Anda di halaman 1dari 3

Beberapa Amalan Bidah Semasa Solat

Jumaat
Beberapa Amalan Bidah Semasa Solat Jumaat
Muhammad Hanief Awang Yahaya
Hari Jumaat adalah hari yang utama kerana ia mempunyai kaitan dengan peristiwa yang penting
dalam sejarah manusia. Selain itu, istimewanya hari Jumaat kerana umat Islam dapat berkumpul
di masjid untuk mendengar khutbah yang mengandungi nasihat-nasihat dan pengajaran daripada
al-Qur`an dan al-Sunnah. Hari yang mulia seharusnya diisi dengan amalan kebaikan yang
mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Tetapi malangnya, beberapa perkara rekaan telah
diamalkan dengan dianggap sebagai ibadat. Akibatnya wajah sebenar amalan agama telah
dilitupi dengan amalan-amalan bidah.
Berselawat Sebelum Azan Yang Kedua
Antara perkara yang menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w. yang dilakukan oleh para bilal di
tempat kita ialah berselawat kepada Rasulullah s.a.w. dengan suara yang nyaring sebelum azan
yang kedua. Biasanya dibacakan sebelum itu ayat 56, surah al-Ahzab sebagai galakan supaya
berselawat kemudian barulah azan kedua dilakukan.
Berselawat pada asasnya amat dituntut tetapi dengan beriltizam berselawat pada waktu sebelum
khatib berkhutbah dengan suara yang nyaring menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w. Tidak ditemui
dalam kitab-kitab hadis bahawa Baginda pernah memerintahkan supaya berbuat demikian.
Begitu juga para sahabat sesudah baginda khusus para muazin tidak pernah melakukan dan tidak
pernah memerintahkan supaya berbuat demikian. Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa lafaz azan
itu telah ditentukan oleh syara dengan lafaz yang khusus pada waktu-waktu yang tertentu. Jika
dianggap secara mutlak setiap yang keluar dari mulut muazin sebagai azan tentu perkara-perkara
yang diada-adakan seperti tasbih sebelum azan subuh, sebelum sembahyang Jumaat dan selawat
kepada Rasulullah s.a.w. akan termasuk dalam azan, pada hal bukan begitu, baik pada bahasa
atau syara. (Fath al-Bari, jil. 2 hal. 297)
Ibn al-Haj menyebutkan pemerintah sepatutnya menegah para muazin daripada mengadakan
perkara baru yakni apabila imam keluar untuk berkhutbah, para muazin berdiri dan berselawat
kepada Rasulullah s.a.w. serta mengulang-ulangkannya sehingga imam sampai ke mimbar,
walaupun selawat itu sebesar-besar ibadat. (al-Madkhal, jil. 2, hal. 424)
Ibn Taymiyyah menyatakan bahawa perbuatan muazin menyaringkan suara ketika berselawat
kepada Rasulullah s.a.w. semasa khatib menaiki mimbar atau berdoa dengan suara yang tinggi
dan sebagainya tidak pernah ada di zaman Rasulullah s.a.w., para khalifah dan tidak ada seorang
pun para imam yang menganggapnya sunnat. (al-Fatawa al-Kubra, jil. 1, hal. 129)


.

Ibn Hajar al-Makki pernah ditanya tentang selawat sebelum azan. Beliau memberikan jawapan
bahawa tidak ada hadis yang menyentuh tentang masalah itu dan tidak ada juga dalam
perbincangan para imam. Oleh itu, selawat dan salam sebelum azan bukan merupakan sunnah
pada tempatnya. Sesiapa yang melakukannya dengan menganggap sebagai sunnah sebelum azan
maka dia hendaklah dilarang dan ditegah kerana itu adalah mengadakan hukum syara tanpa
berdasarkan dalil. Sesiapa yang mengadakan hukum syara tanpa ada sebarang dalil hendaklah
ditegah dan dilarang. (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, jil. 1. hal. 131)
Berdasarkan kepada penegasan tokoh-tokoh di atas, berselawat pada tempat yang tidak
diperintah dengan cara mengkhususkan tempat dan waktu tertentu membawa kepada berlakunya
bidah yang menyesatkan walaupun pada asasnya setiap orang dituntut supaya berselawat. Oleh
itu, berselawat sebelum daripada azan itu tidak menjadi sunnah walaupun pada asalnya amat
dituntut. Kesimpulannya, berselawat dilarang sebelum azan kerana ia boleh menimbulkan
kekeliruan seolah-olah selawat dan salam kepada Rasulullah termasuk dalam lafaz azan. Lafazlafaz azan adalah sesuatu yang bersifat tawqifi (tidak boleh difikirkan sendiri) yang diterima
melalui Rasulullah s.a.w. dan tidak dibolehkan membuat sebarang penambahan dan penukaran.
Muazin membaca hadis Rasulullah yang melarang bercakap semasa khutbah dengan
suara yang nyaring.
Hadis tersebut ialah yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan Muslim melalui Abu Hurairah:
Apabila anda mengucapkan kepada saudara anda diamlah pada hari Jumaat sedangkan imam
sedang berkhutbah maka anda telahpun lagha. Hadis ini walaupun sahih tetapi membacanya
dengan mengeraskan suara pada ketika imam hendak berkhutbah bukanlah sunnah Rasulullah
s.a.w. dan para sahabat. Ini merupakan bidah, tidak ada sebarang dalil yang menyatakan baginda
menyuruh mana-mana juru azan membacanya sebelum baginda berkhutbah.
Perbuatan muazin ini hendaklah ditegah kerana mengelirukan mereka yang tidak mengetahui
hukum syara lalu memahaminya sebagai sebahagian daripada tuntutan khutbah Jumaat dan
syiarnya. Oleh kerana para muazin membaca hadis ini secara iltizam dan berterusan pada setiap
minggu mereka yang jahil menyakini bahawa membaca hadis itu merupakan tuntutan syara pada
ketika itu sedangkan tidak ada riwayatpun yang menyuruh berbuat demikian. Dalam konteks
menghalang perbuatan bercakap-cakap ketika imam berkhutbah, imam sendiri yang seharusnya
menegah dan memberi peringatan kepada mereka.
Muazin berdoa dengan menyaringkan suara ketika khatib duduk di antara dua khutbah.
Syaikh Jamaluddin al-Qasimi menyebutkan di antara perkara yang dilakukan apabila khatib
menaiki mimbar ialah tidak boleh mengangkat suara dengan berdoa. Ini sebagai persediaan
untuk mendengar khutbah. Para ulama sepakat melarang daripada berdoa, beristighfar dan
berzikir dengan suara yang nyaring pada ketika itu. Waktu tersebut ialah waktu diam atau
bertafakkur untuk mengambil pengajaran dan iktibar. Mengangkat suara pada masa tersebut

walaupun untuk berzikir menyebabkan tumpuan para jemaah terganggu.(Islah al-Masajid An


al-Bida Wa al-Awaid, hal. 70)
Berdoa dengan mengangkat tangkat ketika khutbah
Abu Syamah al-Maqdisi berkata: Adapun mengangkat tangan yang dilakukan oleh mereka
ketika berdoa (semasa khutbah) maka itu adalah bidah sejak dahulu lagi. (al-Bath Ala Inkar
al-Bida, hal. 84). Al-Suyuti berkata: Mengangkat tangan yang dilakukan oleh mereka ketika
berdoa (semasa khutbah) maka itu adalah bidah yang jelek. (al-Amr Bi al-Ittiba Wa al-Nahy
An al-Ibtida, hal. 54)