Anda di halaman 1dari 7

BAB I

PENDAHULUAN

1.1

Pengenalan.

Industri pembinaan negara pernah terjejas teruk akibat daripada kemelesetan


ekonomi sekitar tahun 1997 dan kebanyakan pembinaan serta projek mega terpaksa
dihentikan buat seketika akibat daripada kejatuhan mata wang negara dan peningkatan
harga pasaran bahan binaan dalam negeri. Namun begitu selepas bencana kemelesetan
ekonomi berakhir, industri pembinaan negara semakin rancak dan menampakkan
pertumbuhan serta peningkatan yang amat pesat dengan bantuan teknologi pembinaan
yang terkini dan serba canggih.
Walau sebagaimana canggih sekalipun binaan itu dihasilkan, sesebuah struktur
binaan itu pasti tidak akan terlepas daripada masalah kerosakan dan kecacatan. Namun
tidak ramai yang prihatin tentang masalah kerosakan dan kecacatan ini, dan
menganggapnya sebagai suatu isu yang remeh dan tidak membangun.
Senario ini menjadi lebih ketara terutama binaan yang telah usang dan
menjangkau lebih 20 tahun. Sekiranya fenomena ini tidak dibendung, tidak hairan suatu

2
hari nanti, projek pembinaan negara yang dahulunya membanggakan menjadi bahan
kritikan dan cemuhan luar akibat daripada kerosakan dan kecacatan yang selama ini kita
abaikan.
Penyelidikan yang lebih khusus seharusnya dibuat agar langkah serta pencegahan
yang drastik dapat diambil untuk mengurangkan risiko kecacatan dan sekaligus akan
mengurang kos penyelenggaraan.
Kesimpulannya, kerosakan dan kecacatan sesebuah bangunan perlu dipandang
serius agar langkah pencegahan dan pengawalan dapat dilakukan dengan sewajarnya.
Ianya bukan sahaja dapat mengekalkan kualiti sesebuah bangunan malahan dapat
mengurangkan kadar pembaikan dan pemulihan terhadap kerosakan dan kecacatan
sesebuah bangunan.

1.2

Kenyataan Masalah

Masalah yang sering meruncing ini menjadi faktor utama kajian penyelidikan ini
dilakukan secara terperinci. Dengan mengenal pasti faktor-faktor kerosakan dan
kecacatan yang dikaji ini, langkah yang terbaik akan dapat diambil bagi mengurangkan
kerosakan dan kecacatan daripada terus berlaku, sekaligus akan dapat mengurangkan
kos penyelenggaraan.
Mengikut satu kenyataan baru-baru ini oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.
Samy Vellu, bahawa sebahagian besar daripada 75 buah makmal komputer yang telah
diserahkan kepada pihak kontraktor mengalami kerosakan terutama di bahagian
bumbung bangunan, dan beliau juga mendedahkan, sebanyak 574 daripada 600 buah
makmal komputer di zon timur tidak selamat dan berbahaya. (Utusan Malaysia 19 Julai
2003).

Kerosakan dan kecacatan ini bukan saja menjejaskan dari aspek keselamatan,
kesihatan dan keselesaan pengguna malahan akan menjejaskan pandangan dan nilai
estetika sesebuah bangunan. Selain itu, masalah ini juga boleh menjejaskan fungsi dan
nilai pasaran sesebuah bangunan itu, keadaan ini akan merugikan semua pihak sama ada
kepada pengguna ataupun kepada bangunan itu sendiri.
Maka demikian, pemantauan, pemeriksaan dan keprihatinan terhadap kerosakan
dan kecacatan perlu diberi penekanan yang khusus agar struktur binaan di masa akan
datang tidak mengalami masalah yang sama dan sekiranya berlaku, kerja-kerja
penyelenggaraan dapat dijalankan dengan kadar yang paling optimum.

1.3

Objektif Kajian.

Matlamat kajian ini difokuskan kepada kerosakan dan kecacatan binaan


bangunan yang terdapat di negara kita. Demi untuk mencapai matlamat ini, 3 objektif
utama telah dikenal pasti, antaranya :
1. Mengenal pasti jenis kerosakan dan kecacatan yang lazim berlaku pada binaan
sekolah
2. Mengenal pasti punca kerosakan dan kecacatan yang terdapat pada binaan
sekolah.
3. Mengkaji sistem penyelenggaraan yang sering digunakan untuk sekolah
tersebut.

4
1.4

Skop Kajian.

Skop kajian ini melibatkan penyelidikan terhadap kerosakan dan kecacatan


binaan bangunan di bawah pengelolaan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Sabak
Bernam, Selangor. Kajian juga adalah berhubung dengan beberapa buah sekolah di
sekitar daerah Sabak Bernam Selangor.

1.5 Kepentingan Kajian

Kepentingan kajian ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada semua


pihak yang terlibat dalam industri pembinaan, bahawa kerosakan dan kecacatan bukan
saja boleh membahayakan keselamatan pengguna malah, boleh menjejaskan fungsi, nilai
estetika dan rupa bentuk sesebuah bangunan.
Selain itu, kajian ini dapat meningkatkan maklumat dan pengetahuan mengenai
kerosakan, kecacatan serta langkah terbaik untuk pembaikan dalam bidang kejuruteraan
awam daripada substuktur hinggalah superstuktur binaan bangunan. Ianya amat berguna
untuk mengelakkan kecacatan dan kerosakan pada struktur bangunan di masa akan
datang.

1.6 Metodologi Kajian

Metodologi kajian merupakan kaedah atau proses sesebuah kajian dilakukan dari
peringkat pencarian data sehingga ke peringkat menganalisis data. Ianya juga merupakan
asas kepada penerbitan sesebuah kajian atau penyelidikan. Metodologi kajian juga dapat

5
meningkatkan keupayaan penyelidik dalam menilai dan memberi pandangan terhadap
permasalahan yang sedia ada.
Dalam proses pencarian data dan maklumat pelbagai kaedah telah digunakan
untuk mencari dan memperolehi maklumat terhadap kajian ini antaranya melalui teori,
data dan statistik. Segala maklumat dicari dan dikumpulkan melalui pembacaan buku,
jurnal, tesis terdahulu, risalah dan akhbar. Terdapat sesetengah maklumat yang hanya
boleh diperolehi melalui penggunaan media elektronik seperti mikrofilem dan melayari
laman web di internet. Segala data yang diperolehi melalui teori ini digunakan untuk
mengukuhkan data-data lain yang dikumpulkan, seperti gambar dan rajah, jadual,
konsep serta pengiraan.
Maklumat bagi kajian kes diperolehi menerusi borang soal selidik dan temu
ramah yang dibuat berdasarkan keterlibatan responden terhadap kajian yang dijalankan.
Borang soal selidik yang dibuat dibezakan soalannya antara kakitangan Jabatan Kerja
Raya dan guru-guru sekolah, mengikut kesesuaian tugas dan tanggungjawab responden
terhadap kajian.
Borang soal selidik yang telah berjaya dikumpulkan kembali akan dianalisis,
dikaji, dan segala data atau hasil jawapan daripada responden akan dicatatkan. Borang
soal selidik juga akan dikepilkan bersama-sama di ruangan lampiran yang berikutnya.
Ini bertujuan untuk mendapatkan perkaitan antara data-data dan juga perbandingan
antara data yang diperolehi. Rajah 1.1 merupakan aturan yang dilakukan dalam
pencarian data untuk menyiapkan Projek Sarjana Muda ini.
Hasil daripada data yang telah dianalisis, gambaran yang lebih jelas dan efektif
akan dihasilkan melalui carta bar, carta pai dan indeks purata untuk memudahkan
pemahaman pembaca membuat rumusan dan kesimpulan terhadap kajian.

6
KENYATAAN MASALAH
OBJEKTIF KAJIAN
PENCARIAN MAKLUMAT

KAJIAN LITERATUR

MEDIA CETAK

KAJIAN KES

MEDIA ELEKTRONIK

SOAL SELIDIK

TEMU RAMAH

PENGUMPULAN DATA
ANALISIS DATA
KESIMPULAN

Rajah 1.1: Proses pencarian maklumat

1.7

Susunan Kajian

Dalan kajian Projek Sarjana Muda ini telah dipecahkan kepada enam bahagian.
Bahagian- bahagian tersebut disusun mengikut peringkat proses kajian yang dilakukan
agar memastikan kesinambungan prosesnya sentiasa berkait antara satu sama lain.
Bab I di bawah tajuk Pengenalan di mana bab ini menerangkan secara umum
tentang industri pembinaan serta isu kerosakan dan kecacatan binaan bangunan. Bab ini
juga mengandungi permasalahan dan skop kajian yang ingin dikaji tentang kerosakan
binaan. Perkara utama di dalam bab ini ialah objektif kajian yang menjadi hala tuju

7
kajian ini dilakukan. Selain itu, bab ini juga menerangkan serba sedikit tentang
metodologi kajian yang merupakan aturcara kajian ini dilakukan.
Dalam Bab II, Kajian Literatur yang mengandungi penerangan terhadap kajian
bahan bertulis yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih serta perkara asas projek ini
dijalankan. Dalam bab ini, pencarian data dan maklumat adalah berdasarkan teori dan
bahan bertulis semata-mata. Bab ini menerangkan dengan lebih terperinci tentang
objektif kajian iaitu jenis serta punca kerosakan dan kecacatan pada binaan bangunan.
Dalam bab ini juga, kecacatan pada setiap struktur utama bangunan dikaji dengan lebih
mendalam.
Dalam Bab III, Kajian Literatur yang mengandungi penerangan terhadap kajian
bahan bertulis yang berkaitan dengan sistem penyelenggaraan yang digunakan di negara
kita diterangkan secara umum. Dalam bab ini juga konsep, objektif dan kepentingan
penyelenggaraan dilakukan di terangkan secara umum.
Dalam Bab IV, di bawah tajuk Pengumpulan Data Dan Kaedah Analisis,
pembentukan borang soal selidik pula diterangkan secara menyeluruh di dalam bab ini,
bab ini juga menerangkan kaedah analisis yang digunakan untuk menganalisis data serta
masalah yang dihadapi sewaktu pengumpulan data.
Dalam Bab V, di bawah tajuk Analisis dan Keputusan, segala maklumat yang
diperolehi daripada kajian soal selidik dinilai, dianalisis dan dihurai sebagai hasil
dapatan kajian ini di mana permasalahan yang wujud dan persoalan yang timbul dapat
diselesaikan dan dijawab serta dibincangkan.
Akhir sekali dalam Bab VI, dibawah tajuk Kesimpulan dan Cadangan, segala
maklumat yang telah dinilai akan dianalisis dan dihurai dibuat kesimpulan dengan
mengambil kira segala pertimbangan dan menjadi jawapan kepada permasalahan yang
dikaji. Di dalam bab ini juga, cadangan serta pendapat tentang permasalahan yang
timbul diberikan setelah kajian yang terperinci dilakukan.