Anda di halaman 1dari 7

KARANGAN TEMA PENGANGKUTAN PADA ALAF INI;

http://dandelions99.blogspot.com
1
KEPENTINGAN PENGANGKUTAN ALAF INI DAN USAHA-USAHA UNTUK
MEMAJUKANNYA

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengangkutan di negara Malaysia menjadi salah satu
cerucuk utama kemajuan yang telah kita kecapi setelah mencapai kemerdekaan selama
setengah abad. Pengangkutan alaf ini ataupun pengangkutan moden boleh didefinisikan
sebagai kenderaan yang digunakan pascamodenisasi ini untuk memenuhi kehendak negara
serta rakyatnya. Tidak semua orang mampu memiliki kenderaan sendiri, maka pengangkutan
alaf ini memberikan peluang atau nafas baru kepada semua untuk meneruskan kehidupan yang
selesa dan berkualiti. Hasil daripada penggemblengan usaha kerajaan dan generasi muda kita,
negara kita dilengkapi dengan pelbagai pengangkutan moden seperti monorel, perkhidmatan
Transit Aliran Ringan (LRT), kereta api elektronik, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan
kontena untuk masyarakat kita nikmati pada hari ini.

Persoalannya, apakah kepentingan pengangkutan alaf ini? Perkhidmatan ini telah berjaya
meningkatkan darjah ketersampaian di negara ini iaitu keupayaan untuk bergerak dari satu
tempat ke tempat yang lain. Hal ini dikatakan mustahak bagi sesetengah rakyat yang berulang-
alik ke tempat kerja pada setiap hari. Mereka yang tinggal jauh dari destinasi mereka setiap
pagi terpaksa mengambil masa berjam-jam sekiranya berlakunya kesesakan lalu lintas di jalan
raya tanpa kemudahan pengangkutan alaf ini. Tekanan perasaan akibat kesesakan lalu- lintas
yang dihadapi pula kemungkinan besar akan menjejaskan emosi mereka semasa bekerja nanti.
Deduksinya, pengangkutan alaf ini berupaya melahirkan masyarakat yang mampu berdepan
dengan dunia realiti kita yang pantas berubah dan berkembang.

Sementelahan itu, perkhidmatan pengangkutan moden juga mampu meminimumkan jumlah


kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita. Kebelakangan ini, kemelut tersebut telah
mengundang polemik sehingga membimbangkan masyarakat di negara kita. Penggunaan
pengangkutan yang pelbagai jenis dapat mengurangkan penggunaan pengangkutan jalan raya
semata-mata. Hal ini dapat menjamin keselamatan penduduk negara kita kerana kemalangan
yang berlaku terutamanya pada waktu puncak boleh mengakibatkan kematian. Buruk padahnya
jika mangsa kemalangan tersebut merupakan pewaris bangsa yang mampu memanifestasikan
kemajuan negara kita.

Pengkangkutan alaf ini bukan sahaja dapat menjamin kesihatan rakyat negara kita, tetapi juga
dapat memelihara hubungan yang erat antara manusia dengan persekitarannya. Hal ini adalah
kerana penggunaan perkhidmatan moden dapat mengurangkan pencemaran alam.
Pembakaran tenaga petroleum semasa penggunaan pengangkutan masa dahulu boleh
menyebabkan pembebasan gas beracun seperti gas karbon monoksida, sulfur dioksida dan
nitrus dioksida. Pembebasan gas-gas ini bukan sahaja memudaratkan kesihatan masyarakat
negara kita, menyebabkan kesan rumah hijau yang serius serta menipiskan lapisan ozon dunia.
Pengangkutan alaf ini seperti feri, kapal terbang, serta kereta api elektrik adalah mesra alam.
Baru-baru ini, kerajaan telah merancang untuk mengusahakan kereta yang mampu
KARANGAN TEMA PENGANGKUTAN PADA ALAF INI;
http://dandelions99.blogspot.com
1
menggunakan tenaga solar dan elektrik untuk bergerak. Hal ini dapat menyelamatkan bumi kita
daripada kehabisan bahan galian yang mustahak untuk memajukan aspek-aspek lain yang
memerlukan perhatian.

Walaupun kepentingan pengangkutan alaf ini telah jelas diperkatakan, semua pihak masih
harus berganding bahu menjangkau sehabis tangan untuk memastikan bahawa kemudahan ini
dapat dimanfaatkan secara maksimum. Tanpa usaha masyarakat, nescaya matlamat negara
kita untuk mengoptimumkan kebaikan pengangkutan moden tidak tercapai. Untuk menjamin
penglibatan aktif rakyat dalam memajukan pengangkutan alaf ini, kempen-kempen perlulah
diadakan untuk meniup kesedaran tentang peri pentingnya penggunaan kemudahan ini untuk
kebaikan semua pihak. Sekiranya masyarakat menggunakan pengangkutan moden dengan
lebih kerap, kerajaan akan sanggup membelanjakan berjuta-juta ringgit demi meningkatkan lagi
taraf dan kualiti kemudahan pengangkutan di negara kita. Kerjasama rakyat amat diperlukan
kerana sesebuah negara itu terdiri daripada rakyatnya. Kemudahan yang disediakan memang
bermatlamat untuk dinikmati oleh segenap lapisan rakyat di negara ini.

Di samping itu, kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) perlu dimantapkan lagi
untuk memajukan sektor pengangkutan di negara kita. Kerajaan kita telah menubuhkan Koridor
Raya Multimedia (MSC) yang merupakan sebuah rancangan kerajaan ke arah kecanggihan
teknologi maklumat. Kemudahan ini boleh digunakan untuk meningkatkan lagi pengawasan dan
pemanduan sistem pengangkutan serta menjamin penggunaan pengangkutan moden yang
lebih efisien dan sistematik. Hal ini seterusnya akan menaikkan keyakinan masyarakat terhadap
perkembangan pengangkutan alaf ini selaras dengan kemajuan yang telah dikecapi oleh
negara kita pada era globalisasi ini.

Sebagai intiha bicara, tidak dapat disangkal bahawa sistem pengangkutan yang moden serta
efisien adalah amat diperlukan bagi memenuhi kehendak manusia pada abad ke-21 ini. Raja
diibaratkan pohon manakala rakyat umpama akarnya, tanpa akar, mustahillah pohon itu dapat
berdiri. Dalam kata lain, kerjasama antara kerajaan dan rakyatnya amat mustahak kerana
muafakat membawa berkat. Kita hendaklah mengadunkan usaha yang cukup padu demi
membina impian masa depan kita yang lebih gemilang lagi. Yakinilah sistem pengangkutan kita
pada hari ini yang mampu mendorong kita untuk menangani pancaroba mayapada yang bakal
menghambat serta memajukan negara Malaysia yang telah lima puluh satu tahun mengecapi
kemerdekaan.

Karangan Contoh 2

Dunia sentiasa mengalami inovasi dalam sistem pengangkutan dari semasa ke semasa. Dalam
era globalisasi ini, pelbagai jenis kenderaan yang moden telah dicipta bagi menggantikan
kenderaan yang konvensional. Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis kenderaan awam seperti
monorel, ERL, komuter, bas, teksi, kapal terbang dan sebagainya. Pengangkutan awam yang
moden itu pula mampu untuk memainkan peranan yang penting kepada sesebuah negara
KARANGAN TEMA PENGANGKUTAN PADA ALAF INI;
http://dandelions99.blogspot.com
1
untuk mencapai kemajuan. Dengan perkataan lain, pengangkutan awam yang terdapat di
negara kita juga tidak kurang pentingnya kerana terdapat pelbagai kelebihan yang akan
diperoleh apabila masyarakat menggunakannya.

Kelebihan utama pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota
atau bandar-bandar besar yang lain. Hal ini demikian kerana kebanyakan rakyat Malaysia
gemar menggunakan kenderaan sendiri terutamanya ketika ingin menuju ke tempat kerja. Di
samping itu, mereka kebiasaannya bersikap bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing ketika berada di jalan raya. Perkara ini akhirnya mengakibatkan kesesakan
jalan raya yang serius. Oleh itu, pengangkutan awam seperti komuter, monorel, ERL (Express
Rail Link), LRT (Light Rail Transit)) dan sebagainya dapat memainkan peranan yang penting
untuk membendung masalah kesesakan jalan raya yang semakin kronik di ibu negara kita.

Penggunaan pengangkutan awam juga dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan. Sebagai
contohnya, ERL dapat memendekkan masa perjalanan jika dibandingkan dengan penggunaan
kereta. Tambang pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga amat berpatutan jika
dibandingkan dengan masa perjalanannya yang telah disingkatkan. Oleh itu, jika dibandingkan
antara pengangkutan awam dengan kenderaan biasa, masyarakat akan mendapat manfaat
sekiranya menggunakan pengangkutan awam. Harga petrol yang tidak menentu di pasaran
global telah memberikan impak yang negatif kepada rakyat yang menggunakan kenderaan
peribadi. Oleh hal yang demikian, banyak perbelanjaan boleh dijimatkan sekiranya orang ramai
menggunakan pengangkutan awam.

Selain itu, pengangkutan awam juga akan memudahkan perjalanan seseorang ke sesuatu
tempat. Dengan adanya pengangkutan awam seperti ERL dan LRT, sistem pengangkutan yang
lebih efisien berbanding dengan kenderaan persendirian dapat diwujudkan tambahan pula
banyak tempat di ibu kota yang termasuk dalam jaringan pengangkutan awam tersebut.
Perkara ini sekali gus dapat meningkatkan kadar ketepatan atau kepantasan seseorang ke
sesuatu destinasi. Hal ini seharusnya diberikan pertimbangan oleh anggota masyarakat agar
menggunakan kenderaan awam untuk ke sesuatu destinasi. Oleh itu, kenderaan awam
sepatutnya menjadi pilihan utama masyarakat kerana kelebihannya banyak sekali.

Penggunaan pengangkutan awam yang lebih mesra alam pula akan dapat mengurangkan
pencemaran alam sekitar. Pengangkutan awam seperti monorel, LRT dan ERL ialah kenderaan
awam yang mesra alam kerana tidak mengeluarkan asap. Hal ini secara langsung dapat
membendung pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran udara di negara kita. Perkara
yang di sebaliknya pula akan berlaku jika seseorang menggunakan kenderaan persendirian
mereka seperti kereta atau motosikal yang terbukti menyebabkan pencemaran alam sekitar.
Jadi, pihak berkuasa perlulah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menghalang
pencemaran udara yang semakin serius pada masa ini, seperti kata pepatah, Sediakan payung
sebelum hujan.
KARANGAN TEMA PENGANGKUTAN PADA ALAF INI;
http://dandelions99.blogspot.com
1
Intihanya, pengangkutan awam mempunyai kelebihan yang lebih banyak jika hendak
dibandingkan dengan penggunaan kenderaan persendirian. Oleh itu, anggota masyarakat
digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam jika hendak pergi ke tempat kerja.
Sekiranya langkah ini tidak diikuti sudah tentu banyak masalah yang terpaksa dihadapi oleh
anggota masyarakat akibat pencemaran alam yang berpunca daripada asap kereta dan
motosikal. Jadi, kita perlulah menyokong langkah kerajaan yang menggalakkan penggunaan
pengangkutan awam melalui kempen kongsi kereta untuk ke tempat kerja. Sekiranya kempen
ini mendapat sokongan daripada masyarakat, sudah tentu masalah pencemaran udara dapat
diatasi, di samping dapat menjimatkan perbelanjaan anggota masyarakat.

Pada era moden yang serba mencabar ini, Malaysia telah menuju ke satu tahap yang lebih
kompetitif bertunjangkan sains dan teknologi. Kemajuan tersebut sudah tentu dapat
memudahkan kehidupan seharian kita dan perubahan tersebut sememangnya akan
mendatangkan kesan positif dan negatif.

Kajian ini menunjukkan bahawa kebanyakan orang tidak tahu tentang sistem pengangkutan
yang terdapat di Malaysia dari semasa ke semasa. Negara ini mempunyai banyak sistem
pengangkutan sejak tahun 70-an. Antara sebab-sebab responden tidak tahu perkembangan
sistem pengangkutan di Malaysia adalah sikap tidak mengambil tahu. Walau bagaimanapun
ramai yang bersetuju tentang kemajuan sistem pengangkutan di Malaysia. Hal ini telah
membuktikan teknologi pengangkutan sedang ditambah baik di Malaysia. Selain
mengembangkan sistem pengangkutan, Malaysia juga dapat mengurangkan kes kemalangan
dan masalah lalu-lintas. Sistem jaringan pengangkutan telah membawa banyak faedah seperti
mengurangkan masalah kesesakan, mewujudkan lanskap yang menarik dan sebagainya.
Namun begitu, perkembangan sistem ini juga membawa kesan negatif terutamanya alam
sekitar.

PENGANGKUTAN MODEN MEMBAWA KEBAIKAN KEPADA MASYARAKAT


MALAYSIA. BINCANGKAN KEBAIKAN PENGANGKUTAN MODEN KEPADA
RAKYAT.

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda telah
menyumbang kepada faktor perubahan sistem pengangkutan awam secara drastik. Menurut
Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat, pengangkutan awam dapat didefinisikan sebagai
sistem pengangkutan bermotor seperti teksi, bas dan kereta api yang digunakan oleh orang
ramai di kawasan tertentu dengan kadar tambang yang telah ditetapkan. Pada zaman yang
serba canggih ini, sistem pengangkutan moden kian mempengaruhi kehidupan masyarakat.
Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh, didapati bahawa kenderaan awam tidak terhad
dalam sistem perhubungan di darat malah di udara juga di laut. Apakah kepentingan
pengangkutan awam kepada pengguna dan persekitaran negara kita? Antara tamsilan
pengangkutan awam yang selalu digunakan oleh pengguna ialah bas, teksi, LRT, monorel dan
kapal terbang. Umum mengetahui bahawa bas awam merupakan kemudahan awam yang
KARANGAN TEMA PENGANGKUTAN PADA ALAF INI;
http://dandelions99.blogspot.com
1
paling meluas digunakan di seluruh negara termasuklah di bandar dan di kawasan pedalaman.
Oleh itu, kelebihan-kelebihan pengangkutan awam yang mewarnai fokus perbincangan akan
dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan perkhidmatan
pengangkutan awam kepada semua. Bertitik tolak daripada itu, dengan menggunakan
pengangkutan awam sebenarnya dapat menjimatkan masa seseorang untuk sampai ke sesuatu
destinasi seterusnyadapat menjimatkan kos perjalanan. Sebagai contohnya, jika dahulu
perjalanan ke Ipoh dengan memandu kereta mungkin memakan masa hingga tiga jam dan
kadangkala meletihkan kerana terpaksa menempuh kesesakan yang tidak diduga sepanjang
perjalanan. Namun, pada hari ini anda boleh menikmati kopi panas dan membaca buku
kegemaran anda dengan menaiki kereta api elektrik (ETS) yang hanya mengambil masa dua
jam lima minit sahaja perjalanan pada kadar tambang yang berpatutan. Sudah jelas di sini
bahawa penggunaan ETS dapat menjimatkan masa seseorang lebih kurang 50 minit
berbanding penggunaan kereta persendirian. Impaknya, pengangkutan awam dapat
menjimatkan masa dan kos perbelanjaan dengan tambang yang berpatutan seperti juga
pengangkutan awam yang lain iaitu LRT (Light Rail Transit) dan MRT (Mass Rail Transit) yang
menjadi pilihan ramai terutamanya golongan pertengahan di kawasan bandar. Malahan kita
boleh pergi ke mana-mana destinasi tanpa perlu memikirkan kos petrol yang semakin
meningkat dan pengguna tidak perlu memikirkan bayaran tol serta bayaran tempat meletak
kenderaan. Seterusnya, kos yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk membeli barang
keperluan yang lebih penting. Peribahasa yang bertepatan dengan situasi di atas ialah Ingat
Sementara Belum Kena, Jimat Sebelum Habis dan Masa Itu Ibarat Emas. Sudah Terang Lagi
Bersuluh, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan seseorang.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat perlu menggunakan
pengangkutan awam agar dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Perkhidmatan bas telah
lama menerima persepsi negatif umum sebagai pengangkutan bagi golongan miskin.
Perkhidmatan bas semasa tidak mampu menandingi kelajuan, keupayaan dan kekerapan
perkhidmatan rel yang tinggi kerana bas perlu meredah kesesakan lalu lintas bersama-sama
ribuan kenderaan lain. Bagi mengatasi masalah ini, tiga usaha utama merentasi 12 koridor
menuju ke bandar utama iaitu Bus Expressway Transit (BET), Bus Rapid Transit (BRT), dan
Lorong Bas telah disediakan. Perkhidmatan BET akan dilancarkan di empat lebuh raya di
Lembah Klang yang tidak digunakan sepenuhnya. Pengguna akan menikmati pengurangan
kesesakan lalu lintas daripada perkhidmatan ini kerana pengangkutan awam ini mempunyai
jumlah hentian yang terhad dan laluan khas di kawasan tol bagi melancarkan perjalanan.
Selain itu, pengguna yang mengutamakan perkhidmatan pengangkutan awam dan tidak
mementingkan diri sendiri, Bagai Enau Dalam Belukar Melepaskan Pucuk Masing-Masing dapat
mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya. Kekurangan kenderaan persendirian di jalan
raya secara langsungnya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kronik. Secara
implisitnya, kadar kemalangan dapat dikurangkan sekali gus. Dengan ini, diharapkan
KARANGAN TEMA PENGANGKUTAN PADA ALAF INI;
http://dandelions99.blogspot.com
1
masyarakat sedar akan kelebihan pengangkutan awam yang dapat membantu mengurangkan
kesesakan lalu lintas.

Pengangkutan Awam sebenarnya mempunyai perkaitan yang amat kuat dengan pembinaan
bandar lestari atau bandar hijau malah mengurangkan pencemaran alam. Mahu atau tidak,
pengangkutan awam akan menjadi nadi penting dalam memperkasakan bandar yang bersih
atau mampu mengurangkan karbon atau gas beracun di kawasan bandar. Kawasan bandar
yang kurang kenderaan persendirian bermaksud akan bertambah kurangnya karbon
dilepaskan. Tambahan pula, LRT, MRT dan Monorel digerakkan menggunakan tenaga elektrik.
Pembinaan pengangkutan awam yang efisyen membolehkan bandar raya dibangunkan dengan
sempurna. Kajian masa depan perlu dilakukan untuk memikirkan kesesakan bandaraya pada
masa akan datang. Walaupun adanya bandar satelit yang membantu mengurangkan
kesesakan bandar utama, perancangan pengangkutan awam yang sempurna perlu difikirkan.
Kenderaan bermotor yang padat di kawasan bandar menyumbang kepada pencemaran udara
dan pencemaran bunyi. Dari satu segi, fenomena ini menunjukkan kemajuan ekonomi
sesebuah negara. Manakala dari sisi alam sekitar pula, hal ini menunjukkan kemerosotan alam
sekitar. Keadaan yang bercanggah inilah yang sepatutnya diselarikan supaya kenderaan
bermotor bukan sahaja boleh digunakan sebagai petunjuk kemajuan ekonomi negara, bahkan
turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Bagaimanakah kedua-duanya dapat
diselarikan? Jawapannya adalah dengan memperkenalkan Sistem Pengangkutan Hijau yakni
satu sistem pengangkutan awam yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan yang berkualiti
iaitu cepat, cekap dan selesa bahkan mengurangkan pencemaran alam sekitar. Sekiranya
sistem pengangkutan hijau berjaya dilaksanakan dengan sepenuhnya di kawasan bandar tanpa
gangguan daripada kenderaan persendirian dan motosikal sudah pasti matlamat untuk
meningkatkan kualiti hidup penduduk di bandar akan tercapai. Hal ini kerana gangguan dari
segi tekanan, ketidakselesaan, kerumitan, kelewatan jadual perjalanan, kesesakan lalu lintas
telah berjaya diatasi. Keselesaan dan kesejahteraan penduduk dalam berinteraksi di jalan raya
juga merupakan sumbangan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk. Izharlah bahawa
sistem pengangkutan awam yang moden di negara kita mampu melestarikan alam sekitar
seterusnya pencemaran udara tidak akan menjadi masalah lagi.

Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan pengangkutan awam moden dapat memudahkan
perjalanan. Hal ini dapat dibuktikan dengan penggunaan kapal terbang sebagai pengangkutan
utama bagi masyarakat Islam yang ingin menunaikan haji. Penggunaan kapal terbang dapat
mempercepat perjalanan di samping memudahkan jemaah haji yang ingin menunaikan tuntutan
rukun Islam yang kelima. Jika dibandingkan pada tahun 1950-an, jemaah haji yang
menunaikan haji akan mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk sampai ke destinasinya.
Hal ini amat menyusahkan, berbanding sekarang hanya 8 jam sahaja, seseorang itu telah
sampai ke Mekah. Situasi ini jelas menunjukkan penggunaan pengangkutan awam moden
telah memudahkan perjalanan bagi jarak yang amat jauh melangkaui sempadan antarabangsa.
Selain itu, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), komuter, monorel dan KLIA Ekspress telah
terbukti dapat memudahkan perjalanan kerana bebas daripada kesesakan lalu lintas. Hal ini
disebabkan pengangkutan awam ini mempunyai laluan atau rel yang tersendiri. Selain itu,
KARANGAN TEMA PENGANGKUTAN PADA ALAF INI;
http://dandelions99.blogspot.com
1
keistimewaan pengangkutan awam ini juga memudahkan perjalanan kerana mempunyai jadual
perjalanan yang telah ditetapkan. Sekali gus, orang ramai dapat merancang perjalanan mereka
dan membuat persediaan awal seperti peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan. Tegasnya,
perjalanan akan menjadi lebih mudah bagi pengguna apabila pengangkutan awam ini tidak
dipinggirkan.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya maka sebagai akhirulkalam, pengangkutan


awam banyak mendatangkan manfaat dalam memudahkan manusia menjalani urusan
seharian. Semua lapisan masyarakat Malaysia digalakkan menggunakan pengangkutan awam.
Sekiranya langkah yang drastik dan efektif ini tidak diikuti, sudah tentu banyak masalah akan
timbul dalam kehidupan kita di bumi yang fana ini. Jika dikaji sehingga ke akar umbi, masalah
ini berpunca daripada asap kenderaan. Oleh itu, pihak kerajaan juga hendaklah memainkan
peranan yang vital dengan menaik taraf perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia agar
setanding dengan negara-negara gergasi yang lain bak peribahasa berdiri sama tinggi, duduk
sama rendah. Oleh hal yang demikian, anggota masyarakat perlu menyokong langkah
kerajaan yang berstrategi serampang dua mata bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan
awam. Sesungguhnya, kemajuan dalam pengangkutan awam yang disokong sepenuhnya oleh
rakyat Malaysia akan dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan insan seiring dalam
memenuhi aspirasi negara menjelang pencapaian Wawasan 2020.