Anda di halaman 1dari 8

Isu Tekanan Dalam Profesion Perguruan

(Berdasarkan artikel Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi yang ditulis oleh Pengarah
Perhubungan Korporat Universiti Sains Islam Malaysia, DR. SAPORA SIPON dalam
Utusan Malaysia Online bertarikh 23 Julai 2007)

Di zaman yang serba mencabar dan moden ini di kala pergerakan semakin laju,
seiring dengan maklumat bergerak pantas serta semuanya menuntut kesempurnaan
dan komitmen yang tinggi daripada pelakunya, pastinya semua orang tidak dapat lari
daripada mengalami tekanan. Tekanan merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan
dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Kehidupan
manusia pada alaf ini amat mencabar dan kompleks. Kepelbagaian dan
kekomplekasian kehidupan ini menyebabkan munculnya Sindrom Baru yang
menyerang manusia iaitu tekanan atau secara khususnya lebih dikenali sebagai stres.
Menurut Hatta Sidi dan Mohamed Hatta Shaharom (2002), tekanan merupakan
sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi tanpa disedari.
Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh
mencabar. Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan
perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber,
dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Seiring dengan
itu, pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan
dan tanggungjawab guru-guru menjadi lebih mencabar.
Menurut rencana dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk Guru Lebih Stres yang
ditulis oleh Noor Hamzah Abu Bakar pada 24 April 2012, kajian menunjukkan bahawa
guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan tekanan
selepas polis, pegawai penjara dan jururawat. Kedudukan ini berada di atas daripada
profesion tentera yang menduduki tempat kelima. Malah Pengarah Urusan Great Life
Physio dan Rehabilation, Mohd. Rozaimi Che Kamaruddinata pula menyatakan
bahawa, Seseorang guru berdiri lama ketika mengajar di dalam kelas serta melakukan
aktiviti sukan dan sebagainya. Jadi, tidak mustahil mereka mengalami tekanan seperti
kesakitan anggota badan.
Di Malaysia, fenomena tekanan dalam kalangan guru kini sedang hebat
diperbincangkan dan dijadikan sebagai bahan kajian ilmiah. Malahan, kajian-kajian
yang lepas juga mendapati bahawa profesion perguruan adalah bidang kerjaya yang
menghadapi tekanan kerja yang tinggi (Cooper, 1995 dan Mokhtar,1998). Kita sering
mendengar dan terbaca di dada-dada akhbar tentang masalah-masalah dan tekanantekanan yang dialami oleh guru-guru masa kini contohnya seperti tekanan daripada
pihak ibubapa mahupun pihak pentadbir. Tekanan-tekanan dan masalah-masalah yang

dihadapi oleh guru-guru tersebut pastinya akan menyumbang kepada stres dan
kadang-kala ke tahap yang lebih kritikal, iaitu penyakit mental yang serius seperti
bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan. Ini pastinya akan menyebabkan
mutu dan kualiti perkhidmatan guru-guru terjejas selain turut memudaratkan kesihatan
fizikal dan mental guru. Banyak kajian yang telah dilakukan juga menunjukkan bahawa
kerjaya sebagai seorang guru adalah antara salah satu kerjaya yang menyumbang
kepada masalah stres tertinggi. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan
masalah ini?
Berdasarkan analisis yang dilakukan pada artikel penulisan Dr. Sapora Sipon berjudul
Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia
Online pada 23/7/2007, didapati bahawa terdapat beberapa faktor utama yang
menyebabkan berlakunya tekanan kerja dalam profesion perguruan. Antaranya ialah
beban tugas, persekitaran tempat kerja,masalah disiplin murid, keperluan penghargaan,
kekangan masa dan sumber, masalah peribadi serta faktor geografi.
Bebanan kerja yang semakin meningkat dari semasa ke semasa juga menjadi
penyebab utama bagi berlakunya tekanan yang lebih dikenali sebagai stres, dalam
kalangan guru. Isu ini telah dibincangkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18
Ogos 2012 yang ditulis oleh Abdul Muin Sapidin, di mana Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa bahawa, Tahap stres di kalangan guruguru di negara ini semakin menjadi dan membimbangkan ekoran bebanan tugas yang
meningkat. Kerjaya seorang guru pada 20 tahun yang lampau mungkin tidak sama
dengan kerjaya seorang guru pada masa kini. Secara amnya, mungkin kerjaya seorang
guru itu kelihatan hanyalah sekadar menyampaikan dan melaksanakan proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas namun sebenarnya tanggungjawab dan
beban tugas seorang guru itu melebihi dan merangkumi segala-galanya bermula
daripada mengajar dan mendidik murid-murid, aktiviti-aktiviti ko-kurikulum, tugas-tugas
pengkeranian sehinggalah kepada kerja-kerja sampingan seperti mengecat, membuat
garisan padang dan pelbagai jenis pekerjaan lagi. Bolehlah dikatakan bahawa
seseorang guru itu sentiasa bertugas dan dilimpahi dengan pelbagai tanggungjawab
bermula dari awal pagi sehinggalah kepada waktu petang. Oleh itu, bolehlah
dirumuskan bahawa bebanan kerja yang semakin meningkat adalah antara salah satu
punca berlakunya tekanan di kalangan guru-guru.
Selain itu, persekitaran tempat kerja iaitu sekolah tempat guru-guru mengajar juga
telah dikenalpasti antara punca-punca berlakunya tekanan di kalangan guru-guru.
Persekitaran yang dimaksudkan ialah hubungan guru-guru dengan pihak pentadbir,
ibubapa, rakan sejawat mahupun murid-murid seperti yang telah diklasifikasikan oleh
Dr. Sapora Sipon dalam rencana beliau. Ini menjelaskan bahawa hubungan baik guruguru dengan pihak pentadbir, ibubapa, rakan sejawat mahupun murid-murid pastinya
akan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan baik untuk guru. Namun begitu,

seringkali kita mendengar guru-guru sering menghadapi masalah dan tekanan


khususnya daripada pihak pentadbir dan ibubapa. Pihak pentadbir, khususnya Guru
Besar seringkali dilaporkan menekan para guru supaya berusaha keras siang dan
malam bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam bidang akademik
mahupun ko-kurikulum tanpa mengira kekangan dan masalah-masalah yang dihadapi
oleh guru-guru tersebut. Hal ini ditambah lagi dengan pelbagai karenah ibubapa yang
bulat-bulat menyerahkan tanggungjawab sebagai penjaga, pengasuh dan pendidik
kepada anak-anak mereka tanpa menghulurkan bantuan kepada guru-guru khususnya
dalam menangani gejala sosial yang berlaku di kalangan anak-anak mereka. Tambahan
pula, terdapat segelintir guru yang mempunyai masalah dengan rakan-rakan sejawat
khususnya di kalangan guru perempuan yang suka berpuak-puak dan ini pastinya
menyumbang kepada masalah stres di kalangan para guru.
Selain itu, kadar masalah disiplin yang tinggi di kalangan murid-murid, serta kegagalan
guru-guru mengawal kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang
berlangsung juga menjadi salah satu punca berlakunya stres di kalangan guru-guru. Di
dalam bilik darjah guru berhadapan dengan masalah salah laku pelajar yang mana
faktor ini dipercayai antara faktor yang menyebabkan guru-guru di sekolah menghadapi
tekanan. Guru terpaksa berhadapan dengan masalah pelajar-pelajar yang suka
membuat bising, biadap atau kurang ajar dan kesukaran mengawal pelajar dalam kelas,
misalnya pelajar hiperaktif yang suka berlari-lari di dalam kelas serta mengganggu
rakan-rakan lain semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Sehubungan itu, kita perhatikan bahawa faktor penghargaan juga merupakan satu lagi
faktor yang boleh menyebabkan tekanan kerja kepada guru. Faktor penghargaan ini
merujuk kepada penghargaan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang rajin,
berdedikasi, dan cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum. Terdapat guru-guru
yang benar-benar memberi komitmen yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran,
namun penghargaan yang sewajarnya masih belum diperolehi. Selain itu, terdapat
guru-guru yang tidak berpeluang untuk kenaikan pangkat dan masih tidak diiktiraf
senioritinya untuk memegang sesuatu jawatan. Adakalanya pandangan, pendapat dan
suara seseorang guru demi kebaikan sekolah tidak dihargai atau kurang mendapat
perhatian yang baik dari pihak pentadbiran sekolah. Ini juga boleh menimbulkan
perasaan tersinggung dan kecewa sehingga menyebabkan guru-guru itu menjadi
kurang proaktif lagi seiring dengan tekanan perasaan yang dialami. Selain itu, terdapat
segelintir guru yang melihat gaji yang diterima tidak seimbang dengan tugasnya
sedangkan mereka ini mengharapkan gaji yang seimbang dengan tugas-tugas yang
ditanggungnya. Sepatutnya apabila guru-guru tersebut memegang sesuatu jawatan
atau tugas yang berat, pihak pentadbir harus peka terhadap mereka yang dibebani
kerja yang banyak.

Faktor kekangan masa dan sumber merupakan faktor seterusnya yang menjadi
penyebab berlakunya tekanan kerja kepada guru. Kekangan sumber merujuk kepada
kekurangan peralatan dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran, keadaan bilik
guru, kekurangan kelas, tuntutan sukatan pelajaran dan lain-lain. Kekangan masa pula
ialah kekurangan masa guru-guru untuk mengajar, menghabiskan sukatan pelajaran
yang diajar, pelajar dan masa rehat yang singkat. Pelbagai kursus juga perlu dihadiri
oleh guru, kadang kala memakan masa yang lama sehingga terpaksa meninggalkan
kelas yang diajar. Tambahan pula, guru tersebut tidak dapat menghabiskan sukatan
pelajaran bagi mata pelajaran yang diajarnya. Setelah tamat kursus, guru perlu
menghabiskan dan menyiapkan tugasan yang tertangguh sebelum ini. Ini tentunya akan
menambahkan tekanan kerja kepada guru tersebut.
Di samping itu, masalah peribadi turut menjadi punca atau sebab berlakunya tekanan
di kalangan guru-guru. Masalah peribadi yang dimaksudkan di sini adalah seperti
masalah rumahtangga ataupun masalah kesihatan yang berlaku di kalangan guru.
Pastinya masalah-masalah yang berlaku dalam rumahtangga seperti penceraian
mahupun masalah kesihatan seperti ditimpa penyakit-penyakit kronik menjadi salah
satu sebab guru mengalami stres. Masalah-masalah ini kadangkala boleh membawa
kepada sindrom kemurungan di kalangan guru dan mereka juga akan berasa kurang
bersemangat semasa berada di sekolah. Tidak dapat dinafikan juga bahawa kenaikan
pangkat yang terhad serta kadar gaji yang rendah turut menyumbang kepada tekanan
perasaan yang seterusnya menjadi pencetus berlakunya masalah stres kepada
seseorang guru. Kekangan kewangan disebabkan oleh gaji yang rendah pastinya
menghalang guru-guru untuk mencapai status sosial yang baik dalam sesebuah
masyarakat dan ini pastinya mengundang tekanan juga kepada para guru. Hal ini
sememangnya berlaku di kalangan para guru khususnya guru-guru yang baru
memasuki alam pekerjaan yang dilaporkan sukar untuk memberikan taraf hidup yang
lebih baik kepada keluarga mereka khususnya untuk memiliki rumah dan kenderaan
mewah yang sendiri.
Walau bagaimanapun, geografi juga menjadi faktor penting dalam menentukan
tekanan kerja di kalangan guru. Kedudukan sekolah dan masyarakat di kawasan
sempadan adalah berbeza dengan tempat-tempat lain di Malaysia. Antara tempat yang
agak unik dan perlu dibuat kajian ialah kawasan sempadan Malaysia dengan Thailand.
Ini dapat kita lihat di Rantau Panjang, Kelantan di mana 35 peratus pelajar di sekolah
berasal dari Sungai Golok, Thailand. Pelajar-pelajar di sini adalah terdiri daripada
pelajar Melayu dan mereka berulang-alik melalui jambatan dan sebahagian lagi datang
dengan menaiki sampan. Budaya hidup di sini agak berlainan dengan tempat lain di
Malaysia kerana sedikit sebanyak budaya dari Thailand telah mempengaruhi
masyarakat di Rantau Panjang. Selain daripada itu, satu lagi kelainan jika dibandingkan
dengan tempat-tempat lain ialah kegiatan penyeludupan yang menjadi sumber

pendapatan penduduk di sini. Sebahagian besar penduduk di sini tidak menganggap


kegiatan ini sebagai satu kesalahan, malah ia dianggap sebagai satu mata pencarian.
Guru baru yang ditempatkan di sini memerlukan masa untuk menyesuaikan dengan
keadaan persekitaran sebegini dan guru lama di sini mungkin telah menerima aktiviti ini
sebagai satu kenyataan. Maka, tidak mustahil sekiranya guru-guru yang ditempatkan di
sini mengalami masalah tekanan kerja yang lebih berat dari tempat-tempat lain.
Berdasarkan punca-punca yang telah dihuraikan, didapati bahawa tekanan guru boleh
mengakibatkan perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan,
tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka sebagai seorang
guru. Dr. Sapora Sapian turut menerangkan dalam rencana beliau bahawa guru yang
menghadapi tekanan tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya
pendidikan yang bukan sahaja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu
mendidik manusia agar menjadi masyarakat yang berguna. Justeru itu, tekanan kerja
pada tahap yang tinggi biasanya akan membawa kepada ketidakpuasan kepada kerja,
sikap suka mengelak serta pengabaian kerja.
Malah, guru yang tertekan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan tekanan
yang melanda mereka berakhir. Ini termasuklah melakukan perkara-perkara yang
menyalahi undang-undang dan etika perguruan. Ponteng kerja adalah antara perkara
serius yang dilakukan oleh individu-individu yang tertekan. Tindak balas penyesuaian
tekanan oleh guru merangkumi tindakbalas psikologikal (keletihan dan kemurungan),
fisiologikal (sakit kepala, tekanan darah tinggi) dan berkaitan sikap (pengambilan
alkohol, merokok, gaya hidup dan masalah tidur). Selain itu juga, tekanan yang
berpanjangan juga boleh melemahkan mental dan fizikal seseorang guru serta boleh
membawa risiko ke atas kesihatan jika tidak menerima rawatan dengan sebaiknya.
Tekanan atau stres yang berterusan juga boleh menggugat emosi seseorang guru
sehingga kadangkala bertindak di luar jangkaan. Misalnya seperti berita yang diulaskan
oleh Dr. Sapora Sapian dalam rencana beliau, di mana seorang warden asrama
mengarahkan ramai pelajar perempuan SMK Bawang Assan berendam di dalam kolam
ikan kerana kesalahan seorang daripada mereka yang membuang tuala wanita di
dalam mangkuk tandas asrama perempuan.
Ini jelas menyatakan bahawa tekanan kerja sememangnya akan mengganggu gaya
hidup dan kesejahteraan hidup seseorang insan bergelar guru. Ini seterusnya akan
mengganggu prestasi kerja dan outputnya dalam bidang pendidikan yang diceburinya.
Perkara ini telah turut dibuktikan melalui pendedahan yang dibuat oleh akhbar (Berita
Harian, 2011) iaitu seramai lima peratus daripada keseluruhan penjawat awam di
Malaysia terlibat dalam kes ponteng kerja, di mana ada sesetengahnya tidak hadir ke
tempat kerja selama tiga bulan. Tambahan pula, menurut laporan akhbar (Berita Harian,
2012) terdapat seorang guru di Perak yang tidak menghadirkan diri ke sekolah selama

lebih dari 30 hari tanpa sebarang alasan yang kukuh. Akibat dari perlakuan tersebut,
pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap
guru terbabit termasuk memecatnya. Perkara ini dikhuatiri ada kaitannya dengan
tekanan kerja yang dihadapi oleh guru seperti yang dinyatakan oleh Dr. Sapora Sapian
dalam rencana beliau.
Guru yang ponteng kerja akan menyebabkan proses pembelajaran dan pentadbiran di
sekolah terganggu untuk satu jangka masa yang panjang. Akibatnya, banyak perkara
yang tidak boleh diselesaikan dengan segera seperti kegagalan menghabiskan silibus
pengajaran dan kelewatan menganjurkan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Selain itu,
rancangan pengajaran yang telah ditetapkan juga tidak dapat diikuti lagi kerana telah
tersasar dari perancangan asal menyebabkan perancangan yang baru perlu disusun
semula. Akhirnya, pelajar-pelajar kelas terbabit juga akan menerima padah apabila
mereka tidak mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik terutamanya
peperiksaan besar seperti UPSR, kesan daripada proses pengajaran dan pembelajaran
yang tidak lancar.
Oleh hal yang demikian, kebijaksanaanlah yang menentukan dan membezakan
seseorang individu itu dengan individu yang lain. Seorang guru yang bijak pastinya
akan sentiasa berfikiran positif dan mempunyai strategi dan kaedahnya yang tersendiri
untuk mengatasi dan menangani masalah tekanan yang dihadapi oleh mereka.
Berdasarkan kepada hasil kajian yang telah dijalankan, berikut dapatlah dikemukan
beberapa cadangan yang berkaitan dengan pengurusan tekanan guru di sekolah.
Cadangan-cadangan yang dikemukakan ini difikirkan sesuai untuk mengurangkan
tekanan kerja warga pendidik secara amnya.
Salah satu langkahnya ialah berasaskan usaha seseorang guru itu sendiri, iaitu
dengan melaksanakan dan menguruskan segala kerja dan tanggungjawab yang
diamanahkan dengan lebih sistematik dan tersusun. Guru yang bijak pastinya mampu
merangka strategi yang tersusun agar segala tanggungjawab atau kerja yang
diamanahkan dapat dilakukan atau disiapkan dengan sempurna mengikut tarikh yang
ditetapkan selaras dengan etika pengurusan masa yang patut dimiliki oleh setiap guru.
Budaya menangguhkan kerja dan bersikap sambil lewa ketika menjalankan tugas
haruslah dielakkan bagi mengelakkan bebanan kerja yang berlambak pada satu-satu
masa. Guru-guru juga boleh menolak tugas yang diberikan oleh pihak pentadbir
mahupun rakan sejawat dengan cara yang baik dan berhemah sekiranya merasakan
beban tugas yang ditanggung adalah amat berat dan membebankan.
Selain itu, para guru juga boleh menggunakan teknologi internet yang berkembang
pesat pada masa kini untuk meluahkan perasaan dan menyatakan masalah yang
dihadapi di dalam blog-blog atau forum-forum berkaitan guru bagi mendapatkan nasihat
daripada guru-guru yang lebih berpengalaman berkaitan masalah yang dihadapi.

Pastinya perbincangan yang bermutu di antara guru-guru baru dengan guru-guru


berpengalaman akan menghasilkan impak atau keputusan yang positif bagi menangani
masalah stres yang berlaku di kalangan guru-guru di sekolah.
Seterusnya, seseorang guru yang mengalami tekanan juga bolehlah mengambil
pendekatan mengelakkan diri daripada individu-individu yang mengundang stres
kepada mereka contohnya seperti mengelakkan diri daripada bercampur dengan rakanrakan sejawat yang tidak sistematik dalam menjalankan tugas. Namun begitu, haruslah
diingatkan bahawa guru-guru perlulah bertindak dengan bijak dalam apa jua tindakan
yang dilakukan bagi mengelakkan diri daripada dituduh atau dianggap lari daripada
menjalankan tugas.
Di samping itu, guru juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti riadah, senaman yang
berterusan dan melakukan latihan jasmani supaya dapat membantu melupakan
tekanan yang dihadapi. Badan yang segar akan mempunyai otak yang cerdas.. Aktiviti
bersukan selain membantu mengeluarkan peluh serta menjadikan badan kita sihat dan
cergas juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan para guru dengan
masyarakat. Aktiviti-aktiviti seperti berkelah atau bermain bola pada waktu petang atau
hujung minggu bersama rakan sejawat lain sekolah pastinya akan menghasilkan
perbincangan-perbincangan serta pertukaran idea yang sihat di antara guru-guru dan
masyarakat di mana perkara ini pastinya akan membantu para guru untuk
mendapatkan kehidupan yang lebih baik seterusnya mengurangkan tekanan yang
dialami. Ini adalah selaras dengan amalan pemakanan guru juga perlu diberi panduan
dan perhatian supaya bukan hanya murid-murid sahaja yang dijaga aspek jasmani,
emosi, rohani dan inteleknya tetapi guru juga sepatutnya diberi pendedahan terhadap
penjagaan aspek tersebut.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa profesion keguruan juga terdiri daripada
komuniti berbeza kaum di mana setiap individu menganuti agama serta kepercayaan
mengikut kaum masing-masing. Maka, seseorang guru juga bolehlah berusaha
mendekatkan diri dengan penciptaNya bagi mengurangkan masalah tekanan yang
dihadapi. Sebagai contoh para guru yang beragama Islam bolehlah memperbanyakkan
membaca ayat-ayat suci al-Quran serta memperbanyakkan amalan zikir kerana kajian
menunjukkan bahawa individu yang sentiasa mendekatkan diri dengan penciptaNya
dapat menguruskan kehidupannya dengan lebih baik seterusnya mencapai kejayaan
dalam setiap aspek kehidupan. Bagi guru-guru yang beragama lain pula, mereka juga
boleh berdoa mengikut kepercayaan kaum masing-masing untuk mendapatkan
ketenangan diri yang secara secara langsung dapat mengelakkan tekanan dalam diri
seseorang guru.
Langkah seterusnya bagi menangani masalah tekanan di kalangan guru melibatkan
peranan pihak pentadbir. Misalnya, pihak pentadbir menganjurkan program berkaitan

pengurusan tekanan, sama ada dalam bentuk bengkel, kursus ataupun seminar perlu
memasukkan strategi berlandaskan agama dalam kandungan atau agenda program.
Seterusnya, mewujudkan suasana yang sihat dan harmoni iaitu perhubungan yang baik
antara staf, keputusan yang diambil perlulah berdasarkan perbincangan, polisi sekolah
yang lengkap dan teratur, guru-guru menerima tindak balas yang positif dan dihargai,
pengurangan tugas-tugas pentadbiran sebarang tugas tambahan adalah berdasarkan
kepada kemahiran guru tersebut, membina persekitaran kerja yang ceria dan
kerjasama yang baik untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
Melalui pendekatan organisasi pula, pentadbir tentu boleh menentukan pemilihan dan
penempatan guru-guru. Perpindahan dan pertukaran guru-guru disokong sepenuhnya
supaya guru-guru yang ingin bertukar tidak tertekan. Pengetua juga mestilah ubah suai
tugas guru dan memberikan taklimat kerja yang mendalam terutama sekali sasaran
matlamat. Sebarang keputusan dan perancangan sekolah mestilah dilibatkan
kerjasama semua guru di sekolah. Proses menerima dan menapis pendapat dan
pandangan guru mungkin terlalu lambat, tetapi ia lebih mudah untuk diterima.
Sehubungan itu juga, pentadbir perlu mengubah gaya pentadbiran bersifat autokratik
kepada gaya pentadbiran yang lebih mengutamakan pendekatan humanistik atau
demokratik.
Kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa kerjaya dan tugas seorang guru itu
adalah amat berat. Tugas dan tanggungjawab guru pada masa yang serba canggih dan
mencabar ini bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan malah gurulah
yang menjadi penjana dan nadi kepada kecemerlangan generasi yang akan datang.
Secara mudahnya, tekanan-tekanan yang dialami oleh guru tidak boleh dipandang
remeh kerana ianya boleh membawa kesan yang jauh lebih dahsyat kepada kemajuan
pendidikan negara amnya dan kepada pembangunan pelajar khasnya kerana mereka
bakal menjadi pemimpin pada masa depan. Ternyata, tekanan kerja sememangnya
akan mengganggu gaya hidup dan kesejahteraan hidup seseorang insan bergelar guru.
Ini seterusnya akan mengganggu prestasi kerja dan outputnya dalam bidang
pendidikan yang diceburinya.
Oleh yang demikian, setiap individu yang bergelar guru juga perlulah sentiasa
mempersiapkan diri dengan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan yang ada
mengikut perubahan semasa. Selain itu, seorang guru juga perlulah bijak menangani
dan menguruskan setiap bebanan dan masalah yang dihadapi di alam pekerjaan
dengan bijaksana agar setiap permasalahan dan bebanan tersebut tidak mengundang
kepada masalah tekanan atau stres. Akhir kata, ingatlah bahawa setiap permasalahan
itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dengan masalah tekanan atau stres
yang dialami oleh guru-guru pada masa kini, walaupun kadangkala penyelesaian itu
memerlukan pengorbanan. Dalam pada itu, setiap pihak juga harus memberi sokongan
dan membantu mengurangkan beban stres yang dihadapi oleh guru ini.

Anda mungkin juga menyukai