Anda di halaman 1dari 3

Skrip Pidato Bahasa Melayu Sekolah

Rendah
Pucuk manis permatang budi,
Pucuk purut di getus rusa,
Yang manis bernama budi,
Yang indah bernama bahasa.
Terima kasih pengacara majlis. Yang berbahagia ., guru besar, guru-guru, rakan-rakan, kombinasi
para juri yang arif lagi bijaksana sebagai penegak keadilan, penjaga masa yang budiman, dan
seterusnya hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasih sekalian. Assalamualaikum Warohmatullahi
Wabarokatuh dan salam sejahtera pembuka bicara.
Berdirinya saya di atas persada indah tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin menyampaikan sebuah
pidato yang bertajuk, Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa
perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu dan bahasa komunikasi rakyat Malaysia.
Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kita membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah,
izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar hadirin terbuka minda, agar hakim
tidak terpinga-pinga, dan saya petah berkata-kata, seperti kata orang dahulu kala :
Yang buta tidak teraba-raba,
Yang pekak tidak tertanya-tanya,
Yang kecil tidak terambin-ambin,
Yang pendek tidak tertinjau-tinjau.
Di Malaysia, bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan sekali gus berfungsi sebagai bahasa
rasmi negara. Bahasa kebangsaan dapat ditakrifkan sebagai bahasa yang diterima dan digunakan
oleh penduduk dalam sesebuah negara. Bahasa Kebangsaan bagi negara Malaysia ialah Bahasa
Melayu.
Para hakim yang bijaksana lagi arif,
Wacana saya yang pertama, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Tuan-tuan dan
Puan-puan, ingatlah, bahasa Melayu mesti perkasa dalam negara Malaysia untuk kepentingan
kebangsaan. Semangat perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu tercetus apabila jiwa
rakyat telah timbul kesedaran untuk jadi bangsa berdaulat. Salah satu cara menjadi bangsa berdaulat
ialah memerintah sendiri negara tanpa dikuasai atau ditunjuk oleh penjajah. Setelah kemerdekaan
tercapai, Persekutuan Tanah Melayu memilih bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Fungsi

ini telah termaktub dalam Bahagian 12 AM dan pelbagai 152 fasal (1) Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu yang menyebut bahawa, Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah
ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh
parlimen. Maka terbuktilah bahawa bahasa Melayu merupakan lambang kebebasan dan kedaulatan
negara daripada belenggu penjajahan.
Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, amat wajar sekali Malaysia mempunyai satu
bahasa Kebangsaan keran bahasa Kebangsaan memberi gambaran akan status sesuatu bangsa.
Bangsa yang bermaruah mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, menggunakan bahas sendiri dan
bangsanya mempunyai identiti kebangsaan sendiri. Oleh itu, untuk memupuk sifat sayangkan bahasa
kita, pelbagai kempen telah diadakan seperti Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa dan
sebagainya. Rakyat dari pelbagai kaum akan dapat mengenali dan mendekatkan diri dengan bahasa
kebangsaan.
Wacana saya yang kedua, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Selain dipilih
sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Maksud bahasa rasmi
ialah bahasa utama yang digunakan dalam segala urusan pentadbiran dan urusan rasmi negara.
Contohnya, bahasa Melayu digunakan dalam sistem pendidikan negara, urusan surat-menyurat,
mesyuarat dan pentadbiran negara. Cuba kita renung, bukakan mata, celikkan minda, dalam
mesyuarat-mesyuarat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, di persidangan-persidangan,
seminar-seminar, di parlimen, bahkan dalam perbicaraan di mahkamah, mesti diutamakan
penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa selai bahasa Melayu adalah menyalahi Artikel 152
Perlembagaan Malaysia. Sesiapa yang membelakangkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan
rasmi negara, termasuk pemimpin negara sekalipun, mereka adalah penjenayah negara yang mesti
dihukum, dengan hujah itu, terbukti lagi jelas dan nyata, betapa penting bahasa Melayu memainkan
peranan dalam urusan pentadbiran negara.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
Wacana saya yang ketiga, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat Malaysia.
Bahasa perpaduan bermaksud bahasa yang digunakan sebagai tali pengikat kemuafakatan antara
anggota masyarakat. Hal ini kerana, masyarakat kita adalah masyarakat majmuk yang berbeza
kepercayaan, amalan, budaya, agama dan bahasa. Bahasa Melayu dapat memainkan peranan
sebagai penyatu kepelbagaian tersebut melalui penggunaan bersama, atau satu bahasa untuk satu
negara. Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan bahasa Melayu dalam semua komunikasi
awam dan terbuka agar tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain. Apabila penggunaan
bersama bahasa Melayu di tempat terbuka sudah menjadi amalan, maka akan wujud kemesraan,
kepercayaan, hormat dan rasa selamat. Rasa kemesraan, rasa kepercayaan, rasa hormat dan rasa
selamat merupakan faktor yang membina perpaduan antara kaum. Dengan itu, dapatlah kita
melahirkan bangsa yang bersatu dan menganggap Malaysia sebagai negara milik bersama.
Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,
Wacana saya yang keempat, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem
pendidikan negara. Yang dimaksudkan sebagai bahasa pengantar pendidikan ialah bahasa yang
digunakan sebagai alat perhubungan dalam pengajaran dan pembelajaran. Bahasa Melayu yang
berfungsi sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan membuktikan keupayaan bahasa Melayu

sebagai alat menyampaikan pelbagai ilmu untuk digunakan bagi memajukan diri, masyarakat dan
negara. Rakyat Malaysia yang mendapat pendidikan rendah, menengah dan universiti dalam bahasa
Melayu berjaya meraih anugerah hingga peringkat antarabangsa. Ramai rakyat Malaysia yang
bekerja di syarikat-syarikat antarabangsa, baik syarikat yang beroperasi dalam negara mahupun
syarikat yang beroperasi di luar negara.
Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri keintelektualan bahasa.
Keintelektualan bahasa bermaksud keupayaan bahasa dalam menyampaikan buah fikiran, hujah,
pendapat dengan tepat dan dapat dilenturkan dengan mudah. Bahasa Melayu juga boleh menjadi
bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri kesempurnaan bahasa iaitu kestabilan seperti pembentukan
istilah atau konsep, dan peraturan seperti ejaan, sebutan, pemakaian, tatabahasa dan lain-lain lagi.
Satu lagi ciri kesempurnaan bahasa ialah kelenturan, di mana bahasa Melayu mudah menyesuaikan
diri dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa.
Wacana saya yang terakhir, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi masyarakat. Bahasa
Melayu merupakan bahasa komunikasi kerana ia dituturkan oleh semua orang dalam pelbagai
lapisan masyarakat. Ia merupakan bahasa ibunda dan bahasa utama di Malaysia, digunakan oleh
semua golongan masyarakat, tidak kira di desa atau di kota, golongan kaya ataupun miskin. Oleh
sebab itu, mesej dapat disampaikan dengan mudah, tepat dan difahami oleh semua golongan
masyarakat. Ia juga memudahkan penyampaian dan penerimaan maklumat. Senario ini telah
memberikan satu manifestasi yang jelas, iaitu bahawa bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa
komunikasi di Malaysia.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Setelah frasa demi frasa tajuk pidato saya ini dikupas, maka dapatlah saya menutup rumusan
bahawa bahasa Melayu memikul tanggungjawab yang besar dalam mengangkat martabat dan
bangsa di tanah air tercinta ini. Oleh sebab itu, segala fungsi bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa
komunikasi perlu terus didaulatkan agar keperkasaan bahasa Melayu kekal dan dikagumi.
Sebelum saya mengundur duru, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada terkasar
bahasa, tersalah kata atau tersilap bicara. Saya mengakhiri pidato saya ini dengan serangkap
pantun :
Alang-alang menyeluk pekasam,
Biar sampai ke pangkal lengan,
Alang-alang bahasa dijulang,
Biar kekal sepanjang zaman.
Sekian, wabillahi taufik wajhidayah wasalamualaikum warohmatullahi waborokatuh.

Anda mungkin juga menyukai