Anda di halaman 1dari 2

ISU KENAIKAN HARGA BARANG

Kenapa Tidak Berterima Kasih Apabila Harga Petrol, Diesel


Diturunkan?

Bagaikan satu rahmat apabila perkembangan harga minyak dunia yang turun secara
mendadak sejak akhir-akhir ini, membolehkan kerajaan menurunkan lagi harga runcit
petrol dan diesel.

N.A.I.K    L.A.G.I........

Kita pasti ingat pada 5 Jun lalu - ungkapan "harga petrol naik lagi" diluahkan dengan emosi marah.
Tetapi kenapa situasi hari ini, kita tidak menyambut pengumuman penurunan harga petrol dengan
ungkapan "harga petrol turun lagi" bersama nada gembira?

Semua orang tahu, ini kali keempat kerajaan menurunkan harga runcit petrol dan diesel. Daripada
kenaikan sebanyak 78 sen empat bulan lalu, kini harga runcit petrol misalnya sudah diturunkan
sebanyak 55 sen menjadi RM2.15 manakala harga diesel dikurangkan kepada RM2.05 sekarang.

Sambutan dingin dan kurang memberangsangkan ini ada sebabnya. Hakikatnya masyarakat
pengguna masih menunggu para peniaga menurunkan harga jualan ke paras yang munasabah atau
kembali ke harga asal ketika harga petrol RM1.92 seliter .

Ketika harga minyak meningkat pada 5 Jun lalu, harga bagi hampir semua barangan naik antara 15
peratus dan 30 peratus. Kos operasi turut naik antara 30 dan 40 peratus.

Daripada barang makanan hingga kepada tambang pengangkutan, semuanya mengalami kenaikan
harga atas alasan harga petrol dan diesel telah naik. Peniaga naikkan harga secepat kilat.

Tetapi kini, setelah harga petrol dan diesel diturunkan oleh kerajaan sejak lebih dua bulan lalu, terlalu
banyak peniaga yang masih enggan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan kepada
pengguna.

Penurunan harga bahan api mungkin tidak disenangi oleh golongan peniaga. Mereka akan beri seribu
satu alasan. Tetapi sikap tamak dan tidak bertimbang rasa kepada pengguna mungkin sukar dinafikan
jika peniaga terlalu mengira dari sudut untung rugi.

Apa yang pelik, kita langsung tidak mendengar ada peniaga yang menyokong Perdana Menteri ketika
pengumuman kenaikan harga minyak dahulu. Begitu juga ucapan terima kasih, tidak pun dinyatakan
ketika penurunan harga bahan api diumumkan.

Sikap degil dan tidak sensitif terhadap tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat cukup 'meletihkan'
kita.

Sepatutnya kerajaan dan pengguna tidak perlu merayu kepada para peniaga. Mereka sendiri
sepatutnya sedar dan mempunyai tanggungjawab sosial dengan menurunkan harga barang secara
sukarela tanpa perlu menerima desakan daripada kerajaan dan orang ramai.
Oleh kerana kerajaan telah empat kali menurunkan harga bahan api, langkah itu diharap mampu
mempengaruhi penurunan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Logiknya memang patut
pun demikian.

Jika sebelum ini semua perniagaan yang berteraskan petroleum menaikkan harga barangan dan caj
perkhidmatan mereka, maka sudah kena masanya sekarang, ia harus diteliti semula.

Bagaimanapun, penurunan harga minyak yang diumumkan kerajaan hari ini tidak memberi sebarang
manfaat kepada pengguna jika harga barangan keperluan masih melambung tinggi.

Kepada pengguna, kita usah mengikut perangai peniaga yang tidak tahu berterima kasih.

Sebagai pengguna, memang ramai yang marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan
menaikkan harga petroleum dahulu.

Tetapi sebagai rakyat negara ini, kita amat berterima kasih dengan penurunan harga tersebut yang
sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit perbelanjaan harian.

Pengurangan harga minyak ini, membolehkan kita merancang semula perbelanjaan harian. Pasti ramai
yang melahirkan rasa lega dengan penurunan ini. Malah ramai yang berharap kerajaan akan mengkaji
kadar harga baru itu dari semasa ke semasa bagi kepentingan pengguna terutama golongan
berpendapatan rendah.

Walaupun akan ada segelintir rakyat menyuarakan pandangan bahawa penurunan ini terlalu kecil dan
gagal menangani masalah inflasi, khususnya dalam menurunkan harga barangan, tetapi ia suatu
langkah yang wajar diambil daripada tiada tindakan langsung.

Kalau mengikut firasat pakar ekonomi, ketika harga minyak mentah global turun secara mendadak
sejak akhir-akhir ini maka harga petrol sebaik-baiknya dikembalikan ke harga asalnya iaitu RM1.92
seliter bagi merangsangkan ekonomi negara.

Malah, lebih daripada itu, kita mengharapkan ekonomi kita akan berdaya saing dan pulih segera,
walaupun kini berdepan dengan krisis kewangan global.