Anda di halaman 1dari 1

Ceritakan pengalaman kamu menghadiri kegiatan gotong-royong di kawasan perumahan kamu.

Aku berasa sangat teruja kerana pagi esok aku akan membersihkan taman yang terletak
berdekatan rumahku. Aku berasa bangga kerana semua penduduk mengambil bahagian. Aku juga
berharap ia akan berjalan dengan lancar.
Keesokan pagi, aku bangun awal dan membawa peralatan untuk membersihkan taman.
Aku berpakaian sukan dan berjalan bersama-sama rakanku, Humaira. Dia juga membawa peralatan
yang sesuai. Kami berjalan sambil berbual-bual.
Sesampainya aku di taman, semua orang turut membawa peralatan meraka seperti
pencakar, plastik hitam, sarung tangan dan sebagainya. Para ibu pula membawa makanan dan
minuman serta cawan polisterin dalam jumlah yang banyak. Kami semua berkumpul di kawasan
lapang untuk mendengar taklimat daripada penghulu kampung.
Beberapa minit kemudian, penghulu kampung pun tiba. Kami diberi taklimat berkenaan
aturcara aktiviti gotong-royong. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kami memulakan
operasi membersihkan kawasan perumahan. Semua orang berpecah menuju tempat tugasan
masing-masing.
Aku dan rakan-rakanku ditugaskan untuk mengutip tin-tin minuman dan plastik-plastik yang
berada di merata tempat. Aku dan rakan-rakanku terbongkok-bongkok memungut sampah. Sampah-
sarap tersebut boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes yang membawa maut.
Aku melihat sekeliling. Semua orang tekun melaksanakan tugasan yang diberi. Beberapa
orang pemuda sedang membersihkan longkang. Segelintir mereka pula sedang mencantas beberapa
dahan pokok yang hampir terkena kabel elektrik yang boleh mengundang bahaya. Sesetengah
mereka pula sedang mengemop lantai balai raya yang sudah berhabuk dan pastinya bersawang.
Tong-tong sampah pula dibersihkan sepenuhnya agar tidak berbau busuk yang menusuk
ke dalam hidung setiap penduduk. Rumput-rumput yang selama ini bermaharajalela sudah tidak
mengganggu panorama indah taman. Kolam ikan yang berlumut dibersihkan. Bunga-bunga disiram
manakala alas pasunya dicuci.
Beberapa jam kemudian, kerja-kerja kami telah pun selesai. Tiada lagi sampah-sarap,
rumput yang panjang dan sebagainya. Kami menghela nafas lega. Taman kami telah menjadi bersih
dan sedap mata memandang. Sebelum pulang, kami menikmati hidangan tengah hari yang
disediakan oleh para ibu. Selesai menjamu selera, kami mengemaskannya lalu pulang ke rumah
masing-masing.
Sebulan kemudian, taman kami diiktiraf sebagai taman terbersih di daerah Johor Bahru.
Usaha kami tidak sia-sia malah menghasilkan hasil lumayan.

Anda mungkin juga menyukai