Anda di halaman 1dari 13

SKAA 3135 : SOSIOLOGI DESA

TEMA :
PEMBANGUNAN SEKTOR DESA DI MALAYSIA

TAJUK :
PEMBANGUNAN TAMAN MARIN TUN SAKARAN (CABARAN KEPADA
MASYARAKAT SETEMPAT)

NAMA PELAJAR :
NUR FAIDAH BINTI ALDAM (A151022)

NAMA PENSYARAH :
PROF DR. RAHIMAH BT ABDUL AZIZ

PROGRAM ANTROPOLOGI DAN SOSIOLOGI


PUSAT PENGAJIAN SOSIAL, PEMBANGUNAN DAN PERSEKITARAN
FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN
1.0 PENGENALAN

Malaysia kini sedang menuju kearah negara yang berpendapatan tinggi sejajar dengan
Wawasan 2020 yang digagaskan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir
Mohammad. Dalam menuju ke arah negara maju, pelbagai sektor yang dibangunkan bukan
sahaja demi meningkatkan pendapatan negara, juga untuk meningkatkan kesejahteraan dan
kualiti hidup penduduknya. Salah satu sektor yang dibangunkan ialah sektor desa. Sektor
desa merujuk kepada segala pekerjaan di desa atau kawasan luar bandar yang melibatkan
proses pengeluaran. Sektor desa sering dikaitkan dengan aktiviti pertanian, perladangan,
perlombongan, pembuatan, pembinaan dan kini termasuk dalam meningkatkan kualiti desa-
pinggir pantai adalah sektor perlancongan. Pewartaan Taman Laut atau Taman Marin adalah
satu usaha kerajaan dalam meningkatkan sektor pelancongan di samping pemeliharaan
hidupan laut alam semulajadi. Penulisan essei ini adalah tentang pembangunan taman marin
itu sendiri.

Pewartaan Taman Laut Malaysia telah diperuntukkan di bawah Seksyen 41-45 Akta
Perikanan 1985. Semenjak pengisytiharannya pada tahun 1994, sejumlah 40 buah pulau telah
diletakkan dalam kawasan perlindungan Taman Laut Malaysia. Antaranya kepulauan Pulau
Redang dan kepulauan Pulau Perhentian di Terengganu, kepulauan Pulau Payar di Kedah,
kepulauan Pulau Tioman di Pahang, kepulauan Pulau Tinggi di Johor (Akta Perikanan 1985).
Namun begitu, terdapat juga beberapa kawasan di perairan negeri Sabah yang diwartakan
oleh kerajaan negeri sebagai Taman Laut tetapi lebih dikenali sebagai Taman Marin.

Matlamat utama pewartaan Taman Laut Malaysia adalah untuk melindungi,


memulihara dan mengurus secara berterusan ekosistem marin terutamanya terumbu karang,
flora serta fauna selain menjaga keindahan negara Malaysia sendiri untuk tatapan pelancong.
Pewartaan Taman Laut ini juga disertakan dengan peraturan dan undang-undang bagi
melindungi keadaan semulajadi kepulauan dan persekitaran laut. Namun disebalik langkah
pewartaan ini telah mendatangkan kesukaran kepada penduduk yang menghuni pulau-pulau
yang terlibat. Antara lain turut dibincangkan adalah masalah dan cabaran yang dihadapi oleh
penduduk pulau kesan daripada pewartaannya sebagai kawasan perlindungan Taman Laut.
Taman Marin Tun Sakaran umpamanya adalah salah satu daripada inisisatif kerajaan
negeri dalam memulihara ekosistem beberapa pulau di daerah Semporna, Sabah. Dalam
sebuah artikel Utusan Malaysia yang berjudul Pulihara Taman Marin Tun Sakaran
menyatakan bahawa Taman marin tersebut yang terbesar di negeri Sabah, mempunyai lapan
pulau yang keseluruhannya berkeluasan 35,000 hektar. Meliputi 34,046 kawasan laut dan
terumbu karang serta 954 hektar kawasan tanah. Ianya dipantau rapi oleh Taman-Taman
Sabah (TTS) sebuah pertubuhan yang menjaga taman laut di bawah lindungan kerajaan
negeri.

Lapan pulau itu terdiri daripada Bohey Dulang, Tetagan, Mantabuan, Bodgaya,
Maiga, Sibuan, Selakan dan Sebangkat. Perairan di sekitar semua pulau itu memiliki kawasan
terumbu karang yang menarik. Terdapat 544 jenis ikan terumbu karang, 255 jenis karang
keras, 70 jenis karang lembut, 140 jenis span laut, 265 jenis moluska dan 109 jenis
ekinoderma. Ianya diperoleh daripada projek yang dikenali Projek Darwin Pulau-Pulau
Semporna daripada dana projek yang disalurkan melalui Inisiatif Darwin yang merupakan
projek usahasama TTS dan Persatuan Pemuliharaan Marin United Kingdom.

Bagi TTS yang diberi tanggungjawab menjaga taman ketujuh daripada lapan taman
yang diwartakan di negeri ini, mereka melaksanakan pendekatan terbaik dalam usaha
melindungi dan memulihara kawasan itu untuk tempoh jangka panjang. Sepanjang enam
tahun menyelia taman marin, agensi di bawah kerajaan negeri Sabah itu melaksanakan
program melindungi dan memulihara kawasan yang tidak ditumpukan kepada hidupan marin
tetapi juga kepada pengurusan komuniti yang tinggal di dalam kawasan taman marin.

Pengarah TTS, Paul Basintal berkata, menjadi cabaran utama kepada pihaknya untuk
mengurus komuniti yang tinggal di dalam kawasan taman marin itu bagi mengelakkan
mereka mengeksploitasi hidupan marin. Dianggarkan terdapat 2,000 orang menghuni
kampung di kawasan itu dengan pekerjaan utama mereka adalah nelayan. Tindakan alternatif
bagi menjana pendapatan ekonomi mereka perlu diwujudkan supaya mereka tidak terlalu
bergantung kepada sumber marin. (Utusan Malaysia 2012). Namun begitu, tindakan alternatif
masih lagi dibincangkan sehingga ke hari ini dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada
penduduk yang sudah lama menghuni beberapa kawasan sektar taman laut tersebut.

2.0 PERBINCANGAN ISU PEMBANGUNAN TAMAN MARIN (CABARAN


KEPADA PENDUDUK SETEMPAT)

Dalam pembangunan dan pewartaan beberapa kawasan sebagai taman marin atau
taman laut, di satu pihak, persekitaran warisan khazanah alam semulajadi berjaya
dipertahankan sedangkan di satu pihak lagi penduduk setempat semakin dihimpit kesukaran
dalam memenuhi keperluan hidup harian. Dalam kata lain, menurut Erlet (1995), survival
penduduk pulau dilihat semakin terancam dan keadaan ini akhirnya memberikan impak yang
besar kepada kesejahteraan hidup penduduk pulau seumpama ini (Azima Abd Manaf, 2011).
Sehubungan itu, penelitian seterusnya adalah terhadap cabaran yang dihadapi oleh penduduk
pulau dalam meneruskan kehidupan mereka selepas proses pewartaan Taman Marin Tun
Sakaran.

2.1 Kesukaran Menjalani Aktiviti Ekonomi Harian/Tradisional

Di bawah Enakmen Taman-Taman Marin 1984 menggariskan bahawa penduduk dilarang


menjalankan aktiviti perikanan di kawasan-kawasan taman marin melainkan kawasan yang
telah ditetapkan oleh kerajaan negeri. Namun begitu, masyarakat pulau yang hidup sebagai
masyarakat laut setelah sekian lamanya lebih faham dan mahir tentang kawasan yang baik
untuk mereka mencari sumber pendapatan dan makanan. Dengan pewartaan taman marin,
penduduk pulau terikat dengan undang-undang yang telah ditetapkan.

Masyarakat pulau sekitar Taman Marin Tun Sakaran majoriti terdiri daripada suku
kaum Bajau Laut dan Suluk yang merupakan masyarakat yang mengambil sumber protein
sebagai makanan harian. Dalam kajian Mohd Jirey Kumalah mengenai Kearifan Tempatan
Dan Potensinya Sebagai Tarikan Pelancongan Berarasaskan Komuniti Bajau Ubian Di
Pulau Mantanani, 2015, ada menyenaraikan beberapa hidupan laut dalam yang merupakan
makanan harian masyarakat tersebut termasuklah Kima (Tiram), Sinagol (Ikan Yu dan Pari),
Kinilau (Jeruk Ikan), Tehe-tehe (Landak laut), Lato (sejenis rumpai laut), ikan masin dan
banyak lagi yang hanya boleh didapatkan di kawasan laut dalam. Tambahan pula, makanan
ruji penduduk pulau sekitar Taman Marin Tun Sakaran ialah berasaskan ubi kayu.

Kawasan darat Taman Marin juga diwartakan sebagai kawasan yang perlu dijaga
hutan dan floranya, sedangkan bagi penduduk pula, kayu kayan adalah sumber utama untuk
mereka menambah baik rumah mereka, perahu mereka dan tidak kurang pula yang masih
menyimpan kayu kayan sebagai persediaan sumber bahan api ketika kehabisan gas untuk
memasak dek kerana jarak ke bandar untuk mendapatka sumber gas memasak adalah jauh.
Oleh sebab itu, pewartaan tersebut merupakan cabaran bagi penduduk pulau kerana sukar
meneruskan aktiviti ekonomi tradisional. Tambahan pula, sekiranya mereka melanggar
peraturan Taman-Taman Sabah, mereka boleh dikenakan denda mencecah RM500 yang mana
bagi mereka sangat membebankan sedangkan mereka sendiri masih berada dalam golongan
berpendapatan rendah. Selain itu, penjara juga adalah salah satu hukuman sekiranya melangar
undang-undang Taman Marin tersebut, dimana hukuman penjara itu adalah perkara yang
paling mereka takutkan.

Terdapat juga usaha kerajaan negeri untuk membantu masyarakat pulau dengan
memperkenalkan aktiviti perlancongan sebagai sumber ekonomi. Namun demikian,
masyarakat pulau yang kurang dari segi pendidikan dan pengetahuan moden menjadikan
perkara ini suatu kesukaran bagi mereka. Tidak kurang pula terdapat dalam kalangan mereka
yang takut kepada orang luar pulau kerana masih tidak fasih berbahasa Melayu kerana bahasa
ibunda yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka adalah bahsa Bajau atau Sama.

Jika dilihat kepada asal-usul masyarakat Bajau Laut, terdapat dalam kalangan mereka
yang masih belum mendapat status kerakyatan yang tetap. Mengikut sejarah, masyarakat ini
datang daripada kepulauan Filifina akibat peperangan yang berlaku di Filifina. Oleh kerana
ketiadaan satu bentuk persefahaman antara Malaysia-Filifina untuk menentukan status
masyarakat ini, ada dalam kalangan mereka yang berstatus stateless yang bukan tergolong
dalam kategori pendatang tanpa izin dan pelarian politik. Oleh kerana itu, penduduk pulau
yang berbangsa Bajau masih mempunyai perasaan takut kepada orang luar pulau dan pihak
berkuasa sehingga sukar bagi mereka menerima pembangunan namun patuh kepada idea
keraaan negeri walaupun menjadi cabaran untuk kehidupan seharian mereka. (Ismail Ali,
2011)

Demikian itu, pewartaan Taman Marin Tun Sakaran sebenarnya memberi cabaran
kepada penduduk pulau untuk menjalankan aktiviti harian termasuklah dalam menjana
ekonomi keluarga mereka secara tradisi. Cabaran ini dilihat sebagai satu kesukaran untuk
keberlangsungan penduduk pulau dalam menyahut seruan kerajaan negeri untuk
pembangunan komuniti mereka.

2.2 Penghijraan Penduduk Setempat

Faktor ekonomi dilihat memberi pengaruh besar kepada migrasi dalaman dan menurut
Filiztekin dan Gokhan (2008), kemiskinan, pengangguran dan pendapatan telah menjadi
penyebab berlakunya migrasi dalaman. Salah satu faktor penghijrahan individu adalah
dengan mengambil kira jangkaan perolehan pendapatan dan kepuasan yang akan
mendatangkan keuntungan kepada mereka (Napolitano & Bonasia 2009: dlm
Ermawati,Norehan dan Hussin, 2105). Sama seperti yang berlaku kepada penduduk pulau
sekitar Taman Marin Tun Sakaran yang mengalami proses perubahan ekonomi tradisional
kepada moden, menjadi sebab utama mereka mencari tempat yang lebih baik untuk menjana
pendapatan. Oleh yang demikian migrasi atau penghijraan adalah pilihan segelintir penduduk
tersebut.

Golongan muda yang merasakan sudah tidak bebas berada di pulau, mereka akan
mengambil inisiatif untuk berhijrah ke kawasan bandar Semporna atau Kota Kinabalu
umpamanya untuk mencari pendapatan bagi membantu keluarga. Ada dalam kalangan
penduduk pulau di usia muda menjadi pemunggah ikan di pasar-pasar besar di Bandar
Semporna. Dokumentari Suku yang dipaparkan di Astro TV9 sekilas pandang
mengambarkan ramai penduduk pulau sekitar Semporna bekerja di pasar-pasar bandar untuk
mencari pendapatan dan sumber makanan untuk keluarga di rumah. Golongan muda
penduduk pulau yang kebiasaannya menghabiskan masa dengan menyelam dan bebas
mencari hasil laut kini merasa takut andainya melanggar peraturan kawasan Taman Marin
akibat pewartaan tersebut sekaligus memaksa mereka untuk berhijrah.

Dalam artikel yang ditulis oleh Azimah Abd. Manaf, Mohd Samsuddin dan Mustaffa
Omar iaitu tentang Kesan Pewartaan Taman Laut Pulau Tinggi, Mersing di Johor pada tahun
2011 ada menyatakan bahawa pada akhir usaha pewartaan taman laut yang membawa kesan
kepada penghijraan penduduk Pulau Tinggi sampai masanya pihak yang bertanggungjawab
akan memberikan penelitian terhadap keperluan pembangunan yang bersifat menang-menang
(win-win) di Pulau Tinggi ini. Antaranya dengan memberikan perhatian terhadap elemen
manusia sebagai warisan budaya bagi pulau-pulau yang berpenghuni. Beberapa pindaan
dalam Akta Perikanan 1985 perlu diberi perhatian semula agar penghuni pulau-pulau yang
diberi taraf Taman Laut tidak dinafikan hak mereka untuk menikmati erti pembangunan.
Bidalan Melayu terhadap Pak Kaduk harus dijadikan iktibar, `menang sorak kampung
tergadai. Dalam hal ini penduduk pulau boleh berbangga dengan pengiktirafan tersebut tapi
apalah gunanya jika sekiranya mereka tidak memperoleh manfaat daripadanya.

2.3 Pelucutan harta persendirian

Sama seperti pulau-pulau lain di seluruh Malaysia yang diwartakan sebagai Taman Laut,
Taman Marin Tun Sakaran juga dibimbangi akan menjejaskan pelucutan hartatanah di pulau
tersebut. Akibat pembangunan komuniti, kejutan untuk sesetengah masyarakat pulau dan
himpitan kemiskinan termasuk dalam menyara pendidikan anak yang bersekolah akan
membawa kepada penjualan tanah kepada bukan orang tempatan. Sama seperti yang
diperkatakan oleh Azimah Abd. Manaf, Mohd Samsuddin dan Mustaffa Omar dalam
kajiannya di Pulau Tinggi, dikhuatiri suatu hari nanti keseluruhan pulau akan dimiliki oleh
orang luar akibat penjualan tanah oleh masyarakat pulau ini.

Memetik isi kandungan pengisytiharan Taman Marin Tun Sakaran bahawasanya, satu
kawasan lebih kurang 35,000 hektar terletak dalam kawasan Teluk Darvel, Laut Celebes
termasuk Pulau Bodgaya, Pulau Bohey Dulang, Pulau Tetagan, Pulau Mantabuan, Pulau
Sibuan, Pulau Maiga, Pulau Selakan dan Pulau Sebangkat bersama-sama dengan terumbu
karang yang mengelilingi pulau-pulau tersebut dan kawasan yang berdekatan,
keseluruhannya seperti yang ditunjukkan dalam warna hijau di atas Pelan S.D. 99197552
yang disimpan di Pejabat Pengarah Tanah dan Ukur. Hak-hak dan keistimewaan-
keistimewaan serta syarat-syarat perisytiharan adalah seperti berikut:

(1) Semua geran atau hakmilik yang berdaftar yang terdapat di semua pulau tersebut
hendaklah dikekalkan dan tidak akan diambil oleh Kerajaan;

(2) Hak Adat Anak Negeri yang wujud di semua pulau yang terlibat adalah diiktiraf dan
tidak akan diganggu. Sesiapa yang menuntut hak adat Anak Negeri itu boleh memohon tanah
tersebut mengikut seksyen 15 dan 16 Ordinan Tanah;

(3) Semua kawasan tanah perkuburan yang wujud di semua Pulau tersebut hendaklah
dikekalkan sebagai Kuburan Orang-orang Islam dan tidak akan tergugat oleh perisytiharan
ini. Setiap pulau yang ada kawasan perkuburan, Kerajaan hendaklah menyediakan
anggaran peruntukan untuk memagar dan memelihara kawasan tersebut;

(4) Satu orang wakil dari Pewaris setiap pulau yang terlibat hendaklah dilantik sebagai
Pemegang Amanah Taman Marin Tun Sakaran;

(5) Setiap pembangunan yang dibuat di mana-mana pulau yang terlibat, hendaklah
melibatkan secara langsung Pemilik geran atau Penuntut Hak Adat Anak Negeri yang telah
dikenal pasti secara sah di pulau tersebut dan pembangunan yang dibuat tidak akan
menyebabkan tanah mereka diambil; dan

(6) Sebarang bentuk pembangunan yang dibuat sama ada oleh pihak individu atau secara
usaha sama dengan pemaju hendaklah dirujuk kepada Taman-Taman Sabah untuk ulasan
dan kelulusan agar ianya dapat diselaraskan dengan konsep pelancongan Taman-Taman
Sabah.

Dikeluarkan dengan tandatangan saya (Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Bin
Abdullah, Yang di-Pertua Negeri Sabah.) dan Mohor Kerajaan Negeri Sabah pada 28 Jun
2004.
Penyataan mengenai pewartaan ini harus diperjelaskan lagi kepada penduduk pulau
dan mengambil inisiatif dalam memikirkan masa depan penduduk pulau berkenaan.
Penjualan hartanah dalam kalangan penduduk perlu dipantau dan sekali lagi cabaran sebagai
nelayan di dunia yang membangun seharusnya dielakkan. Pembangunan yang dibawa oleh
kerajaan negeri perlulah selari dengan kehendak dan keperluan penduduk pulau khususnya
mereka yang masih hidup dalam sebuah sistem komuniti tradisional. Pembangunan adalah
suatu perkara baru yang terpaksa mereka hadapi perlahan-lahan.

3.0 CADANGAN

Pembangunan seperti yang lazimnya difahami adalah usaha terancang untuk mengubah
keadaan kehidupan sesebuah komuniti dengan matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan
ahli komuniti dalam semua aspek keperluan kehidupan merangkumi pendapatan,
perlindungan, keselamatan, pendidikan, kesihatan, kebebasan, dan sebagainya. Dalam
kerangka begini, komuniti desa sentiasa menjadi fokus kerana sering dikaitkan dengan
golongan yang kerap terpinggir dalam pelbagai aspek baik daripada segi rendahnya
pendapatan dan taraf kesihatan, tingginya kadar buta huruf, ketaksampaian pasaran dan
infrastruktur asas yang lemah mahu pun kemerosotan kesuburan tanah (Wanmali, 1998 dlm
Mohd Yusof Hj.Abdullah, Noor Rahamah Abu Bakar, Junaenah Sulehan, Abd Hair Awang
Dan Ong Puay Liu, 2011).

Dalam isu pewartaan Taman Marin Tun Sakaran, penduduk pulau yang kurang
berpendidikan, buta huruf dan mengamalkan sistem tradisional mendapat kesukaran apabila
pembangunan taman marin tersebut menghalang kebiasaan yang mereka selalu lakukan
termasuklah penangkapan hasil laut dalam dan juga penerokaan hutan untuk sumber kayu
kayan. Oleh yang demikian, kejutan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri
memaksa mereka untuk bertukar daripada sistem ekonomi tradisi kepada moden. Maka
berlakulah beberapa kesan dan cabaran terhadap penduduk pulau tersebut termasuklah,
kseukaran menjalani aktiviti harian, penghijraan ke bandar Semporna, dan pelucutan
pemilikan hartanah di kawasan asal mereka.

Maka dengan itu, cadangan perlu diusulkan sebelum perkara ini menjadi lebih besar
untuk dikendalikan oleh pihak kerajaan negeri. Penulis merasakan bahawa kerajaan negeri
perlu menggunakan komunikasi efektif dengan penduduk pulau berkenaan agar mereka
faham tentang usaha kerajaan negeri lakukan demi kesejahteraan dan keselamatan flora dan
fauna di kawasan Taman Marin Tun Sakaran tersebut. Komunikasi adalah komponen penting
dan perlu kepada strategi pembangunan komuniti. Ini adalah kerana komunikasi
menghubungkan pihak-pihak yang terlibat dalam pembangunan untuk bersama-sama
berkongsi idea, masalah dan pandangan atau pun untuk merancang dan melaksanakan strategi
pembangunan. Di samping itu, komunikasi juga boleh mendedahkan komuniti dengan
pengetahuan baru, sikap baru, kaedah baru melalui perkongsian maklumat. (Mohd Yusof
Hj.Abdullah, Noor Rahamah Abu Bakar, Junaenah Sulehan, Abd Hair Awang Dan Ong Puay
Liu, 2011).

Selain komunikasi efektif antara penduduk dan pegawai yang bertanggungjawab,


perlunya ada pendekatan pendidikan kepada penduduk berkenaan. Jika di bandar, kerajaan
komited memperkenalkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), maka penduduk pulau
juga perlu ada sebuah badan seperti KEMAS untuk mereka mempelajari sesuatu dalam
meningkatkan kualiti hidup di pulau. Sebagai contoh, Taman-Taman Sabah (TTS) boleh
menganjurkan satu program khusus untuk golongan muda umpamanya dalam mengendalikan
bot-bot pelancong, squba diving dan aktiviti untuk mereka yang datang ke pulau-pulau
sekitar kawasan Taman Marin Tun Sakaran. Untuk menghilangkan rasa takut mereka kepada
perubahan dan orang luar, TTS juga boleh mengadakan latihan awal untuk mereka
mendalami ilmu berkaitan pelancongan. Dengan ini, dapat mengurangkan penghijraan
golongan muda ke bandar dan seterusnya dapat menghidupkan industri peancongan.

Selain golongan muda, pendidikan untuk golongan warga tua juga perlu dilakukan.
Dalam kalangan mereka yang buta huruf umpamanya, kerajaan negeri boleh menganjurkan
program yang berbentuk kelas membaca, mengira, menjahit, menghasilkan kraftangan,
berniaga dan sebagainya untuk mereka lebih megenal dunia pembangunan. Sama seperti
KEMAS, kerajaan negeri boleh mengadakan pelbagai program untuk penduduk pulau agar
dapat menarik minat mereka untuk terus menetap di samping menyokong segala inisiatif
kerajaan untuk membangunkan sektor desa dan pembangunan taman-taman marin di daerah
Semporna. Hanya degnan sokongan penuh kerajaan tempatan mampu menyelesaikan
pelbagai masalah hasil pembangunan termasuklah pewartaan taman marin.
4.0 RUMUSAN

Sebagai kesimpulan untuk penulisan ini, cabaran yang dihadapi penduduk pulau yang
mengalami pewartaan sebagai Taman Marin Tun Sakaran, Semporna Sabah perlu diteliti
semula agar dapat ditambah baik dari semasa ke semasa. Hal ini kerana, kerajaan tempatan
perlu sedar bahawa penduduk asal di kawasan ini masih lagi berada dalam sistem sosial dan
ekonomi tradisional.

Walaupun dalam pengisytiharan taman marin ini dipersetujui oleh keseluruhan


penduduk, namun perlu difahami bahawa dalam kalangan mereka ada yang masih belum
faham dan hanya meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada TTS untuk memelihara dan
memulihara taman marin tersebut. Mereka juga tahu bahawa segala usaha kerajaan negeri
adalah demi menjaga flora dan fauna di perairan negeri ini. Maka, adalah tidak salah untuk
kerajaan mengambil peranan dalam memberikan pertolongan dalam membangunkan
masyarakat mereka.

Cabaran mereka dalam mencari hasil laut seperti biasa kini baru dirasakan selepas
beberapa tahun pengisytiharan taman marin. Oleh itu penyeliaan perlu diperketatkan di
kawasan taman marin ini agar keistimwaan penduduk pulau dapat dijaga di samping dapat
membantu mereka meneruskan hidup sehari-hari di zaman menuju negara maju ini. Wakil-
wakil setiap masyarakat juga perlu dipantau agar segala komunikasi dengan penduduk adalah
ditahap yang baik. Demi mengelakkan kesusahan bagi semua pihak, kerajaan perlu komited
memikirkan keberlangsungan penduduk pulau tersebut. Berbeza dengan Pulau Tioman, Pulau
Tinggi, Pulau Redang dan Labuan, Pulau di sekitar daerah Semporna Sabah adalah lebih
kebelakang dari segi pendidikan, teknologi dan seagainya. Oleh sebab itu, penduduk pulau
berkenaan perlu diambil perhatian lebih, demi usaha memajukan pulau-pulau di Sabah
setanding pulau-pulau di Semenanjung Malaysia.

5.0 RUJUKAN

Azima Abdul Manaf, Mohd Samsuddin & Mustaffa Omar. 2012. Kesan Pewartaan Taman
Laut Ke Atas Penduduk Pulau Tinggi, Mersing, Johor (Marine Park Gazzettement
Impacts on Pulau Tinggi Community in Mersing, Johor. Bangi. Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Anon. 2012. Pulihara Taman Marin Tun Sakaran. Utusan Malaysia. 21 Oktober 2012.

Nor Ermawati Hussain, Norehan Abdullah, Hussin Abdullah. 2015. Hubungan Migrasi
dengan Faktor-Faktor Penarik: Kajian Kes di Malaysia. Penerbit: Jurnal Ekonomi Malaysia.
Universiti Utara Malaysia.
http://www.ukm.my/fep/jem/pdf/2015-49(2)/jeko_49(2)-10.pdf

Warta Kerajaan Negeri Sabah 2004. Enakmen Taman-Taman 1984: Pengisytiharan Taman
Marin Tun Sakaran. Kota Kinabalu. Terbitan Kuasa Kerajaan Negeri
https://www.sabah.gov.my/gazette/docs/001593.pdf

Horhuda Salleh, Aisah Hosin, Budi Anto Tamring. 2013. Estet Mini Rumpai Laut: Program
ke Arah Peningkatan Taraf Hidup Isi Rumah Berpendapatan Rendah, Semporna Sabah.
Penerbit: Universiti Malaysia Sabah.
http://www.ukm.my/fep/perkem/pdf/perkemVIII/PKEM2013_4E2.pdf
Mohd Jirey Kumalah. 2015. Kearifan Tempatan Dan Potensinya Sebagai Tarikan
Pelancongan Berarasaskan Komuniti Bajau Ubian Di Pulau Mantanani. Penerbit: Universiti
Malaysia Sabah.
http://www.ukm.my/geografia/images/upload/11.geografia-si-nov15-mohdjirey-
edam1.pdf

Ismail Ali. 2011. Komuniti Orang Tanpa Negara (Stateless People) di Sabah: Kajian Kes
Komuniti Bajau Laut di Pulau Mabul, Semporna.
http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/22931/069_081.PDF

Astro TV9. Dokumentari Suku Kaum Bajau Pulau Kalapuan Semporna, Sabah.
https://www.youtube.com/watch?v=GH6SMocBwN0