Anda di halaman 1dari 1

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis,

para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta
rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan
pada hari ini ialah Ampai-ampai Dan Puteri Laut.
Pada zaman dahulu, ada seorang hamba Raja Laut yang
sangat setia kepada rajanya. Namanya Ampai-ampai. Ampai-
ampai telah ditugaskan oleh raja untuk menjaga puteri baginda
yang sangat cantik.
Pada suatu hari, puteri itu pergi bermain-main di tepi pantai
bersama beberapa orang dayang. Pada ketika itu sebuah kapal
besar yang dimiliki oleh seorang putera raja yang kacak telah
berlabuh di tepi pantai itu. Putera raja terpesona melihat
kecantikan puteri Raja Laut. Puteri Raja Laut pun demikian juga
apabila terlihat putera raja yang gagah perkasa dan kacak itu.
Putera raja telah memujuk puteri Raja Laut supaya menaiki
kapalnya yang sedang berlabuh itu. Setelah memberi isyarat
kepada dayang-dayangnya, puteri itu pun naik ke kapal putera
raja. Putera raja mengerahkan kelasi-kelasinya supaya menaikkan
layar dan segera belayar meninggalkan pantai itu.
Pada waktu itu, Ampai-ampai baru tersedar. Dia berlari
menuju ke pantai tetapi kapal itu sudah pun meninggalkan
pantai. Ampai-ampai pun pulang ke istana lalu menceritakan
kejadian itu kepada Raja Laut.
Raja Laut sangat murka. Baginda mengambil sebatang
kayu lalu memukul tubuh Ampai-ampai sehingga remuk dan
hancur tulangnya. Setelah itu Raja Laut menbuangkan Ampai-
ampai ke tepi laut.
Engkau jangan naik ke darat sebelum puteri beta pulang
kepada beta, titah baginda.
Ampai-ampai dilanda ombak ke sana sini dan akhirnya
tersangkut pada ranting-ranting kayu di tepi pantai. Itulah
sebabnya Ampai-ampai tidak bertulang hingga sekarang ini dan
sepanjang masa tersidai pada ranting-ranting kayu di gigi air.
Kononnya, dia akan menunggu di tempat begitu sehingga Puteri
Raja Laut itu lalu di situ dan pulang kepada ayahandanya.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.
Sekian, terima kasih.