyatakan seseorang itu tidak dilahirkan dengan sifat baik dan jahat namun teori ini
mewajibkan kita untuk berkelakuan baik dan hanya dapat dipelajari melalui latihan secara
kerap. Seseorang perlu menetapkan taraf hidup yang diingini bagi menjadi suatu piawai dan
seterusnya dapat mengubah hidup ke arah yang lebih baik. Moral seseorang itu dapat dilihat
daripada tingkah laku dan perbuatannya. Teori ini lebih menjurus terhadap individu dan
bukan terhadap perbuatan atau prinsip.

Kelemahan
Setelah membaca beberapa laman sesawang serta buku yang bertajuk Etika
Professional karya Mohd Janib Johari, saya dapat menyimpulkan bahawa masih terdapat
pelbagai kelemahan daripada teori ini. Kekurangan yang paling utama ialah apabila teori ini
dikaitkan dengan ketidakpastian sama ada sifat-sifat mulia wujud secara semulajadi atau
diperolehi melalui pengamalan dan latihan. Pertikaian ini tercetus apabila isu Nabi yang
memang secara semula jadi mempunyai keperibadian yang mulia dan sempurna tingkah
laku nya bertentangan dengan teori yang dibawa oleh Aristotle. Beliau berpendapat bahawa
keperibadian mulia bukannya terjadi secara semula jadi tetapi dengan usaha yang
berterusan bagi membaiki diri ke arah yang lebih baik. Keperibadian seseorang berkait
rapat dengan pengaruh di persekitarannya kerana manusia mempunyai satu naluri untuk
mengetahui dan mencuba sesuatu yang telah dilihat daripada sekitarnya. Sebagai contoh,
seorang kanak-kanak melihat bapanya sering bersedekah, oleh itu dia dibesarkan dalam

persekitaran yang baik dan terdorong untuk melakukan perbuatan yang sama. Oleh itu,
jelaslah bahawa bapanya menjadi uswatun hasanah dan mempengaruhi tindakan kanakkanak tersebut. Secara ringkas, keperibadian mulia boleh diperolehi melalui pemerhatian
dan contoh tauladan yang baik. Anak kecil umpama kain putih yang suci dan bersih, ibu
bapa yang mencorakkannya sama ada menjadi yahudi, majusi atau nasrani. Jadilah suri
tauladan yang baik kepada anak-anak seterusnya membentuk keperibadian yang mulia.

Kelemahan seterusnya ialah, teori jalan tengah yang dibawakan oleh Aristotle
sukar untuk dipraktikkan. Hal ini kerana, tidak semua perbuatan boleh dilakukan dengan
mengambil jalan tengah. Sebagai contoh, tindakan bercakap benar perlu dilakukan secara
betul dan bukannya berpegang kepada prinsip Aristotle yang menyarankan tidak berlebihan
dan tidak kurang. Seorang guru mestilah menyampaikan maklumat yang tepat bagi
mengelakkan kekeliruan kepada para pelajar seterusnya mendatangkan impak yang kurang
berkesan. Sekiranya seorang guru menyatakan bahawa proses pembelajaran itu hanya
boleh diambil secara jalan tengah, oleh itu bagaimanakah anak watan yang berjaya dan
berkeperibadian mulia dapat dilahirkan? Teori ini seolah-olah menyarankan seseorang untuk
bertindak sebagai mana dia perlu bertindak. Hal ini menimbulkan keraguan kepada
seseorang untuk membuat keputusan kerana tiada panduan yang jelas dan terperinci.
Selain itu, teori ini sukar dipraktikkan kerana perbuatan sederhana berbeza antara satu
individu dan individu yang lain. Terdapat individu yang berpendapat bahawa beliau telah
mengambil tindakan yang sederhana, namun pada pandangan individu lain perbuatan itu
telah berlebihan atau kurang. Oleh itu, emosi manusia tidak boleh dijadikan sebagai satu
kuantiti yang boleh diukur secara berterusan.

Kekuatan
Di sebalik kelemahan teori ini, masih terdapat kekuatan yang boleh kita jadikan
sebagai panduan. Hasil daripada teori ini, maka lahirlah individu yang mempunyai budi
pekerti yang mulia. Apabila seseorang telah memahami secara mendalam berkaitan teori
keperibadian mulia, maka individu tersebut akan berusaha bersungguh sungguh untuk
melakukan perkara kebaikan dan mengelakkan diri daripada perkara yang boleh
mendatangkan keburukkan. Memetik daripada surah Ali Imran ayat 110 Kalian adalah
sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia, kalian menyuruh (berbuat) kebaikan dan
mencegah kemungkaran, dan kalian beriman kepada Allah . Oleh yang demikian, jelaslah
bahawa keperibadian mulia dan membuat kebaikan saling berkait rapat. Dalam teori
pendidikan, sudah menjadi kewajipan supaya seorang guru menyelitkan kata kata hikmah

dalam menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran supaya para pelajar sentiasa
diingatkan untuk menjadi manusia yang berakhlak mulia. Mereka yang mempunyai
keperibadian mulia akan melakukan sesuatu pekerjaan dengan jujur dan amanah. Oleh itu,
kes seperti penyelewengan tidak akan berlaku dan manusia akan hidup dengan aman dan
harmoni tanpa sebarang gangguan. Di sekolah, teori ini perlu diajarkan sedari darjah satu
kerana memetik pepatah lama melayu, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Seterusnya, kekuatan yang boleh didapati daripada teori ini ialah


seseorang individu itu mempunyai kesedaran untuk melakukan pekerjaan dengan ikhlas
tanpa mengharapkan balasan. Pada masa kini, terdapat ramai individu yang sering
mengambil kesempatan dan melakukan tugasan untuk mendapatkan ganjaran sematamata. Oleh itu, teori keperibadian mulia melatih individu untuk melakukan sesuatu tugasan
secara suka rela dan bersungguh-sungguh. Sebagai contoh, seorang anak mestilah
membantu meringankan beban ibu bapa dengan menolong mengemas rumah. Perbuatan
ini mestilah ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan. Selain itu, teori ini membantu
proses pembentukan anak watan yang boleh dijadikan sebagai harapan bangsa. Sebagai
seorang bakal guru, saya mestilah menjadi contoh terbaik kepada anak murid. Tauladan
melalui kepimpinan amat penting dan ini merupakan cara terbaik kerana pada peringkat
umur kanak-kanak sehingga remaja, mereka lebih senang untuk dididik. Kempen seperti
Budi Bahasa Budaya Kita merupakan salah satu langkah yang diambil oleh pihak kerjaan
bagi memupuk keperibadian mulia dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini kerana, masih
terdapat segelintir masyarakat yang memandang enteng akan kepentingan berkeperibadian
mulia. Oleh itu, ayuhlah bersama-sama mengorak langkah bagi menjadi individu yang
mempunyai akhlak baik.

Rumusan
Secara konklusinya, teori keperibadian mulia mempunyai kedua-dua
kelemahan dan kekuatan yang tersendiri. Seharusnya, kita perlu mengambil iktibar dan
membuat penambahbaikan tehadap teori ini. Teori ini memberi pendedahan kepada nilainilai baik yang telah tersemat dalam jiwa masing-masing hasil daripada pendidikan formal
atau tidak formal. Namun begitu, campur tangan daripada ibu bapa amat penting dalam
proses membentuk peribadi anak-anak mereka kerana saya percaya, tangan yang
menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia. Di sebalik kejayaan pembentukan
sahsiah anak-anak, sudah pasti ibu bapa lah yang menjadi tonggak kepada keberhasilan
tersebut. Semuanya bermula dengan ibu bapa kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya,

baiknya ajaran ibu bapa baiklah perilaku anaknya, buruknya ajaran ibu bapa buruklah
perilaku anaknya. Selain itu, jalinan usaha antara pelbagai pihak seperti pihak governan,
pihak sekolah serta warga komuniti dalam melaksanakan tugas masing-masing bagi
memupuk

keperibadian

mulia

perlu

diambil

perhatian.

Persekitaran

yang

baik

mendatangkan hasil yang baik. Keperibadian seseorang boleh dicerminkan oleh perbuatan
dan tingkah lakunya. Oleh itu, marilah melakukan tranformasi diri dan mengamalkan
perbuatan yang baik bagi memperoleh keperibadian yang mulia.

Rujukan

1. Mohd. Janib Johari (2001). Etika Profesional. Diterbitkan oleh Universiti Teknologi
Mara.
2. Cikgu Eim (2012). Teori Keperibadian Mulia. Diterbitkan di lama sesawang
http://cikguskskr.blogspot.my/2012/08/teori-keperibadian-mulia.html
3. Norina Hasan (2013). Teori-teori Eika. Diterbitkan di laman
http://amelan2013.blogspot.my/2013/06/teori-teori-etika.html

sesawang