Anda di halaman 1dari 18

Aplikasi Ijtihad Kontemporari Dalam Menangani Isu-isu Halal Semasa

* Mohd Anuar Ramli & **Mohammad Aizat Jamaludin


*

**

Pensyarah, (PhD), Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Pegawai Penyelidik Sosial, Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia.

Abstrak
Artikel ini memfokuskan terhadap aplikasi ijtihad kontemporari dalam
menangani isu halal semasa. Dewasa ini, isu kepenggunaan atau halalharam sering dibincangkan dalam media massa mahupun media cetak.
Pelbagai isu baharu timbul kesan perkembangan sains dan teknologi yang
pesat. Hal ini menjadi titik tolak kepada keperluan ijtihad kontemporari
dalam menangani persoalan baharu dalam masyarakat Islam. Sehubungan
dengan itu, artikel ini membincangkan tentang aplikasi ijtihad
kontemporari dalam menangani isu halal-haram semasa, misalnya dalam
isu sembelihan serta isu berkaitan arak dan alkohol. Isu-isu berkenaan
wajar ditangani sama ada dalam bentuk penyelesaian secara individu
(ijtihad fardi) ataupun secara kolektif (ijtihad jama`i) dengan gabungan
ulama dan pakar dari bidang berkaitan. Pendekatan ini bagi memastikan
penyelesaian dapat dilaksanakan secara tepat lagi holistik. Hasil kajian
mendapati isu-isu berkenaan dapat diatasi dengan bantuan keilmuan
semasa kesan pelaksanaan ijtihad kontemporari. Dengan itu, ijtihad
kontemporari adalah relevan dan satu keperluan masa kini bagi menangani
isu halal-haram yang timbul, dan dengan itu kegusaran pengguna Muslim
dapat dihindari.
Kata kunci:

halal haram, kepenggunaan, holistik, sains dan teknologi,


ijtihad kontemporari

Pengenalan
Keperluan kepada ijtihad kontemporari bagi masyarakat Islam sekarang ini sudah
berada pada tahap yang mendesak, kegagalan memenuhi keperluan ini boleh
menyebabkan banyak agenda kemajuan masyarakat menjadi terbengkalai dan
pengaruh hukum Islam dalam masyarakat akan bertambah pudar. Bagi
memenuhi keperluan ini pihak yang berkenaan perlu memikul tanggungjawab
sewajarnya bagi menjamin reformasi hukum Islam berlaku dengan sempurna.
Era kemajuan yang dialami oleh masyarakat Islam oleh dunia kini telah
menimbulkan banyak persoalan baharu dalam pelbagai aspek atau bidang
1

kehidupan. Ia bukan sahaja mencabar warisan tradisi masyarakat dan agama,


tetapi juga nilai hidup kontemporari. Kemajuan ini telah mengakibatkan
perubahan yang ketara dalam banyak perkara sama ada dari segi fizikal atau
material dan juga dari segi moral serta spiritual. Secara umumnya, kebanyakan
persoalan baharu ini tidak pernah ada pada waktu hukum Islam disimpulkan
dalam kitab-kitab fiqh klasik. Ia benar-benar bersifat kontemporari dan juga tidak
pernah diketahui oleh para fuqaha terdahulu, malah sesetengahnya mungkin
tidak pernah terfikir oleh mereka akan terjadi.
Dewasa ini pelbagai isu berkaitan halal-haram dibincangkan oleh para
sarjana hukum Islam.1 Di antara isu tersebut adalah penggunaan perkakas
pinggan mangkuk berasaskan serbuk tulang haiwan (bone ash) yang diperbuat
daripada serbuk tulang babi, makanan terubahsuai secara genetik melibatkan
pemindahan gen-gen yang halal dan juga tidak halal sama ada dari haiwan dan
juga tanaman, penggunaan vaksin biothrax dan vaksin rotateq yang menggunakan
unsur babi, penggunaan Pneumatic Percussive Stunning dalam sembelihan lembu
dan binatang halal, kaedah thoracic sticking dalam sembelihan haiwan,
penggunaan electrical stunning dalam penyembelihan lembu, penggunaan
bakteria yang diambil daripada najis bayi sebagai agen pemangkin dalam
yogurt, penyuntikan hormon FSH-P tersebut kepada binatang ternakan yang
halal untuk tujuan pembiakan, penggunaan alkohol dalam produk minuman,
makanan, pewangi dan ubat-ubatan, pemprosesan wine vinegar yang dicampur
dengan bahan-bahan sintetik, ternakan ikan yang diberi makanan najis dan
kotoran bersumberkan khinzir serta organnya, penternakan ayam yang diberi
makanan

dan

suntikan

hormon

bersumberkan

khinzir

untuk

tujuan

menggemukkan, penggunaan new water daripada sisa kumbahan yang dirawat


dan diproses kembali sebagai air bersih dan seumpamanya.
Kepelbagaian isu yang timbul ini adalah kesan langsung daripada
perkembangan sains dan teknologi. Hasilnya, lahir beberapa isu kepenggunaan
1

Shahidan Shafie (2004), Halal & ScienceIssues & Challenges, (Kertas kerja Persidangan
Kebangsaan Sains, Teknologi dan Masyarakat pada 10-11 Disember 2004, Jabatan Pengajian Sains
dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Kuala Lumpur).

yang dahulunya tidak dibincangkan secara terperinci oleh sarjana hukum Islam
klasik. Dinamisme sains dan teknologi ini memberi kesan terhadap perubahan
hukum Islam dan ketepatan hukum dan dibuat dengan lebih efektif. Hakikat ini
ditegaskan oleh Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid yang mana aplikasi syariah Islam
dalam sejarah membuktikan kemungkinan boleh dilakukan pembaharuan
hukum berdasarkan berlakunya perubahan masa dan tempat. Adalah diakui
bahawa pandangan para sarjana hukum Islam zaman keemasan merupakan
kemuncak pemikiran hukum Islam yang tinggi nilainya. Namun ketinggian itu
tidak boleh menjadi alasan untuk mengekalkannya sebagai kemuncak bagi setiap
zaman dan dalam semua keadaan. Apa pun juga nilainya, pandangan dan fatwa
mereka masih terikat dengan hakikat sebagai hasil pemikiran manusia yang
tertakluk kepada pengaruh masa dan tempat. Tidak seperti wahyu yang
kebenarannya mutlak dan abadi.2
Ijtihad Kontemporari dan Peranannya dalam Pembinaan Hukum Islam
Al-Amidi menghuraikan ijtihad sebagai pengerahan seluruh kemampuan mujtahid
dalam mencari hukum-hukum syariat yang bersifat zanni (diduga kuat kebenarannya)
sehingga ia merasa tidak sanggup lagi mencari tambahan kemampuan untuk hal itu.3
Dengan demikian dalam berijtihad harus ada unsur-unsur berikut: 1) Usaha
mengerahkan seluruh kemampuan rasional semaksimum mungkin dan 2)
Tujuannya untuk menghasilkan hukum yang zanni, sifatnya amaliah, bukan
masalah akidah. Ijitihad kontemporari dapat dijelaskan sebagai usaha dengan
mencurahkan seluruh tenaga dan kemampuan berfikir untuk mencari solusi
hukum terhadap pelbagai persoalan baharu yang timbul masa kini dengan
mengambilkira realiti perubahan sosio-budaya di samping latar belakang
keilmuan semasa. Ijtihad ini selain melibatkan isu-isu baharu timbul, ia juga

Mahmood Zuhdi Hj. Ab. Majid (2001), Hukum Islam Semasa Bagi Masyarakat Malaysia yang
Membangun, dalam Abdul Karim Ali & Raihanah Hj. Azahari (eds.), Hukum Islam Semasa Bagi
Masyarakat Malaysia yang Membangun. c. 2, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam, h. 10.
Al-Amidi (t.t.), al-Ihkm f Ushl al-Ahkm. Kaherah: Muassasah al-Halabi.

merangkumi isu-isu lama yang diberikan interpretasi baharu sesuai dengan


perkembangan zaman.4
Menurut

al-Qaradawi,

terdapat

dua

bentuk

ijtihad

yang

boleh

diaplikasikan pada masa kini. Pertama, al-Ijtihad al-Intiqai () , iaitu


ijtihad komparatif selektif dengan meneliti kembali (re-ijtihad) hasil ijtihd
sarjana hukum Islam terdahulu berserta dalil-dalilnya yang terdapat warisan
fiqh klasik, membuat perbandingan antara satu sama lain, kemudian memilih
pendapat yang lebih kuat (tarjih). Kriteria yang digunakan dalam memilih
pendapat yang kuat termasuklah:
i. Pendapat tersebut hendaknya lebih sesuai dengan kehidupan orang zaman
sekarang.
ii. Pendapat tersebut hendaknya lebih banyak memberikan rahmat bagi umat
manusia.
iii. Pendapat tersebut hendaknya lebih dekat kepada kemudahan yang diberikan
syariat.
iv. Pendapat tersebut lebih utama dalam mewujudkan syariat, memberikan
kemaslahatan bagi makhluk dan menjauhkan mereka dari kerosakan.5

Bentuk kedua adalah ijtihd insyai () , iaitu ijtihad konstruktif


inovatif, dengan menetapkan hukum atas berbagai masalah baharu yang tidak
pernah diketahui oleh sarjana hukum Islam terdahulu kerana belum wujud lagi
permasalahan tersebut pada zaman silam, atau dalam masalah lama tetapi
sarjana hukum Islam kontemporari mempunyai pendapat baharu yang belum
pernah dikemukakan oleh ulama-ulama terdahulu.6
Dalam ijtihad bentuk yang kedua, penguasaan terhadap pengetahuan
baharu berkaitan persoalan tersebut, di samping pengetahuan yang menjadi
persyaratan ijtihad itu sendiri adalah signifikan. Untuk itu, ijtihad jamai atau
4

Ruqayyah Taha Jabir Al-Alwani (2003), Athar al-Urf fi Fahm al-Nusus: Qadaya al-Marah
Anmuzajan. Beirut: Dar al-Fikr al-Muasir.
Yusuf al-Qaradawi (1985), al-Ijtihad fi al-Syariah al-Islmiyah maa Nazharat Tahliliyah fi al- Ijtihad
al-Muasir. Kuwait: Dar al-Qalam.
Ibid.

kolektif sangat diperlukan. Ini kerana keterbatasan pengetahuan seseorang


seiring dengan semakin ketatnya pengkhususan disiplin ilmu pada masa kini,
menjadikan ijtihad fardi atau individu dilihat kurang relevan.7 Sebagai contoh,
dalam isu pemindahan organ manusia. Sukar bagi sarjana hukum Islam untuk
menetapkan hukum dengan tepat tanpa bantuan daripada pakar perubatan.
Sarjana hukum Islam perlu mendengar dahulu pendapat pakar dalam bidang
perubatan, khususnya pakar bedah informasi mengenai cara dan mekanisme
pemindahan organ manusia. Setelah diketahui secara jelas prihal pemindahan
organ, baharu dimulai perbahasan dari disiplin usul al-fiqh untuk ditetapkan
hukumnya. Justeru, ijtihad kolektif pada masa kini lebih relevan dan signifikan
selaras dengan perkembangan kontemporari, seiring dengan pembidangan serta
pengkhususan ilmu semasa.8
Walaupun wujud perbezaan dengan pendapat sarjana hukum Islam
terdahulu, atau bertentangan sekalipun, ia tidak menjadi masalah kerana tiada
larangan bahawa hasil ijtihd yang terkemudian tidak boleh bertentangan
dengan hasil ijtihd sarjana hukum Islam terdahulu. Lebih-lebih lagi hasil ijtihad
tidak dapat dibatalkan oleh hasil ijtihad yang lain, masing-masing diamalkan
sesuai dengan masa dan kodisinya. Keadaan ini selari dengan kaedah fiqh:

Ertinya:
Ijtihad tidak boleh dibatalkan oleh ijtihad yang lain.

Namun begitu, tidak semua khazanah peninggalan ulama terdahulu


diketepikan dan dibuang begitu sahaja. Apa yang perlu dibuat ialah menampung
kelompangan yang masih terdedah kepada perubahan, menyumbi di mana
tempat yang perlu ditambah, membuang dan menggantikan di mana tempat yang
sudah dianggap lapuk, memelihara mana yang boleh dibuat perbendaharaan

Al-Qaradawi, Yusuf (2004), Awamil al-Saah wa al-Murunah fi al-Syariah al-Islamiyyah. c. 4,


Kaherah: Maktabah Wahbah.
Ibid.

klasik kemudian dijadikan koleksi yang amat bernilai untuk dirujuk dan dijadikan
panduan. Ia boleh dilakukan tanpa ifrat dan tafrit,9 di samping boleh
menggunakan prinsip:

Ertinya:
Memelihara perbendaharaan lama yang baik (masih relevan) dan
dalam masa yang sama mengambil sesuatu yang baharu lebih baik.10
Lantaran itu dalam usaha menghidupkan ijtihad kontemporari hendaklah
kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah bagi memahami khitab Allah yang dapat
dipisahkan kepada dua. Pertama, dengan menumpang segala kaedah dan
metodologi yang telah digunakan oleh para fuqaha dahulu dan juga menambah
kaedah-kaedah baharu dalam metodologi kajian dengan penemuan kaedah
terbaharu

dan

mengemaskinikan

pentarjihan

berdasarkan

kajian

yang

menyeluruh terhadap ilmu usul al-fiqh. Dengan ini segala konsep fiqh telah
menjadi semasa dari akar umbi hingga kepada cabangnya. Perlu dijelaskan akar
umbi di sini ialah hanya bermaksud dalam ruang lingkup fiqh yang bukannya
wahyu atau syariah yang bersifat muqaddas, thabat dan sebagainya. Begitu juga
fiqh semasa bukan bererti merombak segala metode yang telah tersusun rapi
mengikut status dan kekuatannya, ia hanyalah sebagai bahan perasa tambahan
dalam menu baharu.
Penilaian kembali kefahaman atau fiqh terdahulu yang merupakan
perbendaharaan yang amat bernilai dengan mengambilkira segala bidang
keilmuan yang tidak terbatas kepada bidang agama sahaja, bahkan melibatkan
bidang bidang sains dan teknologi khususnya disiplin biologi, kimia, fizik,
matematik dan lain-lain. Termasuk juga nilai intelektual (seperti nilai-nilai
psikologi, sejarah, politik, ideologi dan lain-lain) serta realiti hidup masyarakat
Yusuf al-Qaradawi (2004), Kayfa Nataamal Maa al-Turath wa al-Tamadhhab wa al-Ikhtilaf. c. 2,
Kaherah: Maktabah Wahbah.
10 Akh. Minhaji (2005), Otoritas, Kontinyuitas, dan Perubahan dalam Sejarah Pemikiran Ushul
al-Fiqh, dalam Amir Muallim & Yusdani, Ijtihad dan Legislasi Muslim Kontemporer. Yogyakarta:
UII Press.
9

sama ada dalam masalah sosio-ekonomi, kebudayaan, interaksi sosial dan


sebagainya. Ini kerana adalah penting menentukan hukum berasaskan kepada
world view semasa.
Dalam membentuk ijtihad kontemporari, para sarjana hukum Islam
hendaklah berada dalam kerangkanya yang sebenar. Iaitu dengan memahami
konsep semasa yang kontemporari dari akar umbinya hingga ke pucuknya.
Bukannya mencanangkan pandangan fuqaha secara luarannya sahaja dengan
tidak melibatkan fungsi asasnya sebagaimana yang dinamakan oleh Mahmood
Zuhdi sebagai perubahan secara kosmetik.11 Sebagai kesimpulan, ijtihad
kontemporari lebih melihat kepada faktor peredaran zaman yang menjadi sebab
perlunya keanjalan pemahaman terhadap data pasang siap. Penyelesaiannya
berasaskan realiti semasa dan diselesaikan oleh para ulama semasa yang
merangkumi seluruh dunia Islam.
Justeru, peranan ijtihad adalah besar sekali dalam Syariah Islam kerana ia
bukan sahaja dalam masalah pembinaan hukum Islam malahan dalam
pelaksanaan hukum Islam yang telah sedia ada. Oleh kerana pembinaan hukum
yang berasaskan ijtihad itu sifatnya relatif maka kerana itu proses ijtihad terus
diperlukan bagi menyemak semula sesuatu hukum yang bersifat relatif.
Mungkin kerana latar belakang yang mendasari sesuatu hukum itu telah
berubah.12 Maka ijtihad inilah yang memberi ruang kepada masyarakat untuk
menilai perkara-perkara baharu yang berkembang dalam masyarakat sama ada
bercanggah atau tidak dengan kehendak hukum Islam. Ini kerana nas-nas adalah
terhad, manakala peristiwa yang berlaku adalah tidak terbatas.13 Jadi proses
ijtihad dapat dilaksanakan sama ada secara individu atau kolektif.

Mahmood Zuhdi Hj. Ab. Majid (2001), op cit. h. 5.


Faisal Othman (1997), Islam Dan Perkembangan Masyarakat. Kuala Lumpur: Utusan Publications.
13 Ab. Halim El-Muhammady (1998), Peranan Pusat Pengajian Tinggi Ke Arah Pelaksanaan
Undang-undang Islam Di Malaysia, dlm Mahmood Zuhdi Abdul Majid, ( ed.), Ke Arah
Merealisasikan Undang-undang Islam di Malaysia. Selangor : Thinkers Library.
11
12

Isu-isu Produk Halal Dalam Fiqh Kontemporari

Polemik berkaitan dengan isu produk halal merupakan di antara perkara penting
yang sering dibincangkan dan tiada penghujungnya.14 Ia bukan sahaja
melingkari kehidupan komuniti Islam malah masyarakat dunia secara
keseluruhannya. Apatah lagi isu produk halal menyentuh pelbagai aspek
rantaian penghasilannya (halal products chain), bermula dari ladang sehingga ke
meja makan (from farm to fork).15
Dewasa ini, timbul beberapa isu dalam produk halal semasa. Hal ini
kerana dengan perkembangan sains dan teknologi, beberapa penemuan baru
yang lebih saintifik dapat dibuktikan dengan lebih tepat dan berkesan terhadap
persoalan yang timbul.16 Di antara isu tersebut adalah polemik berkaitan dengan
penyembelihan halal, penggunaan alkohol dalam produk makanan dan
minuman serta status haiwan al-Jallalah.
1. Isu penyembelihan halal
Umumnya, penghasilan produk makanan di Malaysia sentiasa meningkat dari
hari ke hari. Keupayaan industri makanan dalam menghasilkan pelbagai jenis
produk makanan telah memangkin serta mencorakkan pertumbuhan ekonomi
negara ke suatu tahap yang membanggakan. Walaupun begitu dalam
kerancakan tersebut, para pengguna khususnya umat Islam perlu berhati-hati

Lokman Ab. Rahman (2009), Isu Halal Tiada Penghujungnya. Melaka: Alambaca, hh. xii-xiv.
Muhammad Umar Chand (2003), Halal & Haram : The Prohibited and The Permitted Foods & Drinks
According to Jewish, Christian And Muslim Scriptures. edisi 4, Kuala Lumpur: A. S. Noordeen.
16 Nurrulhidayah Ahmad Fadzlillah, Yaakob Che Man, Mohammad Aizat Jamaludin, Suhaimi Ab
Rahman dan Hassan A. Al-Kahtani (2011), Halal Food Issues from Islamic and Modern Science
Perspectives, dlm. 2011 2nd International Conference on Humanities, Historical and Social Sciences,
vol. 17, Singapore: IACSIT Press, hh. 159-163; Ramin Jorfi, Shuhaimi Mustafa, Yaakob B Che
Man, Dzulkifly B Mat Hashim, Awis Q Sazili, Abdoreza Soleimani Farjam, Leila Nateghi dan
Pedram Kashiani (2012), Differentiation of Pork From Beef, Chicken, Mutton and Chevon
According to Their Primary Amino Acids Content for Halal Authentication, African Journal of
Biotechnology. 11 (32), hh. 8160-8166.
14
15

dalam pemilihan produk makanan yang terjamin halal dan bersih (tayyiban)
daripada sebarang elemen yang meragukan.17
Di antara aspek yang sering dibincangkan oleh para sarjana hukum Islam
adalah berkaitan isu sembelihan. Ia melibatkan haiwan yang disembelih tidak
putus urat, mati sebelum disembelih, penggunaan alatan sembelihan yang tidak
tajam dan persekitaran sembelihan yang kotor. Selain itu, terdapat juga isu
penyembelih yang bukan Islam menyembelih untuk orang Islam, haiwan yang
disembelih tidak cukup sifat, tidak memperolehi sijil tauliah sembelihan
daripada

pihak

berkuasa

dan

penggunaan

alatan

teknologi

dalam

penyembelihan semasa.18
Sembelihan pada zaman dahulu kebiasaannya dilakukan secara manual
tanpa melibatkan penggunaan alatan canggih. Namun begitu, perkembangan
sains dan teknologi telah memperkenalkan beberapa metode baru yang
bertujuan untuk membantu proses penyembelihan dapat dilakukan dengan lebih
pantas dan berkesan.19 Ini juga berasaskan keadaan kapasiti pengeluaran haiwan
dahulu yang tidak begitu banyak permintaannya sebagaimana sekarang.
Misalnya, bagi sebuah rumah sembelihan seperti Ayamas Food Corporation Sdn.
Bhd. di Malaysia, purata pengeluaran ayamnya hampir 70,000-80,000 ekor sehari.
Begitu juga dengan peningkatan permintaan haiwan-haiwan lain seperti lembu,
dan kambing.
Selaras dengan itu, penggunaan teknologi seperti stunning dan thoracic
sticking diperkenalkan untuk membantu pihak pengeluar rumah sembelih
mampu memenuhi permintaan pasaran yang semakin menggalakkan.20
Berasaskan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia pada bulan Mac tahun 2006,
penggunaan stunning yang dibenarkan hanyalah kepada pneumatic percussive
Al-Tarifi, Abd Allah bin Muhammad bin Ahmad (1992), al-Idtirar ila al-Atimah wa al-Adawiyah
al-Muharramah. Riyad: Maktabah al-Maarif.
18 Yaakob Che Man dan Awis Qurni Sazili (2010). Food Production from Halal Perspective. In
Handbook of Poultry Science and Technology, Primary Processing, (eds.) Isabel Guerrero-Legarreta,
John Wiley & Sons, hh. 183-205.
19 Ibid.
20 Khadijah Nakyinsige, Yaakob Che Man dan Awis Qurni Sazili (2012). Authenticity Issues in
Meat And Meat Products. Meat Science. 91 (3). hh. 207-214.
17

stunning dalam penyembelihan lembu dan binatang halal seumpamanya dengan


disyaratkan ia tidak merosakkan tengkorak haiwan tersebut serta haiwan itu
mati disebabkan sembelihan yang sempurna (e-fatwa).21 Selain itu, terdapat juga
fatwa tahun sebelumnya pada 29 September 2005 yang mengharuskan
penggunaan air stunning (pelalian angin), electrical stunning (pelalian elektrik
termasuk berasaskan air) dan gas stunning (pelalian gas). Untuk kategori stunning
ini, penggunaannya perlu dikawal arus yang dialirkan mengikut kategori
haiwan dan saiznya.22
Walaupun begitu, penggunaan teknologi ini juga menimbulkan keraguan
apabila tidak dilaksanakan mengikut Syariat Islam seperti yang digariskan di
dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Keraguan ini timbul apabila
penggunaan kaedah stunning seperti penetrative captive bolt dan non-penetrative
captive bolt atau disebut sebagai mushroom head stunner yang digunakan telah
menyebabkan keretakan kepada tengkorak haiwan sebelum disembelih.
Stunning atau hentakan yang tujuan asal diberikan adalah untuk pelalian
berubah menjadi satu proses kematian segera kepada haiwan.23
Oleh yang demikian, sehingga kini belum ada fatwa terbaru di Malaysia
yang melarang penggunaan stunning jenis ini yang telah menyebabkan keretakan
otak dan kesakitan kepada haiwan. Namun begitu, beberapa kajian semasa telah
dijalankan oleh para penyelidik daripada Institut Penyelidikan Produk Halal
dengan kerjasama Dr Mohamed Lutfi daripada University Of Queensland,
Australia di lapan buah pusat penyembelihan dalam masa 20 bulan pada tahun
2003 hingga 2004 mendapati bahawa 80% - 95% haiwan yang dikaji mengalami

www.e-fatwa.gov.my. Penggunaan Pneumatic Percussive Stunning Menurut Pandangan


Islam. Diambil pada 5 Oktober 2012.
22 Ibid.; MS1500:2009, Halal Food - Production, Preparation, Handling and Storage - General Guidelines
(Second Revision), Cyberjaya: Department of Standards Malaysia.
23 Tempel Grandin. (2005). Maintenance of good animal welfare standards in beef slaughter plants
by use of auditing programs. Journal Am. Vet. Med. Assoc. 226: hh. 370-373. Lihat juga
www.grandin.com.
21

10

keretakan dan pecah tengkorak dan 5% - 20 % mengalami lekukan di


tengkorak.24
Selain itu, terdapat juga isu berkaitan dengan penggunaan thoracic sticking
yang merupakan prosedur tambahan selepas penyembelihan lengkap dilakukan.
Isu ini timbul apabila kaedah ini dilakukan sebelum penyembelihan tersebut
berlaku dengan sempurna. Praktikalnya, bagi haiwan besar seperti lembu yang
telah disembelih, teknik ini dilakukan dengan memotong urat utama sekitar
jantung dengan menggunakan pisau. Ia bertujuan mempercepat aliran darah
dengan memutuskan brachio cephalic trunk atau bicarotid trunk dan tidak bertujuan
untuk menikam jantung haiwan. Berasaskan hal ini, fatwa juga telah
memutuskan thoracic sticking dibenarkan selagi memenuhi panduan yang
digariskan. Ini bagi memastikan penggunaan kaedah ini yang kebanyakannya
dilakukan di rumah-rumah sembelihan di luar negara seperti New Zealand dan
negara-negara Eropah memenuhi kehendak Syariah.25
Di antara panduan tersebut adalah seperti berikut:26
1.

Telah berlaku sembelihan yang sempurna (iaitu telah putus keempat-empat


urat Mari', haklum dan wadajain);

2.

Kaedah tersebut dijalankan selepas berlaku pendarahan sempurna (complete


bleding) atau selepas 30 saat penyembelihan berlaku;

3.

Binatang tersebut disahkan mati akibat sembelihan dan kaedah hanya sekadar
membantu mempercepatkan kematian; dan

4.

Kaedah ini perlu dikawal selia oleh petugas muslim yang bertauliah.

Berdasarkan fatwa yang sedia ada, fatwa telah mensyaratkan thoracic


sticking boleh dilaksanakan selepas 30 saat penyembelihan. Hal ini berdasarkan
ijtihad para mufti pada ketika itu bagi memberikan ruang waktu di antara masa
penyembelihan dan pendarahan berlaku. Melalui kajian semasa yang dilakukan

Ibid.
www.thestar.com.my, Diambil pada 14 April 2007.
26
www.e-fatwa.gov.my. Kaedah Thoracic Stiking Dalam Sembelihan Haiwan. Diambil pada 5 Oktober
2012.
24
25

11

oleh para penyelidik Institut Penyelidikan Produk Halal, UPM, tempoh masa 30
saat selepas penyembelihan tersebut adalah masa yang ideal diperlukan bagi
memastikan haiwan tersebut sempurna disembelih.27 Ia bertujuan memastikan
haiwan itu tidak mati kerana tikaman kali kedua sebaliknya kaedah thoracic
sticking hanya prosedur tambahan selepas sembelihan kali pertama dilakukan.28
Dalam tempoh tersebut, haiwan seperti lembu juga akan hilang kesedarannya
manakala sebilangan daripada lembu yang lain akan hilang sehingga tempoh
masa 45 saat. Sedangkan kambing hanya memerlukan masa 20 saat.29
Dalam

industri

penyembelihan,

kebiasaannya

haiwan

yang

tidak

memenuhi syarat halal atau ditolak (reject) juga akan diletakkan di dalam bekas
berwarna dan ditandakan sama ada melalui tag dan label Non-halal atau
dipotong kaki sebelah serta diwarnakan dengan pewarna yang meresap ke
dalam daging haiwan tersebut. Ini adalah salah satu bentuk ijtihad semasa dalam
menangani manipulasi sesetengah pihak yang ingin mengaut keuntungan
melalui jalan pintas dengan menjual hasil sisa haiwan yang ditolak kepada
pasaran awam. Sedangkan sumber perolehannya meragukan dan dijual dengan
harga yang murah.

2. Isu alkohol atau arak


Kebiasaannya, alkohol atau arak merupakan antara bahan yang digunakan
sebagai bahan tambah dalam produk minuman dan makanan. Saban tahun,
timbul pelbagai isu berkaitan alkohol dalam masyarakat Islam di Malaysia.
Antaranya, penggunaan alkohol dalam pembuatan kek dan pastri, iaitu sebagai
agen penaik dan pengilat.30 Pada awal tahun 2010, akhbar telah melaporkan isu
produk minuman ringan mengandungi alkohol melebihi kadar yang dibenarkan,

Yaakob Che Man (2010), op cit.


Mian N. Riaz & M. M. Chaudry (2004). Halal Food Production. Boca Raton, FL: CRC Press.
29 Yaakob Che Man (2010), op cit.
30 Yayan Sopyan (2007), Khamar Sebagai Bahan Campuran Dalam Makanan, dalam Ahkam :
Jurnal Ilmu-ilmu Syariah dan Hukum, vol. 9, Jakarta: Fakulti Syariah dan Hukum, Universitas
Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatulah, h. 81.
27
28

12

seperti malta, istak dan barbican.31 Pada tahun yang sama juga, timbul isu
penggunaan wain dalam masakan khususnya dalam penyediaan bufet
Ramadhan di hotel-hotel.32 Pada tahun 2011, isu berkaitan dengan alkohol
kembali dibincangkan yang mana whisky halal dikomersialkan. Ia dinamakan
sebagai Arkay.33
Selain itu, masyarakat juga masih keliru tentang perbezaan dari segi konsep
di antara alkohol dan arak. Secara asasnya, setiap arak itu mengandungi alkohol
tetapi bukan semua alkohol itu adalah arak. Setiap minuman atau makanan yang
melebihi kadar alkohol yang dibenarkan dianggap sebagai arak.
Berdasarkan keputusan semasa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, terdapat penambah baikan
dari segi ketetapan fatwa yang telah diputuskan.34 Fatwa terdahulu pada tahun
1984 dan 1988 berhubung dengan kadar alkohol dibenarkan dalam produk
minuman dan makanan tidak dijelaskan dengan terperinci.35 Keputusannya
adalah penggunaan alkohol tersebut tidak memabukkan dan hanya sedikit
sahaja. Oleh kerana keputusan bersifat umum ia telah menimbulkan polemik
dalam kalangan pengusaha industri halal untuk mengeluarkan produk keluaran
mereka. Malah ada sesetengahnya melebihi kadar yang dibenarkan semasa
walaupun ia tidak memabukkan.
Oleh itu, dengan bantuan pakar khususnya dalam bidang alkohol, kadar
alkohol yang lebih jelas telah ditentukan. Kajian saintifik seperti penggunaan
instrumen Kromatografi Cecair Berprestasi Tinggi (HPLC) serta Kromatografi

Barbican Masih Haram, Harian Metro, pada 31 Mei 2010; Bir halal jadi haram, Harian
Metro, pada 28 Mei 2010.
32 Juadah berbuka campur wine, Harian Metro, pada 31 Ogos 2010.
33 www.dailymail.co.uk, World's first 'halal whisky' made without alcohol goes on sale in time
for party season. Diambil pada 4 November 2011.
34 www.e-fatwa.gov.my, Alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan,
diambil pada 5 Oktober 2012.
35 Ibid. Alkohol menurut pandangan Islam, 1984 dan Alkohol sebagai penstabil minuman
ringan, 1988. Diambil pada 5 Oktober 2012.
31

13

Gas (GC) telah membantu mengesan kehadiran peratus alkohol dalam produk
makanan dan minuman dengan lebih tepat.36
Berikut adalah di antara keputusan fatwa kontemporari berkaitan isu alkohol
dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai
2011:37
1.

Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun


bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses
pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.

2.

Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak


hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk
aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

3.

Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk


menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah
harus (boleh) diminum.

4.

Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama
seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit
alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

5.

Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi


seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol
yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan
makanan

atau

minuman

adalah

tidak

najis

dan

harus

(boleh)

dimakan/diminum.
6.

Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang
mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh)
digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan
arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan
dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

A. Anis Najiha et al. (2010), A Preliminary Study on Halal Limits for Ethanol Content in Food
Products, dlm. Middle-East Journal of Scientific Research, (6) 1, hh. 45-50.
37 www.e-fatwa.gov.my, Alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan,
diambil pada 5 Oktober 2012.
36

14

7.

Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut


adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil
melalui proses pembuatan arak.

Hal ini jelas menunjukkan ijtihad semasa yang lebih praktikal dapat dijadikan
sebagai panduan dalam kalangan pengusaha industri halal dengan lebih
berkesan.

3. Isu haiwan al-Jallalah (coprophagous)


Salah satu isu berkaitan dengan penternakan haiwan masa kini adalah haiwan alJallalah. Al-Jallalah bermaksud haiwan yang diberi makan kotoran atau najis
secara berterusan semenjak kecil sehingga dewasa termasuklah lembu, kambing,
unta, ikan, ayam, itik atau jenis unggas lain seperti burung dan yang lainnya
daripada haiwan yang boleh dimakan.38
Menurut laporan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP),39 pada tahun
1999 timbul isu ternakan ikan yang diberi makanan kotoran bersumberkan sisa
daripada najis ayam dan khinzir. Begitu juga pada penghujung tahun 2004, isu di
Pulau Pinang terhadap ternakan ikan dan kerang yang dilaporkan berisiko
mengandungi bakteria E. Coli (Escherichia Coli). Hal ini kerana ternakan akuatik
tersebut dibesarkan dalam perairan laut yang bersumberkan najis dan kumbahan
manusia. Selain itu, sisa ini hasil daripada pengurusan kumbahan yang tidak
dirawat terlebih dahulu sebelum dialirkan ke laut, sungai atau tasik sehingga
mencemarkan air dan menyebabkan hidupan marin kawasan tersebut tidak
selamat dimakan.40
Diikuti pada awal tahun 2006, masyarakat Malaysia digemparkan oleh
akhbar-akhbar nasional berhubung ikan air tawar khususnya patin (Pangasius
Mohammad Aizat & Mohd Anuar Ramli (2011). Sumber Alternatif Penentuan Halal Haram
Produk Makanan dan Bukan Makanan, dlm. Suhaimi Ab Rahman dan Mohammad Aizat
Jamaludin (eds.), Halal Haram dalam Kepenggunaan Islam Semasa, Serdang: UPM Press.
39
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (2006). Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang : Halal
Haram. Pulau Pinang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang, h. 1-10.
40 Utusan Malaysia, pada 21 Disember 2004.
38

15

hypophthalmus) yang diternak di beberapa kawasan bekas lombong sekitar Batu


Gajah, Tronoh dan Papan di negeri Perak. Ternakan ikan air tawar ini telah
diberi makan organ khinzir. Begitu juga ternakan ikan air tawar yang lain seperti
ikan keli, talapia dan sebagainya.41 Oleh itu, ternakan ini juga boleh dianggap
sebagai haiwan al-jallalah.
Dalam Islam, status hukum haiwan al-Jallalah adalah haram berdasarkan
larangan hadis Nabi SAW terhadap mengambil manfaat dan penggunaan
haiwan al-jallalah. Sabda Rasulullah SAW:42

Maksudnya :
Rasulullah SAW melarang daripada makan daging himar ternakan dan
juga dilarang memakan haiwan al-jallalah sama ada menunggang dan
memakan dagingnya.

Hal ini disokong berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa


Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Berasaskan hasil
perbincangan di kalangan ahli jawatankuasa muzakarah, status kesucian ikan
yang diberi makanan kotoran adalah seperti berikut:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4-6 April 2006 telah
membincangkan status kesucian ikan yang diberi makanan tidak halal.
Muzakarah telah memutuskan bahawa ikan yang dipelihara di dalam kolam
ternakan dan seumpamanya adalah haram dimakan sekiranya ikan tersebut
sengaja dipelihara di dalam air najis atau sengaja diberi makan najis seperti
daging babi, bangkai atau sebagainya.

41
42

Harian Metro, pada 18 Januari 2006.


Muhammad Abd al-Rahman ibn Abd al-Rahim al-Mubarakfuri (1990). Tuhfat al-Ahwadhi bi
Syarh Jami al-Tirmidhi. Bab al-Atimah an Rasulillah, Kitab Ma Jaa fi Akli Luhumi al-Jallalah
wa Albaniha. hadis no. : 1884. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. hh. 549-550.

16

Namun demikian, status haiwan al-jallalah ini dapat berubah daripada


haram kepada halal apabila melakukan proses pengurungan (al-habs) atau
pengkuarantinan (istibra).43 Tujuan proses ini dilakukan untuk menyucikan
haiwan tersebut kepada halal. Tempoh pengkuarantinan tersebut berbeza
mengikut jenis, saiz dan keadaan haiwan. Misalnya 40 hari bagi unta, 30 hari
bagi lembu, 7 hari bagi biri-biri dan kambing serta 3 hari bagi ayam.44
Berdasarkan kajian saintifik berkaitan haiwan akuatik al-Jallalah yang
diberi makanan najis khinzir, tempoh minimum pengkuarantinan yang
dicadangkan adalah selama satu hari setengah. Hal ini kerana dalam tempoh
tersebut, organ atau najis bersumberkan khinzir hanya dapat berada dalam perut
ikan selama 36 jam, 6 jam dalam midgut dan kurang 2 jam dalam hindgut. Setelah
tempoh tersebut, najis atau organ dalaman daripada khinzir akan terurai sebagai
bahan perkumuhan.45 Justeru itu, dalam isu ini, ijtihad kontemporari perlu
dilaksanakan dengan segera berikutan dapatan baru dalam kajian saintifik
tersebut telah merubah status haiwan al-jallalah.

Kesimpulan
Dalam merekayasa fiqh berasaskan realiti semasa dan setempat, ijtihad
kontemporari wajar digerakkan sama ada dalam bentuk insyai mahupun intiqai,
jamai atau fardi. Usaha ini perlu dijana bagi menyelesaikan isu-isu baharu yang
timbul dalam masyarakat. Sejajar dengan itu, perkembangan sains dan teknologi
masa kini, ia telah memberi kesan yang mendalam terhadap hukum-hakam
berkaitan fiqh semasa. Jika dahulu, hukum yang diputuskan lebih berasaskan

Hal ni ditegaskan oleh al-Sanani di mana mengikut pendapat beliau najis al-Jallalah tidak
diboleh dicuci dengan dibasuh sahaja atau dimasak atau diletakkan rempah ratus supaya
hilang bau busuk tetapi ia hendaklah dikuarantin selama beberapa hari. Sila lihat Sheikh alImam Muhammad bin Ismail al-Amir al-Yamani al-Sanani. Subul al-Salam. Jilid 4. h. 153.
44 Salih b. Fauzan b. Abd Allah al-Fawzan (1988), al-Atimah wa Ahkam al-Soyd wa al-Zabaih.
Riyadh: Maktabah al-Ma arif, h. 75.
45 Wan Norhana, M.N., G.A. Dykes, B. Padilah, A.A. Ahmad Hazizi & A.R. Masazurah (2012),
Determination of Quarantine Period in African Catfish (Clarias Gariepinus) Fed with Pig
(Sussp.) Offal to Assure Compliance with Halal Standards, Food Chemistry, 135 (3), hh. 12681272.
43

17

tanggapan selepas melakukan pengamatan luaran (superficial observation).


Keadaan ini berbeza dengan realiti masa kini, apabila sains dan teknologi turut
membantu dalam proses melakukan pengesahan dengan lebih berkesan terhadap
produk makanan dan bukan makanan. Secara langsung, ia dapat menyelesaikan
persoalan halal-haram dengan lebih mudah, tepat lagi efisien.

18

Anda mungkin juga menyukai