Anda di halaman 1dari 6

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

GGGB 6013: KAEDAH PENYELIDIKAN 1


TUGASAN 1:
PEMBENTUKAN PERNYATAAN MASALAH, TUJUAN
& OBJEKTIF KAJIAN, HIPOTESIS DAN TAKRIFAN
OPERASIONAL
TAHAP KEPUASAN SEWAKTU MENJALANKAN
EKSPERIMEN DI DALAM MAKMAL KIMIA BAGI
PELAJAR TINGKATAN LIMA
PENSYARAH:
DR MOHD KHALID BIN MOHAMAD NASIR
PELAJAR:
MUHAMAD HAIZAT BIN GHAZALI
PENDIDIKAN SAINS
P79123

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1

PENGENALAN

Dalam mengejar arus kemodenan dan dunia teknologi yang serba kompleks, banyak
keputusan yang harus dilakukan memerlukan pembuktian daripada proses sains untuk
mendapatkan sesuatu penyelesaian. Hal ini adalah penting dalam meningkatkan kemahiran
berfikir secara analitikal para pelajar untuk lebih berhasil dalam menyelesaikan sesuatu
masalah. Daripada sudut intelek, penguasaan kemahiran proses adalah lebih tinggi dalam
kalangan pelajar berbanding dengan penguasaan fakta dan prinsip sains itu sendiri
(Wellington, 1989). Hal ini demikian kerana, apabila para pelajar telah berjaya untuk
menguasai kemahiran proses sains, secara tidak langsung mereka mampu untuk mencari
jawapan serta memberikan idea atau konsep mengikut kefahaman mengenai sebarang
fenomena sains.
Proses pengajaran dan pembelajaran sains memerlukan aktiviti yang mendekatkan
pelajar dengan dunia sains seperti menjalankan eksperimen, demonstrasi dan projek di dalam
makmal. Hal ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kemahiran saintifik para pelajar.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (2010) telah mengemukakan panduan secara jelas
bagi menghuraikan perkara tersebut. Menurut KPM lagi, sukatan pelajaran sains seharusnya
melibatkan pelajar yang mampu untuk meneroka pelbagai cabang sains. Malahan, pelajaran
akan menjadi lebih berkesan sekiranya pelajar terlibat secara langsung dengan proses sains
yang sesuai. Hal ini mungkin dapat dicapai sekiranya pelajar mencapai kepuasan sewaktu
menjalankan eksperimen di dalam makmal.
Tambahan lagi, makmal sains merupakan antara persekitaran pembelajaran yang
utama dalam konteks pembelajaran dan pembelajaran sains (Wrutheran, 2001; Mokhtar,
2007). Hal ini demikian kerana, pelajar akan didedahkan dengan dunia sains yang sebenar
dan berpeluang untuk menjalankan eksperimen apabila menjalankan aktiviti di dalam
makmal (Poh, 1998). Di dalam persekitaran yang demikian, para pelajar dapat belajar secara

aktif dan bekerjasama dengan rakan untuk menyiasat sesuatu fenomena saintifik. Malah,
yang paling utama adalah pelajar dapat berinteraksi secara terus dengan bahan yang ingin
dikaji (KPM, 2006; Nidzam C. et al., 2010). Ramai penyelidik bersetuju bahawa aktiviti di
dalam makmal mampu untuk membantu meningkatkan kefahaman pelajar mengenai sesuatu
konsep sains dan kebolehan dalam menyelesaikan masalah serta menanamkan minat terhadap
mata pelajaran tersebut (Arzi, 2003; Chiew, 1997; Zol Azlan Hamidin 2000; Ozkan,
Carikoglu & Tekkaya, 2006).
1.2

PERNYATAAN MASALAH

Sebelum ini, terdapat penyelidik yang menjalankan kajian mengenai pelaksanaan kurikulum
Pentaksiran Kemahiran Amali (PEKA) sains di sekolah kebangsaan yang melibatkan guru
mata pelajaran sains di sekolah rendah (Mat Rasid Ishak, 2014). Kajian ini memberi fokus
terhadap guru yang mengajar tanpa mengambil kira tahap kepuasan pelajar. Nurzatulshima
Kamarudin et al. (2009) menyatakan bahawa penglibatan pelajar dalam amali sains adalah
tinggi berdasarkan beberapa faktor yang mempengaruhi pelajar. Antaranya ialah apabila guru
membahagikan kumpulan pelajar kepada tiga hingga lima orang sekumpulan serta
mengagihkan tugas yang harus mereka lakukan sewaktu menjalankan eksperimen. Walau
bagaimanapun, kurangnya kajian mengenai tahap kepuasan pelajar Tingkatan Lima sewaktu
menjalankan eksperimen dan hubungannya dengan persekitaran pembelajaran di dalam
makmal Kimia menjadi faktor utama kajian ini dijalankan.
1.3

KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini memberi penekanan mengenai tahap kepuasan pelajar Tingkatan Lima apabila
melakukan eksperimen di dalam makmal kimia dan hubungannya dengan persekitaran
pembelajaran makmal Kimia. Hal ini demikian kerana ianya penting untuk mengukur sejauh
mana pelajar dapat melakukan eksperimen dengan baik apabila mereka mendapat keselesaan
di dalam makmal. Selain itu, kajian ini penting untuk mengenal pasti sama ada pelajar dapat
mengaplikasi apa yang dipelajari di dalam kelas sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran
(PdP) atau sekadar menerimanya. Dengan adanya kajian ini, diharapkan agar dapat
membantu pengkaji lain untuk membuat lebih kajian mengenai pelajar sewaktu melakukan
eksperimen pada masa hadapan.

1.4

TUJUAN/OBJEKTIF KAJIAN

Kajian yang dijalankan adalah bertujuan untuk mengenal pasti tahap kepuasan pelajar
Tingkatan Lima sewaktu menjalankan eksperimen di dalam makmal dan hubungannya
dengan persekitaran pembelajaran makmal Kimia.
Secara khusus, objektif kajian ini adalah untuk:
i.
ii.

Mengenal pasti pandangan pelajar tentang persekitaran pembelajaran makmal Kimia.


Menentukan sama ada terdapat hubungan antara tahap kepuasan pelajar sewaktu
melakukan eksperimen dengan persekitaran pembelajaran makmal Kimia.

1.5

PERSOALAN KAJIAN

Antara persoalan yang ingin dikaji dalam kajian ini adalah seperti berikut:
1. Adakah faktor kemudahan di dalam makmal mempengaruhi tahap kepuasan pelajar
sewaktu melakukan eksperimen?
2. Adakah faktor keselamatan di dalam makmal mempengaruhi kepuasan pelajar
sewaktu menjalankan eksperimen?
3. Adakah kerjasama dalam kumpulan mempengaruhi kepuasan pelajar sewaktu
menjalankan eksperimen?
4. Adakah terdapat hubungan antara tahap kepuasan pelajar sewaktu menjalankan
eksperimen dan persekitaran pembelajaran makmal Kimia.

1.6

HIPOTESIS KAJIAN
1. Faktor kemudahan di dalam makmal mempengaruhi tahap kepuasan pelajar sewaktu
melakukan eksperimen.
2. Faktor keselamatan di dalam makmal mempengaruhi kepuasan pelajar sewaktu
menjalankan eksperimen.
3. Kerjasama dalam kumpulan mempengaruhi kepuasan pelajar sewaktu menjalankan
eksperimen.
4. Terdapat hubungan antara tahap kepuasan pelajar sewaktu menjalankan eksperimen
dan persekitaran pembelajaran makmal Kimia.

1.7

KERANGKA TEORI/KONSEP

Miles dan Huberman (1994) mendefinisikan kerangka konsep sebagai penceritaan atau
pernyataan, yang menerangkan perkara dan subjek utama mengenai sesuatu kajian yang ingin
dijalankan. Ianya menerangkan tentang perancangan yang teliti sebelum sesuatu kajian itu
dilaksanakan oleh penyelidik. Melalui kerangka konsep ini, ia dapat menjelaskan secara
keseluruhan proses yang ingin dijalankan oleh penyelidik dalam mengkaji tahap kepuasan
pelajar Tingkatan Lima sewaktu menjalankan eksperimen di dalam makmal persekitaran
pembelajaran makmal Kimia.
Persekitaran Fizikal

Dapat menyiapkan
eksperimen dengan
baik dan dalam
tempoh masa yang
ditetapkan.

Peralatan makmal
yang mencukupi

Keselamatan di
dalam makmal

Persekitaran Psikososial

Guru yang
mengajar

Minat terhadap
Kimia

Pemahaman
dalam kelas

Kerjasama dalam
kumpulan

Kepuasan Pelajar

Rajah 1: Kerangka Kerja Konsep

1.8

DEFINISI KONSEP DAN OPERASI PEMBOLEH UBAH KAJIAN

Menurut Gay dan Airasian (2000) pemboleh ubah didefinisikan sebagai suatu konsep yang
dikaji oleh pengkaji iaitu ciri atau faktor yang terdapat dalam sesuatu penyelidikan. Malahan,
ianya juga berubah-ubah sama ada dari segi kuantiti atau kualiti. Terdapat hubungan antara
pemboleh ubah yang terlibat dalam sesuatu keadaan yang mana mempunyai setiap fungsi
yang berbeza. Pemboleh ubah tidak bersandar dalam kajian ini ialah persekitaran
pembelajaran makmal Kimia. Manakala, pemboleh ubah bersandar ialah tahap kepuasan
pelajar sewaktu proses eksperimen di dalam makmal kimia.
Definisi konsep merupakan penjelasan terhadap istilah yang digunakan mengikut maksud
yang sesuai berkaitan kajian yang ingin dijalankan. Manakala, definisi operasi pula adalah
bermaksud maklumat keseluruhan yang ditulis secara umum berkaitan dengan kajian yang
boleh diguna pakai untuk menjawab persoalan kajian dan dalam pengumpulan data
(Muhammad Affan, 2010). Contoh definisi konsep dalam kajian ini adalah seperti berikut:

Makmal

Tempat untuk membuat percubaan atau penyelidikan segala sesuatu yang


berkaitan ilmu sains (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2013)

Kepuasan

Perasaan gembira apabila dapat mencapai sesuatu (Kamus Dewan Edisi


Keempat, 2013)

Eksperimen

Kaedah saintifik yang dijalankan untuk membuktikan kebenaran sesuatu


teori (Oxford Advanced Learner's Dictionary, 8th Edition, 2010)

Anda mungkin juga menyukai