Anda di halaman 1dari 4

5.4 Kerja Sepasukan.

Terdapat orang besar yang menyebabkan setiap orang berasa kecil apabila
berdampingan dengannya. Namun, orang besar yang tulen ialah orang yang menyebabkan
orang lain berasa besar apabila berada bersamanya. Kata-kata yang diajukan besar
kemungkinan merujuk kepada suatu kemahiran yang dimiliki oleh seorang pemimpin atau
ketua dalam sebuah organisasi. Kita akan menumpukan fokus utama kita terhadap bentuk
kepimpinan yang dimiliki oleh orang besar yang tulen yang mampu menyebabkan orang lain
berasa besar apabila berada bersamanya. Apakah orang besar tersebut merupakan seorang
pemimpin yang berwibawa dan berkarisma ataupun sebaliknya. Apabila membincangkan
tentang pemimpin maka kita tidak dapat lari daripada membincangkan maksud kepimpinan.

John W. Gardner (1990) mendefinisikan kepimpinan sebagai proses pemujukan di


mana individu-individu tertentu merangsang kumpulannya meneruskan objektif yang
ditetapkan oleh pemimpin dan dikongsi bersama oleh pemimpin dan pengikutnya. Harold
Koontz & Heinz Weihrich (1995) pula mendefinisikan kepimpinan sebagai pengaruh, seni
atau proses mempengaruhi orang supaya mereka akan berjuang dengan rela hati dan penuh
semangat ke arah pencapaian matlamat kumpulan. Prof Dr. A.L. Ramaiah (1992) menyatakan
maksud kepimpinan sebagai satu fenomena proses manusia menggunakan kemahiran akal
fikiran dan potensinya yang melibatkan keupayaan, kebolehan, kebijaksanaan seseorang
untuk memerintah, mengarah, mendorong atau mempengaruhi. Menurut Dr A.L. Ramaiah
(1999), maksud kepimpinan dalam konteks sekolah pula adalah merujuk kepada satu aspek
tingkah laku pengetua dan juga sejenis pengaruh. Kepimpinan pengetua disifatkan sebagai
kepimpinan formal kerana bergantung kepada kedudukan formal dalam struktur organisasi
sekolah.

Seterusnya kita akan melihat maksud seorang pemimpin yang terdiri daripada
beberapa jenis kepimpinan iaitu pemimpin berkarisma, pemimpin transformational,
pemimpin transactional dan pemimpin berpusatkan perubahan. Hunsaker P.L. (1986)
mendefinisikan Pemimpin berkarisma adalah seorang pemimpin yang tingkahlakunya
menunjukkan intipati apa yang sesebuah organisasi atau kumpulan sosial perjuangkan untuk
dicapai. Pemimpin jenis ini berusaha untuk mencernakan nilai-nilai dalam organisasi dan
menterjemahkan, memulihara dan mengubah nilai-nilai tersebut. Menurut M. Potts & P. Behr
(1987), Pemimpin berkarisma adalah bersifat dominan, berkeyakinan diri dan memiliki
keyakinan yang kuat ke atas kebenaran moral kepercayaan mereka. Mereka berjuang untuk
mencipta kesenangan dan kejayaan, mengkomunikasikan visi dan memotivasikan pengikut-
pengikutnya.

Burns (1978) mendefinisikan kepimpinan transformational sebagai pemimpin


transformational yang mampu mengenalpasti dan mengekploitasikan keperluan sedia ada
atau kemahuan pengikut-pengikut yang berpotensi. Yukl (1989) mendefinisikan kepimpinan
transformational sebagai satu proses untuk mempengaruhi perubahan-perubahan yang besar
dari segi sikap dan andaian-andaian ahli-ahli sesebuah organisasi dan membina komitmen
untuk mencapai misi, objektif dan strategi organisasi berkenaan. Menurut Salleh Lebar
(2000) kepimpinan transformational memfokuskan kepada peringkat moral dan motivasi
dalaman yang tinggi dalam menjalankan sesuatu tugas. Kepimpinan jenis ini memerlukan
seorang bersifat kemanusiaan, adil, jujur dan tidak emosional, tidak tamak dan tidak
mencemburui kakitangannya.

Menurut Salleh Lebar (2000) kepimpinan transactional memfokuskan kepada


keperluan motivasi luaran untuk menggerakkan pekerja bawahan. Ia bukan saja boleh
dilaksanakan di dalam sesebuah organisasi tetapi juga diluar organisasi terutama pada
masyarakat yang lebih besar atau politik kepimpinan. Philip L. Hunsaker (1986)
menyatakannya sebagai kepimpinan yang diamalkan melalui perhubungan secara bersemuka
dengan orang lain. Lunenberg (1995) mendefinisikan pemimpin yang berpusatkan perubahan
sebagai pemimpin yang memodifikasikan sesuatu atau lebih elemen dalam organisasi.
Manakala Hunsaker (1986) menyatakan bahawa agen perubahan ( pemimpin berpusatkan
perubahan ) adalah individu yang memulakan dan mengurus proses perubahan yang
terancang.

Keempat-empat jenis pemimpin yang telah disebutkan di atas mempunyai perkaitan


yang rapat antara satu dengan yang lain. Ahli-ahli kumpulan dianggap sebagai faktor
terpenting untuk mencapai matlamat, misi dan visi sebuah organisasi. Oleh itu, pemimpin
perlu mempunyai kemahiran untuk membentuk kumpulannya menjadi cukup berkesan dalam
membentuk dan melaksanakan suatu rancangan yang telah ditetapkan. Pemimpin dalam
semua jenis kepimpinan yang telah disebutkan di atas akan berusaha untuk memotivasikan
ahli-ahli kumpulan agar dapat bersatu padu untuk mencapai matlamat. Untuk lebih
memahami, kita akan mendalami satu bentuk kepimpinan yang khusus iaitu kepimpinan
transformational atau transformasi.
Teori Kepimpinan Transformational ini juga dikenali sebagai kepimpinan karismatik
(Max Weber, 1968), Kepimpinan Inspirational atau Institutional (Hunsaker, 1986). Asas
kepada teori ini adalah pemimpin menginspirasikan para pengikutnya untuk mengenalpasti
minat mereka dan melihat ke arah tujuan yang berfokus atau berpusat. Teori House
menyatakan bahawa para pemimpin transformasi mempunyai tingkatan-tingkatan kuasa
rujukan yang amat tinggi dan sesetengah kuasa itu didapati dari keperluan para pemimpin
berkenaan untuk mempengaruhi orang lain dan juga dari tingkat keyakinan diri, penguasaan
yang amat tinggi, kepercayaan teguh tentang kebenaran moral asas-asas keyakinannya atau
sekurang-kurangnya kebolehan untuk meyakinkan para pengikut bahawa ia mempunyai
keyakinan dan kepercayaan sedemikian. Beliau juga menyarankan bahawa pemimpin
transformasi mampu mengkomunikasikan suatu pandangan hadapan atau matlamat tingkatan
tertinggi yang menawan komitmen pengikutnya. Mereka begitu berhati-hati mewujudkan
suatu imej kejayaan dan menunjukkan contoh, melalui perilaku mereka berkenaan nilai-nilai
yang mereka tegakkan.

Tichy dan Devanna (1986) telah mengkaji proses-proses bagaimana pemimpin transfomasi
menggerakan sesebuah organisasi melakukan perubahan-perubahan yang besar. Mereka telah
mengenalpasti terdapat tiga peringkat di mana pemimpin-pemimpin berkenaan melakukan
transformasi dalam organisasi. Peringkat-peringkat tersebut adalah seperti berikut:

1. Peringkat Pertama;

Pemimpin transformasi mengenalpasti keperluan-keperluan untuk melakukan perubahan


dan cuba menyakinkan kakitangan utama (key people) dalam organisasi berkenaan
kesungguhan untuk melakukan perubahan tersebut.

2. Peringkat Kedua;

Pemimpin berkenaan melibatkan kakitangan utama dalam membentuk dan mengilham


visi masa depan organisasi.

3. Peringkat Ketiga;

Pemimpin menggerakkan komitmen-komitmen ke arah visi yang telah dibentuk.


Menurut Mohd Salleh Lebar (2000), dalam konsep bilik darjah di Malaysia, keberkesanan
kepimpinan transformasi boleh dilakukan dengan cara berikut:

a. Menggalakkkan guru-guru berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masaalah.

b. Mengharapkan guru-guru memahami misi dan visi sekolah yang hendak dicapai.

c. Mengharapkan guru-guru bekerja sebagai satu pasukan.

d. Menghargai jasa dan peranan guru dalam bilik darjah dan luar bilik darjah.

e. Pengetua selalu memberi kepercayaan kepada guru-guru untuk membantu kerja-kerja yang
dianggap mencabar.

f. Memelihara hubungan yang baik di antara pengetua dengan guru-guru dan tidak ada
kecurigaan dalam tugasan harian.

Kesimpulannya, kepimpinan transformasi boleh dilaksanakan di semua organisasi dan


semua peringkat. Kepimpinan ini menggalakkan pemberian kuasa kepada kakitangan untuk
membantu ketua, menggalakkan pengikut percaya kepada kebolehan dan membina keyakinan
diri, pemimpin memberi kuasa dan percaya kepada kakitangan untuk menjalankan tugas-
tugas tertentu, pemimpin mengganggap semua kakitangan sebagai agen perubahan,
pemimpin menunjukkan tingkah laku yang fleksibel dan ia belajar dari pengalaman,
pemimpin menunjukkan sikap berhati-hati dalam menyelesaikan masalah. Kepimpinan
transformasi boleh berlaku pada semua peringkat perubahan baik mikro mahupun perubahan
makro yang melibatkan perubahan sistem sosial dan juga perubahan sesuatu institusi. Bentuk
kepimpinan ini juga meningkatkan tahap kematangan dan menggalakkan kakitangan
mencapai ke suatu tahap yang lebih tinggi.

Anda mungkin juga menyukai