Anda di halaman 1dari 2

Langkah-langkah Memupuk Semangat Patriotisme Dalam Kalangan

Remaja
oleh Tang Yi Lin (5B)

Meminjamkan kata-kata hikmat daripada peribahasa Arab, Kasih akan watan


sebahagian daripada iman jelas menunjukkan bahawa semangat patriotik
merupakan anak kunci utama kejayaan sesebuah negara. Hal demikian ini penting
kerana perasaan cinta dan sanggup berkorban kepada watan akan menggerakkan
seseorang itu agar rela berkorban apa-apa sahaja dan mengutamakan kepentingan
negara mengatasi segala yang lain. Pada landasan yang sama, semangat
patrotisme haruslah disemat dalam hati setiap remaja kerana merekalah yang akan
mengambil alih tampuk kepimpinan pada masa depan. Sesungguhnya,
penyematan semangat patriotisme ini dapat direalisasikan dengan kegigihan dan
strategi yang betul dan tepat, sekiranya tepat pada tindakan dan cara yang
dilaksanakan oleh pelbagai pihak.

Tindakan yang paling proaktif perlu diterajui oleh ibu bapa memandangkan
ibu bapa merupakan guru pertama kepada anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu
bapa berperanan signifikan dalam memupuk semangat patriotik dalam hati anak
mereka. Langkah pertama ialah ibu bapa harus menyemai semangat patriotik
dalam jiwa sendiri dan menjadi teladan baik kepada anak-anak. Hal ini adalah
mustahak untuk menggalakkan anak-anak cinta akan negara kerana bagaimanapun
anak ketam tidak dapat berjalan lurus jika ibu bapanya hanya tahu berjalan
melintang. Bak kata pepatah, getah daun akan mengalir ke perdu juga; segala
tingkah laku ibu bapa akan menjadi turutan anak-anak. Contohnya, ibu bapa harus
berdiri tegak dan berasa megah semasa menyanyikan lagu Negaraku. Anak-anak
turut akan mencontohi perlakuan ibu bapa. Sementelahan itu, ibu bapa juga harus
menyokong produk tempatan seperti kereta Proton untuk menunjukkan semangat
patriotik diri kepada anak-anak. Tanpa sebarang paksaan, anak-anak akan turut
berasa megah dengan kemampuan negara menghasilkan produk berkualiti dan
seterusnya pasti berasa megah terhadap negara tumpah darahnya Tuntasnya,
semangat patriotik perlu dibudayakan dan bukan sekadar dibiasakan.

Selain itu, sekolah juga memainkan peranan yang perdana dalam memupuk
semangat patriotik dalam kalangan remaja. Untuk mencapai matlamat tersebut,
mata pelajaran Sejarah dan Sivik diberi penekanan. Kedua-dua mata pelajaran ini
mencatat asal pembentukan negara dan hal ini dapat membantu remaja
memahami sejarah silam negara. Sejarah khususnya, merupakan guru yang
mengajarkan anak bangsa agar memahami sistem bernegara. Apabila remaja
mengetahui proses kemerdekaan negara, mereka akan memahami serta
menghayati perit jerih yang dilalui sebelum negara mampu mengecapi nikmat
kemerdekaan. Remaja juga akan menghargai jasa tokoh silam yang membentuk
negara yang maju pada hari ini. Dengan itu, remaja akan beriltizam untuk
mengekalkan kemerdekaan negara yang telah dicapai serta berusaha
melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi mempertahankan negara. Di
samping itu, sekolah juga boleh mengadakan aktiviti seperti pertandingan melukis
poster bertemakan patriotik serta Bulan Patriotik bagi menanam semangat
patriotik dalam hati remaja. Dalam hal ini, semangat patriotik dalam diri remaja
bukan sahaja dapat dikukuhkan, malah hubungan antara remaja dapat dieratkan
ibarat sambil menyelam, minum air. Tegasnya, peranan sekolah dapat
memperkasakan semangat patriotik dalam diri remaja.

Sementelahan itu, media massa turut memikul kewajipan berterusan dalam


soal pemupukan semangat patriotik dalam diri remaja. Media massa seperti
akhbar, majalah, radio dan televisyen harus memaparkan iklan atau rencana yang
mengetengahkan semangat patriotik. Media massa elektronik pada masa yang
sama patut menyiarkan drama-drama tempat yang berunsur patriotik sepeti
Paloh, Bukit Kepong dan Darah Satria bagi menaikkan semangat patriotik
dalam jiwa remaja. Drama negara asing yang tidak berkaitan dengan negara kita
harus dikurangkan. Iklan- iklan atau rencana tentang kewibawaan pemimpin
negara dalam mewujudkan keamanan negara harus kerap disiarkan. Dengan itu,
remaja pada hari akan berasa bangga serta menghargai kesejahteraan dan
kemakmuran yang dimiliki negara. Mereka pasti berazam untuk berusaha
membangunkan negara. Selain itu, media massa seperti Internet harus
digembleng untuk memaparkan berita benar tentang negara. Komen-komen yag
mengkritik negara harus dilarang bagi menjamin kedaulatan negara. Dengan itu,
remaja tidak akan terdedah kepada maklumat palsu dan semangat patriotiknya
tidak akan goyah lantaran adanya komen negatif tentang negara.

Intihanya, sinergi daripada pelbagai pihak dalam menyuntik dan memupuk


semangat patriotik dalam diri remaja adalah penting . Semangat patriotik patutlah
ditanam dalam jiwa remaja sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Walau bagaimanapun, tanggungjawab ini tidak harus hanya diletakkan
atas pundak ibu bapa kerana pihak lain juga perlu menggalas beban pemupukan
semangat patriotik . Oleh hal demikian, semua pihak harus berganding bahu
memupuk semangat patriotic dalam hati remaja , barulah matlamat ini dapat
dicapai. Langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik tersebut harus dilaksanakan
dengan usaha gigih kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya. Dengan segala usaha yang dilakukan, tentu anasir barat tidak akan
mencemari minda remaja, sebaliknya semangat patriotik tentu dapat berputik
dalam hati mereka.