Anda di halaman 1dari 5

PENGURUSAN TINGKAH LAKU

KSPK PEMULIHAN KHAS

******************************************
PENDEKATAN TEORI PEMBELAJARAN
PAVLOV TERHADAP MURID-MURID
PEMULIHAN KHAS
******************************************

NAMA PELAJAR:
NOOR HANA BINTI ISMAIL
731125-02-6028
KSPK PEMULIHAN KHAS 2007

PENSYARAH:
EN. THIRUGNANA A/L SAMBATHAN
JABATAN ILMU PENDIDIKAN

INSTITUT PERGURUAN BAHASA MELAYU MALAYSIA


59900 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR
PENGURUSAN TINGKAH LAKU MURID-MURID PEMULIHAN
BERDASARKAN TEORI PEMBELAJARAN PAVLOV

Ivan Petrovic Pavlov (1849 – 1939), seorang ahli fisiologi Rusia telah membuat

kajian megenai proses asas pembelajaran yang menyentuh perkaitan antara rangsangan

dan gerak balas. Eksperimennya dilakukan terhadap seekor anjing yang mengaitkan

bunyi loceng dengan rembesan air liur anjing tersebut yang menjangka akan diberikan

makanan. Mulanya, anjing itu mengeluarkan air liur apabila diberikan makanan.

Kemudian, anjing itu merembeskan air liur apabila nampak makanan. Akhirnya anjing itu

merembeskan air liur apabila nampak Pavlov masuk walaupun belum memberinya

makanan. Seterusnya, Pavlov membunyikan loceng sebelum memberinya makanan.

Anjing tidak memberi sebarang gerak balas terhadap bunyi loceng itu. Kemudian Pavlov

memberinya makanan dan anjing itu merembeskan air liur. Eksperimen diteruskan dan

akhirnya anjing tersebut akan merembeskan air liur setiap kali loceng dibunyikan

walaupun belum lagi menerima makanan.

Berdasarkan teori pembelajaran Pavlov, guru dapat mengaplikasi beberapa

tindakan yang mendatangkan kesan positif kepada murid-murid pemulihan. Antaranya

ialah mengaitkan pengalaman positif dan baik(rangsangan) dengan tugasan pembelajaran

(gerak balas) seperti mengadakan pertandingan antara kumpulan. Contohnya, murid

pemulihan sering menghadapi masalah dari segi penampilan kerana mempunyai harga

diri yang rendah atau sering memberi jawapan yang salah dalam sesi pembelajaran.

Melalui pertandingan secara kumpulan, nilai-nilai sosial yang baik seperti tolong-

menolong, betimbang rasa, belas kasihan, bekerjasama dan tekun bekerja dalam
kumpulan dapat dipupuk. Sokongan moral daripada rakan-rakan sekumpulan secara tidak

langsung dapat meningkatkan imej kendiri murid pemulihan.

Selain itu, melalui teori yang diketengahkan juga, guru dapat menolong pelajar

untuk menghadapi situasi yang membimbangkan secara sukarela dan berjaya. Ini dapat

dilakukan melalui pemberian tugasan yang lebih kecil/mudah untuk dilakukan terlebih

dahulu sebelum menuju ke matlamat yang lebih besar. Kebanyakan murid pemulihan

memiliki motivasi diri yang rendah disebabkan pengalaman kegagalan yang dialami pada

masa lalu dan juga kata-kata hinaan oleh sesetengah ibu bapa dan guru yang

menyebabkan mereka cepat putus asa dan menggugat keyakinan diri mereka. Oleh itu,

guru boleh menyusun pendekatan pembelajaran yang memudahkan murid menerima dan

melaksanakannya dengan membahagikan kepada unit yang lebih kecil. Dengan kata lain,

guru mengajar daripada yang senang kepada yang susah, daripada yang tahu kepada yang

tak tahu, daripada yang maujud kepada yang mujarad, dan daripada yang umum kepada

yang khusus. Apabila murid ini berjaya melaksanakan tugasan yang diberikan, secara

tidak langsung pengalaman kejayaan ini akan memberi kesan yang lebih positif terhadap

persepsi kendirinya tentang kebolehan yang dimilikinya.

Dalam usaha membantu murid-murid pemulihan menguasai kemahiran yang

diajar, melalui pendekatan behaviorisme dalam teori pembelajaran Pavlov ini, guru

digalakkan mengajar murid membezakan persamaan dan perbezaan di antara situasi yang

berlainan supaya mereka dapat membuat generalisasi dan diskriminasi dengan betul. Hal

ini dapat dikaitkan dengan pengalaman belajar melalui bimbingan yang berterusan

daripada guru yang menyebabkan rasa kebergantungan murid terhadap guru dalam

menghadapi setiap situasi pembelajaran yang akhirnya akan membentuk sikap tidak
yakin diri dalam kalangan murid. Oleh itu guru pemulihan haruslah mengambil

pendekatan dengan memberi penerangan yang jelas, tunjukcara yang betul dan

bimbingan mengikut keperluan murid. Guru perlu wujudkan suasana yang membolehkan

murid menyuarakan masalahnya dan meminta bantuan guru, mengelakkan rasa

kebergantungan yang kuat terhadap guru dan orang sekeliling serta mengelakkan rasa

tidak yakin diri apabila mengalami kegagalan.

Guru juga dapat membimbing murid membuat diskriminasi yang betul dalam

sesuatu situasi. Dalam aspek ini, guru membimbing murid memberi fokus kepada

rangsangan yang betul dan dapat membezakan rangsangan yang lebih penting dalam

proses pengajaran dan pembelajaran. Aspek pengamatan misalnya, guru perlulah

menumpukan kepada kemahiran yang kecil terlebih dahulu. Penerangan guru hendaklah

jelas, tepat dan memberi gambaran yang bermakna di samping penggunaan suara dan

gerak isyarat yang menarik minat murid. Jika murid masih lagi membuat kesalahan, guru

boleh menghentikan kelas dan memberi komen yang positif tentang kemahiran tersebut.

Secara tidak langsung, murid akan dapat membuat diskriminasi rangsangan antara

maklumat penting dan kurang penting.

Di samping itu, berdasarkan teori teori pembelajaran Pavlov juga, guru boleh

merancang pengajaran yang menggalakkan murid belajar dengan mengaitkan antara

rangsangan dengan gerak balas. Ini bermakna tingkah laku murid boleh dibiasakan

dengan untuk gerak balas yang diingini oleh guru. Contohnya peraturan bagi kelas

pemulihan seperti menjaga kebersihan kelas, beratur sebelum masuk dan keluar kelas,

menyusun bahan selepas digunakan. Guru hendaklah memberi pengukuhan terhadap

tingkah laku positif yang dilakukan oleh murid. Secara tidak langsung hal ini akan akan
menimbulkan semangat kekitaan bagi semua murid dalam kelas tersebut. Murid yang

melanggar peraturan akan dikenakan dendaan manakala yang sentiasa mematuhi

peraturan akan diberikan pujian. Kelaziman yang berlaku menyebabkan murid akan

melakukan tingkah laku tersebut walaupun tanpa arahan guru.

Menurut teori pembelajaran Pavlov ini, sesuatu rangsangan dan gerak balas boleh

diperkukuhkan melalui latihan. Hal ini amat bertepatan dengan keperluan murid

pemulihan. Kemahiran menulis yang sering menjadi masalah kepada murid pemulihan

misalnya dapat diatasi melalui latihan-latihan yang diberikan. Murid akan dirangsang

dengan membuat bentuk-bentuk terlebih dahulu seperti bulatan, garisan lengkungan,

kombinasi lengkungan dan garis lurus dan sebagainya. Teknik memegang pensel dengan

betul dan titik permulaan bagi penulisan sesuatu huruf harus dimaklumkan kepada murid

terlebih dahulu. Dengan ini murid akan mampu menerima rangsangan secara positif dan

menghasilkan gerak balas yang positif juga dalam proses pembelajaran mereka.