Anda di halaman 1dari 3

Karangan Bangunan Bersejarah 1:

Bangunan bersejarah di negara kita amat perlu dikekalkan demi generasi


yang akan datang. Bincangkan langkah-langkah yang dapat diambil untuk
mengekalkan bangunan bersejarah tersebut.

……………Dalam era permodenan yang dihambat dengan pelbagai kemajuan,


Malaysia masih mampu mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah sebagai
warisan budaya yang unggul. Di kota raya Kuala Lumpur sahaja, tersergam
indah bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi mercu tanda kebanggaan
penduduknya. Kerajaan turut mengorak langkah untuk mengekalkan bangunan-
bangunan bersejarah ini bagi memastikan bangunan tersebut terus utuh sebagai
bangunan yang bakal menjadi kebanggaan generasi akan datang. Pada masa
yang sama, bangunan bersejarah yang memiliki seni bina yang unik ini dapat
dijadikan satu tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.
Justeru, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memelihara dan memulihara
keunikan bangunan tersebut agar tidak pupus ditelan zaman.

……………Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah


mengorak langkah bagi mewartakan bangunan bersejarah ini sebagai satu
warisan kebangsaan yang perlu dipelihara. Dengan pewartaan ini, bangunan-
bangunan yang kebanyakannya dibina pada era penjajah dan berusia ratusan
tahun, dapat dijamin kewujudannya dan terhindar daripada sebarang usaha
pemusnahan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur umpamanya, telah meletakkan
Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai bangunan bersejarah yang perlu
dipertahankan dalam Pelan Induk Pembangunan Kuala Lumpur. Bagi
memastikan bangunan tersebut terus kekal, usaha mengindahkan semula
bangunan ini telah dilaksanakan sejak tahun 2002 lagi. Kesannya, bangunan
kebanggaan negara tersebut kini tersergam indah menanti kunjungan pelancong
sama ada dari dalam atau dari luar negara.

……………Bagi memenuhi impian seluruh masyarakat yang ingin melihat


bangunan bersejarah di negara kita terus kekal, kerajaan juga telah mengambil
inisiatif bagi menjalankan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan
bersejarah di seluruh negara. Kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang
bukan kecil jumlahnya demi menjalankan usaha membaik pulih bangunan-
bangunan lama tetapi mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Sebagai contohnya,
usaha membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad pada sekitar tahun 2007
yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya telah menelan belanja sebanyak RM20
juta. Hal ini meliputi kerja-kerja menambah kemudahan asas di bangunan
tersebut serta menambah baik struktur bangunan yang telah rosak. Perlu diingat
bahawa segala kerja baik pulih tersebut hanya melibatkan bahagian dalam
bangunan sahaja, manakala struktur dan bentuk bahagian luar bangunan
tersebut masih dikekalkan dengan ciri-ciri lamanya. Maka, dengan usaha yang
bersungguh-sungguh ini, hasrat masyarakat untuk melihat bangunan bersejarah
di negara kita terus kekal akan dapat dicapai.

……………Pada masa yang sama, malaksanakan usaha bagi mengindahkan


kawasan persekitaran bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita dengan
lanskap yang menarik. Antaranya adalah dengan mengindahkan taman-taman
bunga daripada pelbagai jenis flora yang terdapat di negara kita. Hal ini
bertujuan untuk memastikan bangunan tersebut sentiasa mendapat kunjungan
daripada orang ramai. Kemudahan-kemudahan awam yang terdapat di bahagian
dalam mahupun di bahagian persekitaran turut diperbaiki atau ditambah nilai.
Sebagai contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samad turut dilengkapi dengan
kemudahan ‘lift’, alat keselamatan serta tempat meletak kenderaan kepada para
pengunjung. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, bangunan-bangunan
bersejarah tersebut mampu menggamit kehadiran pengunjung sekali gus
memperkenalkan budaya kita kepada masyarakat luar negara.

……………Selain itu, salah satu elemen penting yang mendasari usaha


pemuliharaan bangunan bersejarah di negara kita adalah keterlibatan semua
agensi yang berkaitan dengan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan.
Jabatan Arkitek Malaysia dan Jabatan Kerja Raya sebagai contohnya sentiasa
memantau perkembangan usaha-usaha pengekalan bangunan-bangunan
bersejarah di seluruh negara. Hal ini adalah bagi tujuan memastikan agar semua
bangunan yang telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan sentiasa
terpelihara dan selamat dikunjungi. Tida cukup dengan usaha tersebut, beberapa
buah universiti di tanah air kita sering kali menjalankan penyelidikan bagi
mengenal pasti struktur dan reka bentuk bangunan ini menepati ciri-ciri yang
diharapkan oleh masyarakat Malaysia. Usaha ini turut ditanamkan dalam jiwa
kalangan pelajar yang mengambil mata pelajaran sejarah di mana mereka turut
menjalankan kajian tentang bangunan-bangunan bersejarah di negara kita.
Penyelidikan yang berterusan ini mampu menanamkan sikap cinta akan warisan
budaya kita sesuai dengan matlamat kerajaan membangunkan nilai patriotism
dalam jiwa remaja kita hari ini.

…………...Bagi menyempurnakan cita-cita luhur untuk mengekalkan bangunan-


bangunan bersejarah di negara kita, kerajaan turut bertindak memperkenalkan
bangunan warisan tersebut kepada pelancong dari seluruh dunia. Usaha ini
didepani oleh Kementerian Pelancongan dan juga Lembaga Penggalak
Pelancongan Malaysia yang sentiasa merintis jalan bagi memperkenalkan
tempat-tempat menarik di Malaysia. Melalui usaha ini, bangunan-bangunan
bersejarah dijadikan sebagai tempat lawatan wajib bagi pelancong yang
mengikuti pakej anjuran Kementerian Pelancongan. Langkah memperkenalkan
bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Kota A famosa,
Istana Jugra dan sebagainya mampu merealisasikan hasrat kita bagi
mengekalkan bangunan bersejarah tersebut agar terus kekal di persada dunia.
Pada masa yang sama, pemeliharaan bangunan bersejarah ini dapat
mengekalkan fakta-fakta yang lebih jelas tentang budaya masyarakat kita yang
hidup dan berkembang dalam lingkungannya yang begitu unik.

……………Intiharnya, kewujudan bangunan bersejarah di negara kita yang


wujud sejak abad ke dua puluh lagi, mengambarkan kepelbagaian corak hidup
masyarakat dahulu kala. Justeru, usaha untuk mengekalkan bangunan tersebut
bagi tatapan generasi akan datang adalah amat perlu dilaksanakan demi
kesinambungan budaya masyarakat kita. Budaya silam adalah cerminan
masyarakat kita hari ini kerana budaya menunjukkan bangsa. Lantas,
tanggungjawab kita adalah perlunya memberi kerjasama kepada pihak yang
terbabit agar usaha memelihara dan memulihara bangunan bersejarah tersebut
akan terus kekal padu dan berpanjangan