Anda di halaman 1dari 10

Adakah Pengetua-Pengetua Di Malaysia Menjalankan Tugas

Sebagai Pemimpin Pengajaran Atau Pemimpin Pentadbiran


Atau Kedua-Duanya Sekali oleh Azizah Md. Isa*
Peranan Pengetua Dan Kepimpinan : Satu Tinjauan.
"Dalam banyak hal, pengetua sekolah ialah individu yang paling penting dan berpengaruh di sesebuah
sekolah. Dia ialah orang yang bertanggungjawab terhadap semua aktiviti yang berlaku di sekolah.
Kepimpinannyalah yang menetapkan nada sekolah, iklim pembelajaran, tahap profesionalisme dan moral
serta darjat keprihatinan terhadap masa depan para pelajar. Pengetua juga adalah penghubung utama
antara sekolah dengan kominiti dan cara dia menjalankan tugas dalam konteks ini menentukan sikap
para ibu bapa dan pelajar terhadap sekolah. Seseorang akan mengatakan kepemimpinan pengetualah
yang menyebabkan sekolah itu berjaya, inovatif, tempat tumpuan para pelajar, terkenal kerana
kecemerlangan dalam pembelajaran dan terdapat pelajar yang gigih mengikut kebolehan masingmasing" (Rosenblum, et.al., : 2-3).
Begitulah salah satu saranan kuat tentang betapa pentingnya peranan pengetua dalam bidang
pengajaran ini telah dikemukakan oleh The Select Committee on Equal Education Opportunity of the
United State's Senate pada tahun 1979. Di negara kita juga terdapat sikap dan pandangan seumpama
itu. Satu cadangan telah dikemukakan oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian
Pendidikan pada tahun 1982, untuk mengkaji taraf pendidikan di sekolah-sekolah. Jawatankuasa ini yang
dinamakan Jawatankuasa Mengkaji Taraf Pelajaran di Sekolah-sekolah, telah melaporkan bahawa para
pengetua bertanggungjawab terhadap pencapaian pelajar di sekolah mereka. Oleh itu, mengikut
pendapat jawatankuasa ini, mereka perlulah cekap
dan banyak menghabiskan masa mengelolakan aktiviti pembelajaran di sekolah-sekolah,
mengekalkan penyeliaan sekolahnya dengan cara yang berkesan, bertindak sebagai pakar runding,
penasihat dan koordinator bagi program-program pengajaran dan pembelajaran di sekolah, dan perlu
juga menghabiskan masa yang lebih dalam aktiviti-aktiviti profesional guru dan pelajar, dan jangan hanya
bekerja semata-mata sebagai pentadbir yang berkurung di dalam biliknya mengeluarkan arahan dan
surat-surat arahan dan surat-surat siaran (h. 6).
Pernyataan ini jelas menunjukkan terdapatnya peralihan tugas utama pengetua iaitu daripada pentadbir
sekolah kepada pemimpin pengajaran. Perubahan peranan pengetua berlaku kerana keperluan daripada
pelbagai usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak untuk mencapai kecemerlangan pendidikan. Pihak ini
termasuklah Jabatan Pendidikan Negeri dan pelbagai Bahagian Kementerian Pendidikan. Oleh yang
demikian dari segi teorinya, peranan pengetua yang hanya menjalankan pentadiran sekolah (supaya
sekolah dapat berjalan) kini tidak lagi dianggap sesuai bagi mencapai matlamat pendidikan bagi
memenuhi keperluan Wawasan 2020, yang menuntut pelbagai perubahan dalam sektor pendidikan.
Oleh itu, dalam konteks untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, para pengetua perlu
memainkan dua fungsi utama secara serentak; iaitu mengurus sekolah dan memberi kepemimpinan
dalam pengajaran atau dalam pelaksanaan perubahan yang dirancangkan (Rosenblum et.al., 1980).
Peranan pengetua diiktiraf sebagai amat penting dalam kejayaan atau kegagalan sebarang pelaksanaan
program pendidikan, atau projek pendidikan ataupun program kemajuan (pendidikan) di sekolah. Ini
dinyatakan oleh ahli-ahli dalam bidang ini seperti Fullan dan Pomfret (1977), Berman dan McLaughlin
(1976), Walter (1981), Leithwood dan Montgomery (1982) dan Hord dan Leslie (1986). Ekoran daripada
itu, kata Rosenblum et.al., (1980), banyak usaha untuk melaksanakan inovasi pendidikan di sekolah

dikatakan tidak atau kurang berjaya dalam pencapaian objektif yang ditetapkan. Wyant et.al.,(1980)
malah pernah berkata bahawa:
Penyelidikan yang telah dijalankan selama sedekat telah memberikan maklumat penting tentang proses
perubahan di sekolah-sekolah. Kesemua dapatan nampaknya menunjukkan bahawa tanpa sokongan
kuat dan persetujuan penuh daripada pihak pengetua, hampir semua usaha yang dilakukan oleh pihak
luar untuk membuat perubahan di sekolah akan menemui kegagalan (h. 8-9).
Saiz sekolah yang bertambah besar kerana gabungan sekolah-sekolah kecil (seperti di England kerana
pelaksanaan sistem sekolah komprehensif), perkembangan sistem pendidikan yang pesat tiga dekat
yang lalu kerana peningkatan bilangan pelajar seterusnya menjadikan pengurusan sekolah besar di
Malaysia bertambah sukar. Peranan pengetua turut berubah bersesuaian dengan perubahan saiz
sekolah menjadikan pengetua kini lebih menumpukan kepada pengurusan sekolah berbanding dengan
peranan mereka berhubung dengan pengajaran.
Menurut Philip Loh (1974), merujuk kepada keadaan sekolah sebelum tahun 1957, pengetua sekolah
adalah orang yang paling penting dalam sistem sekolah dan biasanya sesebuah sekolah pada masa itu
boleh dikaitkan dengan personaliti pengetuanya. Mereka adalah guru yang dihormati, pemimpin
pengajaran yang disegani dan dalam kekurangan guru-guru yang terlatih, mereka turut menjadi jurulatih
guru untuk mengisi kekurangan guru di sekolah masing-masing.
Pengetua-pengetua dahulu bertugas di sekolah yang sama sepanjang hayatnya. Pada ketika itu, tugas
pentadbiran sekolah tidak seberat tugas pengajaran. Oleh itu, sebahagian besar masa kerja pengetua
adalah untuk pengajaran.Walau bagaimana pun, keadaan itu telah pun berubah dengan perkembangan
sistem pendidikan, serentak dengan perubahan keadaan sosiopolitik dan ekonomi beberapa dekat yang
lalu. Konsep jawatan pengetua sebagai pentadbir sekolah berubah, dan sekolah-sekolah tidak boleh
dikaitkan personaliti pengetua lagi. Pengetua sekarang sering berpindah dari sebuah sekolah ke sekolah
yang lain. Selain itu tugas pentadbiran menjadi bertambah berat berbanding dengan tugas pengajaran,
malahan ada pengetua yang tidak mengajar langsung dan hampir seratus peratus masa kerja mereka
adalah untuk hal-hal pengurusan sekolah (AL. Ramaiah, 1999).

Mentadbir Atau Memimpin Atau Kedua-duanya Sekali?


Untuk memahami sistem sesebuah sekolah, yang juga disebut organisasi sosial, pengetahuan asas
tentang konsep dan fungsi pengurusannya adalah penting. Pengetahuan ini dapat membimbing pengetua
sekolah memainkan peranannya sebagai seorang pentadbir dan pengurus sesebuah sekolah. Oleh
kerana guru-guru dan kakitangan am merupakan sumber utama dalam sistem pentadbiran sekolah, dan
tingkah laku mereka mempengaruhi keberkesanan sekolah, maka satu corak pentadbiran yang tersusun
dan teratur diperlukan untuk memudahkan pengetua membimbing mereka bagi mempertingkatkan mutu
pengajaran-pembelajaran.
Menurut Lipham dan Hoeh (1974), seseorang pengetua sekolah itu perlu berfungsi dalam lima bidang.
Pertama, penglibatan pengetua dalam bidang kemajuan pengajaran. Peranan ini termasuklah mentafsir
dan perancang program di sekolah, supaya sekolah itu lebih maju. Kedua, penglibatan pengetua dalam
bidang perkembangan staf. Peranan ini termasuklah mengenalpasti staf baru, mengadakan orientasi dan
mengagihkan tugas staf serta melaksanakan program kemajuan dan penilaian staf. Ketiga, pengetua
juga perlu melibatkan diri dalam perkhidmatan pelajar. Peranan ini mencakupi hal-hal yang berkaitan
dengan kebajikan pelajar, bimbingan dan kerjaya, penglibatan pelajar dalam aktiviti-aktiviti di sekolah.
Keempat, ialah bidang kewangan dan kemudahan sekolah. Dalam konteks ini pengetua perlu membuat
perancangan tentang anggaran belanjawan, mentadbir kewangan dan kemudahan-kemudahan yang ada
di sekolah. Kelima, penglibatan pengetua dalam bidang perhubungan sekolah dengan komuniti. Dalam

bidang ini, pengetua harus peka tentang komuniti sekolahnya, membuat perhubungan dengan komuniti
serta menggunakan sumber yang terdapat dalam komuniti itu dengan berkesan.
Drake dan Roe (1980) pula mempunyai pandangan bahawa perana pengetua adalah functionallydualistic. Mereka melihat peranan pengetua itu dari dua dimensi. Dimensi pertama ialah penekanan
pentadbiran-pengurusan iaitu pengetua menjalankan tugas-tugas mentadbir dan mengurus sekolah.
Peranan ini berhubungan dengan kelicinan perjalanan sesebuah sekolah itu. Dalam hubungan ini,
pengetua dikatakan sebagai pentadbir atau pengurus sekolah dan menumpukan peranannya untuk
memajukan sekolah. Dimensi kedua ialah dimensi kepemimpinan pendidikan-pengajaran. Dalam konteks
ini dikatakan sebagai pemimpin pendidikan-pengajaran. Perana pengetua dalam bidang ini ialah memberi
kepemimpinan, galakan dan sokongan kepada guru dan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran.
Dalam masa yang sama, pengetua ini harus berusaha memimpin sekolah untuk mewujudkan
persekitaran sosial yang sihat dan memberangsangkan pengajaran-pembelajaran di sekolah itu, dengan
tujuan matlamat sekolah dapat dicapai.
Dalam organisasi sekolah, amat sukar untuk membezakan kepemimpinan pentadbiran dan
kepemimpinan pengajaran. Ini disebabkan konsep kepemimpinan mengandungi kedua-dua tugasan
tersebut dan pengetua harus menangani kedua-dua tugasan yang saling bertindih ini. Walau
bagaimanapun, dari segi teori, terdapat perbezaan antara kedua-dua tugasan ini. Jika dilihat dari satu
perspektif, kepemimpinan pentadbiran dianggapkan sebagai kebolehan seseorang pengetua itu
menyelenggara sekolahnya. Dalam hal ini pengetua seharusnya menentukan sekolahnya berkebolehan
membina/mewujudkan kesesuaian sekolahnya itu dengan persekitarannya Sergiovanni, 1977).
Kepemimpinan seumpama ini dicirikan dengan kerja rutin (Dwyer, 1984), bertindak balas terhadap
masalah dari dalam dan luar sekolah, di samping menyelesaikan gangguan-gangguan pembelajaran tang
wujud hampir setiap hari di sekolah (Bridges, 1967; Brightman, 1984).

Sistem Pentadbiran Pendidikan Di Malaysia.


Struktur dan organisasi pentadbiran pendidikan di Malaysia dibentuk berdasarkan sistem politik dan
pentadbiran negara. Sistem pendidikan di Malaysia merupakan sistem pendidikan berpusat, dengan itu,
struktur pentadbiran pendidikan juga berpusat di mana ia berkaitan hal kurikulum, kewangan,
pengambilan kakitangan dan pengubalan dasar. Wujudnya amalan pentadbiran berpusat ini dipengaruhi
oleh berbagai-bagai faktor misalnya faktor sejarah, geografi, ekonomi, sosio-politik dan faktor pendidikan.
Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) juga menyenaraikan tugas pengetua seperti berikut:
1. Melaksanakan semua rancangan pendidikan yang ditetapkan oleh Kementerian
Pendidikan.
2. Mengawas dan membimbing guru-guru di sekolah untuk menjamin mutu pengajaranpembelajaran di sekolah.
3. Mengawas dan menyelia murid-murid dalam pelajaran mereka dan dalam hal seperti
disiplin, kegiatan sukan, persatuan, kerja-kerja amal dan sebagainya.
4. Mengadakan hubungan baik dan berkesan dengan ibi bapa dan orang ramai melalui
Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) serta Jemaah (h. 142)
Dengan itu jelaslah bahawa tugas dan peranan seorang pengetua adalah bersifat kepelbagaian, dan
sememangnya adalah sukar untuk beliau menyempurnakan peranan dan tugasnya tanpa sebarang
bantuan. Di peringkat sekolah, pengetua atau guru besar bertindak sebagai pemimpin profesional dan

pemimpin pentadbiran. Pada amnya, pengetua dibantu oleh dua orang penolong kanan dan seorang
penyelia petang (sekolah dua sesi) dalam menjalankan tugas pentadbiran sekolah berkenaan.
Unit pentadbiran pendidikan di peringkat sekolah boleh dikatakan dinamik kerana di peringkat inilah
pentadbir pendidikan dan kakitangan pendidikan berinteraksi terus dengan pelanggannya (murid, ibu
bapa dan komuniti). Kebijaksanaan, keberkesanan dan kebolehan kepemimpinan pengetua diuji
sepenuhnya. Sepertimana biasanya diperkatakan " terdapat pengetua yang 'baik' di sekolah yang
bagus, jarang ada pengetua yang 'baik' duduk di sekolah yang 'teruk' (AL. Ramaiah, 1999).

Pengetua Dalam Pentadbiran.


Di peringkat sekolah, pengetua bertanggungjawab untuk menguruskan sekolah dalam banyak aspek
seperti kurikulum, kokurikulum, pejabat, sistem fail, guru-guru, kakitangan, murid-murid, bangunan, alatalat persekolahan sekitar sekolah. Pengetua dibantu oleh penolong pengetua satu, penolong pengetua
dua dan penyelia petang (Kementerian Pendidikan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, 1987).
Oleh itu peranan yang dimainkan oleh pengetua adalah sangat penting di dalam menjayakan sistem
pendidikan kita. Maju mundurnya sesebuah sekolah itu bergantung banyak kepada peranan pentadbiran
dan pengurusan sekolah serta tingkah laku dan corak kepimpinan pengetua itu (Jurnal PKPSM, 19801981). Pengetua adalah orang yang bertanggungjawab untuk mencapai matlamat sekolahnya dan
matlamat pendidikan pada keseluruhannya. Di samping menjalankan pentadbiran, mengawasi guru dan
kakitangan bukan guru serta murid-murid, pengetua juga bertanggungjawab mentadbirkan dengan baik
bangunan sekolah, kemudahan-kemudahan asas yang lain serta perbelanjaan sekolah dan seterusnya
membuat 'budgeting' dan perancangan yang rapi (Jurnal, PKPSM, 1980-1981).

Pengetua Dalam Kepimpinan Pengajaran.


Selain daripada tingkah laku dan peranan pentadbiran yang harus dilakukan oleh pengetua untuk
membentuk iklim sekolah yang menarik dan menyeronokkan, pengetua harus memainkan peranan
sebagai pemimpin. Kepimpinan pengetua terhadap guru-guru, murid-murid, kakitangan, ibu bapa dan
masyarakat sekeliling hendaklah berkesan supaya ia dapat menunjukkan kecemerlangan sekolah. Untuk
mendapat kepimpinan yang berkesan seseorang pengetua harus mengetahui tentang teori-teori
kepimpinan dan seterusnya cuba menyesuaikan diri dengan keadaan. Sebagaimana diterangkan oleh
Fred Fiedler tentang teori dan konsep kepimpinan yang terdapat dalam buku Educational Administration,
Theory and Practice oleh Hoy dan Miskel (1987) menyatakan:
"That leadership style is determine by the needs the individual seeks to satisfy in the leadership situation
and that the effectiveness of the group's performance is contingent upon the appropriate matching of
leadership style and the degree of favourableness of leadership situation for the leader that is the degree
to which the situation provides the leader which influence his workers".

Senario Di Malaysia
Reformasi pendidikan berlaku secara berterusan di seluruh dunia kerana desakan perubahan keadaan
sosioekonomi, politik serta pengaruh asing. Bersama itu, pendidikan negara turut berubah dengan pesat
sebagai respons kepada perubahan sosioekonomi, politik dan budaya. Proses reformasi dan perubahan
yang berlaku sememangnya memerlukan perubahan dan pengubahsuaian dari segi struktur organisasi

pentadbiran serta corak pentadbiran pendidikan supaya menjadikannya lebih efektif dalam menghadapi
cabaran reformasi dan perubahan, menjadikannya lebih efektif dalam mengurus dan mentadbir
perubahan, juga menjadikan sistem pendidikan lebih bertanggungjawab.
Disebabkan oleh sistem berpusat, pengetua menjalankan tugasnya sesuai dengan dasar kerajaan iaitu
berdasarkan pekeliling-pekeliling dan peraturan-peraturan dalam bidang akademik dan bukan akademik.
Pengetua mestilah berusaha untuk memahami pekeliling, undang-undang dan peraturan serta prosedur
yang dihantar oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan
Daerah dan agensi kerajaan yang lain, sama ada yang berkaitan dengan hal-hal profesional dan
sebagainya (Malaysia, Kementerian Pelajaran,1969-1978)
Dalam kajian dan penulisan tentang sekolah efektif, ada pengetua yang dilabelkan sebagai berkesan
atau bagus dan ada pula yang dikatakan tidak berkesan atau tidak bagus. Apakah yang membezakan
antara pengetua yang berkesan dengan yang kurang berkesan? Adakah ini bergantung pada
kelulusannya atau kerajinannya? Dalam hubungan ini, Limpham dan Hoeh (1974) misalnya telah
mengatakan bahawa, yang membezakan antara pengetua yang berkesan dengan yang tidak berkesan
ialah gaya kepemimpinannya. Hemphil, et.al., (1962) menggambarkan pengetua yang berkesan sebagai
seorang yang bekerja keras dan sentiasa berhubung dengan guru. Gross dan Herriot (1965) melaporkan
bahawa pengetua berkesan ialah yang memberi galakan dan sokongan kepada staf, daripada memberi
arahan, serta yang mengutamakan kepemimpinan yang berkesan. Pandangan ini diperkukuhkan pula
dengan dapatan Rasmussen (1976) dan Ogawa dan Hart (1985) Lethwood Montgomery (1986) yang
mengatakan bahawa terdapat pertalian signifikan antara tingkah laku kepemimpinan pengetua dengan
prestasi pelajar. Tersirat dalam dapatan ini, wujudnya satu paradigma teori mengenai hubungan
kepemimpinan pengetua dengan kemajuan atau kejayaan pelajar.
Kenanyakan penulis dan penyelidik dalam pendidikan mengakui bahawa pengetua sekolah hendaklah
berfungsi sebagai pemimpin pengajaran di peringkat sekolah masing-masing. Hanya terdapat perbezaan
di antara mereka ialah di peringkat penekanan sahaja. Antara penulis-penulis tersebut ialah seperti
Zechman (1977), Turner (1977), Wirsig (1980), Spalding (1982), Brown (1981) dan ramai lagi.
Di Malaysia, seorang pengetua seharusnya memainkan peranannya sebagai guru di bilik darjah. Ini jelas
berdasarkan Pekeliling Pentadbiran 3/67 (pindaan 1982) menegaskan bahawa pengetua dikehendaki
mengajar dalam bilik darjah sekurang-kurangnya lima waktu seminggu. Sehubungan dengan itu,
pengetua mestilah menentukan jadualnya sendiri untuk mengajar, pengetua mestilah peka dengan
perubahan-perubahan terutama berkaitan dengan kaedah mengajar dan masalah-masalah yang dihadapi
oleh guru-guru dalam bilik darjah. Dengan kesedaran ini, pengetua dapat bertindak segera untuk
memperbaiki kelemahan yang ada bagi meningkatkan operasi pengajaran dan pembelajaran di bilik
darjah. Dari segi profesionalismenya pula, penglibatan pengetua dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran boleh mendorong dirinya untuk mengemaskinikan pengetahuan dan kemahirannya dalam
kaedah pengajaran dan maklumat lain mengikut perkembangan semasa.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengetua sekolah mempunyai kerja yang banyak. Ini
menyebabkan peranan mereka dalam memimpin pengajaran kurang diberi perhatian. Ramai pengetua
yang bekerja keras dan mengambil banyak masa untuk mengatasi peranan dan beban kerja. Ini
merupakan satu cara bagi mereka untuk menyelesaikan kerja yang bertimbun-timbun kadangkala
terpaksa diselesaikan di luar waktu pejabat (Vetter, 1979). Sebab itulah agaknya Kementerian Pendidikan
atau Jabatan Pendidikan Negeri tidak menentukan masa khusus untuk pengetua datang atau pulang dari
sekolah (Hassan, 1981).
Kepemimpinan adalah faktor penting yang membezakan antara pengetua yang berkesan dengan tidak
berkesan. Satu kajian yang telah dijalankan (Hussein, 1989) menunjukkan sekolah yang efektif dipimpin
oleh pengetua yang berkesan, manakala sekolah yang kurang efektif pula dipimpin oleh para pengetua
yang kurang berkesan dan kurang berminat untuk memajukan diri dan meningkatkan tahap
profesionalisme mereka. Seperti yang dinyatakan lebih awal, kajian telah mendedahkan pelaksanaan
inovasi pendidikan dan juga pembelajaran pelajar. Dalam hubungan ini, ada pihak yang mengatakan

pengaruh pengetua terhadap pembelajaran pelajar tidak berlaku secara terus, tetapi secara tidak
langsung. Maknanya kesan tingkah laku pengetua terhadap pembelajaran pelajar disalurkan melalui
intermediate variables. Kajian sekolah efektif pula tidak menyatakan dengan jelas bagaimana
kepemimpinan pengetua memberi kesan terhadap pembelajaran pelajar.
Berasaskan andaian bahawa tingkah laku pengetua tidak mempunyai kesan secara langsung ke atas
pembelajaran pelajar, Murphy et.al., (1983) telah mengemukakan teori bahawa pengetua masih boleh
mempengaruhi tingkah laku pelajar dan pencapaian akademik mereka. Mengikut model teori Glasman
dan Neidermeyer, pengetua boleh mempengaruhi prestasi pelajar melalui interaksi dengan guru. Melalui
interaksi ini, mereka boleh berkongsi maklumat mengenai pencapaian para pelajar, dan menggunakan
gain scores untuk perbincangan seterusnya. Sudah pastilah cara begini, menuntut seseorang pengetua
itu meluangkan banyak masa untuk mengadakan perbincangan secara interaktif dengan guru.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Nor Azizan (1998) mengenai persepsi guru terhadap peranan
pengetua berhubung dengan pencapaian akademik telah berjaya menunjukkan bahawa guru-guru
mempunyai persepsi yang pengetua adalah aktif memainkan peranan mengawasi kemajuan pelajarpelajar. Ini termasuklah menggunakan keputusan ujian dan peperiksaan untuk menilai kemajuan ke arah
pencapaian matlamat sekolah, mengawasi dan menentukan yang guru kanan mata pelajaran atau guru
lain yang telah diberi tanggungjawab menjalankan penyemakan terhadap hasil kerja pelajar, memberitahu
keputusan prestasi sekolah kepada pelajar, menentukan yang tindakan telah dibuat untuk mengenalpasti
pelajar yang memerlukan pengajaran khas dan memberitahu keputusan prestasi sekolah secara bertulis
kepada guru-guru. Hanya satu peranan sahaja dalam dimensi ini yang dianggap oleh guru-guru kurang
aktif dijalankan oleh pengetua iaitu meninjau kemajuan yang telah dicapai oleh pelajar-pelajar melalui
perbincangan secara individu dengan guru-guru. Melalui kajian ini juga telah membuktikan bahawa guruguru mempunyai persepsi yang pengetua adalah aktif menjalankan dimensi peranan menggalakkan iklim
pengajaran dan pembelajaran.
Dalam menyokong pendapat ini, Zechman (1977), pengetua diempat daerah di Pensylvania, Amerika
Syarikat, telah melaksanakan dengan baik tugas mereka sebagai pemimpin pengajaran. Hasil kajian itu
menunjukkan bahawa pengetua sekolah seharusnya memberi penekanan yang lebih kepada kepimpinan
pengajaran bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.Dapatan Fadzilah (1990) mengenai tingkah laku
pentadbiran dan kepemimpin pengetua, mendapati bahawa persepsi guru-guru menghuraikan pengetua
pada keseluruhannya lebih menumpukan kepada tingkah laku kepimpinan daripada tingkah laku
pentadbiran di dalam menjalankan tugas mereka di sekolah. Begitu juga persepsi pengetua-pengetua
sendiri menghuraikan bahawa pengetua pada keseluruhannya lebih menumpukan kepada tingkah laku
kepimpinan daripada tingkah laku pentadbiran di dalam menjalankan tugas mereka. Tingkah laku
kepimpinan pengetua bergantung kepada gred sekolah untuk sekolah-sekolah di kawasan bandar.
Kepimpinan pengajaran adalah merupakan tanggungjawab yang paling utama sekali dilakukan oleh
pengetua (Wood, 1974). Menurut Weingast (1980) pula, pengetua mestilah meletakkan keutamaan
dalam peranannya sebagai pemimpin pengajaran di sekolah mereka dan menjalankan tugas dengan
kerjasama guru-guru tanpa mengabaikan tanggungjawab pengurusan yang berkesan dalam aspek-aspek
lain, dalam sistem persekolahan. Sepertimana kata Bowles (1968), "someone has suggested that when
principal discusses with a teacher the desirability of using of particular work book with several children, he
ia acting as a curricular or instructional leader".
Terdapat banyak lagi penulis lain yang membincangkan persoalan dengan mendalam dan menyatakan
pendapat masing-masing tentang tujuan mereka bahawa pengetua mestilah menjadi pemimpin
pengajaran di peringkat sekolah mereka. Namun begitu konflik dan perbezaan pendapat masih timbul
dalam membincangkan persoalan ini terutamanya di Amerika Syarikat (Hassan, 1981). Berdasarkan
kepada tinjauan bacaan yang telah dibuat, terdapat beberapa perbezaan pendapat yang dikemukakan
berhubung peranan pengetua sebagai pemimpin pengajaran. Ada penulis yang menyatakan bahawa
pengetua semestinya mempunyai peranan sebagai pemimpin pengajaran dan di sebaliknya ada penulis
yang menolak pendapat ini. Dalam membahaskan persoalan ini, penulis mengemukakan alasan
tersendiri dalam menentukan pendirian mereka. Antara penulis-penulis yang tidak bersetuju menyatakan

bahawa pengetua mempunyai peranan penting sebagai pemimpin pengajaran ialah; Fullon(1979),
Krajewski(1977), Hoch(1973), Aftron(1974), Smyth(1983), Strotner(1983) dan Cawelti(1980).
Fullon(1979) berpendapat bahawa, sebagai pemimpin pengajaran di sekolah mereka, hanyalah
merupakan sayu dongengan sahaja. Beliau menegaskan bahawa pengetua memang boleh menunjukkan
contoh yang baik dalam tugas-tugas atau perlakuan mereka di sekolah, tetapi tidak mungkin mereka
boleh menunjukkan contoh yang baik dalam kepimpinan pengajaran. Dalam mempertahankan pendapat
ini, beliau menegaskan bahawa terdapat beberapa bukti yang jelas menunjukkan pengetua tidak boleh
menjadi pemimpin pengajaran. Antara bukti-buktinya ialah:
i.

Pengetua tidak diberi latihan untuk menjadi pemimpin pengajaran di peringkat sekolahnya.

ii.

Pengetua banyak terlibat dalam pentadbiran dan pengurusan am sekolah yang lain.

iii.

Pengetua tidak mempunyai masa yang banyak untuk menjadi pemimpin pengajaran.

iv.

Pengetahuan seseorang pengetua tidak berbagai-bagai dan kepandaian mereka dalam


kepimpinan pengajaran amat terhad. Oleh itu mereka tidak mampu untuk menjadi pemimpin
pengajaran.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Ahmad Tajuddin (1989), mendapati pengetua-pengetua di
Malaysia adalah faham dan jelas tentang tugas mereka dalam kepemimpinan pengajaran, namun tugas
mereka itu tidak dapat dijalankan sepenuhnya sebagaimana sepatutnya kerana beban tugas yang lain
adalah berat. Pengetua-pengetua banyak menyerahkan tugas-tugas kepimpinan pengajaran di sekolahsekolah mereka kepada guru-guru kanan mata pelajaran tanpa garis panduan yang jelas. Sebagai
pemimpin pengajaran, pengetua-pengetua sepatutnya menjadi pakar rujuk di sekolah-sekolah mereka,
tetapi ini jarang sekali berlaku. Oleh sebab mereka sibuk dengan tugas yang berbagai, maka mereka
amat kekurangan masa bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kurikulum dan pengajaranpembelajaran dengan guru-guru mereka secara profesional.
Krajewski (1977) sendiri pernah menyatakan pendapat bahawa pengetua tidak boleh menjadi pemimpin
pengajaran kerana banyak masanya digunakan untuk mengurus kerja-kerja perkeranian sehingga
melalaikan tugas-tugas yang lebih penting dalam kepimpinan pengajaran itu sendiri. Hasil kajiannya
sendiri telah membuktikan bahawa pengetua adalah bukan pemimpin pengajaran. Cawelti (1980)
misalnya menganggarkan masa yang digunakan oleh pengetua dalam aktiviti kepimpinan pengajaran
seperti perkembangan kurikulum, penyeliaan bilik darjah, perkembangan staf dan penilaian terhadap
guru-guru adalah sangat kurang hanya antara sepuluh hingga dua puluh peratus daripada kerja-kerjanya
mengikut jam.
Menurut Smyth (1983), penyelidikan di Australia dan di lain-lain tempat telah menunjukkan bahawa
pengetua hari ini adalah bukan sebenarnya pemimpin pengajaran di sekolahnya. Sebab-sebab tersebut
ialah;
i.

Kekurangan masa kerana mereka terpaksa mengambil bahagian dalam aktiviti lain dari tugas
pengajaran dalam masa persekolahan.

ii.

Mereka tidak mahu mencampuri autonomi yang dipunyai guru-guru di bilik darjah.

iii.

Mereka takut kerana kekurangan kepakaran.

Dalam kajiannya, Weldy (1979) berpendapat bahawa pengetua memang kekurangan pengetahuan
tentang peranannya sebagai pemimpin kurikulum. Jika pengetua tidak dilatih dalam bidang mata
pelajaran yang tertentu, bagaimana ia boleh menilai pengajaran seseorang guru di sekolahnya? Akan

tetapi untuk meletakkan dakwaan bahawa mereka tidak boleh dan tidak layak menjadi pemimpin
pengajaran, adalah agak keterlaluan. Weldy (1979) menekankan bahawa pengetua adalah
sesungguhnya pemimpin pengajaran di peringkat sekolahnya. Mereka tidak ada pilihan lain dalam hal ini
melainkan mereka mestilah melengkapkan diri sebagai pemimpin pengajaran, sama ada mereka mahu
atau tidak. Jika mereka tidak tahu mereka mestilah belajar dan jika mereka tidak mempunyai masa yang
mencukupi, mereka mestilah mendapatkan masa tersebut.
Turner (1974) berpendapat bahawa pengetua mempunyai peranan penting dalam mengambil keputusan
dan tindakan dalam menentukan hala tuju dan perkembangan pelajaran di sekolahnya. Menurut Wirsig
(1980), walaupun pengetua kelihatan tidak mengambil berat terhadap tugas pengajaran tetapi mereka
sebenarnya mahu beraksi sebagai pemimpin pengajaran, dalam keupayaan yang mereka ada.
Oleh kerana beban tugas yang begitu banyak, yang perlu dilakukan oleh pengetua-pengetua sekolah di
Malaysia, maka tumpuan sepenuhnya terhadap kurikulum pengajaran tidak dapat dilaksanakan. Juga
berdasarkan contoh-contoh yang berlaku, kelemahan dalam pengurusan kurikulum atau kepimpinan
dalam pengajaran menunjukkan tidak akan menyebabkan seseorang pengetua itu untuk menerima
tindakan tatatertib kerana tidak dikuatkuasakan, tetapi sebaliknya kelemahan dalam pengurusanpengurusan yang lain seperti pengurusan kewangan, perhubungan masyarakat, 'boundary management'
dan sebagainya boleh menyebabkan seseorang itu dikenakan tindakan tatatertib, turun pangkat atau
dipindahkan serta merta ke tempat-tempat lain. Oleh itu dalam keadaan beban tugas yang banyak itu,
pengetua lebih berhati-hati menjaga peranan dan tugas-tugasnya yang lebih tinggi risikonya, yang boleh
menyebabkan mereka dikenakan tindakan. Ini bukan pula bermakna pengetua-pengetua terus
mengabaikan tugas-tugas kepimpinan pengajaran ini tetapi tanggungjawab ini dibebankan bersama
dengan guru-guru bawahannya terutamanya guru-guru kanan mata pelajarannya.
Ginsberg (1988) dan Kroeze (1983) pula telah menunjukkan masalah utama kepemimpinan pengajaran
sebagai masalah penjelasan definasi kerana definasi yang ada dan huraian tentang tingkah laku
kepemimpinan pengajaran adalah tidak jelas. Kebanyakan kajian yang dibuat menerangkan tingkah laku
kepemimpinan pengajaran para pengetua agak luas, kabur dan menggunakan istilah yang samar-samar
konsepnya, yang tidak operatif bagi kegunaan pelaksana. Akibatnya, kebanyakan pelaksana merasa
ragu-ragu tentang apa yang sebenarnya mereka lakukan.
Daripada tinjauan literatur dan kajian-kajian yang telah dirujuk, jelas menunjukkan yang kebanyakan
pengetua di Malaysia tidak hanya menumpukan tugas sebagai pemimpin pentadbir atau pemimpin
pengajaran semata-mata tetapi mereka telah cuba menggabungkan kedua-duanya sekali demi
kepentingan kemajuan dan kejayaan sekolahnya walaupun terpaksa mengharungi berbagai kekangan
dan cabaran.
Dapatan kajian Nor Azizan (1998) diharap dapat memberi kesedaran kepada guru mengenai beban tugas
dan peranan yang dijalankan oleh pengetua sebagai pemimpin pengajaran. Terdahulu dari itu kajian oleh
Ahmad Tajuddin (1989) mendapati pengetua tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada
kurikulum pengajaran kerana dibebani dengan tugas-tugas yang begitu banyak. Kajian ini juga
memperlihatkan bahawa pengetua kurang menerima latihan dan bimbingan dalam kepimpinan
pengajaran. Oleh itu, adalah diharapkan guru-guru menyedari betapa kompleks tugas dan peranan
seorang pengetua, supaya dengan ini mereka dapat memberi kerjasama dan sokongan yang dapat
membantu pengetua melaksanakan tugas dan peranan mereka dengan lebih berkesan.

Rumusan.
Pengetua di sekolah-sekolah Malaysia, terutamanya di sekolah-sekolah yang besar, perlu memainkan
peranan yang banyak dalam drama kehidupan sekolahnya. Berdasarkan keadaan beban tugas sekarang,
pengetua tidaklah seharusnya dipersalahkan sepenuhnya jika pendidikan yang bermutu gagal

diwujudkan di sekolah mereka. Ini ialah kerana banyak lagi angkubah-angkubah lain yang sepatutnya
turut bertanggungjawab dalam hal ini. Antaranya ialah seperti pemilihan staf, kemudahan-kemudahan
yang diperlukan, dasar-dasar yang mengawal operasi tugasnya, keperluan murid-murid, tradisi dan
inspirasi masyarakat, dan yang lebih penting lagi ialah peruntukan kewangan. Pengetua hanya
mempunyai sedikit keupayaan untuk mengawal angkubah-angkubah itu. Pada hal faktor-faktor itu
mempengaruhi prestasi seseorang pengetua dan selanjutnya menentukan mutu pendidikan dan
pencapaian sekolah mereka (Jurnal, PKPSM 1980-1981).
Sesungguhnya dalam organisasi sekolah, amatlah sukar bagi kita memisahkan antara kepemimpinan
pentadbiran dengan kepemimpinan pengajaran. Ini disebabkan dari segi pratiknya, fungsi pengetua
membayangkan kedua-dua tugasan tersebut. Sesetengah tugasan bagi kedua-dua bidang itu adalah
bertindan-tindih. Bagaimana pun untuk mewujudkan sekolah yang berkesan, seseorang pengetua itu
perlulah menjalankan kedua-dua tugas itu kerana dari segi praktiknya, kajian-kajian tentang sekolah
efektif menunjukkan bahawa keberkesanan sekolah mempunyai pertalian yang kuat dengan
kepemimpinan pengetua yang tidak hanya dalam pentadbiran malah juga dalam bidang oengajaran
(Edmonds, 1978, 1979; Brookover, et.al., 1978; Sapone, 1983; Wellish, et.al., 1978 dan Rutter, et.al.,
1979).
Sesungguhnya kepimpinan pendidikan di Malaysia ini adalah menuju ke arah itu memandangkan usahausaha gigih pelbagai pihak termasuk penubuhan ke arah sekolah bestari, sekolah berkesan, sekolah
berwatak dan sebagainya demi mengangkat martabat pendidikan di Malaysia ke arah pendidikan bertaraf
dunia.
____________________________________________________________________________________
______________________
Bibliografi.
AL. Ramaiah. (1999). Kepemimpinan Pendidikan Cabaran Masa Kini. Selangor : IBS Buku Sdn. Bhd.
Ahmad Tajuddin Bin Abdul Hamid. (1989). Peranan Pengetua Dalam Kepimpinan Pengajaran. Jabatan
Pendidikan. Universiti Malaya.
Borrow, J. (1977) "The variables of leadership". The Academy of Management Review 2.
Barth, R.S. (1985). "The Principalship". Educational Leadership, Vol. 42(6) : 92-94.
Campbell, R.F., Bridges, E.M., dan Nystrand, R.O. (1977). Introduction To Educational Administration.
Boston : Allyn dan Bacon, Inc.
Cawelti, G. (1980). "Effective Instructional Leadership Produces Greater Learning". Thrust For
Educational Leadership, Vol. 9(3) : 8-10.
Dwyer, D.C. dan Hedges, F. (1986). "A Case Study Of Instructional Leadership". Dlm Dwyer, D.C. (ed),
Principal As Instructional Leader. Peabody Journal Of Educational, 63(1) : 19-39.
Fadzilah Bin Hj. Md. Noor. (1990). Tingkah Laku Pentadbiran dan Kepimpinan Pengetua Sekolah
Menengah Di Pahang. Fakulti Pendidikan. Universiti Malaya.
Fullan, M. dan Pomfret, A. (1977). "Reaserch On Curriculum And Instruction Implementation". Review Of
Educational Research, 47(1) : 335-397.

Hussein Mahmood. (1993). Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Malaysia, Kementerian Pendidikan. (1979). Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pelajaran. Kementerian Pendidikan Malaysia : Kuala Lumpur.
Malaysia, Kementerian Pendidikan.(1992). Kajian Tugas Guru Besar, Penolong Kanan 1, Penolong
Kanan 11, Penolong Kanan Kokurikulum, Penyelia Petang dan Guru-guru Sekolah Rendah. Bahagian
Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan : Kuala Lumpur.
Nor Azizan Bt. Hj. Yusuf. (1998). Persepsi Guru Terhadap Peranan Pengetua Berhubung Dengan
Pencapaian Akademik Pelajar Sekolah Menengah Daerah Petaling Jaya. Fakulti Pendidikan : Universiti
Malaya.
Zaidatol Akmaliah Lope Pihie.(1990). Pentadbiran Pendidikan. Shah Alam, Selangor : DBP.