Anda di halaman 1dari 2

Siti : Selamat pagi, Azlina.

Nama saya Siti, wartawan majalah tahunan sekolah


ini. Saya ingin mewawancara Azlina tentang kejayaan Azlina mendapat
keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam baru-baru ini. Sudikah Azlina
diwawancara?
Azlina: Silakan.
Siti : Terima kasih, Azlina. Mula-mula sekali, saya ingin mengucapkan tahniah
kepada Azlina kerana mendapat keputusan yang cemerlang.
Azlina: Terima kasih.
Siti : Apakah perasaan Azlina ?
Azlina: Saya berasa bangga dan gembira kerana mendapat keputusan yang
cemerlang. Saya juga bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan kejayaan
kepada saya.
Siti : Bolehkah Azlina berkongsi dengan kami tentang rahsia kejayaan kamu?
Azlina: Sebenarnya tidak ada rahsia di sebalik kejayaan saya. Bagi saya, kalau
kita ingin berjaya, tidak ada jalan singkat kecuali berusaha dengan gigih. Setiap
kejayaan tidak akan datang tanpa usaha. Setiap hari, saya menghabiskan masa
enam jam untuk mengulangkaji pelajaran, iaitu tiga jam di sebelah petang
selepas pulang dari sekolah dan tiga jam lagi pada sebelah malam.
Siti : Azlina, apakah perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian semasa
belajar atau mengulangkaji pelajaran ?
Azlina: Bagi saya, perkara yang paling penting ialah tumpuan atau fokus yang
sepenuhnya terhadap pelajaran. Tanpa fokus, agak sukar bagi seseorang untuk
memahami dan menguasai apa yang dipelajarinya.
Siti : Selain daripada usaha dan tumpuan yang sepenuhnya, apakah lagi faktor
yang menentukan kejayaan ?
Azlina: Disiplin dan keazaman yang tinggi.
Siti : Kenapa Azlina berkata begitu?
Azlina: Saya telah dilatih supaya berdisiplin sejak kecil lagi. Salah satu cara
untuk mendisiplinkan diri ialah membuat jadual harian. Dengan adanya jadual
harian, saya tahu bila masanya untuk belajar, beriadah, berehat dan tidur.
Dengan cara ini, saya dapat menggunakan masa saya dengan sepenuhnya tanpa
membazir kerana saya tahu masa itu emas .
Siti : Dari mana Azlina mendapat semangat dan membina kekuatan mental untuk
berusaha?
Azlina: Saya suka membaca buku-buku motivasi kerana dari situ saya dapat
belajar cara-cara memotivasikan diri. Di samping itu, saya juga banyak
membaca buku-buku agama yang dapat memberikan kita ketenangan jiwa dan
kekuatan mental yang membakar semangat saya untuk berjaya. Di samping
itu,galakan dan dorongan daripada ibu bapa, guru-guru dan rakan sebaya juga
merupakan faktor penting yang mendorong saya untuk berjaya dalam pelajaran.
Siti : Apakah cita-cita Azlina apabila dewasa nanti?

Azlina: Saya bercita-cita menjadi seorang doktor.


Siti : Kenapa ?
Azlina: Ini adalah kerana bapa saya meninggal dunia semasa saya berumur
enam tahun selepas gagal mendapat rawatan yang sempurna. Pada masa itu,
keluarga kami miskin dan bapa saya yang menghidap kanser paru-paru tidak
mempunyai wang untuk menjalani pembedahan. Akhirnya dia meninggalkan
kami untuk selama-lamanya selepas terlantar di hospital selama dua bulan.
Bermula dari saat itulah saya bertekad untuk menjadi seorang doktor agar dapat
merawat para pesakit kerana saya dapat merasai kesengsaraan hidup yang
dialami oleh seseorang pesakit dan keluarganya.
Siti : Apakah rancangan Azlina selepas ini?
Azlina: Saya berharap akan menerima biasiswa kerajaan untuk melanjutkan
pelajaran di luar negara dalam bidang kedoktoran. Keluarga saya memang tidak
mampu membiayai kos pelajaran yang begitu tinggi jika belajar di luar negara.
Kalau saya gagal menerima biasiswa, saya akan bekerja dahulu sambil
menabung sehingga mendapat wang yang cukup untuk mencapai impian saya.
Siti : Akhir sekali, apakah nasihat Azlina kepada mereka yang ingin berjaya
seperti kamu ?
Azlina: Nasihat saya ialah sentiasa berusaha dan yakin terhadap diri sendiri.
Ingat selalu bahawa usaha tangga kejayaan. Sekiranya menghadapi masalah
dalam proses pembelajaran, jangan segan silu untuk bertanya kepada cikgu atau
kawan-kawan. Sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran kerana
apabila kita sudah bersedia untuk mencapai kejayaan, ini bermakna kita sudah
pun menang separuh daripada perjuangan.
Siti : Terima kasih Azlina kerana sudi meluangkan masa bersama saya untuk
wawancara ini. Saya bagi pihak jawatankuasa majalah sekolah mengucapkan
selamat maju jaya kepada kamu dan semoga cita-cita kamu untuk menjadi
doktor akan menjadi kenyataan.
Azlina: Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai