Anda di halaman 1dari 23

BAB 6

PENGURUSAN KAKITANGAN DALAM


SISTEM KERAJAAN TEMPATAN

OBJEKTIF BAB
Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:
1.
Memahami proses dan sistem pengurusan kakitangan di
peringkat pentadbiran kerajaan tempatan di Malaysia.
2.
Mengenal pasti masalah dan kekangan yang berlaku
berkaitan dengan pengurusan kakitangan di peringkat kerajaan
tempatan di Malaysia.
3.
Menganalisis implikasi yang akan timbul kesan daripada
perubahan dasar kerajaan dalam perkhidmatan awam ke atas
kakitangan di peringkat kerajaan tempatan.
4.
Membincangkan kepentingan, sumbangan, fungsi dan
peranan setiap kakitangan kepada organisasi kerajaan
tempatan.
6.1

PENGENALAN

Kita telahpun membincangkan tentang struktur dan pentadbiran dalam


sistem kerajaan tempatan dalam Bab 5. Selain daripada jawatan Datuk
Bandar atau Yang Dipertua, kita juga telah membincangkan tentang
kedudukan Ahli-ahli Majlis, Jawatankuasa-jawatankuasa yang telah
ditubuhkan dan beberapa jabatan yang telah dibentuk dalam memastikan
perjalanan dan operasi unit-unit kerajaan tempatan dapat dilaksanakan
secara berkesan dan cekap serta produktif. Walaupun pihak-pihak yang
disebutkan di atas hanya anggota dalam unit-unit kerajaan tempatan dan
bukannya penjawat awam dalam unit-unit kerajaan tempatan, tetapi
terdapat satu kumpulan yang sangat penting dalam menggerakkan
pentadbiran dan pengurusan PBT iaitu para pegawai dan kakitangannya.
Oleh itu, di peringkat kerajaan tempatan soal pengurusan dan hal ehwal
pekerjanya adalah aspek yang sangat penting. Jadi, dalam Bab 6 ini kita
akan membincangkan pengurusan kakitangan di dalam sistem kerajaan
tempatan di Malaysia. Dalam erti kata lain, kita akan membincangkan
aspek pengurusan sumber manusia di peringkat kerajaan tempatan. Perlu
diingat bahawa aspek pengurusan sumber manusia itu adalah perkara
117

yang sangat penting dalam mana-mana organisasi sama ada dalam sektor
awam atau swasta. Jadi, untuk menguruskan aspek sumber manusia
dalam mana-mana organisasi, maka satu unit atau jabatan khas
diwujudkan yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Jabatan Personel,
Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran dan Sumber Tenaga
Manusia dan lain-lain yang juga secara langsung menguruskan
keseluruhan sumber manusia dalam organisasi berkenaan.
Apabila kita membincangkan tentang pengurusan sumber manusia,
secara umumnya ia membabitkan beberapa proses seperti wujudnya
kekosongan sesuatu jawatan dan keperluan tenaga kerja yang baru,
pengiklanan,
pengambilan,
pemilihan,
perlantikan,
latihan,
pembangunan, disiplin, penilaian prestasi dan sebagainya sehingga ke
peringkat persaraan. Semua proses ini berlaku di peringkat kerajaan
tempatan. Persoalannya, adakah proses pengurusan kakitangan di
peringkat kerajaan tempatan sama ataupun berbeza dengan agensi-agensi
kerajaan yang lain di Malaysia? Persoalan inilah yang akan kita
bincangkan dalam sub-sub topik yang berikut.
6.2

PELANTIKAN ANGGOTA DAN KAKITANGAN


DALAM SISTEM KERAJAAN TEMPATAN

Seperti apa yang telah disebutkan di atas, dalam mana-mana organisasi


telah diwujudkan satu unit atau jabatan atau bahagian yang akan
bertanggungjawab dan berperanan dalam soal pengurusan kakitangan
atau ringkasnya sumber manusia. Begitu juga keadaannya dengan apa
yang berlaku dalam unit-unit kerajaan tempatan. Lazimnya Jabatan
Pentadbiran ataupun Jabatan Pengurusan Sumber Manusia dalam manamana PBT akan bertanggungjawab dalam pengambilan pegawai dan
kakitangan serta merekodkan surat menyurat dan fail-fail yang berkaitan.
Di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), soal pengurusan sumber manusia atau
personel diuruskan oleh Jabatan Urus Setia. Jabatan Urus Setia inilah
yang akan menguruskan soal pentadbiran seperti merancang beberapa
aktiviti di peringkat Majlis. Dalam soal personel, Jabatan Urus Setia MBI
ini juga bertanggungjawab dalam merancang keperluan guna tenaga
untuk mengambil pegawai dan kakitangan baru. Selain itu, jabatan ini
juga tanggungjawab dalam soal menyelenggara kes-kes disiplin dan
tatatertib serta soal kenaikan pangkat di kalangan pengawai dan
kakitangan Majlis.
Perlu diingat bahawa unit-unit kerajaan tempatan atau penguasa
tempatan merupakan agensi di peringkat tempatan. Dalam erti kata lain,
kerajaan tempatan merupakan agensi ataupun birokrasi awam di
peringkat tempatan (bawahan) yang melaksanakan program-program dan
dasar-dasar kerajaan sama ada dasar kerajaan negeri mahupun dasar
118

kerajaan persekutuan.
Oleh itu, segala urusan kakitangan yang
dikategorikan sebagai penjawat awam di dalam sistem kerajaan tempatan
adalah tertakluk kepada perundangan, peraturan, prosedur dan dasardasar kerajaan berkaitan dengan proses pengambilan, pelantikan,
kenaikan pangkat, pembangunan kakitangan dan sebagainya sehingga ke
peringkat persaraan apabila mencapai usia 56 tahun.
Soal pengurusan dan pentadbiran kakitangan (pegawai dan pekerja) di
peringkat kerajaan tempatan, adalah tertakluk kepada dasar dan arahan
daripada pihak kerajaan negeri dan pusat dari semasa ke semasa. Justeru,
proses pengambilan kakitangan dan penawaran sesuatu jawatan di
peringkat unit-unit PBT adalah bergantung kepada bidang kuasa Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia. Kita akan kupas dengan lebih
mendalam isu ini dalam perbincangan di bawah. Bagi jawatan-jawatan
seperti Datuk Bandar atau Yang Dipertua, Setiausaha dan Ahli-Ahli
Majlis pula, pelantikannya adalah bergantung kepada pihak kerajaan
negeri masing-masing.
6.2.1

Pelantikan Jawatan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan

Dalam Bab 5 kita telahpun membincangkan tentang Ahli Majlis PBT


yang dianggotai oleh Datuk Bandar ataupun Yang Dipertua dan
Timbalannya, Ahli-ahli Majlis dan Setiausaha. Jawatan-jawatan ini
bukannya merupakan jawatan hakiki walaupun ada di kalangan mereka
yang dilantik sama ada sebagai Datuk Bandar atau Yang Dipertua
ataupun Timbalannya dan Ahli-Ahli Majlis merupakan penjawat awam.
Tetapi, atas dasar keperluan, mereka dilantik memegang jawatan
berkenaan. Bagi jawatan-jawatan ini, kerajaan negeri berkuasa melantik
mereka yang berkelayakan pada pendapat pihak berkuasa negeri.
Di dalam mana-mana PBT, Datuk Bandar atau Yang Dipertua Majlis
akan bertindak sebagai Pengerusi. Perlantikan Datuk Bandar atau Yang
Dipertua adalah dilantik atas nama mereka (Zahari, A.R., 1991: 27).
Dalam soal jawatan Pengerusi sesebuah Majlis Penguasa Tempatan
sebagai Datuk Bandar atau Yang Dipertua, ia juga boleh dilantik di
kalangan pegawai awam sekiranya dirasakan perlu oleh pihak kerajaan
negeri. Akan tetapi, perlantikan tersebut dibuat atas nama pemegang
jawatan itu dan tidak atas nama jawatannya. Lazimnya mereka yang
dilantik sebagai Datuk Bandar atau Yang Dipertua adalah di kalangan
ahli politik atau wakil rakyat bagi PBT di negeri berkenaan. Apabila
dilantik menjadi Datuk Bandar atau Yang Dipertua, maka mereka
merupakan orang yang bertanggungjawab menjalankan kewajipankewajipan bagi sesuatu Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran atau Majlis
Daerah. Kewajipan dan bidang kuasa yang ada pada mereka adalah sah
di sisi undang-undang termasuk Timbalannya (Akta Kerajaan Tempatan,
2001).
119

Jawatan Yang Dipertua Majlis dipegang oleh para pegawai awam secara
sepenuh masa atau separuh masa seperti Pegawai Daerah, maka beliau
juga menjalankan tugas eksekutif dan pentadbiran sebagai pegawai Majlis.
Ini kerana seseorang yang dilantik menjadi Yang Dipertua Majlis yang
dalam masa yang sama adalah Pegawai Daerah kerana beliau terlatih dan
berpengalaman dalam bidang pentadbiran awam (Zahari, A.R., 1991: 28).
Dalam erti kata lain, seseorang yang dilantik menjadi Yang Dipertua
Majlis di kalangan penjawat awam mempunyai dua fungsi yang utama,
tetapi objektifnya hanya satu iaitu memberikan sumbangan ke arah
membangunkan kawasan berkenaan.
Selepas jawatan Datuk Bandar atau Yang Dipertua, satu lagi jawatan yang
penting ialah Setiausaha. Setiausaha memainkan peranan yang penting
dalam urusan pentadbiran PBT atau Majlis. Ini kerana Setiausaha bagi
sesebuah Majlis merupakan Ketua Pegawai Pentadbir yang dilantik oleh
pihak kerajaan negeri. Jawatan Setiausaha ini juga boleh dilantik di
kalangan pegawai awam yang akan menjalankan kewajipan-kewajipan
sebagai Ketua Pegawai Pentadbir yang sah di sisi undang-undang.
SOALAN DALAM TEKS 6.1

1.

2.

Nyatakan seksyen dalam Akta Kerajaan Tempatan,


1976 (Akta 171) yang membincangkan tentang
perlantikan Datuk Bandar atau Yang Dipertua
Majlis?
Dalam seksyen 16 Akta 171, bincangkan bentuk
bidang kuasa pihak kerajaan negeri dalam soal
perjawatan di peringkat kerajaan tempatan?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.


6.2.2

Pelantikan Pegawai dan Kakitangan Kerajaan Tempatan

Dalam seksyen 16 Akta Kerajaan Tempatan, 1976 (Akta 171)


menyatakan dengan jelas berhubung dengan senarai jawatan-jawatan
yang diwujudkan di peringkat penguasa tempatan atau kerajaan
tempatan. Dalam seksyen tersebut menyatakan bahawa penguasa
tempatan dalam setiap tahun atau sewaktu mengemukakan belanjawan
PBT kepada pihak kerajaan negeri dikehendaki mengemukakan suatu
senarai jawatan-jawatan yang difikirkan perlu oleh PBT untuk ditawarkan
atau diisi sekiranya berlaku kekosongan (Akta Kerajaan Tempatan, 2001).
120

Di peringkat kerajaan tempatan tidak banyak perbezaannya dengan


kerajaan negeri ataupun kerajaan persekutuan berhubung dengan
kumpulan pekerjanya yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan
sokongan. Pegawai-pegawai dan kakitangan merupakan sumber tenaga
dan aset penting kepada PBT dalam menggerakkan operasi dan
pentadbiran serta pengurusan PBT bagi membantu Datuk Bandar, Yang
Dipertua, Setiausaha dan Ahli-Ahli Majlis.
Di dalam setiap unit PBT khususnya di peringkat Majlis Bandaraya dan
Majlis Perbandaran, pegawai-pegawai dan kakitangan yang dilantik adalah
di kalangan mereka yang mempunyai kelulusan, kemahiran dan
pengalaman dalam bidang-bidang tertentu seperti perakaunan, kewangan,
pentadbiran, perundangan, agama, kejuruteraan, kesihatan, alam sekitar,
teknikal dan sebagainya daripada pegawai kumpulan A sehingga
pembantu am rendah dalam kumpulan D. Ini kerana kepakarankepakaran yang dimiliki oleh setiap pekerja dalam PBT adalah amat
penting bagi menggerakkan pentadbiran dan pengurusan PBT secara
cekap, berkesan, bermutu dan produktif.
Majlis Penguasa Tempatan seperti mana yang diperuntukkan di dalam
seksyen 16 Akta 171 adalah berkuasa untuk melantik pegawai-pegawai
dan kakitangannya sendiri termasuk soal kenaikan pangkat dan
menamatkan perkhidmatan mereka. Manakala dalam seksyen 17 pula
dibincangkan tentang bidang kuasa Majlis untuk mengambil sebarang
tindakan tatatertib dan disiplin ke atas pegawai dan pekerjanya sekiranya
mereka melanggar kewajipan-kewajipan dalam melaksanakan
tanggungjawab masing-masing. Sebarang bentuk hukuman yang akan
dikenakan ke atas pegawai dan kakitangan penguasa tempatan perlu
mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada kerajaan negeri.
Cuba anda fikirkan, adakah pegawai dan kakitangan PBT di Malaysia
terikat dengan Perintah-perintah Am? Kita akan bincangkan perkara ini
dalam sub topik yang berikutnya. Sebelum itu, diharap anda dapat
membuat sedikit rujukan berhubung dengan Perintah-perintah Am untuk
perbincangan.
Selain itu, dalam seksyen 17 (3) Akta 171 juga ada menyebut tentang
bidang kuasa Majlis dalam menentukan atau menetapkan syarat-syarat
perkhidmatan seperti gaji, elaun, tugas, dan beberapa faedah lain seperti
cuti bersalin, cuti rehat, waktu kerja, kerja lebih masa, cuti hari kelepasan
am dan lain-lain yang berkaitan seperti mana yang diperolehi oleh
penjawat awam di dalam agensi-agensi kerajaan yang lain sama ada di
peringkat negeri atau persekutuan. Akan tetapi, ianya satu perkhidmatan
yang bebas serta tersendiri daripada perkhidmatan awam negeri atau
persekutuan.
121

Di peringkat kerajaan tempatan, jawatan pegawai dan kakitangannya


adalah sama status dengan jawatan-jawatan yang ada dalam perkhidmatan
awam di peringkat kerajaan negeri atau persekutuan. Setiausaha seperti
yang telah dibincangkan di atas adalah sebagai Ketua Pegawai Pentadbir
bagi sesuatu Majlis yang dilantik oleh pihak kerajaan negeri. Oleh sebab
itu, kerajaan negeri boleh pada bila-bila masa dan sekiranya perlu
memindahkan Setiausaha dari satu Majlis ke Majlis yang lain dalam negeri
yang sama (Zahari, A.R., 1991: 49).
Sebaliknya disebabkan perkhidmatan perjawatan (pegawai dan
kakitangan) kerajaan tempatan itu berasingan daripada perkhidmatan
awam negeri dan persekutuan, maka tidaklah boleh kakitangankakitangan kerajaan tempatan dipindahkan secara pertukaran biasa dari
satu PBT ke PBT yang lain walaupun dalam negeri yang sama. Cuma,
jika ingin bertukar ke PBT yang lain, maka pegawai atau kakitangan
berkenaan perlulah meletakkan jawatan terlebih dahulu di PBT
berkenaan sebelum memohon untuk berkhidmat di PBT yang lain.
Selain itu, dalam seksyen 18 Akta 171 menyatakan bahawa PBT boleh
mewujudkan Kumpulan Wang Simpanan pekerjanya sendiri dengan
kelulusan daripada kerajaan negeri. Tujuan ditubuhkan Kumpulan Wang
Simpanan tersebut adalah sebagai bekalan pada hari tua selepas mereka
bersara ataupun jika berlaku kematian. Kumpulan Wang Simpanan itu
juga adalah untuk bayaran kepada mereka yang meletakkan jawatan,
diberhentikan dan diberhentikan kerana tua (Akta Kerajaan Tempatan,
2001).
Daripada apa yang dibincangkan di atas, jelas memberi gambaran kepada
kita bahawa perkhidmatan pegawai dan kakitangan di peringkat kerajaan
tempatan seolah-olah berasingan dengan perkhidmatan awam di
peringkat kerajaan negeri atau kerajaan tempatan. Soalnya, pihak mana
yang akan membayar gaji dan elaun serta imbuhan tahunan kepada
pegawai dan kakitangan kerajaan tempatan? Sama-sama kita fikirkan dan
mencari jawapannya.

122

SOALAN DALAM TEKS 6.2

1.
2.

Apakah rasionalnya kerajaan negeri melantik


seorang penjawat awam seperti Pegawai Daerah
menjadi Yang Dipertua sesebuah unit PBT?
Bincangkan peranan yang dimainkan oleh
Setiausaha sesebuah Majlis PBT?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.


6.3

PERANAN
KERAJAAN
PERSEKUTUAN
DALAM
PERJAWATAN DI PERINGKAT KERAJAAN TEMPATAN

6.3.1

Kawalan Perjawatan oleh JPA

Secara umumnya kita telahpun mengetahui bahawa jawatan pegawai dan


kakitangan PBT merupakan suatu jawatan dalam perkhidmatan awam.
Dalam hal ini agensi pusat yang bertanggungjawab dalam perjawatan
ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Di peringkat kerajaan
tempatan, pada mulanya jawatan pegawai dan kakitangannya terletak di
bawah bidang kuasa kerajaan tempatan atau PBT itu sendiri dengan
syarat dipersetujui atau diluluskan oleh kerajaan negeri masing-masing.
Sebelum tahun 1981, PBT berhak ke atas penggubalan skim-skim
perkhidmatan, pewujudan serta penggredan jawatan-jawatan dalam PBT.
Walau bagaimanapun, keadaan ini telah berubah apabila pada tahun
1981, di atas permintaan kerajaan persekutuan, kerajaaan negeri telah
membenarkan supaya pelaksanaan fungsi penggubalan skim-skim
perkhidmatan, pewujudan serta penggredan jawatan-jawatan oleh Majlismajlis PBT dikawal oleh agensi-agensi pusat seperti JPA dan
Perbendaharaan (Zahari, A.R., 1991:50). Persetujuan meletakkan proses
pengambilan atau soal perjawatan yang sebelum ini diuruskan sendiri
oleh pihak Majlis PBT kepada JPA dan Perbendaharaan telah
dipersetujui oleh Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri dalam
satu mesyuarat yang diadakan pada bulan Januari 1981. Selepas itu, JPA
telahpun mengeluarkan surat bertarikh 10 Februari 1981 kepada semua
kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak
juga turut ditujukan (salinan) kepada semua PBT dan badan-badan
berkanun.

123

JPA mengambil alih soal kawalan terhadap penggubalan skim-skim


perkhidmatan iaitu tugas penggubalan skim-skim bagi semua kategori (A,
B, dan C) bagi kerajaan tempatan dibuat oleh JPA. Dengan itu, maka
PBT tidak lagi dibenarkan atau berkuasa dalam hal perjawatan. Kawalan
yang dibuat oleh JPA supaya PBT tidak lagi mewujudkan atau
menggredkan jawatan-jawatan dalam katogeri A tanpa pemeriksaan dan
persetujuan oleh JPA (Zahari, A.R., 1991: 51).
Tujuan kawalan perjawatan oleh JPA ke atas PBT adalah untuk
mewujudkan keseragaman dalam kadar-kadar dan asas-asas gaji dan elaun
seperti
prinsip-prinsip
perkhidmatan
dengan
perkhidmatanperkhidmatan awam persekutuan. Penyelarasan seperti itu perlu oleh
sebab penguasa-penguasa tempatan (dan badan-badan berkanun) telah
melaksanakan penyemakan gaji mengikut Laporan Jawatankuasa Kabinet
Gaji 1976. Setelah itu, mulai tahun 1982 kawalan persekutuan ke atas
keanggotaan penguasa-penguasa tempatan telah diperketatkan.
Pewujudan jawatan dan penggredan dilarang bagi katogeri B, C, dan D
melalui dasar pembekuan pengisian jawatan-jawatan kosong (dengan
pengecualian dalam keadaan-keadaan tertentu) (Zahari, A.R., 1991: 51).
SOALAN DALAM TEKS 6.3

1. Bincangkan apakah tujuan kerajaan persekutuan


melaksanakan dasar kawalan perjawatan melalui
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke atas PBT di
Malaysia?
2. Apakah bidang kuasa pihak Majlis PBT setelah
kawalan perjawatan diuruskan oleh JPA?
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
6.3.2

Peraturan di Bawah Perintah-Perintah Am

Sebagai penjawat awam di Malaysia, sesiapa sahaja adalah terikat dengan


segala peruntukan yang terkandung dalam Perintah-perintah Am (Bab A
hingga Bab G). Bagi pegawai dan kakitangan PBT pula, mereka tidak
terkecuali daripada mematuhi dan mengikuti segala peruntukan yang
terkandung dalam Perintah-perintah Am ini. Ini kerana pegawai dan
kakitangan PBT adalah sebahagian daripada anggota dalam perkhidmatan
awam di Malaysia yang diuruskan oleh pihak JPA.
124

Segala apa yang diperuntukkan dalam Perintah-perintah Am perlulah


diikuti, dipatuhi dan dilaksanakan sama ada di kalangan majikan, ketua
jabatan dan penjawat awam itu sendiri. Secara ringkasnya apa yang
terkandung dalam Perintah-perintah Am adalah seperti berikut:
(i)
Bab A Lantikan dan Kenaikan Pangkat;
(ii)
Bab B Elaun-elaun dalam Perkhidmatan Awam 1974;
(iii)
Bab C Cuti 1974;
(iv)
Bab D Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan
dan Tatatertib)
1993;
(v)
Bab E Rumah dan Bangunan Pejabat Kerajaan 1974;
(vi)
Bab F Perubatan 1974; dan
(vii) Bab G Waktu Bekerja dan Lebih Masa 1974.
Ketujuh-tujuh bab dalam Perintah-perintah Am seperti di atas
menghuraikan secara terperinci tentang kewajipan, peranan, tugas, hak,
kebajikan dan soal tatatertib serta disiplin di kalangan penjawat awam di
Malaysia termasuk di peringkat kerajaan tempatan. Sebarang bentuk
pelanggaran mana-mana bab khususnya Bab D, maka tindakan boleh
diambil seperti denda, hukuman, penggantungan tugas dan sehingga ke
tahap boleh diberhentikan atau ditamatkan perkhidmatan atas sebab
kesalahan yang berat.
6.4

KESATUAN SEKERJA DI PERINGKAT KERAJAAN


TEMPATAN

Cuba anda fikirkan apakah peranan kesatuan sekerja? Adakah anda


menjadi ahli berdaftar dalam mana-mana kesatuan sekerja dalam
perkhidmatan yang anda sertai? Bolehkah anda memberikan secara
ringkas definisi kesatuan sekerja? Secara umumnya kesatuan sekerja
merupakan satu badan atau institusi yang terbentuk hasil daripada usaha
penggabungan yang dibuat oleh majikan atau pekerja, di mana mereka
bekerja di Malaysia (Ibrahim Ariff, 1999: 174).
Asas kepada
pembentukan kesatuan sekerja sama ada dibuat oleh majikan atau oleh
golongan pekerja sendiri. Manakala Akta Kesatuan Sekerja, 1959
menyatakan bahawa kesatuan sekerja merupakan pertubuhan yang
dibentuk oleh para pekerja atau majikan yang bekerja di Malaysia
(Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak).
Bolehkah anda senaraikan jenis-jenis kesatuan sekerja
yang terdapat di Malaysia?
Di peringkat kerajaan
tempatan, apakah nama kesatuan sekerjanya?

125

Kesatuan sekerja adalah suatu badan atau institusi yang ditubuhkan


dengan matlamat untuk memperjuangkan nasib golongan pekerja dalam
pelbagai bidang pekerjaan seperti perladangan, perkhidmatan awam,
perindustrian, perlombongan dan sebagainya.
Kewujudan dan
pembentukan kesatuan sekerja lahir daripada hasrat golongan pekerja
untuk menuntut hak seperti keselamatan, kebajikan, perlindungan,
pampasan, peluang kerjaya yang lebih cerah pada masa hadapan dan
syarat-syarat perkhidmatan. Selain itu, kesatuan sekerja ditubuhkan
bertujuan untuk memajukan, memelihara, dan memperbaiki kepentingan
ahli-ahlinya dalam soal ekonomi, sosial dan politik melalui tindakan
kolektif (June, 1994: 158).
Dua kesatuan sekerja yang dominan di Malaysia iaitu Kongres Kesatuan
Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Congress of Union of
Employees in Public and Civil ServicesCUEPACS) dan Kongres Kesatuan
Sekerja Malaysia (Malaysian Trades Unions CongressMTUC). CUEPACS
dan MTUC masing-masing mewakili pekerja dalam sektor awam dan
swasta di negara ini. Di bawah kedua-dua kesatuan utama ini, terdapat
pelbagai kesatuan lain bernaung di bawahnya ataupun menjadi ahli
gabungannya.
Di peringkat PBT di Malaysia, satu kesatuan sekerja telah ditubuhkan
iaitu Kesatuan Pekerja Kuasa-kuasa Tempatan (ANULAE). ANULAE
ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib pekerja-pekerja di peringkat
penguasa tempatan di Malaysia. Ini terbukti apabila ANULAE telah
terlibat dalam usaha membela nasib para pekerja di peringkat PBT
khususnya dalam soal gaji pekerja.
Laporan Utusan Malaysia pada 7 Disember 1996 menyebut bahawa
20,000 kakitangan PBT dijangka akan menikmati kenaikan gaji sebulan
berikutan penswastaan perkhidmatan kutipan sampah sarap mulai awal
tahun 1997. Syarat-syarat perkhidmatan dan gaji itu adalah antara salah
satu daripada lapan perkara utama yang diputuskan dalam perundingan
tiga penjuru antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
(KPKT), konsortium projek penswastaan dan ANULAE yang telah
diadakan sebanyak lima pertemuan.
Presiden ANULAE, Abdul Rahman Abdul Kadir mengatakan bahawa
konsortium berkenaan telah menyatakan persetujuan menyediakan gaji
baru dengan memberikan kenaikan sebanyak 17.5 peratus. Kenaikan
pada kadar tersebut adalah berdasarkan gaji hakiki dicampur dengan
elaun perkhidmatan awam dan imbuhan tetap perumahan yang
dinikmati oleh para pekerja PBT di bawah Skim Saraan Baru (SSB). Gaji
baru itu juga akan mengambil kira satu lagi kenaikan tahunan sebagai
tambahan. Ini selaras dengan mengambil kira pelarasan gaji yang
dinikmati oleh kakitangan pada awal tahun 1996.
126

Kenaikan gaji di antara 17.5 peratus hingga 20 peratus yang ditawarkan


oleh konsortium kepada pekerja-pekerja PBT yang terlibat dalam
penswastaan perkhidmatan kutipan sampah adalah sebagai galakan untuk
menjayakan projek penswastaan tersebut. Ekoran daripada kenaikan
tersebut, maka seseorang kakitangan am PBT yang gaji semasanya kirakira RM609 (paling minima) akan memperolehi gaji baru dalam
lingkungan RM922.70. Manakala kakitangan di tangga gaji maksima
(pengarah kesihatan) yang berpendapatan RM4,025 pula akan menikmati
tambahan RM1,844.38 menjadikan jumlah terbaru sebanyak RM5,869.38.
Syarat-syarat perkhidmatan dan gaji akan berkuatkuasa mulai Januari
1997 dengan pelaksanaan projek penswastaan di Kuala Lumpur dan
Johor Bahru (Utusan Malaysia, 1996, 7 Disember).
Daripada apa yang dibincangkan di atas, maka kita dapat melihat
bagaimana peranan yang dimainkan oleh ANULAE dalam
memperjuangkan nasib pekerja di peringkat PBT di Malaysia. ANULAE
telah berjaya membawa masalah pekerja-pekerja PBT yang akan terlibat
dalam projek penswastaan perkhidmatan kutipan sampah ke meja
rundingan dan akhirnya cadangan-cadangan yang dikemukakan tersebut
telah diterima. Justeru, kita tidak boleh menafikan pentingnya peranan
yang dimainkan oleh kesatuan sekerja dalam memperjuangkan hak dan
nasib pekerja.
6.5

PENSWASTAAN DALAM PENGURUSAN KERAJAAN


TEMPATAN

Di Malaysia, program penswastaan telah dilaksanakan secara terancang


setelah Dasar Penswastaan diumum dan diperkenalkan pada Mac 1983.
Ketika itu, penswastaan dilihat sebagai perkara baru yang diaplikasikan
dalam sistem pentadbiran awam di negara ini. Oleh sebab itu, ramai
yang meragui akan keupayaan program penswastaan untuk
membangunkan negara ini. Dalam tempoh masa lebih kurang sepuluh
tahun tumpuan yang lebih serius diberikan terhadap dasar kerajaan
menswastakan beberapa perkhidmatan ekoran hasil yang begitu
menggalakkan telah terbukti dalam meningkatkan ekonomi negara.
Apabila disebut penswastaan, tidak bermakna pihak kerajaan hilang hak
dan kuasa ke atas sesuatu perkhidmatan. Tetapi, kerajaan membuka dan
memberikan ruang serta peluang kepada pihak swasta untuk turut terlibat
sama dalam membangunkan negara ke arah negara maju setanding
dengan negara-negara maju lain di dunia ini. Cuma apa yang berlaku
dalam pelaksanaan penswastaan ialah pihak kerajaan telah memindahkan
peranan utamanya kepada sektor swasta. Keadaan ini mengurangkan
monopoli dan penguasaan sektor awam dalam aktiviti-aktiviti tertentu
khususnya bercorak ekonomi yang sebelum ini menjadi tugas dan
peranan tradisi sektor awam.
127

Setelah penswastaan dilaksanakan seperti dalam perkhidmatanperkhidmatan dan pengurusan yang sebelum ini dikendalikan oleh sektor
awam kepada pihak swasta, maka pihak kerajaan atau sektor awam hanya
bertindak sebagai pemantau atau pengawas. Ini akan memudahkan lagi
tugas dan peranan serta mengurangkan beban yang ditanggung oleh
sektor awam. Ini selaras dengan apa yang telah digariskan dalam objektif
Dasar Penswastaan seperti:
(i)
(ii)
(iii)
(iv)
(v)

Untuk mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran


kerajaan;
Meningkatkan kecekapan dan daya pengeluaran
(produktiviti);
Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi;
Mengurangkan saiz dan penglibatan sektor awam dalam
ekonomi; dan
Membantu mencapai matlamat dasar ekonomi negara.
(Pelan Induk Penswastaan, 1991: 23)

Apabila pihak kerajaan melaksanakan Dasar Penswastaan di semua


peringkat agensi-agensi kerajaan, maka unit-unit PBT tidak terkecuali
dalam melaksanakan penswastaan. Malah, di peringkat PBT ada
keupayaan yang tinggi dalam pelaksanaan penswastaan khususnya untuk
memperbaiki perkhidmatan kepada orang ramai seperti pengutipan
sampah, pemotongan rumput, landskap dan beberapa perkhidmatan
yang lain.
Di dalam konteks Malaysia, penswastaan dilihat sebagai suatu
pendekatan untuk mengatasi kelemahan yang terdapat di dalam sektor
awam termasuk di peringkat kerajaan tempatan. Selain itu, ia juga dapat
mewujudkan persaingan di antara sektor awam dan swasta, di mana ia
boleh meningkatkan lagi pertumbuhan dan perkembangan ekonomi
negara. Dalam pentadbiran awam, penswastaan merupakan satu
reformasi dan perubahan paradigma dalam pentadbiran dan
perkhidmatan.
Justeru, di peringkat kerajaan tempatan juga telah mengalami beberapa
reformasi dan perubahan semenjak selepas penyusunan semula kerajaan
tempatan yang bermula sejak tahun 1976 lagi. Ini merupakan perubahan
paradigma pentadbiran daripada cara konvensional kepada cara baru.
Perubahan ini bertujuan agar kerajaan tempatan dapat berkembang dan
meningkatkan kecemerlangan dari segi perkhidmatan, pengurusan,
pentadbiran dan akauntabiliti.

128

Selepas penyusunan semula kerajaan tempatan sejak tahun 1976, maka


bertambah luas kawasan bagi penguasa-penguasa tempatan dan beban
tugasnya untuk menyelia dan memberikan perkhidmatan kepada orang
ramai. Beban ini termasuklah soal kewangan, kakitangan, alat-alat
kelengkapan dan pentadbiran. Tugas penting kerajaan tempatan ialah
menguruskan beberapa perkhidmatan dan perusahaan seperti mana yang
ditetapkan dalam Akta Kerajaan Tempatan, 1976 (Akta 171). Oleh
sebab itu, objektif penyusunan semula kerajaan tempatan adalah untuk
menjadikannya sebagai badan yang cekap, berdaya saing, dan berkualiti
dari segi fungsinya dalam memberikan dan menyediakan perkhidmatan,
menggerak dan mengawal pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi serta
menjadi perancang utama di peringkat tempatan dalam menentukan
pencapaian dasar-dasar kerajaan.
Perkhidmatan dan pengurusan yang dijalankan oleh kerajaan tempatan
dapat diserahkan kepada pihak swasta sebagaimana yang dikehendaki
melalui konsep penswastaan. Pengambilan tugas dan fungsi sektor awam
bukan bermakna sektor awam tidak dapat berfungsi dengan baik, tetapi
untuk meningkatkan lagi kecekapan, keberkesanan dan produktiviti
perkhidmatan dan pengurusannya. Di samping itu, kerjasama yang erat
di antara sektor awam seperti PBT dan swasta adalah penting dan harus
digerakkan bersama kerana dipercayai dapat menghasilkan faedah yang
baik demi kepentingan masyarakat.
Kerjasama di antara penguasa-penguasa tempatan dan pihak swasta
hanya terbatas setakat pemberian secara kontrak sahaja.
Walau
bagaimanapun, pemberian kontrak ini memberikan satu faedah kepada
kerajaan tempatan dari segi pengurangan kos jika dibandingkan dengan
operasi yang dijalankan oleh pihak Majlis sendiri. Selain itu, penswastaan
dapat menyelesaikan masalah-masalah kekurangan kakitangan dan
meningkatkan kecekapan perkhidmatan, meluas dan memuaskan
(Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, 1985: 9).
Di samping itu, penswastaan juga dikatakan sebagai satu pendekatan baru
dalam sistem kerajaan tempatan dalam menyediakan kemudahan dan
perkhidmatan kepada orang ramai yang secara langsung kesannya akan
dapat dinikmati oleh masyarakat secepat mungkin. Proses ini sudah tentu
akan mempercepatkan lagi tahap pembangunan sosio-ekonomi negara
amnya dan kerajaan tempatan atau penguasa-penguasa tempatan
khasnya.

129

6.5.1

Pelaksanaan Penswastaan di Peringkat Pihak Berkuasa


Tempatan

Di peringkat PBT, terdapat pelbagai bentuk penswastaan dan jenis


aktiviti yang diswastakan seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 6.1 dan
Jadual 6.2 di bawah.1
Jadual 6.1
Bentuk-bentuk Penswastaan Dilaksanakan di Peringkat Kerajaan Tempatan
BIL.
1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.
8.
9.
10.
11.
12.
13.
14.
15.

BENTUK PENSWASTAAN
BOT (Build-Operate-Transfer)
BOO (Build On Operate)
Pemberian Kontrak (Contracting Out)
SOE (Sale of Equity)
SOA (Sale of Asset)
BOO (Build-Operate-Own)
COR (Corporatization)
BT (Build-Transfer)
MBO (Management-Buy-Out)
LOA (Lease of Asset)
MC (Management Contract)
Penswastaan ke atas perkhidmatan (service)
Penswastaan sepenuh
Penswastaan separuh
Penswastaan ke atas pengeluaran (production)
JUMLAH
Sumber: Malike Brahim. (2003).

KEKERAPAN
21
13
107
9
9
17
7
13
9
23
29
78
15
29
3
392

Persoalannya, apakah kaitan penswastaan di peringkat PBT dengan


pengurusan kakitangannya? Untuk menjawab soalan ini, kita boleh
merujuk kepada kes Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang
telah melaksanakan beberapa bentuk penswastaan ke atas perkhidmatan
yang ditawarkannya. DBKU bertanggungjawab dalam mengendalikan
soal pengurusan letak kereta di sekitar Bandaraya Kuching Utara. Bagi
melicinkan sistem letak kereta di bandar raya berkenaan, DBKU (dan
Majlis Bandaraya Kuching SelatanMBKS) telah memperkenalkan
sistem letak kereta berkupon pada 16 September 1993.
Sistem
berkupon ini masih dilaksanakan sehingga kini di Bandaraya Kuching.
Seterusnya pengurusan dan kawalan sistem letak kereta berkupon telah
diswastakan kepada Sara Indah Sdn. Bhd bermula pada tahun 1994
dengan kontrak selama sepuluh tahun (Malike Brahim, 1997/1998: 55).
Sebenarnya DBKU telah terlibat dalam beberapa program penswastaan
sejak tahun 1989 yang bermula dengan pemberian kontrak (contracting out)
beberapa projek kepada pihak swasta. Projek pertama yang diswastakan
ialah berkaitan dengan pengurusan jalan raya dan binaan.

130

Jadual 6.2
Aktiviti-Aktiviti Kerajaan Tempatan yang Diswastakan
BIL.
1.
2.
3.
4.
5.
6.

JENIS AKTIVITI
Tempat letak kereta
Pembangunan tanah
Perkhidmatan
Penyelenggaraan dan pembinaan jalan
Kutipan sampah dan pelupusan sisa pepejal
Pemeliharaan, pembersihan dan penyelenggaraan
kawasan
7. Pembinaan dan pembersihan longkang
8. Tandas awam
9. Penyelenggaraan landskap
10. Penyelenggaraan pasar
11. Pembinaan jambatan
12. Pungutan hasil/cukai pintu
13. Pembentungan dan saluran najis
14. Pembinaan dan pengurusan tapak penjaja pekan sehari,
gerai dan pasar malam
15. Pengurusan pusat pelancongan
16. Projek perumahan
17. Penyelenggaraan lampu jalan
18. Kenderaan (sewa)
19. Pemotongan rumput
JUMLAH
Sumber: Malike Brahim (2003).

KEKERAPAN
16
2
2
13
54
20
11
11
6
9
4
2
5
6
3
3
8
6
16
179

Penglibatan DBKU dalam penswastaan telah menunjukkan prestasi yang


baik dan sekaligus telah mencapai beberapa objektif penswastaan itu
sendiri. Dari segi beban kerja atau tugas, DBKU dapat mengatasi
masalah ini dengan melaksanakan penswastaan. Ini kerana DBKU tidak
lagi perlu mengambil, menguruskan, membayar gaji dan menjaga
kebajikan pekerja kerana semua ini akan diambil alih oleh pihak swasta
seperti Sara Indah Sdn. Bhd dan beberapa syarikat swasta yang lain.
Sebaliknya, pihak DBKU hanya perlu mengawasi dan menyelia syarikat
berkenaan sama ada mematuhi atau tidak piawaian dan mutu kerja yang
telah termaktub dalam kontrak yang telah dipersetujui dan hanya
membuat bayaran ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh kontraktor
berkenaan.
Dari segi kecekapan dan produktiviti di peringkat DBKU ianya tercapai
melalui pelaksanaan penswastaan. Ini kerana syarikat yang terlibat dalam
penswastaan perkhidmatan di bawah DBKU menunjukkan kualiti kerja
yang baik dan memenuhi syarat-syarat kontrak. Manakala dalam usaha
mengecilkan kakitangan, ternyata DBKU telah berjaya mengurangkan
jumlah kakitanganya.
Ini kerana apabila penswastaan ke atas
perkhidmatan dilaksanakan, pihak DBKU tidak perlu lagi mencari tenaga
kerja atau mengisi kekosongan yang ada. Sebaliknya hal ini diserahkan
131

kepada pihak syarikat berkenaan. Jika dibandingkan antara Bahagian


Pengurusan Letak Kereta dengan Sara Indah Sdn. Bhd., ternyata Sara
Indah Sdn. Bhd. mempunyai struktur organisasi dan jumlah pekerja yang
lebih kecil (Malike Brahim, 1997/1998: 63).
6.6

ISU-ISU PENGURUSAN KAKITANGAN KERAJAAN


TEMPATAN

Bahagian ini akan membincangkan beberapa isu yang membabitkan


pekerja di peringkat kerajaan tempatan di Malaysia. Antara isu-isu yang
membabitkan pegawai dan kakitangan PBT adalah seperti:
6.6.1

Tatatertib dan Kenaikan Pangkat

Di peringkat PBT, pekerjanya tidak terkecuali daripada diambil tindakan


disiplin dan tatatertib. Di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Urus
Setia telah mengendalikan penyelenggaraan kes tatatertib. Jumlah kes
yang diselesaikan sepanjang tahun 1996 adalah sebanyak 42 kes
berbanding 109 kes pada tahun 1995. Rekod ini menunjukkan kadar
penurunan kes tatatertib yang tinggi. Ini disebabkan laporan-laporan
baru semakin berkurangan serta kes-kes yang tertunggak telah
diselesaikan (Laporan Tahunan MBI, 1996: 9).
Manakala dalam pelaksanaan pergerakan gaji pula, jumlah anggota di
MBI yang mendapat pergerakan gaji melintang ialah 28 orang pada tahun
1996 berbanding 31 orang pada tahun 1995. Bagi anggota yang mendapat
pergerakan gaji menegak juga berkurangan iaitu 57 orang bagi tahun
1996 berbanding 59 orang pada tahun 1995. Manakala sejumlah 1,743
orang pada tahun 1996 mencatatkan pergerakan gaji mendatar
berbanding 1,809 pada tahun 1995. Kes-kes gaji statik hanya lapan orang
pada tahun 1996 berbanding 28 orang pada tahun 1995. Bagi anggota
yang tidak menerima sebarang pergerakan gaji telah meningkat daripada
21 orang pada tahun 1995 kepada 25 orang pada tahun 1996 (Laporan
Tahun MBI, 1996: 9-10).
6.6.2

Pembangunan Organisasi dan Sumber Manusia

Bagi pembangunan organisasi dan sumber manusia sesebuah organisasi,


pihak majikan perlu merancang beberapa kursus dan latihan yang boleh
meningkatkan pembangunan dan kemajuan organisasi, termasuk
menganjurkan ceramah. Bagi pembangunan organisasi dan sumber
manusia, Jabatan Urus setiaMBI telah menghantar seramai tujuh (7)
orang anggotanya untuk mengikut kursus di luar negara dan menghantar
seramai 240 orang lagi untuk mengikuti pelbagai kursus di dalam negara
sepanjang tahun 1996 bagi memastikan anggota mendapat latihan yang
132

mencukupi. MBI juga telah menghantar para anggotanya menghadiri


lapan (8) kursus bengkel dalaman sepanjang tahun 1996. Sementara itu,
tujuh (7) ceramah telah dianjurkan oleh Majlis untuk memberikan
panduan dan rangsangan kepada anggotanya.
Malah Unit Pembangunan Organisasi dan Sumber Manusia Jabatan Urus
setiaMBI telah berusaha untuk mengadakan dan menganjurkan 13 kursus
dan bengkel. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan latihan dan
pendidikan para anggotanya. Selain itu, perancangan dibuat untuk
menganjurkan ceramah dengan mengundang para penceramah
terkemuka (Laporan Tahunan MBI, 1996).
6.6.3

Perjawatan dalam Kerajaan Tempatan

Untuk perbincangan dalam bahagian ini, kita akan melihat beberapa


bilangan kakitangan dalam organisasi di beberapa buah PBT. Jawatanjawatan yang diisi merangkumi kumpulan pengurusan dan profesional,
sokongan I dan II. Di sini kita boleh mengambil contoh perjawatan yang
ada di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL).
Jadual 6.3
Katogeri Jawatan di Majlis Bandaraya Ipoh, 1996-1995
Katogeri
Tetap
Kontrak
Sementara
Tahun
1996 1995 1996 1995 1996 1995
Pengurusan dan
1
1
1
2
Profesional
Sokongan I
27
14
55
11
1
Sokongan II
267
17
2
24
Jumlah
295
32
58
37
1
Sumber: Laporan Tahunan Majlis Bandaraya Ipoh. (1996: 8).

Sambilan
1996 1995
63
63

188
188

Di MBI soal perjawatan ini diuruskan oleh Jabatan Urus Setia


termasuklah aktiviti pengambilan tenaga kerja. Pada tahun 1996, jumlah
perjawatan MBI yang diluluskan oleh JPA adalah sebanyak 2,402.
Daripada jumlah tersebut seramai 416 anggota baru dilantik sepanjang
tahun 1996 berbanding 258 orang sepanjang tahun 1995. Majlis telah
memperbaharui kontrak tujuh (7) orang anggota selama dua (2) tahun
lagi pada tahun berakhir 1996. Seramai 222 anggota sambilan dan
kontrak pula diserapkan ke jawatan tetap sepanjang tahun 1996 (Laporan
Tahunan MBI, 1996: 7).
Manakala di DBKL, dari segi perjawatan, sebanyak 219 perjawatan tetap
telah diluluskan oleh JPA dan Perbendaharaan untuk diisi pada tahun
133

1998. Perjawatan yang telah diluluskan adalah daripada kumpulan


profesional hingga kumpulan sokongan II (kumpulan pekerja rendah).
Bagi pengisian jawatan di DBKL, pihak JPA telah meluluskan pengisian
satu jawatan Juru ukur Bangunan Gred J2 untuk Penyandang mulai 1
Januari 1998. Bagi mengisi 32 jenis perjawatan yang telah diluluskan,
pihak DBKL telah mengadakan beberapa sesi temu duga. Sebanyak 672
calon telah berjaya dipilih untuk mengisi pelbagai jawatan kosong di
DBKL. Pada akhir tahun 1998, DBKL mempunyai 8066 orang
kakitangan daripada 9530 perjawatan yang diluluskan, di mana masih
terdapat 1464 jawatan yang masih belum diisi (Laporan Tahunan DBKL,
1998).
Jadual 6.4
Pengisian Jawatan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 1998
Bil.

Kumpulan

Jumlah
Jenis
Jawatan

Pengurusan
5
dan Profesional
2.
Sokongan I
7
(Kumpulan B)
3.
Sokongan I
7
(Kumpulan C)
4.
Sokongan II
6
(Kumpulan D)
5.
Sokongan II
7
(Pekerja
Kumpulan
Rendah)
Jumlah
32
Sumber: Laporan DBKL (1998).

Bilangan
Calon
Memohon

Bilangan
Calon
Berjaya

28

Bilangan
Calon
Diperakukan
Temu duga
23

28

60

16

526

329

187

679

550

100

710

650

354

2031

1612

672

1.

6.6.4

15

Penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan

Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) ditubuhkan sebagai usaha


pihak kerajaan dalam membenteras jenayah dan penyelewengan di
kalangan kakitangan awam. JKP turut melibatkan PBT di Malaysia.
Oleh itu, Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad telah
memberikan arahan supaya semua Menteri Besar dan Ketua Menteri,
Ketua-ketua Perkhidmatan dan jabatan-jabatan kerajaan untuk
mengeluarkan arahan menubuhkan JKP. Menurut Arahan Perdana
Menteri Bilangan 1, Tahun 1998, kesemua pihak di atas adalah Pengerusi
JKP dan perlu mengeluarkan Pekeliling dengan segera kepada jabatan
dan agensi masing-masing bagi menentukan penubuhan jawatankuasa
baru atau menggunakan jawatankuasa yang sedia ada.

134

JKP ditubuhkan bagi menangani kelemahan dalam pengurusan


kewangan kerajaan, pentadbiran awam, pengendalian kes-kes tatatertib,
rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan lain. JKP adalah di
bawah pengawasan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pengurusan
Kerajaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Anwar Ibrahim ketika itu. Dalam arahan setebal 60 mukasurat itu,
Perdana Menteri antara lain telah menggariskan kod etika kerja yang
perlu ada bagi jabatan, tindakan pengesanan dan punitif kepada
kakitangan yang terlibat rasuah, jenis kawalan dalaman yang boleh
diamalkan oleh jabatan bagi mencegah rasuah serta tindakan pemulihan
terhadap jabatan yang terlibat.
Jenis kawalan dalaman yang boleh dilaksanakan dalam tugas-tugas
penyeliaan pegawai kanan termasuk meningkatkan tahap penyeliaan dan
ketelusan pengurusan. Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan sistem
pemantauan urusan penting jabatan terutamanya bagi yang melibatkan
kepentingan orang awam, kewangan, perolehan, pembangunan dan
penguatkuasaan, di samping mempercepatkan kelulusan sesuatu
permohonan, ketelusan polisi yang dilaksanakan dan mengambil tindakan
terhadap semua pengaduan.
Selain itu, JKP juga bertujuan mengambil tindakan pemulihan yang
dicadangkan selepas sesuatu kejadian pelanggaran tatatertib meliputi
khidmat nasihat kepada kakitangan terbabit, memastikan penyeliaan rapi
terhadap kakitangan bermasalah dari segi menanggung beban hutang,
menukar pekerja bermasalah ke tempat yang bebas daripada peluang
rasuah dan membuat putaran penempatan pegawai yang lebih kerap di
tempat yang terdedah kepada rasuah dan penyelewengan (Mingguan
Malaysia, 1998, 11 Januari).
6.6.5

Umur Persaraan Wajib

Selain daripada isu-isu di atas, pihak kerajaan juga telah membuat


beberapa perubahan dalam skim perkhidmatan awam. Antaranya pihak
kerajaan telah mengeluarkan arahan supaya penjawat awam membuat
opsyen sama ada memilih untuk bersara pada usia 55 tahun atau 56
tahun. Justeru, pihak kerajaan telah memberi peluang untuk membuat
pilihan sehingga 1 Oktober 2001 untuk kakitangan awam, termasuklah
kakitangan PBT. Oleh itu, kakitangan awam yang tidak membuat opsyen
atau tidak menyerahkan borang sebelum 1 Oktober 2001 dianggap
memilih untuk bersara wajib apabila mencapai umur 55 tahun.
Berkaitan dengan perlanjutan umur bersara wajib, pihak kerajaan telah
mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 3 Tahun 2001
bagi melaksanakan keputusan kerajaan melanjutkan umur persaraan
135

wajib meliputi pegawai perkhidmatan awam dan pekerja PBT.


Sehubungan dengan itu, Akta Pencen 1960, Akta Pencen Pihak-pihak
Berkuasa Berkanun dan Tempatan dipinda untuk melanjutkan umur
persaraan wajib anggota sektor awam daripada 55 tahun kepada 56 tahun
(Utusan Malaysia, 2001, 3 September).
6.6.6

Memperbaiki Urus Tadbir Tempatan

Dalam Persidangan InfoSoc iaitu kependekan daripada information


(maklumat) dan society (masyarakat) yang diadakan di Hotel Magellan
Sutera, Kota Kinabalu merupakan acara tahunan Majlis Teknologi
Maklumat Negara (NITC) sejak tahun 1995. Persidangan InfoSoc
bermatlamat memberi peluang kepada setiap rakyat negara ini agar
terlibat dalam proses Agenda Teknologi Maklumat Negara (NITA) iaitu
menyediakan asas dan kerangka bagi penggunaan teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT) untuk mentransformasikan masyarakat yang
berilmu berasaskan nilai menjelang tahun 2020. Fokus NITA ialah
pembangunan manusia, frasarana maklumat, kandungan dan aplikasi ke
arah mencipta nilai dan penyediaan ekuiti dan akses bagi setiap rakyat.
Dalam konteks ini, struktur urus tadbir (governance) yang secara
dominannya bersifat atas-bawah perlu diubah kepada kaedah yang
melibatkan partisipasi aktif ketiga-tiga sektor pembangunan negara iaitu
awam, perniagaan dan komuniti.
Tema persidangan InfoSoc tersebut ialah K-Inisiatif Untuk Pembaikan
Urus Tadbir Tempatan. Urus tadbir tempatan didefinisikan sebagai
proses mengorganisasi, mengurus dan mentadbir wibawa dan pengaruh
pembuatan keputusan sambil melibatkan pelbagai pelaku dalam kerangka
tempatan dan untuk memburu kualiti hidup yang lebih baik bagi semua.
Manakala dari sudut ICT, ia ingin mencari jawapan kepada persoalan
bagaimanakah ICT dapat digunakan untuk meningkatkan partisipasi,
ketelusan, ekuiti, kebertanggungjawaban, keberkesanan dan kecekapan di
peringkat tempatan.
Dalam persidangan tersebut, urus tadbir di peringkat tempatan
mempunyai kesan yang besar ke atas kualiti hidup seluruh rakyat. Di
samping itu, NITA berusaha mentransformasikan komuniti di peringkat
akar umbi ke arah k-komuniti. Ini memerlukan perkongsian bijak di
antara sektor-sektor awam, perniagaan dan komuniti, di mana ianya
boleh dicapai melalui pembaikan urus tadbir tempatan.
Urus tadbir yang baik adalah sesuatu yang fundamental yang perlu
diperjuangkan khususnya di peringkat PBT kerana setiap aktiviti dan
pentabdirannya melibatkan urusan dengan orang awam atau penduduk
setempat. Justeru, urus tadbir yang baik melibatkan sembilan ciri iaitu
136

partisipasi, peraturan undang-undang, kebertanggungjawaban, orientasi


konsensus, ekuiti, keberkesanan dan kecekapan, akauntabiliti dan
wawasan yang strategik. Oleh itu, PBT diseru untuk memperbaiki dan
meningkatkan urus tadbir ke arah yang lebih dinamik dengan penyertaan
pelbagai peringkat daripada anggota komuniti seperti belia, remaja, warga
tua, profesional, budayawan, orang kurang upaya, pekerja dan ibu bapa
khususnya untuk dilantik ke dalam Ahli Majlis PBT. Selaras dengan
cadangan tersebut, pemilihan Ahli Majlis di peringkat PBT dipilih melalui
pilihan raya PBT. Dalam usaha mewujudkan urus tadbir yang baik dalam
PBT, maka komposisi Ahli Majlis PBT juga perlu diubah ke arah
pembaikan urus tadbir itu sendiri (Utusan Malaysia, 2002, 4 Jun).
6.7

KESIMPULAN

Kita telahpun membicarakan pelbagai aspek dalam pelajaran ini berkaitan


dengan pentadbiran dan pengurusan kakitangan di peringkat kerajaan
tempatan di Malaysia. Seperkara yang amat penting kita hayati dalam
mana-mana organisasi khusus dalam perkhidmatan awam seperti di
peringkat PBT ialah peranan dan watak yang dimainkan oleh setiap
kakitangan. Ini kerana segala tingkah laku, perwatakan, komitmen dan
sebagainya yang ditunjukkan oleh kakitangan (pegawai dan pekerja
bawahan) di peringkat PBT mencerminkan imej perkhidmatan awam itu
sendiri sama ada baik atau tidak.
Oleh sebab itu, pihak kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar
pembaharuan seperti konsep Bersih, Cekap dan Amanah; Kepimpinan
Melalui Teladan; Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran;
Dasar Pensyarikatan; Dasar Pandang ke Timur; dan Dasar Penswastaan.
Kesemua dasar ini bertujuan ke arah pembaikan dan peningkatan imej,
kualiti, produktiviti, keberkesanan dan kecekapan kakitangan atau
penjawat awam. Ini kerana penjawat awam tidak kira dalam agensi
manapun diseru supaya terus meningkatkan kualiti kerja dan produktiviti
serta menjaga nama baik perkhidmatan awam itu sendiri atau ringkasnya
birokrasi awam di mata masyarakat supaya masyarakat terus menanam
kepercayaan kepada birokrasi awam.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI


1.

Bincangkan syarat-syarat pelantikan Datuk Bandar atau Yang


Dipertua Majlis seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kerajaan
Tempatan, 1976?
137

2.
3.
4.
5.

Apakah syaratnya jika seseorang pegawai atau pekerja dalam


sebuah unit PBT ingin bertukar ke PBT lain walaupun di dalam
negeri yang sama?
Apakah tujuan pihak Majlis PBT mewujudkan Kumpulan Wang
Simpanan pekerjanya sendiri seperti yang diperuntukkan dalam
seksyen 18 Akta Kerajaan Tempatan?
Nyatakan apakah hubungan Dasar Penswastaan dengan isu
kakitangan di peringkat kerajaan tempatan ataupun PBT?
Bincangkan tujuan kesatuan sekerja seperti Kesatuan Pekerja
Kuasa-kuasa Tempatan (ANULAE) ditubuhkan?

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.


JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS
SDT 6.1
1.
2.

Perlantikan Datuk Bandar atau Yang Dipertua Majlis PBT


termaktub dalam seksyen 2 berhubung dengan tafsiran jawatan
berkenaan dan seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan, 1976.
Seksyen 16 Akta Kerajaan Tempatan, 1976 menyatakan senarai
jawatan-jawatan yang diwujudkan di peringkat PBT, di mana
PBT dalam setiap tahun atau sewaktu ketika mengemukakan
belanjawan kepada pihak kerajaan negeri dikehendaki
mengemukakan suatu senarai jawatan-jawatan yang difikirkan
perlu oleh PBT untuk ditawarkan atau diisi sekiranya berlaku
kekosongan.
SDT 6.2

1.

Rasional pihak kerajaan negeri melantik Pegawai Daerah menjadi


Yang Dipertua Majlis kerana beliau adalah terlatih dan
berpengalaman dalam bidang pentadbiran awam serta dipercayai
mampu untuk memberi sumbangan dalam membangunkan
kawasan berkenaan.

2.

Setiausaha Majlis PBT merupakan Ketua Pegawai Pentadbir yang


dilantik oleh kerajaan negeri dan beliau akan bertanggungjawab
menjalankan kewajipan-kewajipan sebagai Ketua Pegawai
Pentadbir dalam PBT berkenaan yang sah disisi undang-undang.

138

SDT 6.3
1.

Tujuan kawalan perjawatan oleh kerajaan persekutuan melalui


JPA adalah untuk mewujudkan keseragaman dalam kadar-kadar
dan asas-asas gaji dan elaun seperti prinsip-prinsip erkhidmatan
dalam perkhidmatan-perkhidmatan awam persekutuan.

2.

Setelah perjawatan dikawal oleh JPA, maka PBT tidak lagi


berkuasa dalam soal perjawatan. Ini bertujuan supaya PBT tidak
lagi menggredkan jawatan-jawatan dalam katogeri A tanpa
pemeriksaan dan persetujuan daripada JPA.

139

Anda mungkin juga menyukai